Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia


Cerpen : Jauh Dari Hati
Oleh : Isha Idiaz
*****

“AWAK sudi menjadi isteri saya?”

            Tersembur air yang baru sahaja melalui kerongkongku. Habis memercik ke skrin komputer ribaku.

            Aku jauhkan telefon bimbit daripada wajahku. Lalu aku melihat nama pemanggil yang tertera di skrin telefon itu sekali lagi. Betul. Tak salah. Memang dia. Tapi demam apa lelaki ini menelefon aku semata-mata nak tanya soalan sebegini.

            Bagi aku soalan berkenaan jodoh ni lagi susah daripada soalan esei yang harus aku jawab untuk peperiksaan akhir di setiap semester.

            Aku membetulkan posisi duduk. Menyedut udara dengan tenang. Cuba membenarkan oksigen sampai ke setiap sel di dalam badanku ini. Berdehem sedikit sebelum menjawab soalan tadi.

            “Kenapa mesti saya yang jadi isteri awak?” soalku kepada penaya soalan.

            Ya, inilah aku. Aku lebih suka bersikap provokatif daripada menjadi seorang yang pasif. Jika dia berani bertanyakan soalan semacam itu kepada aku, pasti dia punya alasan yang kukuh. Aku pula hanya bertindak untuk tidak mensia-siakan usahanya yang pastinya sudah memikirkan jawapan yang terbaik untuk menjawab segala pertanyaan aku.

            Aku masih menunggu jawapan daripada lelaki itu. Namun, aku tidak dapat mendengar satu bunyi pun daripada corong telefon. Nah, mungkin lelaki itu tidak bersedia dengan jawapannya. Lalu, aku pun bertekad untuk memancingnya untuk berbicara.

            “Kalau tak ada jawapan, lebih baik awak fikirkan dulu. Lepas tu baru beritahu saya jawapannya okey,” ujarku cuba berdiplomasi.

            Sebaik sahaja aku mengucapkan kata-kata itu, lelaki tadi menjawab soalan aku dengan rasa yakin.

            “Sebab saya cintakan awak.”

            Aku hanya mencebirkan bibirku setelah mendengar ayat yang sangat klise itu. Sangat klise hingga membuat aku rasa muak pula.

*****

AKU sandarkan badan ke kepala katil. Setelah lelaki itu memutuskan talian, otakku mula bekerja. Mula memikirkan kata-katanya tadi.

            “Sebab cinta je?” ujarku sambil memulas-mulas telinga anak beruang yang berada di atas katilku itu.

            Sebentar kemudian, aku menggeleng-gelengkan kepalaku. Ingat semua cinta ke berakhir dengan perkahwinan? Ingat ini kisah novel ke kalau cakap cinta terus boleh kahwin?

            Kemudian aku tersenyum sendiri. Lelaki zaman sekarang, mudah betul mengungkapkan kata-kata cinta. Kalau aku tanya cinta tu membawa maksud apa kepada mereka, nescaya mereka tidak dapat menjawab pertanyaanku.

            Pada aku, untuk mendirikan sebuah masjid, kita tidak boleh mengandalkan rasa cinta semata-mata. Rasa cinta itu cuma memacu kita untuk membuahkan rasa kasih dan juga sayang. Tetapi jika semata-mata berbekalkan rasa cinta, masjid yang kita bina tidak mempunyai tapak yang kukuh. Jangan kita lupa tanggungjawab selepas bernikah itu lebih berat. Kerana daripada seorang, kita sudah berdua. Daripada tidak kenal, kita mahu kenal.

            Inilah aku jika sudah mula berfalsampah. Aku tergelak lagi. Sejak menerima panggilan lelaki tadi, aku seolah-olah hilang kewarasan akal fikiran. Cakap seorang-seorang. Gelak seorang-seorang. Mujurlah aku tidak berkongsi bilik dengan sesiapa. Jika tidak, pasti sekarang aku sudah diheret ke Tanjung Rambutan untuk menerima rawatan.

            Melihat jarum jam loceng di atas meja solek sudah menunjukkan ke angka dua belas, pantas aku memanjangkan tangan ke arah suis utama dan menutup suis lampu. Dalam samar cahaya bulan yang masuk melalui celahan tingkap, aku merenung siling. Kata-kata lelaki itu benar-benar mengganggu kenyamanan hidup aku.

            Bantal busuk kubawa ke wajah. Aku perlukan semacam sedatif daripada bantal busukku untuk aku melupakan lelaki itu barang sesaat.

*****

AKU meletakkan sepinggan nasi goreng kampung yang masih lagi mengeluarkan kepulan asap bewarna putih di atas meja. Hidup membujang. Kalau masak banyak-banyak cuma aku seorang yang akan makan. Cukuplah sepinggan nasi goreng ini sebagai menu makan malam hari ini.

            Mataku sempat melirik ke arah komputer riba yang aku letakkan di atas meja kerja. Laman sesawang muka buku menyapa pandangan mata. Dan keluarlah popup daripada sebelah kanan bawah laman itu menandakan ada seseorang menghantar chat buatku.

            Tidak mempedulikan hal tersebut, aku pantas menyuapkan sesudu nasi goreng ke dalam mulut dan menikmatinya. Sebenarnya, aku sudah tahu siapa yang rajin berchatting denganku sejak akhir-akhir ini. Tidak lain dan tidak bukan dia adalah lelaki yang melamarku tempoh hari.

            “Aku tak faham dengan lelaki ni,” ujarku perlahan.

            Sebenarnya, aku masih meragui ketulusan hati lelaki ini. Dengan kata lain, aku tidak percaya langsung dengan kata-katanya yang mahu memperisteri aku. Semudah ABC menyatakan rasa cinta sedangkan dia langsung tidak mengenali aku. Kami hanya berkenalan melalui laman muka buku. Paling jauh pun kami berhubung melalui telefon sekadar bersms dan juga berbicara sepatah dua.

            Aku meyuap lagi nasi goreng ke dalam mulut. Malas aku mahu berfikir mengenai lelaki ini. Sebentar lagi jika aku rajin, akan kubalas chatnya. Itupun jika aku rajin. Buat masa ini, aku mahu menikmati makan malamku yang enak lagi berkhasiat.

*****

KENAPA awak tiba-tiba mahu menjadikan saya isteri awak?

            Butang enter kutekan dan itu bermakna sesi perbualan kami telah bermula di laman sesawang muka buku.

            Sebab saya mahu berkahwin dengan segera.

            Ayat itu menyapa pandangan mataku tidak sampai tiga saat daripada masa aku menekan butang enter tadi. Tanganku kembali mengetuk papan kekunci.

            Kenapa harus segera?

            Sekali lagi, aku mengajukan pertanyaan kepada lelaki itu dan pantas juga dia menjawab pertanyaanku.

            Kerana saya mahu bernikah pada hari lahir saya.

            “Owhh…” ujarku perlahan. Bermakna lelaki ini lahir pada dua belas hari bulan dua belas. Jari-jemariku kembali menaip.

            Kenapa mesti pada hari lahir awak? Tidakkah awak fikir awak terlalu terburu-buru?

            Kali ini, jeda waktu agak lama. Sempat aku menghabiskan segelas air putih bagi menghilangkan dahaga.

            Tidak. Kerana saya rasa saya sudah tidak mampu menahan lagi.

            Kali ini aku bingung. Ayat yang baru kubaca menimbulkan tanda tanya. Tidak tahan? Tidak tahan apa?

            Tidak tahan apa?

            Cepat sahaja butang enter kutekan agar persoalanku segera terjawab.

            Saya bercinta atas dasar nafsu. Saya mahu berkahwin atas dasar nafsu.

            Nah! Mahu terlepas biji mataku dari soket mata sewaktu membaca ayat tersebut. Aku tidak tahu apa yang bermain difikiran lelaki itu sekarang ini. Kala itu, aku mahu sahaja memakinya. Namun bila difikirkan semula, aku diam sebentar. Meneguk air dingin. Mengharapkan hatiku kembali dingin.

            Bercinta dan berkahwin atas dasar nafsu? Adakah itu yang aku harapkan daripada seorang yang bergelar suami?

Aku malah mengharap sesuatu yang lebih daripada seorang suami. Aku mahu suamiku menjadi seperti seorang bapa, yang mampu melindungiku daripada bahaya dan memberiku nafkah. Aku mahu suamiku menjadi seperti seorang ibu, yang mampu memanjakan aku dan mampu mendidikku ke jalanNya. Aku juga berharap suamiku mampu menjadi seperti adik beradikku yang mana dia akan tetap bersamaku tidak kira di masa senang atau masa susahku.

Aku tahu mungkin apa yang aku harapkan itu terlalu tinggi untuk seorang yang bergelar suami. Namun, aku mahu bakal suamiku juga tahu, bahawa aku meninggalkan semua orang itu hanya untuk hidup bersamanya. Dan atas alasan itu, aku berhak untuk melihat rahmat seorang bapa, kelembutan seorang ibu, dan kebaikan seorang adik-beradik di dalam dirinya.

Jika dengan mudahnya dia mengatakan dia bercinta dan juga mahu menikahiku atas dasar nafsu, adakah semua yang kuharapkan itu bakal terpenuhi?

Aku melepaskan sebuah keluhan berat. Jujur aku katakan, sedikitpun hatiku tidak goyah sewaktu pertama kali dia melamarku sehingga ke hari ini. Malah hari ini, sebelum rasa cinta berputik di hatiku, tunas-tunas cinta telah dicantas oleh lelaki itu sendiri. Sedikit pun aku tidak menyesal kerana aku tidak mencintainya.

Apa yang aku kesalkan, mengapa lelaki itu seolah-olah orang yang lain daripada apa yang aku lihat di profile muka bukunya sendiri. Jika di sana, aku melihat seorang lelaki yang soleh. Seorang lelaki yang mampu membimbingku ke jalan yang diredhaiNya. Namun, semakin lama aku mengenali lelaki ini, semakin banyak kekurangannya yang aku lihat.

Jujur aku kecewa dengan peribadinya yang begini. Sebolehnya, aku mahu membimbing lelaki ini walaupun aku tahu, aku juga masih kekurangan dalam ilmu agama.      Namun impianku itu cepat-cepat kuhapus apabila kata-kata di bawah ini menghiasi pandangan.

Lelaki yang soleh boleh berkahwin dengan wanita yang tidak baik kerana lelaki itu akan membimbingnya ke arah kebaikan tetapi wanita yang solehah tidak boleh berkahwin dengan lelaki yang tidak baik kerana bimbang lelaki itu akan membawanya ke arah kejahatan.

*****

KERANA kegusaran mengenai lelaki ini selalu mengganggu tidur malamku, maka aku berazam untuk bertanya kepada yang pakar mengenai hal ini.

            Akhi Huzaifah is online

            Sebaik sahaja ayat itu tertera di skrin komputer ribaku, segera aku menyapa jejaka tersebut yang sudah kuanggap seperti abangku sendiri.

Assalammualikum Akhi. Maaf jika mengganggu. Saya cuma mahu bertanya beberapa soalan.

Aku menanti Akhi membalas sapaanku tadi dengan sabar. Dan akhirnya pesananku berbalas.

Waalaikummussalam. Silakan.

Dan bibirku mengukir senyum. Alhamdulillah. Semoga segala persoalanku terjawab nanti.

Hukum seorang lelaki menikah jika dia tidak dapat menahan nafsunya dan ditakuti akan terjebak ke lembah kemaksiatan adalah wajib, tetapi jika lelaki itu bernikah dengan seorang wanita hanya kerana mahu memuaskan nafsunya semata-mata, apa pula hukumnya?

            Aku benar-benar beharap aku mendapat sedikit pencerahan mengenai hal ini sebelum aku membuat keputusan yang besar dalam hidupku.

            Haram hukumnya.

            Aku menganggukkan kepala tanda memahami. Benar seperti yang telahanku.

            Kalau begitu, jika lelaki itu teruskan juga pernikahan tersebut walaupun dia tahu hukumnya haram, bagaimana pula hukumnya?          

            Dan seketika kemudian pertanyaanku berbalas.

            Jika dia teruskan juga, maka pernikahannya itu tetap sah jika cukup syaratnya. Jatuh haram kerana niatnya itu namun perbuatan nikah itu tetap sah.

            Dan aku rasa, aku sudah tahu keputusan yang harus aku ambil kini. Aku menarik nafas dalam dan memandang sepi bilik yang sememangnya sunyi saat ini.

*****

“ASSALAMMUALAIKUM saudari,” suara seorang gadis menyapa lembut gegendang telingaku.

            Sebetulnya, aku tidak tahu siapa gerangan gadis itu. Aku cuma menerima panggilan yang masuk tadi secara tergesa-gesa.

            “Waalaikummussalam. Boleh saya tahu siapa di sana?” soalku pula berbasa-basi.

            “Saya Ila. Saya cuma mahu bertanya saudari, adakah saudari mengenali Hafiz?” suara di hujung talian pula bertanya.

            Hafiz. Masakan aku tidak kenal lelaki itu. Walaupun aku mengenalinya di laman muka buku, namun boleh kukatakan aku kenal lelaki itu kerana dia pernah melamarku.

            “Ya, saya cuma berkenalan dengannya melalui laman muka buku. Boleh saya tahu saudari ini….” Sengaja aku berjeda di situ untuk membiarkan gadis bersuara lembut itu menyambung ayatku tadi.

            Gadis itu terus tertawa perlahan. Melalui suara yang kudengar, dapat kubayangkan gadis itu pasti cantik orangnya.

            “Saya rakan kepada Hafiz,” jawabnya tenang.

            Owh. Rakan. Jika sekadar rakan, kenapa sampai menghubungiku.

            “Boleh saya tahu, kenapa saudari Ila menghubungi saya?” soalku kembali. Mengembalikan kami berdua kepada pokok utama perbincangan kami.

            “Jika ditakdirkan suatu hari nanti, kita ditakdirkan bermadu, adakah saudari sanggup bermadu dengan saya?” soal gadis itu tenang.

            Aku menelan air liur yang terasa kelat. Bermadu? Ini lagi susah daripada soalan peperiksaan akhir semesterku. Aku melepaskan sebuah keluhan berat.

            “Saya tidak menolak poligami jika itu apa yang dimahukan oleh suami saya setelah dia menikahi saya. Namun, saya juga tidak menyokong poligami jika itu akan melukakan hati wanita yang lain,” ujarku setelah aku membiarkan keadaan sepi di antara kami beberapa ketika.

            “Jadi awak bersetuju jika isterinya membenarkan dia menikahi awak?” soal gadis itu lagi.

            Aku benar tidak suka soalan semacam ini. Diluah mati emak, ditelan mati bapak. Terasa leherku seperti dijerut.

            “Saya menyerahkan itu kepada takdir. Hanya Allah yang tahu apa yang terbaik buat saya,” ujarku perlahan. Aku tidak tahu apa yang harus aku ucapkan sebenarnya.

            Aku tahu gadis ini bukan sekadar rakan kepada Hafiz. Tetapi dia di antara calon isteri tangkap muat seperti diriku. Hafiz juga pernah menceritakan serba sedikit mengenai gadis ini kepadaku sewaktu aku bertanyakan status gadis ini dengan dirinya.

*****

“KENAPA awak tidak memilih Ila?” soalku antara dengar dan tidak.

            Hatiku sedikit terguris apabila melihat keakraban Hafiz dan Ila di laman muka buku mereka. Memandangkan Hafiz sudah melamarku, maka aku sedikit terasa apabila dia turut menyatakan hal cinta, sayang, nikah dan alam rumahtangga kepada Ila.

            “Kerana dia punya kekurangan yang mana-mana lelaki pun tidak dapat terima jika itu adalah isteri mereka,” ujar Hafiz tegas. Tidak sedikitpun dia rasa bersalah dengan kata-kata yang diucpakannya tadi.

            “Jika awak tahu awak tidak boleh terima kekurangannya itu, kenapa awak masih memberi harapan kepadanya?” soalku lagi.

            “Kerana dia bersetuju dengan syarat saya,” ujar Hafiz lagi. Tegas bunyinya.

            “Syarat apa?” soalku kembali.

            “Syarat di mana saya boleh mencari calon yang lebih baik dan sempurna daripada dirinya. Jika saya menemukan calon yang lebih baik, maka saya boleh meninggalkannya,” ujar Hafiz lagi.

            “Kenapa mencari yang sempurna jika diri kita juga tidak sempurna Hafiz,” ujarku sedikit hampa setelah mendengar penjelasan daripada Hafiz tadi.

            “Sudah saya katakan, saya bernikah kerana mahu memuaskan nafsu saya,” tegasnya lagi.

            “Kenapa mempermainkan masa depan orang lain hanya untuk memuaskan diri sendiri?” soalku lagi tidak mahu mengalah.

            “Saya bukan mempermainkan masa depannya. Saya baru menyedari yang Ila adalah seorang yang cantik walaupun dia mempunyai kekurangan itu. Dan saya memilihnya kerana kecantikannya kerana itu yang akan membuat saya puas nanti,” ujar Hafiz lagi.

            Mujurlah lelaki ini jauh daripadaku. Jika dekat sudah aku layangkan sebuah penampar di wajahnya. Agar dia ingat sampai bila-bila.

            ‘Ya Allah, kau berikanlah petunjuk kepada Ila agar dia menyedari yang lelaki bernama Hafiz ini hanya mahu mempermainkan cintanya,’ doaku dalam hati.

Lelaki bernama Hafiz ini sesungguhnya berselindung di sebalik kata-kata manis dan menggunakan cara halus dengan mengucapkan kata-kata yang berbaur Islami untuk memikat hati gadis itu. Walhal kenyataannya, lelaki itu berniat jahat. Suatu perkara yang kukira sangat jijik.  Ila pula menerima cintanya kerana yakin Hafiz akan membawanya ke jalan yang diredhai oleh Allah. Memperbaiki setiap kesalahan masa lampaunya.

*****

Lima tahun berlalu…

            Suasana di hospital agak sibuk hari ini. Tak cukup kaki aku berlari ke sana ke mari jika ada kes kecemasan. Sewaktu aku melintasi wad kecemasan, aku terlanggar seseorang. Yang pastinya, orang itu adalah rakan sejawatku kerana aku dapat melihat kot putih yang tersarung kemas di badannya.

            Aku menunduk ke lantai dan cepat-cepat mengutip kertas yang bertaburan di lantai akibat pertembungan aku dengan rakan sejawatku tadi. Rakan sejawatku tadi turut membantuku mengutip kertas-kertas tersebut. Aku masih tidak memandang wajahnya.

            Saat dia menghulurkan kertas itu ke tanganku, aku angkat wajahku sekaligus aku memandang wajahnya. Wajah teman sejawatku tadi. Mukaku merona merah waktu itu. Cepat-cepat aku bangun dan mengucapkan kata maaf dan mahu melangkah pergi.

            Belum sempat aku melangkah pergi lenganku dipegang erat oleh seseorang. Memaksaku untuk menoleh semula ke belakang.

            “Humaira?” soal si dia yang memegang lenganku tadi.

            Aku memandang tangannya yang masih kejap memegang lenganku dengan pandangan yang aku kira pandangan membunuh. Segera dia mengalihka tangannya daripada lenganku.

            “Awak cantik. Masih sama macam dulu. Sama macam yang saya lihat di muka buku dulu. Tidak sangka kita akan bertugas di hospital yang sama,” ujarnya lagi.

            Aku memandang kosong ke arahnya. Sesungguhnya, aku masih merasakan lelaki ini lelaki paling jijik yang pernah aku kenali. Hafiz. Lelaki ini tidak pernah berubah.

            “Maira… Buat apa dekat sini. Dah habis duty ke?” tegur satu suara yang sangat kukenali.

            Pantas aku menoleh ke belakang dan melihat seraut wajah yang selalu bertakhta di hatiku daripada dulu sampai sekarang. Pantas aku mengambil tangannya dan kukucup tangan itu penuh hormat. Kuhadiahkan sekuntum senyuman buat dia yang ku gelar suami.

            Aku dapat melihat riak tidak puas hati di wajah Hafiz saat aku mengucup tangan Akhi tadi. Malah, ketika aku menghadiahkan sebuah senyuman buat Akhi, Hafiz mengepal tangannya. Geram barangkali.

            “Maira tengah nak hantar report ni. Akhi baru masuk duty ke?” soalku pula kepada suamiku.

            “Akhi baru masuk ni. Nanti kita lunch sama-sama ya Maira,” ujar Akhi sambil mengusap lembut ubun-ubunku. Aku hanya mengangguk perlahan dan tersenyum lagi. Kulihat Akhi pergi ke wad untuk melakukan pemeriksaan.

            Meskipun kami kurang masa bertemu di rumah, namun itu tidak kami jadikan alasan sama sekali untuk menghabiskan masa bersama jika punya kesempatan. Kesibukan mengajar aku dan Akhi untuk menghargai masa yang kami ada. Dan kesibukan itu mengajar kami erti sayang dan cinta yang tidak berbelah bahagi. Jujur aku katakan, aku juga tidak menyangka Akhi menaruh perasaan cinta terhadapku suatu masa dahulu.

            Hafiz yang sedari tadi menjadi penonton drama sebabak antara aku dan Akhi sudah merah padam mukanya. Aku tersenyum memandangnya kini.

            “Suami saya,” ujarku tenang. Aku bangga punya suami seperti Akhi. Aku malah tidak akan mencari lelaki lain kerana bagiku Akhi cukup sempurna buatku.

            Kelat senyuman yang terukir di bibir Hafiz kini. Mukanya masih merah padam.

            “Ila sihat?” soalku sekadar berbasa-basi. Teringat gadis kecil molek itu. Lama juga aku tidak bertanya khabar dengannya. Sejak dia bernikah dengan Hafiz tiga bulan lepas.

            “Kami baru sahaja bercerai,” ujar Hafiz sambil menundukkan wajahnya.

            Aku sedikit terperanjat dengan kenyataan Hafiz itu. Mulutku pula seakan terkunci untuk meneruskan perbualan kami.

            “Maafkan saya. Saya tak berniat,” ujarku untuk menutup rasa bersalah.

            Hafiz mengangguk lemah dan beredar daripada situ tanpa sepatah pun bicara selepas itu.

            Aku hanya memandangnya daripada jauh. Benarlah kata Akhi suatu masa dahulu, kalau kahwin tu macam mee segera, sikit lagi jika bercerai pun macam tulah juga. Cerai tu akan jadi lebih cepat daripada masak mee segera lagi.

            ‘Semoga Allah memelihara keamanan rumahtangga yang kubina dengan Akhi,’ doaku dalam hati.
*****
©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz
Share

4 comments:

MissxYana said...

nice story..:D

asiah said...

kak Isha..nape ngn Ila.. ape kurg dia. xD

Cik Lia Lomi said...

Memang wujud orang seperti hafiz ni...suka ayat yg terakhir tu...heeee

Hafiz said...
This comment has been removed by a blog administrator.