Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia


“COKLAT lagi?” soalku spontan sewaktu sebuah bungkusan coklat terletak di atas mejaku. Aku mengangkat sedikit mukaku memandang wajah  manusia yang berdiri betul-betul di hadapanku waktu itu.

            Seorang lelaki. Kemas berkemeja warna coklat cair. Lengkap dengan tali leher warna coklat gelap dengan corak jalur-jalur. Pandangan aku sorotkan ke bawah sedikit. Seluar tempah warna senada dengan tali leher dapat aku lihat dengan jelas. 

            Puas mataku melihat lelaki itu dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, aku memandang wajahnya kembali. Sebuah keluhan aku lepaskan. Tak pernah aku jumpa lelaki yang obses
dengan warna coklat seperti lelaki yang berdiri di hadapan aku ini. Senyumnya masih belum hilang dari bibir tipis miliknya itu.

            Melihat dia masih membatukan diri, akhirnya aku bersuara kembali. “Tak ada benda lain ke nak bagi?”

            Spontan lelaki itu tertawa menunjukkan barisan giginya yang putih. Apa ke lawaknya soalan aku tu? Rasanya tak ada apa yang lawak yang boleh membuatkan lelaki itu tertawa. Aku menggeleng-gelengkan kepalaku.

            “Kalau abang bagi hati abang dekat Aira, confirm Aira tak nak,” ujar lelaki itu bersahaja. Lelaki itu menarik kerusi di hadapan aku lalu dia duduk bertentangan dengan aku.

            “Tak ada kena mengena hati dengan coklat ni abang,” ujarku separuh berbisik dan kembali menatap buku Analytic Chemistry.

            Aku curi-curi memandang wajah Abang Asyraf untuk melihat reaksinya apabila aku menuturkan ayat yang sama setiap kali perkara itu dibangkitkan olehnya. Lelaki itu cuma tersenyum memandangku. Coklat pemberiannya tadi diambil semula lalu aluminium foiled tadi dibukanya. Coklat Cadburry Hazel Nut itu dipatahkan mengikut bentuk bongkah-bongkah kecil yang dicetak. Dihulurkan coklat itu kepada aku.

            “Nah,” ujarnya.

            Aku tidak mengambil cebisan coklat itu. Aku memandang serius wajah Abang Asyraf yang tak pernah nak mengalah dengan aku. Badanku aku sandarkan ke kerusi. Kedua-dua tanganku memeluk tubuhku dengan kejap.

            “Berapa kali nak cakap Aira tak suka makan coklat,” ujarku mendatar. Bosan sebenarnya diperlakukan seperti kanak-kanak.

            “Berapa kali abang cakap makan coklat yang abang bagi ni. Nanti lama-lama sukalah,” ujar Abang Asyraf kepadaku.

            “Tak nak,” ujarku lagi. Ringkas.

            Mendengar jawapanku tadi Abang Asyraf sudah membuat wajah bengis. Ha mulalah tu dia nak tunjuk garang.

            “Abang cakap apa?” soalnya tegas. Aku dapat melihat Abang Asyraf mengetap kuat giginya.

            “Abang cakap makan coklat banyak-banyak nanti boleh gemuk,” spontan ayat itu keluar daripada mulut aku.

            Pantas Abang Asyraf memicit hidugku. Tercungap-cungap aku dibuatnya kerana panik tidak dapat bernafas. Setelah berjaya aku mengalihkan jari-jemari Abang Asyraf, semua oksigen yang ada disekeliling aku waktu itu aku sedut sedalam-dalamnya. Abang Asyraf memang begitu. Kalau dia buat begitu pasti kerana dia geram kepadaku dan mahu membalas dendam kepadaku kerana tidak mendengar kata-katanya.

Sebenarnya, aku bukannya tak nak makan coklat tapi aku memang tak suka makan coklat. Aku tak tahu kenapa antara banyak-banyak perempuan dalam dunia ni hanya aku sahaja yang tak suka makan coklat. Dan aku tak tahu berapa ramai perempuan di luar sana yang senasib dengan aku. Ada ke perempuan yang tak suka coklat macam aku?

*****

Setahun yang lalu…

SEPERTI hari-hari sebelumnya, jika tiba waktu rehat pasti aku akan menghabiskan masa di kafeteria di fakulti aku ini. Walaupun tidak menjamah apa-apa makanan, aku akan duduk di situ untuk berjumpa rakan-rakanku sewaktu di diploma dahulu. Maklumlah, bila masing-masing sudah melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, masing-masing dah berlainan kursus, maka peluang untuk berjumpa tu makin sedikit. Melainkan kalau aku melepak di kafeteria ini. Itupun nasib baik ramai juga masih kekal di Fakulti Sains Gunaan ini. Kalau tidak memang tak payah haraplah nak jumpa. Batang hidung pun belum tentu nampak.

            “Woi Aira! Termenung!” suatu suara menyergah aku sambil menepuk bahuku dari belakang. Aku yang dah terbiasa dengan keadaan semacam itu berlagak tenang walaupun aku rasa jantung aku dah nak terlucut jatuh dek kerana terperanjat.

            Kedengaran tawa lelaki. Agak garau bunyinya. Hah, dengar ketawa yang satu tu, tak payah nak tengok muka pun aku dah tahu siapa orangnya. Macam orang tua-tua kata, sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betinanya. Aku tergelak sendiri.

            “Gila! Dahlah termenung seorang-seorang. Lepas tu ketawa seorang-seorang,” komen Izad lalu menarik kerusi di hadapan aku.

            “Mana ada gilalah,” ujarku perlahan.

            “Kau pasal apa main dekat sini?” soalku kembali apabila aku lihat cuma Izad yang ada di kafeteria ini. Fazil dan Faiz tidak ada bersamanya seperti selalu.

            “Saja jengah kau. Aku tengok dari atas tu kau dah serupa pungguk rindukan bulan tunggu aku dekat sini,” perli Izad sambil terbahak-bahak ketawa.

            Perasan. Inilah yang orang katakan muka tak cantik, pipi tersorong-sorong. Siapa entah yang menunggu dia.

            “Pungguk rindukan bulan apanya. Mana datangnya bulan tengah hari terik macam ni Izad oii,” ujarku sambil mengeluarkan tisu daripada beg untuk mengelap peluh yang memercik di dahi. Entah berapa suhu tengah hari ini. Mahu kuyup bajuku dibasahi peluh kalau panas begini.

            Izad hanya ketawa. Dia faham benar perangai aku yang suka loyar buruk sama sepertinya.

            “Ha, nasib baik aku tak terlupa,” ujar Izad separa berbisik namun telingaku masih mampu mendengarnya. Tangannya sibuk menyeluk ke dalam begnya mencari sesuatu. Aku hanya memerhatikannya. Apa jugalah yang dicari dek Izad ni.

            “Nah,” ujarnya sambil menghulurkan coklat dalam bekas berbentuk hati yang siap bereben bagai.

            “Apa benda ni?” soalku spontan walaupun aku tahu itu adalah coklat.

            “Gula-gulalah. Tu pun kau tak tahu ke?” Giliran Izad pula mengenakan aku.

            “Gula-gula ea. Aku tak tahu pulak gula-gula bentuk dia macam ni,” ujarku  sambil mencubit lengan Izad kuat. Ha, amik kau. Suka sangat nak loyar buruk dengan aku.

            “Kau bukan ke dah tahu aku tak suka coklat? Yang bazir duit beli coklat untuk aku ni buat apa?” soalku bertubi-tubi kepada Izad.

            Kenal aku tiga tahun dah. Memang dah tahu aku tak suka coklat. Pergi belikan aku coklat lagi. Membazir duit tu namanya.

            “Sakitlah. Mamat tu tengah tengok tu,” tutur Izad separa berbisik ke telingaku.

            “Biarlah dia tengok. Tak ada kena mengena dengan aku,” ujarku tanpa menoleh ke arah orang yang dimaksudkan oleh Izad itu.

            “Ada kena-mengena dengan kau. Sebab dia tu yang bagi coklat ni dekat kau bukan aku. Aku ni penyimpan mohor coklat di raja je,” ujar Izad separa menjerit kerana cubitanku semakin kuat di lengannya waktu itu.

            Penyimpan mohor besar raja-raja aku pernah dengar. Tapi kalau penyimpan mohor coklat di raja aku tak pernah dengar. Izad memang suka loyar buruk dengan aku. Segera aku lepaskan cubitanku di lengan Izad. Aku menoleh ke belakang. Kemudian, cepat-cepat aku memalingkan kembali mukaku memandang wajah Izad.

            “Dia?” soalku.

            “Kau suka?” soal Izad pula. Soalan aku tidak berjawab, dia pula menyoal aku.

            “Betul dia yang bagi aku coklat ni?” soalku sekali lagi. Berharap kali ini Izad akan menjawab pertanyaanku.

            “Lelaki tu bagi coklat ni dekat aku?” soalku lagi memandangkan soalanku tadi dibiarkan sepi tanpa jawapan oleh Izad.

            “Kau suka?” soal Izad sekali lagi kepadaku. Tidak mahu mengalah.

            Aku menoleh ke arah lelaki itu sekali lagi. Dia hanya tersenyum memandangku. Cepat-cepat aku mengalihkan wajahku daripadanya. Aku memandang sekali lagi bekas coklat berbentuk hati itu.

Lelaki itu? Aku suka ke dekat dia?

*****

“AIRA…,” sapa satu suara dari belakangku sewaktu aku sedang sibuk melihat papan kenyataan yang terletak di blok akademik itu.

            Meremang bulu romaku apabila namaku dipanggil selembut itu oleh seorang manusia yang semestinya seorang lelaki. Dan lagi meremang bulu romaku apabila aku melihat wajah insan yang menegur aku itu adalah lelaki yang telah memberi aku sekotak coklat dalam bekas berbentuk hati semalam. Cepat-cepat aku mengalihkan wajahku mengadap kembali papan kenyataan di hadapan.

            ‘Isy… Apahal pula mamat ni datang dekat aku.’

            Dapat aku lihat melalui ekor mata, lelaki itu masih tidak berganjak daripada tempat dia berdiri sedari tadi iaitu di sisiku.

            “Nama adik Aira kan?” soal lelaki itu lembut.

            Mendengar pertanyaannya itu, aku menoleh ke kanan dan memandang tepat ke wajahnya. Aku mengangguk perlahan-lahan.

            “Ingatkan abang salah orang tadi. Nasib baik betul,” ujar lelaki itu. Mukanya memerah saat ayat itu dituturkannya.

            Gulp. Air liur aku telan. Kekacakan lelaki ini memang tidak boleh disangkal lagi. Lagi-lagi kalau masa muka dia merah macam ni. Dah lama aku suka dekat lelaki ni sebenarnya. Semenjak aku mula menjejakkan kaki ke fakulti ini di hari pertama lagi aku telah jatuh suka dengan lelaki ini. Namun, tidak pernah terluah ayat aku sukakan dia walaupun sekali hingga ke saat ini. Aku hanya suka memerhatikannya dari jauh. Jadi apabila tiba-tiba dia ada depan mata aku, rasa macam terbang di awang-awangan sekejap. Suka ada. Terperanjat pun ada. Yang pastinya, aku sedang kontrol ayu di hadapan lelaki ini. Jual mahal kata hatiku.

            “Kenapa tak ambil coklat yang abang bagi hari tu?” soal lelaki yang aku tidak tahu siapa namanya waktu itu. Yang aku tahu, lelaki itu merupakan seniorku. Dan bila namanya senior, aku malas mahu cari pasal. Jadi aku paksakan mulutku untuk berkata-kata.

            “Sebab saya tak suka coklat,” ujarku bersahaja.

Sebuah senyuman kuukir di bibirku. Teringat kembali saat aku menyuruh Izad mengembalikan bekas berbentuk hati itu kepada lelaki yang berdiri di hadapanku ini. Dapat aku lihat waktu itu, wajah lelaki di hadapanku ini merona merah. Marah barangkali. Dan berkali-kali juga aku mendengar kata maaf keluar daripada mulut Izad. Aku pula hanya tersenyum memandang wajah lelaki itu yang sememangnya sangat kacak jika mukanya merona merah saat itu. Deheman lelaki itu segera mengembalikan aku semula ke alam realiti.

“Kalau tak suka coklat, suka apa?” soal lelaki itu.

Belum sempat aku menjawab, lelaki itu sudah bersuara kembali.

“Suka abang?” duga lelaki itu.

“Hah?” spontan ayat itu keluar daripada mulut aku.

Bala apa pulalah yang melanda aku petang-petang hari begini. Tiba-tiba dapat soalan cepu emas. Aku menelan air liurku yang terasa pahit. Epiglottisku seolah-olah tidak membenarkan air liur itu ku telan masuk dalam-dalam.

Tawa lelaki itu memecahkan kesunyian yang melanda kami. Sungguh aku tidak suka situasi yang semacam ini.

“Abang saja je usik Aira. Nama abang Asyraf,” ujar lelaki itu dalam tawa yang masih bersisa.

“Owh…” hanya perkataan itu yang keluar daripada mulutku. Owh yang membawa dua maksud. Satu, menandakan yang itu baru pertama kali aku mengetahui namanya dan nampak sangatlah aku tidak kenal senior-senior. Yang kedua, sebab itu je yang aku mampu cakap sebab aku tak tahu nak kata apa.

Tiba-tiba aku terlihat kelibat Izad berhampiran tangga. Segera aku melambai-lambaikan tanganku kepadanya memohon bantuan kecemasan untuk lari daripada lelaki di hadapanku ini. Izad yang perasan lambaianku melambai semula ke arahku seraya menaikkan ibu jarinya ke atas menunjukkan maksud bagus atau lebih tepat lagi, padan muka kau!

Terlopong mulut aku melihat aksi Izad itu. Tidak cukup itu, Fazil juga turut membuat aksi yang sama. Dan kedua-duanya pantas berlari menuruni tangga apabila aku mula menanggalkan sepatuku dan ingin melemparkannya ke arah mereka.

Seketika aku lupa, ada mata yang memerhati tindak tanduk aku sedari tadi. Apabila mata kami bertentang, segera aku tersenyum menutup rasa malu yang beraja di hatiku. Sepatu tadi aku sarungkan kembali ke kaki. Lelaki tadi menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali sambil tertawa.

“Macam budak-budak,” komennya ringkas.

‘Aku memang budak-budak,’ bentak hatiku. Aku pastikan bibirku tertutup rapat saat itu. Aku hanya menuruti langkah lelaki itu yang mengajakku untuk menemaninya ke perpustakaan. Katanya, ada sesuatu yang dia mahu berikan kepadaku. Aku juga tidak pasti apa yang mahu dia berikan hingga kami perlu ke perpustakaan.

*****

ABANG Asyraf  mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya. Aku hanya memerhati tindak-tanduknya sejak kaki kami melangkah ke dalam perpustakaan ini. Aku juga tidak melepaskan peluang memerhatikan keadaan sekeliling kut kut ada orang yang boleh selamatkan aku kali ini.

Melihat perpustakaan yang luas ini dipenuhi buku-buku, aku merasa pelajar di kampus induk ini bertuah jika dibandingkan dengan pelajar di kampus cawangan. Jika di kampus cawangan dahulu, perpustakaan kecil. Buku rujukan juga tidak sebanyak ini. Namun pengunjungnya sentiasa ramai. Di kampus induk ini yang mewah dengan buku pula, pengunjungnya boleh dikira dengan jari tangan dan kakiku.

“Nah,” ujar Abang Asyraf sambil mengunjukkan satu bar coklat di hadapanku.

Aku menelan air liur. Aku tak tahu spesies manusia apakah di hadapan aku ini sehingga dalam dua perkataan TAK SUKA yang dia tidak faham. Nak kata Abang Asyraf bodoh, tak mungkin, sebab dia adalah antara senior aku yang dapat Anugerah Dekan setiap semester.

Aku melepaskan sebuah keluhan berat. Kalau nak cakap lagi sekali, aku rasa macam kejam pula. Kalau tak cakap, membazir pula coklat ni sebab confirm aku takkan makan. Mahu tidak mahu, aku ambil juga coklat pemberian Abang Asyraf tadi.

“Tu je?” aku menyoalnya.

Abang Asyraf hanya menganggukkan kepalanya dan tersenyum. Kemudian dia bangun daripada kerusi. Aku hanya memandang wajahnya penuh tanda tanya. Abang Asyraf ni memang aku tak faham langsung perangai dia. Setakat bagi coklat ni, tak payahlah nak bagi dalam perpustakaan. Bagi depan papan kenyataan tadi pun boleh.

“Abang teman Aira balik,” ujarnya lagi dan menuntutku untuk mengejar langkah kakiknya yang kian laju.

Sepanjang perjalanan menuju Kolej Kediamanku, aku hanya memandang wajah Abang Asyraf. Banyak persoalan bermain dalam kotak fikiranku. Memikirkan logika setiap perlakuan Abang Asyraf terhadapku sejak semalam.

“Jangan tenung abang lama-lama. Nanti bukan setakat coklat Aira suka. Dengan pemberi coklat pun Aira boleh suka,” tegurnya perlahan tanpa memandang ke arahku.

Cepat-cepat aku alihkan wajahku. Pelik. Lelaki ini memang pelik. Daripada perangainya hinggalah ke ayat yang keluar daripada mulutnya. Semua bagi aku adalah sesuatu yang pelik.

*****

TIDAK termasuk hari ini, sudah 175 hari aku menerima coklat daripada Abang Asyraf sepanjang 175 hari perkenalan kami. Dan seperti biasa, aku akan menanti Abang Asyraf di perpustakaan ini. Di tempat duduk ini. Semata-mata untuk menerima coklat daripadanya.

            Aku panjangkan leher memandang sekeliling. Kelibat Abang Asyraf masih belum kulihat walaupun jarum jam sudah menunjukkan jam tiga petang.

            ‘Mana pula Abang Asyraf ni,’ hatiku mula tidak senang.

            Telefon bimbit yang bergetar cepat-cepat aku keluarkan daripada poket jeans yang aku pakai. Segera aku melihat skrin dan nama Abang Asyraf tertera di situ. Pantas sahaja jari-jemariku menekan butang untuk membaca pesanan yang baru aku terima itu.

            Kalau nak coklat, Aira jumpa abang dekat luar.

            Semacam kanak-kanak kecil, aku gembira tak tentu pasal. Padahal bukannya aku suka coklat. Tapi sebab Abang Asyraf dah jadi supplier coklat aku tiap-tiap hari, maka bila dia tak beri aku coklat hari ni, aku ternanti-nanti pula coklat darinya.

            Cepat sahaja aku mengambil beg sandangku di rak dan berlari keluar daripada pepustakaan itu. Sedikit hampa apabila kelibat Abang Asyraf tidak aku lihat sama sekali apabila aku sudah berada di luar perpustakaan.

            Aku melangkah lemah menuju ke arah bangku yang disediakan di hadapan perpustakaan itu. Masih berharap aku dapat sebungkus coklat daripada Abang Asyraf seperti selalu. Namun, hampir satu jam aku menanti, bayang-bayang Abang Asyraf langsung tidak kelihatan. Letih menunggu, aku bingkas bangun dari bangku dan membawa langkah kakiku yang belum ku tahu ke mana arahnya. Sepanjang jalan itu, aku hanya memandang lantai.

            “Kalau nak coklat, peluk saya dulu,” ujar satu suara di hadapanku.

            Langkah kakiku terhenti. Kepalaku ku angkat memandang makhluk yang menghalang jalanku saat itu.

            Seekor beruang bewarna coklat sebesar manusia berdiri betul-betul di hadapanku. Dan yang pastinya itu adalah kostum beruang yang di dalamnya ada seorang manusia. Jika tidak, masakan beruang yang tidak bernyawa itu boleh berkata-kata.

            “Kalau nak coklat, peluk saya dulu,” ujar suara manusia di dalam beruang itu sekali lagi.

            Aku tidak tahu mahu berkata apa saat itu. Segera beruang itu aku dakap dengan erat. Setelah pelukan itu aku leraikan, kepala beruang itu aku tanggalkan.

            Kini,wajah Abang Asyraf menjadi santapan mataku. Aku tidak tahu apa yang harus kukatakan saat ini. Gembira. Terharu. Dua rasa itu telah diadun menjadi satu. Tidak sedar, titis-titis jernih mengalir di pipiku. 
          
            Melihat aku menangis, pantas Abang Asyraf mendakapku erat dengan kostum beruang yang masih belum ditanggalkannya. Kemudian, Abang Asyraf cuba mengeluarkan sesuatu daripada poket kostum beruangnya itu. Namun, dek kerana tangan beruang terlalu besar, maka Abang Asyraf tidak boleh mengambil barang yang ada dipoket kostumnya itu.

            Aku cuba menyeluk masuk tanganku ke dalam poket kostum beruang. Dan apabila tanganku terpegang sesuatu, aku segera menarik benda itu keluar. Memandang benda yang satu itu, aku hanya mampu tersenyum.

            “Coklat lagi?” soalku perlahan namun aku rasa Abang Asyraf dapat mendengarnya.

            “Tak ada benda lain ke nak bagi? 176 hari dah Abang bagi Aira coklat,” bebelku panjang lebar.

            Abang Asyraf merenungku tajam. Dia menarik nafas dalam. Kemudian, sebuah hembusan yang agak berat dilepaskan.

            “Kalau abang bagi hati abang, Aira nak?” soalan itu menampar gegendang telinga aku buat kesekian kalinya.

            Aku tersenyum memandang Abang Asyraf. Aku tarik nafas dalam-dalam. Aku yakin dengan perasaanku sekarang.

            “Bukan setakat coklat, pemberi coklat pun Aira suka,” ujarku rendah seraya tunduk memandang lantai. Menyembunyikan rasa yang tidak pernah hadir dalam diri aku sebelum ini sewaktu bersama dengan Abang Asyraf.

*****

SEHINGGA ke hari ini, hari kami bakal diijabkabulkan sebentar nanti, aku masih menerima coklat pemberian Abang Asyraf yang dikirim melalui Izad. Jika dihitung jumlah coklat yang aku terima daripada Abang Asyraf sepanjang kami bersama, mungkin kalian tidak percaya begitu banyak jumlahnya.

            Aluminium  foiled itu aku koyakkan. Satu bar coklat itu kupatahkan lalu aku suakan ke mulut. Ku pejam rapat-rapat mataku sambil menikmati rasa coklat itu. Manis. Manis macam kisah cinta aku dengan Abang Asyraf sewaktu pertama kali kami berkenalan.

            “Hei, apa makan coklat ni. Karang melekat dekat gigi macam mana?” suara Mak Andam yang nyaring itu betul-betul membuat aku terperanjat. Segera aku menyimpan coklat tadi di dalam laci meja solekku.

            “Tak apa kak. Bakal suami saya tak kisah. Dia suka coklat,” ujarku selamba sambil memeriksa gigiku di cermin mana tahu ada terlekat sisa coklat di situ.

            Mak Andam itu hanya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat gelagatku. Aku hanya mampu tersenyum.

            Tidak sabar rasanya mahu melihat Abang Asyraf dalam baju melayu satu sut yang semestinya bewarna coklat. Mungkin bagi kalian pelik kerana pernikahan selalu dikaitkan dengan warna putih. Tapi bagi aku, yang pelik itu yang aku suka. Kerana segala yang pelik itu adalah milik Abang Asyraf.

            Tiba-tiba aku terfikirkan sesuatu. Segera aku menghantar sebuah pesanan ringkas kepada Abang Asyraf.

            Abang jangan pakai kostum beruang coklat tu pulak.

            Sebentar kemudian, aku menerima balasan daripada Abang Asyraf. Cepat-cepat aku membaca ayat yang tertera di skrin.

            Mana Aira tahu abang pakai kostum tu~ :-P

            What?” ujarku separuh menjerit. Dan serentak itu kedengaran suasana riuh rendah dengan gelak tawa di luar bilikku menandakan rombongan Abang Asyraf telah tiba.

            Jika riuh sahaja aku tidak kisah, namun kerana kedengaran gelak tawa yang tidak mahu berhenti aku jadi risau. Jangan-jangan memang Abang Asyraf mengenakan kostum beruang coklat itu malam ini.

            Aku cuba intai dari pintu bilikku yang terbuka sedikit. Dalam puluhan manusia yang ada di ruang tamu itu, aku cuba mencari kelibat Abang Asyraf. Dan akhirnya aku dapat melihat Abang Asyraf duduk di atas alas baldu itu. Melihatnya dari jauh juga bisa membuatkan aku tertawa. Bukan kerana Abang Asyraf memakai kostum beruang coklat itu tetapi kerana aku tidak tahan geli hati apabila membayangkan bagaimana rupanya jika Abang Asyraf duduk di atas alas baldu itu dengan kostum beruangnya.

*****
© Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz
Share

5 comments:

Anonymous said...

nak lagi sambungan
-yana-

Anonymous said...

nak lagi sambungan
-yana-

Anonymous said...

haila coklattttt...huhu best la

Kk Zen said...

best..kegemaran atau kesukaan seseorang itu walaupun tak sama..itu tkkan menjadi satu halangan..sbb cinta itu tidak memilih..yg penting kita dpt terima dia seadanya hehe..

ISHA IDIAZ said...

Anon 1 : Tiada sambungan. Hehe.

Anon 2 : P beli coklat cpt~

Kk Zen : Betul. Setuju 100%.