Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

19
*****
AZAN subuh kedengaran sayup-sayup mengejut insan-insan yang masih terlena agar bangkit menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Esa. Faizah yang sejak semalam masih belum sedar akhirnya terjaga dari tidur yang agak lama. Mata yang terasa berat untuk dibuka dikerdipkan beberapa kali.

Sewaktu mahu bangkit dari pembaringan, tangannya terasa dipegang oleh seseorang. Pantas Faizah menoleh ke sisinya. Dilihat Mira masih lena di sebelahnya. Tangannya dipegang erat oleh tangan kanan Mira. Malah baru dia sedar tangan kiri Mira memeluk erat pinggangnya.

Faizah keliru. Dia tidak ingat apa yang terjadi semalam. Melihat warna cadarnya yang lain juga menyedarkannya dia bukan tidur di atas katilnya tetapi di atas katil Hajar, teman sebiliknya.


Tidak mahu melengahkan masa solat, Faizah perlahan-lahan mengalihkan tangan Mira yang melingkari pinggangnya lalu bingkas bangun daripada katil Hajar itu. Mira yang masih nyenyak tidur dipandang sekilas. Pasti ada sesuatu yang terjadi kepadanya semalam. Kalau tidak masakan Mira tidur di sebelahnya dan dia tidur di katil Hajar.

Faizah menapak ke arah almari pakaiannya. Rambut lurusnya separas pinggang itu disanggul menggunakan sepit rambut yang diambil dari dalam almari.  Tuala yang tergantung di pintu almari pantas dicapai dan Faizah melangkah keluar daripada bilik menuju ke tandas untuk membersihkan diri dan mengambil wudhu’.

*****

MIRA terjaga daripada tidur apabila telinganya dapat menangkap esakan kecil di dalam bilik itu. Tangannya diraba ke sebelah. Memastikan bahawa Faizah ada di sebelahnya. Kosong. Sah, Suara tangisan itu pasti milik Faizah.

            Dengan pantas, Mira bangkit dan mencari kelibat Faizah dalam bilik itu. Lega hatinya apabila melihat Faizah yang sempurna bertelekung sedang menghadap arah kiblat dan di tangannya memegang Al-Quran. Dapat dilihat wajah sedih Faizah serta air mata yang mengalir turun membasahi pipi Faizah yang gebu itu dalam samar-samar cahaya lampu koridor yang menyelinap masuk menerusi tingkap bilik mereka.

            Dihalakan pandangan ke arah jam di dinding. Jam lima empat puluh lima minit pagi. Memang di bilik mereka ini hanya Faizah yang akan bangkit jam lima setengah pagi. Yang lain hanya akan bangun setelah Faizah mengejut mereka jam enam pagi untuk menunaikan solat subuh. Mira mengusap mukanya beberapa kali dengan telapak tangan. Kemudian dia bangkit dan mengemas kembali katil Hajar seperti sediakala.

            Langkah kaki dihalakan ke arah Faizah yang masih duduk berteleku di atas sejadahnya. Pantas sebuah pelukan erat diberikan buat Faizah. Faizah yang masih menangis tidak dapat menahan sebak. Sewaktu dia membersihkan diri tadi, baru dia ingat apa yang terjadi kepadanya malam semalam.

            “Maafkan saya sebab menyusahkan awak semalam,” ujar Faizah dalam nada suara tersekat-sekat diselangi esakan kecil.

            “Awak cakap apa ni Faiz. Kitakan kawan,” ujar Mira perlahan. Tangannya mengusap belakang Faizah untuk menenangkan rakan baiknya itu.

            Setelah tangisan Faizah reda, barulah Mira melepaskan pelukannya.

“Terima kasih Mira untuk semuanya,” ujar Faizah lagi dan menatap sayu wajah Mira.  

“Sama-sama,” ucapnya perlahan.

Mira tidak pernah melihat Faizah dalam keadaan begini sepanjang dia sebilik dengannya. Seorang yang periang dan tidak pernah mengaku kalah, itulah perwatakan Faizah sebelumnya. Namun kini, Faizah hampir tewas dengan perasaannya.

Melihat Faizah yang hanya mendiamkan dirinya dan merenung jauh, Mira bangkit dan memberikan ruang kepada Faizah untuk bersendiri.  Dikejut teman sebilik yang lain untuk menunaikan solat subuh seperti biasa.

‘Sekeras manapun perwatakan seorang perempuan, apabila hati mereka disakiti oleh seorang lelaki yang dicintainya, pasti dia akan tewas dalam mempertahankan air matanya yang sangat berharga untuk seorang lelaki sebelum ini,’ bisik hati Hajar apabila memandang Faizah yang hanya membiarkan manik-manik jernih itu mengalir membasahi pipinya.

Ekin yang tidak mampu menahan kesedihan apabila melihat keadaan Faizah pagi itu pantas keluar daripada bilik dengan air mata yang ditahan agar tidak merembes keluar di hadapan Faizah tadi.

*****

BAYU yang berpuput lembut pagi itu sedikit sebanyak membuat Faizah yang berasa lesu kembali segar seperti biasa. Dingin walaupun bayu itu hanya masuk melalui celah-celah tingkap yang terbuka di bilik itu. Melihat dedaun pokok yang melambai-lambai ditiup angin daripada tingkap bilik dan suara burung yang berkicauan mengundang suasana ceria di hati Faizah.

            “Faiz dah siap?” soal Mira ceria. Walaupun dia sudah nampak Faizah sudah bersiap, namun sengaja dia bertanya soalan itu. Dia tidak mahu Faizah bersikap pasif. Beg kuliahnya yang diletak di atas meja dicapai.

            “Lama dah saya siap. Cuma tunggu awak je cik kak,” ujar Faizah dengan nada mengusik. Mendengar jawapan daripada Faizah itu, Mira terkekeh-kekeh ketawa. Faizah memang seorang yang menepati masa.

            Buku kuliahnya dicapai. Kerusinya disorongkan kembali ke dalam. Langkah kaki dihalakan ke arah pintu bilik. Sebelum Faizah melangkah keluar daripada bilik, sempat dia memandang Hajar dan Ekin yang melihatnya.

            “Cik Hajar dan Cik Ekin, terima kasih untuk semalam. Nak buatkan sarapan pagi nasi goreng, kita tak boleh masak dalam bilik. Jadi, aku boleh tolong masakkan air je macam selalu,” ujar Faizah ceria dan bersahaja seperti biasa.

            “Senget punya Faiz,” ujar Hajar dan Ekin serentak setelah mendengar ayat yang keluar daripada mulut Faizah itu. Serentak itu, mereka berempat ketawa.

            “Tu perli ke apa tu?” soal Ekin pula. Matanya dibesarkan berpura-pura marah.

            “Bukan perli, tapi memuji,” Faizah menjawab selamba. Sebelum dia menjadi mangsa keganasan bantal yang ada di dalam bilik itu, pantas Faizah menutup pintu bilik dan berlari-lari anak menuruni tangga diikuti oleh Mira. Kedengaran suara Mira dan Hajar menjerit memanggil namanya daripada dalam bilik.

*****

MIRA yang melihat keadaan Faizah kembali seperti biasa mampu menarik nafas lega. Bibirnya mengukir senyum bahagia.

            Faizah turut tersenyum memandang wajah ceria Mira. Dia tidak mahu kerana dirinya nanti, rakan-rakan yang lain turut bersedih. Cukup semalam dia telah menyusahkan rakan sebiliknya. Kerana itu, setelah solat subuh tadi dia berdoa agar dia diberi kekuatan oleh Allah untuk menghadapi hari ini dan hari-hari mendatang.

            “Jom lumba siapa cepat sampai dulu dekat kelas,” usul Faizah.

            “Sekarang? Pagi-pagi macam ni?” soal Mira bertubu-tubi meminta kepastian.

            “Exercise,” jawab Faizah sepatah. Matanya dikenyitkan kepada Mira.

            Mira yang tidak percaya dengan kata-kata Faizah sebentar tadi masih tidak memberikan keputusannya. Matanya memandang Faizah atas bawah. Dan matanya melekat pada kaki Faizah.

            “Tu?” soal Mira sambil memuncungkan bibirnya ke arah sandal dengan tumit setinggi tiga inci yang dipakai oleh Faizah.

            “Ingat pakai ni tak boleh lari ke?” ujar Faizah bersahaja. Bibirnya sudah mengukir senyuman melihatkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.

            “Manalah tahukan kejap lagi patah tumit tu,” Mira meluahkan rasa bimbangnya.

            “See the leglah dear,” Faizah cuba meyakinkan Mira lagi.

            “Jomlah…. Please…”

            Dan akhirnya Mira bersetuju.

            Setelah hitungan ketiga, Faizah berlari meninggalkan Mira di belakang. Mira hanya melopong memandangnya.

‘Tiga inci. Lari laju macam kuda,’ bisik hati Mira.

Tidak mahu kalah, Mira juga berlari dengan laju mahu mengejar Faizah yang telah meninggalkannya agak jauh di belakang.

            Siswa siswi lain hanya memandang mereka. Malah kerjasama mereka amat baik apabila telah memberikan laluan kepada kedua-dua pelari marathon tidak terlatih pagi-pagi hari begini.

            “Faizzzzzzzz!! Janganlah lari laju sangat!! Macam kuda dah tu!!” Mira berteriak daripada belakang sewaktu melewati papan kenyataan antara Blok Akademik I dan J itu. Faizah sudah membelok masuk ke arah blok I namun dia dapat menangkap kata-kata Mira itu.

            “Kudaku lari, gagah berani!!” Faizah melaungkan sambil terkekeh-kekeh ketawa. Sempat dia menoleh ke belakang memandang Mira. Siswa siswi yang ada disitu hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala mereka sambil tersenyum memandang Faizah.

            “Senget punya kuda!!” jerit Mira lagi. Suaranya tenggelam timbul akibat tidak cukup nafas. Nak sedut oksigen lagi, nak menjerit lagi.

            “Ayuh kudaku, lari terus berlari!!” Faizah melaungkan lagi. Kali ini, mereka yang berada di koridor blok sudah ketawa terbahak-bahak melihat adegan sebabak antara Faizah dan Mira. Sekali lagi Faizah menoleh ke belakang.

Malang tidak berbau apabila tiba-tiba Faizah telah melanggar seorang siswa yang menghalangi trek lariannya di pagi yang damai itu.

            “Woooo...” Faizah sudah separa menjerit.

Spontan, dia cuba mengimbangi badannya agar tidak jatuh memandangkan badannnya sudah melayang ke belakang. Tumit tiga inci itu menyukarkannya untuk mengimbangi badannya. Dan akhirnya Faizah hanya redha sahaja apabila dia yakin dia pasti terjatuh.

            Sebelum badannya mencecah lantai, pinggangnya dipaut kemas oleh seseorang. Dan sekarang dia berada di dalam dakapan orang itu. Hangat.

            ‘Eh, macam pernah jadi babak ni. Ini babak Tuan Puteri dengan Prince Charming yang bernama Iskandar,’ ujar Faizah dalam hati.

            Matanya yang tertutup rapat tidak mahu dibuka. Perasaan malu menyerbu dirinya.

            ‘Boleh pula terlanggar orang. Haih Faiz. Tulah nak berlari sangat pagi-pagi hari,’ kutuk Faizah dalam hati.

 “Hey Darling, Prince Charming nak masuk kelas dah ni. You nak berapa lama lagi macam ni?” ujar si Prince Charming.

‘Sekali dengar ayat ni. Fuhhh! Sama sebijik sebentuk macam ayat Abang Is. Beza suara je,’ sempat Faizah meneka-neka dalam fikirannya.

            Siswa itu hanya memandang wajah Faizah yang sudah kemerah-merahan. Pasti gadis itu malu memandangkan Faizah tidak membuka matanya.

            ‘Cantik,’ bisik hati siswa itu.

“Faiz…” ujar Mira sepatah. Kaku di hujung koridor. Terus terlupa pertandingan berlarinya bersama Faizah sebentar tadi.

Memandang Mira yang sudah melopong memandang mereka, siswa itu pantas mendukung Faizah dan berlari walaupun dia tidak tahu di mana garis penamat pertandingan larian antara Faizah dan Mira.

Faizah yang terperanjat tidak mampu berkata apa-apa. Yang dia tahu adalah dia kini sedang didukung oleh siswa itu sambil berlari. Tangan kanannya melingkar di leher siswa itu. Tangan kirinya pula memegang erat bahu siswa itu. Takut dirinya jatuh.

“Dekat mana garis penamat?” soal jejaka itu serius sambil terus berlari mendukung Faizah yang kaget.

“Aaa? Garis penamat apa?” soal Faizah kebingungan.

Siswa itu sempat memamirkan senyumannya apabila memandang wajah Faizah yang comel itu walaupun ketika itu dia sedang mendaki anak tangga. Pasti gadis itu sudah lupa tadi dia sedang bermain lumba lari.

“Kuliah dekat mana?” soalnya siswa itu kembali. Muka Faizah sudah merah menahan malu.

‘Ingat lelaki kacak ni nak bawak kau lari pergi Sungai Golok ke Faiz oii!’ Faizah mengutuk dirinya dalam hati.

“Mana? Kalah nanti,” ujar lelaki itu lagi dengan senyuman di bibir.

Mira sudah kepenatan mengejar dua makhluk yang dah romantik melebihi drama Full House itu. Dia dapat melihat mereka berdua sudah tiba di tingkat tiga blok I itu.

“I3-13,” jawab Faizah sepatah.

Dan siswa itu berlari lagi sehingga mereka sampai ke ruangan yang diberitahu oleh Faizah sebentar tadi. Semua mata yang ada di dalam kelas itu memandang mereka berdua dengan pandangan paling pelik. Melopong mulut mereka melihat insidens tidak terduga itu. Faizah berada dalam dukungan seorang siswa yang mereka tidak kenali.

Tidak mempedulikan orang lain, siswa itu meletakkan Faizah di atas sebuah kerusi di barisan paling hadapan dalam ruangan itu. Kemudian siswa itu menupang dagunya dengan tangan di hadapan meja Faizah. Memandang gadis itu dengan senyuman.

“Awak menang hari ni. Tapi ingat, lain kali jangan main lumba lari kalau pakai tumit tinggi,” ujarnya lembut.

Meremang bulu roma Faizah apabila mendengar ayat yang dituturkan oleh siswa itu. Faizah hanya menaganggukkan kepalanya beberapa kali tanda faham.

“Awak comel,” ujar lelaki itu sambil tangannya membetulkan lipatan tudung Faizah dan mengusap kepala gadis itu perlahan.

Faizah bagai robot yang diprogramkan hanya kaku di kerusinya. Tidak bercakap apa-apa. Memang ada manusia jenis inikah di dunia ini?

Melihat jam di tangan sudah hampir ke jam lapan, siswa tadi bingkas bangun dan menapak menuju ke pintu kelas.

“013-9132548. Nombor saya kalau nak ucapkan terima kasih,” ujar siswa itu bersahaja tanpa menoleh ke arah Faizah. Dia hilang di balik pintu kelas Faizah. Bibirnya mengukir senyuman bahagia.

            Faizah terdiam. Mira menghampiri dengan nafas yang hampir hilang.

Farhan dan Shafik yang sedari tadi memerhati adegan sebabak antara Faizah dan siswa itu mengurut dada masing-masing agar bersabar.

“Gila,” ujar Farhan.

“Ini memang gila,” tambah Syafik.

Mira memandang Farhan dan Shafik silih berganti. Faizah masih lagi dalam keadaan terperanjat.

“Nak mati agaknya budak tu,” ujar Mira perlahan.

*****

“AWAK kenal budak tu?” soal Mira sewaktu kuliah pagi itu selesai.

            Faizah memandang wajah sahabatnya itu sekilas. Dia tahu Mira risau.

“Tak,” jawabnya sepatah.

            Mira menghentikan langkah kakinya. Faizah turut sama terhenti di laluan gajah menuju ke perpustakaan Al-Bukhari itu.

            “Habis tu?” soal Mira.

            Faizah mengangkat keningnya tanda tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh Mira.

            “Three,” jawab Faizah sambil membuat muka toya.

            Shafik yang mendengar ayat itu pantas mengambil bukunya dan dihempukkan ke kepala Faizah.

            “Hang memang nak kena,” ujar Shafik serius.

            Faizah sudah membulatkan matanya. Mahu sahaja di angkat tong sampah yang berada di sebelahnya itu dan menghempukkannya ke kepala Shafik. Pantang oneng-onengnya jika ada yang bermain kepalanya.

            ‘Eh, tapi lelaki tadi pun usap kepalanya juga,’ bisik hati Faizah. Tiba-tiba dia berasa marah dengan lelaki tadi.

            ‘Usap tak apa, jangan main hempuk-hempuk ni,’ jawab bahagian lain daripada hatinya. Hatinya kembali sejuk.

            ‘Ish, sejak bila hati aku ada suis on off ni. Boleh pula tukar-tukar perasaan tiba-tiba,’ Faizah mengutuk dirinya sendiri.

            “Peluk dukung apa cerita?”  soal Farhan pula. Mukanya sangat serius. Matanya memandang tepat ke anak mata Faizah.

            “Kau apa hal?” soal Faizah kasar. Matanya juga memandang tepat anak mata Farhan yang kelihatan merah saat itu.

            “Sampai berpeluk berdukung bagai tadi apa hal?” Farhan sudah mula menyinga. Marahnya meluap-luap kepada jejaka tadi.

            “Mind your own businesslah Farhan,” Faizah menjawab acuh tidak acuh seraya membuka langkah untuk meninggalkan Farhan, Syafik dan Mira di situ.

            “What? Said it again Faiz.” Farhan menuturkan ayat itu satu-satu.

            Mendengar kata-kata Farhan itu, Faizah berhenti dan menoleh ke belakang. Dia memandang Farhan dengan pandangan paling tajam umpama harimau yang mahu menerkam mangsanya.

            “Mind your own business! Kalau aku tak masuk campur urusan kau, don’t you dare to interfere in my problem,” ujar Faizah dengan nada tinggi.

            Farhan sudah mencapai tahap kesabarannya. Dengan perasaan marah dia datang menghampiri Faizah. Lengan Faizah dipegang kasar. Membawa Faizah mengikuti langkah kakinya.

            “Lepaslah. Gila ke apa?” bentak Faizah.

            “Yang gila tu kau. Kau tahu tak?” Farhan sudah meninggikan suaranya satu oktaf.

            Siswa siswi yang lain hanya memandang mereka.

            “Apa hal pulak aku yang gila? Kaulah yang gila!” ujar Faizah tidak puas hati. Cuba melepaskan lengannya daripada cengkaman kuat jari jemari Farhan.

            “Yang melawan ni kenapa?” Suara Farhan sudah meninggi ke oktaf ke sepuluh.

            Faizah terperanjat. Tidak pernah ada orang yang menjerit kepadanya sekuat itu. Lagi mengecewakan apabila orang yang menjerit itu adalah Farhan. Orang yang dicintainya. Orang yang membuatnya terluka kini. Kini, kolam matanya sudah digenangi air mata.

            Melihat Faizah yang sudah menangis dan menundukkan wajahnya, Farhan rasa bersalah. Pantas lengan Faizah yang tidak perasan entah bila dicengkam kuat itu dilepaskannya.

            Faizah mengusap-ngusap lengannya. Sakit. Namun rasa sakit di hatinya lebih parah daripada itu apabila melihat ada cincin yang tersarung di jari manis kiri Farhan. Perasan Faizah memandang jari manisnya, pantas Farhan memasukkan tangan kirinya itu ke dalam kocek jeansnya.

            “Kau kenapa hari ini?” ujar Farhan perlahan. Cuba memujuk kembali Faizah.

Mira dan Shafik yang berada tidak jauh daripada Farhan dan Faizah sekadar melihat mereka.

Faizah membelakangkan Farhan. Kini, dia hanya merenung kosong ke arah bunga teratai yang menghiasi tasik di dalam UiTM Jengka itu. Malah pertanyaan Farhan itu tidak didengarinya.

            Melihat Faizah yang diam tidak memberikan apa-apa jawapan, Farhan memegang bahu gadis itu.

“Kau kenapa hari ini,” pertanyaan itu diulang kembali oleh Farhan.

Faizah masih tidak memberi tindak balas. Diamnya tidak bertepi. Farhan tidak sedap hati. Tidak pernah Faizah diam begini. Pantas Farhan berdiri di hadapan Faizah.

Alangkah terperanjatnya Farhan apabila dia melihat pandangan mata Faizah yang kosong. Bola matanya tidak bergerak. Hanya memandang ke arah tasik itu. Faizah seolah-olah tidak ada dalam dirinya.

“Faiz. Faiz. Kau kenapa?” ujar Farhan separa menjerit. Kaget. Tangannya menggoncang-goncang bahu Faizah beberapa kali. Cuba menyedarkannya. Namun Faizah masih kaku begitu dengan mata yang masih kosong memandang tasik itu.

Melihat keadaan Farhan yang tidak tentu arah, Shafik dan Mira pantas berlari ke arah mereka.

“Kenapa Faiz?” soal Shafik risau apabila melihat Faizah dalam keadaan begitu.

Mira yang melihat keadaan Faizah sebegitu, sudah menangis teresak-esak. Keadaan Faizah kembali seperti semalam sewaktu dia memberitahu tentang berita pertunangan Farhan kepada Faizah. Tiga jam Faizah kaku begitu.

“Faiz, jangan jadi macam semalam lagi,” ujar Mira sambil menangis teresak-esak. Badan Faizah dipeluk erat.

‘Semalam? Kenapa? Kenapa dengan Faiz semalam?’ soalan itu bermain-main difikiran Farhan dan Shafik.

“Nangis Faiz. Jangan macam ni. Jangan simpan seorang,” ujar Mira sambil teresak-esak.

Faizah kini sedang memetik bunga teratai yang ada di tasik itu. Entah mengapa dia boleh terapung di atas air itu. Sedikitpun dia tidak basah. Hatinya gembira kerana mendapat teratai idamannya itu. Namun dalam rasa bahagia itu dia sedih. Mengapa?

“Faiz, jangan buat saya macam ni,” lirih kedengaran suara Mira. Dia tidak tahu bagaimana mahu mengembalikan Faizah ke alam realiti. Pasti Faizah kini sedang bermain-main dalam dunia ciptaannya dan dia tidak dapat mencari jalan keluar daripada dunia itu.

Farhan yang merasa sangat bersalah pantas memegang bahu Faizah. Menolak Mira yang memeluk Faizah sebelumnya.

“Aku sayang kau Faiz. Jangan macam ni,” ujar Farhan dalam tangisan.

Kepala Faizah diusap penuh kasih. Dia tidak tahu kenapa Faizah begini. Namun di sudut hati kecilnya, dia tahu, ini salahnya.

“Aku tak pernah terfikir nak tinggalkan kau Faiz. Tapi aku pun tak boleh nak tolak permintaan mak,” lauh Farhan lagi walaupun dia tidak tahu Faizah mendengar kata-katanya atau tidak.

‘Kenapa aku dengar suara Farhan? Aku tak nampak pun dia. Aku mimpi agaknya,’ ujar Faizah dalam hati seraya mengerdipkan matanya.

Dan setitis manik jernih itu membasahi pipi Faizah yang sudah kembali ke alam realiti. Berjaya keluar daripada dunia ciptaannya lalu menyedarkan Farhan keadaan sudah kembali seperti biasa.

“Faiz…” lirih suara Mira memanggilnya.

Faizah menoleh ke sebelah. Dilihat Mira sedang menangis.

“Mira, kenapa menangis?” soal Faizah pelik.

“Tak ada apa-apa. Awak dah okey?” Mira inginkan kepastian.

“Saya nak balik. Saya penat,” ujar Faizah lemah.

Farhan yang berada di hadapannya tidak dipedulikan. Faizah bingkas bangun meninggalkan bangku di hadapan tasik itu. Mencapai tangan Mira mengajaknya pulang ke Kolej Kediaman Siswi.

Mira hanya menuruti. Farhan dan Shafik mahu berkata sesuatu tetapi pantas Mira membawa jari telunjuknya ke bibir mengisyaratkan mereka untuk senyap.

“Nanti kita cerita,” bisik Mira ke telinga Shafik.

Shafik mengangguk tanda faham. Ada sesuatu yang terjadi kepada Faizah yang masih belum dimaklumkan kepada mereka. Farhan bingung. Mengapa dia tidak tahu apa-apa.

‘Kenapa dengan Faizah?’ bisik Farhan dalam hati.

Farhan dan Shafik sama-sama memandang Faizah dan Mira berlalu meninggalkan mereka. Mira memegang kejap tangan Faizah. Dia tahu emosi Faizah tidak stabil. Semoga Faizah sabar mengharungi detik-detik ini.

*****
© Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz



Share

5 comments:

inaznafisya said...

kesian kat faizah~
huhu
rase nk nagis jgak lah! sobs3 :"(
akak... smbg cpat kak!

Anis said...

Kesian kat faiz..harap harap faiz tabah..akak,entry ni memang menyentuh hati..nak sangat faiz jadi ceria macam dulu with farhan or without him :( anyways,part yang faiz kena dukung tu memang terbaik lah kak :) Cepat sambung tau kak :)

mInE pLayGrouNd!!!! said...

thumbs up...sedih..happy..sedih balik...

*kalau ending nanti faiz dengan orang lain pun i ok...well..x semua cinta akhirnya bersatu...teringat my mummy pesan..
~sometimes the people u want the most,is the person u best without...~

Idha Chunhyang said...

sedihnya... :( (hampir sj menitiskan air mata)

knp Faizah jadi seperti ini ??

betulkah si Farhan ni dah bertunangan n' dengan syapa dy bertunangan ???

Cepat sambung ya Isha... :)

ISHA IDIAZ said...

inaznafisya : jgn nangis2.. hehe.. cian die.. insyaAllah ada mse akak update..

anis : suke ea part tu.. tgk next week dpt tau x spe encik xde nama tu..

mineplayground : cinta mmg tidak semestinya bersatu.. hehe.. yg ptg kita berusaha..

idha chunhyang :