Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

Cerpen 7 : Saat Terakhir
Oleh : Isha Idiaz
Cerita Asal : Anna (Bukan nama sebenar)

Cerpen ini ditulis atas permintaan seorang kakak yang saya sayangi. Maaf dipinta jika cerpen ini tidak seperti cerita asal. Sekadar mengimbas kembali kenangan anda bersama arwah jika anda mengenali Pakcik Tuo. Al-Fatihah buat arwahyarham Dzulhairi Farish Rashid a.k.a Pakcik Tuo. Semoga rohnya di cucuri rahmat dan di tempatkan bersama orang-orang yang beriman. Aminn..

************

POHON kelapa yang melambai-lambai ditiup angin di tepi pantai itu menghasilkan bunyi merdu. Sedikit sebanyak dapat menenangkan perasaan Dzulhairi. Kakinya menguis-nguis pasir pantai yang memutih. Dzulhairi merupakan pengunjung tetap di pantai itu pada setiap petang semenjak arwah isterinya meninggal akibat kemalangan jalan raya tiga bulan lalu. Dengan menikmati alam ciptaan Allah ini diharapkan rindunya pada arwah isterinya berkurang.

            Pandangannya dibuang ke tengah laut. Kelihatan burung camar yang sudah mahu pulang ke sarang terbang rendah menghiasi dada awan yang semakin gelap. Matahari sudah bersembunyi di celah-celah gunung yang terlihat jauh dari pandangan mata. Hanya cahaya yang samar-samar sahaja kelihatan melahirkan suasana tenang di pantai itu.

            “Papa, kita nak main dekat sini sampai malam ke?” soal si kecil yang masih bermain di gigi air.

            “Tak lah sayang. Jom kita balik. Nak maghrib dah ni,” tenang Dzulhairi menuturkan. Tangannya mengusap lembut rambut Adam. Anak rakannya ini sahaja yang menjadi pengubat hatinya.

            “Ala Adam nak main lagi ni papa.” Adam sudah merengek. Tangannya masih lincah meletakkan kulit-kulit kerang di atas istana pasir yang dibina bersama Dzulhairi sebentar tadi.

            “Esok kita datang sini lagi ya sayang. Adam tak nak telefon mama Isyii dengan ibu Anna ke malam ni?” Dzulhairi cuba memancing perhatian Adam.

            “Nak. Nak. Boleh ke papa?” Adam sudah melingkarkan tangannya ke leher Dzulhairi minta di dukung. Dzulhairi terus mengangkat anak kecil itu yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri sejak kematian sahabat baiknya dua bulan lalu. Dikucup pipi anak itu penuh kasih.

“Boleh sayang. Nanti kita telefon mama Isyii dengan ibu Anna ya,” ujar Dzulhairi sambil meletakkan Adam di tempat duduk sebelah. Pintu kereta ditutup dan kereta itu mula bergerak meninggalkan pantai.

***********

PUAN Khatijah menjenguk bilik yang dihuni oleh Dzulhairi. Kosong. Mungkin anaknya sedang menonton televisyen bersama cucu angkatnya, Adam. Kipas di syiling masih berputar laju tidak ditutup.

            “Ish budak Dzulhairi ni. Keluar bilik tak pernahnya nak tutup kipas,” ujar Puan Khatijah sambil tangannya mencari suis di sebelah pintu.

            Pandangan mata Puan Khatijah melekat di atas syiling. Dua gambar gadis terpampang di atas syiling bilik anaknya itu. Kedua-dua gadis itu cantik. Adakah Dzulhairi sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga kembali? Soalan itu bermain-main di minda Puan Khatijah. Setelah menutup suis kipas, pintu bilik ditutup rapat. Tawa Adam di ruang tamu membawa langkah kaki Puan Khatijah mengarah ke ruang tamu.

            “Papa, tengok tu. Doraemon ada tikar terbang,” ujar Adam gembira. Matanya tidak di alih daripada kaca televisyen.

            “Adam nak tikar terbang juga papa. Boleh tak?” tersengih-sengih anak kecil itu menuturkan memamirkan barisan gigi yang masih belum cukup.

            “Adam mana boleh ada tikar terbang. Nanti kalau Adam ada tikar terbang, Doraemon tak boleh terbang dah nak selamatkan Nobita,” tenang sahaja Dzulhairi menuturkan.

            Puan Khatijah tersenyum melihat gelagat Dzulhairi dan Adam. Akhirnya Puan Khatijah menghampiri dan duduk di sebelah Dzulhairi.

            “Dzul, mak nak tanya sikit ni.” Puan Khatijah mengambil tangan anak lelakinya itu dan mengusap-usap perlahan.

            “Ada apa mak?” Pandangan dialihkan daripada kaca televisyen memandang wajah ibunya yang sudah uzur.

            “Gambar dekat syiling tu mak tengok dah. Mana satu yang nak dijadikan menantu?” Puan Khatijah terus kepada pokok perbicaraan.

            Dzulhairi yang tidak menyangka ibunya akan menanyakan soalan itu menghamburkan ketawa. “Dua-dua sekali mak,” selamba sahaja Dzulhairi menjawab.

            “Ish budak ni. Mak tanya betul-betul ni. Kalau dah betul suka mak dengan ayah boleh datang meminang,” Puan Khatijah menyambung bicara.

            “Takkan kamu nak dua-duanya sekali Dzul. Tamak sungguh,” Encik Hussin yang sedari tadi hanya diam kini mula bersuara.

            Dzulhairi memang suka menyakat ibu dan ayahnya. Ketawanya masih tidak reda.

            “Kalau dua-dua pun apa salahnya ayah. Dalam islam kan boleh kahwin sampai empat,” jawab Dzulhairi.

            Puan Khatijah sudah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Encik Hussin sudah sama-sama ketawa.

            “Bapak borek, anak rintik. Macam tu lah kamu ni Dzul. Malas mak nak tanya dah,” Puan Khatijah bingkas bangun dan menuju ke dapur.

            Dzulhairi dan Encik Hussin ketawa serentak sebaik sahaja mendengar kata-kata Puan Khatijah yang sudah hilang di balik pintu dapur.

*************

RUANGAN chatbox di blog Penulisan2u sudah mula padat dengan pengunjung. Masing-masing sibuk berbual di alam maya. Dzulhairi yang sedari tadi menjadi pemerhati kini mula menempatkan diri di dalam chatbox itu setelah melihat nama Insyirah memenuhi ruangan chatbox itu.

            Pakcik : Assalammualaikum Cik Insyirah si cantik manis pujaan hati.

Butang enter ditekan dan message tadi sudah tertera di dalam chatbox itu.

            Insyirah : Waalaikummussalam pakcik. Kau tak payah la nak puji aku lebih-lebih. Tak cair aku ni dek pujian kau tu.

            Dzulhairi tertawa. Insyirah. Entah kenapa suka benar dia mengusik gadis ini. Gadis ini garang namun lucu.

            Pakcik : Kalau tak cair, pakcik boleh cairkan lagi. Cik Isyi ni dah makan ke belum? Kalau belum pakcik boleh belanja.

            Insyirah : Tak apa lah pakcik. Tak payah nak susahkan diri.

            “Mula dah cari pasal pakcik ni. Tak suka betul aku,” Insyirah sudah mula merungut. Ilia yang duduk disebelahnya sudah tersenyum.

            “Aku rasa dia suka dekat kau la Isyii,” ujar Ilia.

            “Suka apanya Ilia. Aku tengok nama dia je dah menyampah,” selamba sahaja Insyirah menuturkan. Matanya tidak berganjak daripada memandang skrin laptopnya.

            “Kau je yang menyampah. Pakcik tu dah tergila-gila dengan kau. Kau tengok tu dia tulis apa. Nak kawin dengan kau. Apalagi Isyii, masuk line la,” Ilia sudah mula menyakat teman serumahnya itu.

            Insyirah : Nak mati ke pakcik oii. Kau ni memang suka carik pasal dengan aku la.

            Pakcik : Pakcik serius la ni Isyii. Bagi lah alamat rumah, malam ni juga pakcik hantar rombongan meminang.

            Insyirah : Kau ni kan. Aku dah cakap berapa kali dah aku tak nak. Tak nak la. Kau tak faham ke?

            Pakcik : Buat-buat tak faham walaupun faham. Boleh tak macam tu? Haha.

            Insyirah : Kalau layan kau ni aku boleh jadi gila kau tau tak. Dah la.

            Anna : Pakcik, sudah-sudahlah tu menyakat Isyii.

            Insyirah : Tau tak apa Kak Anna. Bengang betul Isyii dengan pakcik ni. Rasa nak sekeh je kepala dia.

            Pakcik : Amboi, garangnya Isyii. Nanti sakit tangan tu lepas sekeh kepala pakcik. Pakcik juga yang kena bawa pergi klinik sat lagi.

            Anna : Uish Isyii. Jangan sekeh-sekeh dik. Nanti suka pula. Hehe.

            Insyirah : Hah. Elok la tu Kak Anna. Senget dah macam pakcik tu.

            Anna : Sekali sekala je Isyii.

            Pakcik : Seppp Anna. Macam ni pakcik tak jadi la hantar rombongan meminang ke rumah Isyii. Garang sangat. Pakcik hantar rombongan meminang dekat rumah Anna je.

**************

JENDELA YM sudah terbuka. Nama Dzulhairi tertera online di daftar kontak. Nama Anna juga tertera online di daftar kontaknya.

            Insyirah : Assalammualaikum Kak Anna.

            Butang enter di papan kekunci laptopnya ditekan. Insyirah menunggu respon daripada Anna.

            Anna : Waalaikummussalam Isyii. Kenapa dik?

            Sebuah keluhan dilepaskan. Dia tidak tahu bagaimana mahu berkongsi cerita kepada Anna tentang masalahnya bersama Dzulhairi. Namun dia juga tidak tahu pada siapa lagi yang harus dia berkongsi masalah ini memandangkan hanya dia dan Anna sahaja yang mengenali Pakcik atau nama sebenarnya Dzulhairi dengan lebih rapat diluar chatbox itu.

            Insyirah : Shinjuku dengan Pakcik orang yang sama ke Kak Anna? Isyii confius la kak.

            Anna : Bukan rasanya dik. Kenapa?

            Insyirah : Sebab dia dok mengayat Isyii tak habis-habis. Isyii rasa si Shinjuku tu Pakcik. Dia guna nama lain. Pagi tadi Isyii dah marah si Pakcik tu cukup-cukup. Tak habis-habis nak mengayat budak-budak dalam tu.

            Anna : Nanti Kak Anna cuba confirmkan ya. Isyii pun dah terlajak marah kat si Pakcik tu. Tak boleh buat apa dah la.

            Insyirah : Ha, ya lah. Nanti Kak Anna beritahu Isyii ya.

            Anna : Ok Isyii. No problem.

            Pantas Anna menekan dua kali pada gambar Dzulhairi. Jendela YM yang lain terbuka. Dia harus membantu Kak Insyirah supaya malam nanti tidak terjadi perang besar antara Insyirah dan Pakcik di chatbox Penulisan2u itu.

            Anna : Assalammualaikum Pakcik.

            Pakcik : Waalaikummussalam Anna.

            Anna : Pakcik, Anna nak tanya ni. Shinjuku tu Pakcik juga ke?

            Pakcik : Tak lah Anna. Penat dah Pakcik habaq dekat Isyii tu. Dia tak percaya juga.

            Anna : Habis tu siapa Shinjuku tu Pakcik?

            Pakcik : Pakcik pun tak kenal Shinjuku tu. Anna tolonglah Pakcik. Cari siapa Shinjuku tu. Pasal dia, Isyii tak percaya dah dekat Pakcik. Anna kan tahu pakcik betul-betul sukakan Isyii. Anna tolong ya terangkan pada Isyii.

            Anna : InsyaAllah Anna tolong. Pakcik janganlah risau. Takkan lari gunung di kejar Pakcik. Kalau jodoh Pakcik memang dah tersurat dekat loh mahfuz sana dengan Isyii, Insyaallah ada lah caranya nanti.

***************

TELEFON bimbitnya berbunyi. Anna membuka tas tangannya. Dikeluarkan telefon bimbit itu. Nama Dzulhairi tertera di skrin.

            “Assalammualaikum,” suara di hujung talian memecahkan kesunyian.

            “Waalaikummussalam,” Anna menjawab salam.

            “Anna sihat?,” Dzulhairi bertanya. Suaranya terketar-ketar di hujung talian.

            “Alhamdulillah sihat. Kenapa abang call Anna ni? Ada masalah dengan Isyii ke?” bertubi-tubi soalan ditanyakan kepada Dzulhairi.

            “Eh, tak ada lah. Saja abang call. Abang outstation ni. Nak call Isyii tapi abang takut pula. Isyii tu garang macam singa. Tu abang call Anna je,” jujur Dzulhairi memberitahu. Memang dia mahu menelefon Insyirah. Tetapi dia takut gadis itu memarahinya.

            “Owh. Abang ni la. Call je la. Isyii tu ok la abang,” Anna sudah tertawa. Kelakar juga Abang Dzulhairi ini. Dalam chtabox sibuk mengayat Isyii, namun apabila dia sudah memberi nombor telefon Isyii takut pula Dzulhairi untuk menghubungi Isyii.

            “Abang trauma lagi pasal kes Shinjuku hari tu. Apa pun terima kasih dekat Anna sebab tolong selesaikan masalah abang dengan Isyii,” ujar Dzulhairi.

            “Tak ada hal la abang. Benda kecil je tu.”

            “Ini pertama kali abang dengar suara Anna. Merdu macam buluh perindu. Boleh tak kalau abang nak kenal Anna lebih lagi?” ikhlas Dzulhairi bertanya. Buat pertama kali Dzulhairi merasakan dia mula tertarik untuk mengenali perempuan lebih rapat setelah kematian isterinya.

            “Erk. Abang senget sudah.” Muka Anna sudah merah padam. Bulu romanya berdiri. Lain macam sahaja bunyinya ayat Dzulhairi itu.

            “Kalau Anna sudi la,” Dzulhairi tidak berputus asa.

            “Isyii macam mana? Kalau Isyii tahu nanti, mesti dia sedih. Anna tak nak lah buat Isyii sedih,” Anna berterus-terang.

            “Nanti abang terangkan pada Isyii. Kira green light la ni?” Dzulhairi sudah tertawa di hujung talian.

            “Abang memang senget. Ok la abang, Anna ada kerja nak buat ni.” Fail-fail yang tersusun di sudut meja dibelek satu persatu.

            “Ok. Terima Kasih ya Anna. Take care. Assalammualaikum.”

            “Waalaikummussalam,” sahut Anna perlahan. Skrin telefon bimbitnya direnung sekali lagi. Sebuah keluhan dilepaskan.

***************

PETANG itu Dzulhairi ke pantai lagi. Hari ini dia bersendiri. Adam tidak sihat. Puan Khatijah tidak membenarkan dia membawa Adam keluar walaupun anak kecil itu mahu mengikutnya.

            Bayangan wajah isterinya bermain-main di tubir mata. Di hatinya kini punya dua nama. Insyirah dan Anna. Kelembutan arwah isterinya dapat dirasai dengan kehadiran Anna dalam hidupnya. Ketegasan arwah isterinya pula dirasai dengan kehadiran Insyirah. Kedua-dua insan itu di sayanginya. Kerana itu dia telah menyatakan isi hatinya pada kedua-dua gadis itu untuk menjadikan mereka sebagai isterinya.

            Hanya persetujuan mereka berdua sahaja yang ditunggu oleh Dzulhairi. Sepanjang perkenalan mereka, Insyirah dan Anna sangat memahami dirinya. Mereka tidak pernah merebut kasihnya. Dia juga tidak memilih kasih. Kasihnya sama rata buat Anna dan Insyirah.

***************

HUBUNGANNYA bersama kekasihnya tidak dapat diselamatkan lagi. Malah keluarga kedua-dua belah pihak maklum akan hal itu. Akhirnya, Anna mengambil keputusan untuk meleraikan tali kasih yang telah dibina sekian lama.

            Kehadiran Dzulhairi dalam hidupnya sedikit sebanyak membuka  matanya untuk mengenali dunia. Dzulhairi banyak menasihatinya tatkala Anna mengalami konflik bersama kekasihnya. Atas nasihat itu akhirnya Anna pasrah akan ketentuan Allah. Mungkin sudah ditakdirkan jodohnya bukan dengan kekasihnya itu.

            Sifat Dzulhairi yang sangat mengambil berat dan berusaha mengambil hatinya akhirnya membuatkan Anna yakin Dzulhairi tercipta untuknya. Walaupun dia maklum nama Insyirah juga bertakhta di hati Dzulhairi, namun dia tidak sedikitpun berkecil hati. Malah mereka lebih akrab. Cuba dicari rasa cemburu dalam hatinya untuk Insyirah, namun rasa itu tiada.

            Bagi Insyirah pula, pergaduhan antara dia dan Dzulhairi di chatbox akhirnya membuahkan perasaan sayang. Entah bila perasaan itu menyelinap masuk ke dalam hatinya, dia juga tidak tahu. Yang dia tahu, kini hatinya cuma terukir nama Dzulhairi. Tidak sedikitpun rasa cemburu bertandang di hatinya apabila Dzulhairi memaklumkan Anna juga cinta hatinya.

*************

KEPALANYA berdenyut lagi. Kali ini sakitnya tidak dapat di tahan. Dzulhairi sudah bersandar di kerusinya. Botol ubat di sudut mejanya dicapai. Dia menelan ubat itu dan meneguk air di dalam gelas.  Dia tahu barah otaknya kini sudah mencapai tahap terakhir. Masa untuk dia hidup semakin berkurang. Begitu juga masa untuk dia bersama Adam, Insyirah dan Anna.

            “Ya Allah, jika ini ujianMu untuk hambaMu yang tidak berdaya ini, aku terima dengan redha Ya Allah,” lirih ayat itu dituturkan.

            Dua tahun lepas, Dzulhairi disahkan menghidap barah otak tahap empat setelah pemeriksaan di lakukan. Doktor memberitahu jangka hayatnya tidak lebih daripada tiga tahun. Dirahsiakan berita itu daripada pengetahuan ibu dan bapanya. Hanya Insyirah dan Anna sahaja diberitahu akan hal itu.

Dia ingat lagi waktu itu dia jatuh dan tidak sedarkan diri setelah mengadu kepalanya sakit semasa berada di syarikatnya. Sedar-sedar sahaja dia sudah berada di hospital. Doktor memaklumkan kepadanya bahawa pekerjanya menghantarnya ke hospital berdekatan kerana khuatir akan keadaannya.

Kini, sekali lagi kepalanya seperti mahu meledak. Sakitnya tidak dapat di tahan. Rambutnya di tarik untuk meredakan rasa sakit. Namun rasa sakit itu semakin kuat dan kerap. Ubat yang ditelan sebentar tadi tidak mendatangkan apa-apa kesan kepadanya. Sakitnya juga tidak reda. Akhirnya Dzulhairi pengsan lagi di pejabatnya.

            Noni, setiausaha yang tergerak untuk memasuki bilik Dzulhairi terperanjat apabila melihat Dzulhairi telah longlai di atas kerusinya. Pantas Dzulhairi dikejarkan ke hospital.

Anna dan Insyirah yang baru menerima berita itu sepakat untuk menziarahi Dzulhairi di Hospital USM Kubang Kerian. Namun hasrat mereka terpaksa dikuburkan apabila Dzulhairi menegah mereka datang melihatnya dalam keadaan dia tidak berdaya.  Hormat dengan permintaan Dzulhairi, Insyirah dan Anna hanya mampu berdoa agar Dzulhairi kembali sihat.

***************

Dzulhairi koma selepas pembedahan dijalankan. Malah Dzulhairi terpaksa bernafas menggunakan bantuan mesin sokongan hayat.

Pagi itu Anna mendapat berita kenaikan pangkatnya. Berita gembira itu ingin dikhabarkan kepada Insyirah. Namun kerana ada sambutan kenaikan pangkat untuknya oleh jabatannya, Anna terpaksa membatalkan hasrat untuk memberitahu mereka mengenai berita gembira itu.

            Kegembiraan Anna mati apabila satu pesanan ringkas diterima olehnya daripada Insyirah sekitar jam sepuluh pagi. Doktor memaklumkan kepada Insyirah, mereka akan membuka mesin sokongan hayat yang digunakan oleh Dzulhairi selepas Asar memandangkan sudah tujuh hari Dzulhairi dalam keadaan koma dan keadaannya semakin memburuk.

            Anna terduduk sewaktu menerima berita itu. Tiada air mata keluar. Lidahnya kelu. Perasaannya bercelaru. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. Baru sebentar tadi dia mendapat berita gembira tentang kenaikan pangkatnya. Namun kini, berita tentang keadaan Dzulhairi benar-benar menguji dirinya. Mungkin nilai hikmah ujian Allah S.W.T lebih besar daripada nilai ujian itu sendiri. Hanya itu terlintas dalam hatinya untuk menyedapkan hatinya.

            Tepat jam satu dua puluh dua minit tengahhari, arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sesungguhnya manusia hanya merancang namun Allah yang menentukan segalanya. Walaupun mesin penyokong hayat itu mahu ditanggalkan selepas Asar, namun seperti mengetahuinya, Dzulhairi lebih awal telah meninggalkan dunia selepas Zuhur.

*************
KINI walaupun setelah 112 hari pemergian arwahyarham Dzulhairi, nama itu masih tersemat kemas dalam hati Insyirah dan Anna. Mereka masih belum menemukan pengganti.  Bagi mereka, arwah terlalu istimewa.

            Lirik lagu dendangan ST 12, Saat Terakhir benar-benar menyentuh hati mereka. Lagu ini menggambarkan perasaan mereka saat ini setelah ketiadaan Dzulhairi.

Tak pernah terpikir olehku
Tak sedikitpun ku bayangkan
Kau akan pergi tinggalkan kusendiri

Begitu sulit kubayangkan
Begitu sakit ku rasakan
Kau akan pergi tinggalkan ku sendiri

Dibawah batu nisan kini
Kau telah sandarkan
Kasih sayang kamu begitu dalam
Sungguh ku tak sanggup
Ini terjadi kerana ku sangat cinta

Inilah saat terakhirku melihat kamu
Jatuh air mataku menangis pilu
Hanya mampu ucapkan
Selamat jalan kasih

Satu jam saja kutelah bisa cintai kamu;kamu;kamu di hatiku
Namun bagiku melupakanmu butuh waktuku seumur hidup
Satu jam saja kutelah bisa sayangi kamu… di hatiku
Namun bagiku melupakanmu butuh waktuku seumur hidup
Di nanti ku……

                Air mata diseka buat sekian kalinya. Hanya doa yang dapat mereka sedekahkan buat roh arwah Dzulhairi. Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah buat arwah Dzulhairi.

*************
©Hak Cipta Terpelihara : ~Isha Idiaz~
Top of Form


                       
           
           

           
            
Share

0 comments: