“COKLAT
lagi?” soalku spontan sewaktu sebuah
bungkusan coklat terletak di atas mejaku. Aku mengangkat sedikit mukaku
memandang wajah manusia yang berdiri
betul-betul di hadapanku waktu itu.
Seorang lelaki. Kemas berkemeja
warna coklat cair. Lengkap dengan tali leher warna coklat gelap dengan corak
jalur-jalur. Pandangan aku sorotkan ke bawah sedikit. Seluar tempah warna
senada dengan tali leher dapat aku lihat dengan jelas.
Puas mataku melihat lelaki itu dari
hujung rambut hingga ke hujung kaki, aku memandang wajahnya kembali. Sebuah
keluhan aku lepaskan. Tak pernah aku jumpa lelaki yang obses
dengan warna
coklat seperti lelaki yang berdiri di hadapan aku ini. Senyumnya masih belum
hilang dari bibir tipis miliknya itu.
Melihat dia masih membatukan diri,
akhirnya aku bersuara kembali. “Tak ada benda lain ke nak bagi?”
Spontan lelaki itu tertawa
menunjukkan barisan giginya yang putih. Apa ke lawaknya soalan aku tu? Rasanya
tak ada apa yang lawak yang boleh membuatkan lelaki itu tertawa. Aku menggeleng-gelengkan
kepalaku.
“Kalau abang bagi hati abang dekat Aira,
confirm Aira tak nak,” ujar lelaki
itu bersahaja. Lelaki itu menarik kerusi di hadapan aku lalu dia duduk
bertentangan dengan aku.
“Tak ada kena mengena hati dengan
coklat ni abang,” ujarku separuh berbisik dan kembali menatap buku Analytic Chemistry.
Aku curi-curi memandang wajah Abang
Asyraf untuk melihat reaksinya apabila aku menuturkan ayat yang sama setiap
kali perkara itu dibangkitkan olehnya. Lelaki itu cuma tersenyum memandangku. Coklat
pemberiannya tadi diambil semula lalu aluminium
foiled tadi dibukanya. Coklat Cadburry Hazel Nut itu dipatahkan mengikut
bentuk bongkah-bongkah kecil yang dicetak. Dihulurkan coklat itu kepada aku.
“Nah,” ujarnya.
Aku tidak mengambil cebisan coklat
itu. Aku memandang serius wajah Abang Asyraf yang tak pernah nak mengalah
dengan aku. Badanku aku sandarkan ke kerusi. Kedua-dua tanganku memeluk tubuhku
dengan kejap.
“Berapa kali nak cakap Aira tak suka
makan coklat,” ujarku mendatar. Bosan sebenarnya diperlakukan seperti
kanak-kanak.
“Berapa kali abang cakap makan
coklat yang abang bagi ni. Nanti lama-lama sukalah,” ujar Abang Asyraf
kepadaku.
“Tak nak,” ujarku lagi. Ringkas.
Mendengar jawapanku tadi Abang
Asyraf sudah membuat wajah bengis. Ha mulalah tu dia nak tunjuk garang.
“Abang cakap apa?” soalnya tegas.
Aku dapat melihat Abang Asyraf mengetap kuat giginya.
“Abang cakap makan coklat
banyak-banyak nanti boleh gemuk,” spontan ayat itu keluar daripada mulut aku.
Pantas Abang Asyraf memicit hidugku.
Tercungap-cungap aku dibuatnya kerana panik tidak dapat bernafas. Setelah
berjaya aku mengalihkan jari-jemari Abang Asyraf, semua oksigen yang ada
disekeliling aku waktu itu aku sedut sedalam-dalamnya. Abang Asyraf memang
begitu. Kalau dia buat begitu pasti kerana dia geram kepadaku dan mahu membalas
dendam kepadaku kerana tidak mendengar kata-katanya.
Sebenarnya,
aku bukannya tak nak makan coklat tapi aku memang tak suka makan coklat. Aku
tak tahu kenapa antara banyak-banyak perempuan dalam dunia ni hanya aku sahaja
yang tak suka makan coklat. Dan aku tak tahu berapa ramai perempuan di luar
sana yang senasib dengan aku. Ada ke perempuan yang tak suka coklat macam aku?
*****
Setahun
yang lalu…
SEPERTI hari-hari
sebelumnya, jika tiba waktu rehat pasti aku akan menghabiskan masa di kafeteria
di fakulti aku ini. Walaupun tidak menjamah apa-apa makanan, aku akan duduk di
situ untuk berjumpa rakan-rakanku sewaktu di diploma dahulu. Maklumlah, bila
masing-masing sudah melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, masing-masing
dah berlainan kursus, maka peluang untuk berjumpa tu makin sedikit. Melainkan
kalau aku melepak di kafeteria ini. Itupun nasib baik ramai juga masih kekal di
Fakulti Sains Gunaan ini. Kalau tidak memang tak payah haraplah nak jumpa.
Batang hidung pun belum tentu nampak.
“Woi Aira! Termenung!” suatu suara
menyergah aku sambil menepuk bahuku dari belakang. Aku yang dah terbiasa dengan
keadaan semacam itu berlagak tenang walaupun aku rasa jantung aku dah nak
terlucut jatuh dek kerana terperanjat.
Kedengaran tawa lelaki. Agak garau
bunyinya. Hah, dengar ketawa yang satu tu, tak payah nak tengok muka pun aku
dah tahu siapa orangnya. Macam orang tua-tua kata, sekilas ikan di air, sudah
kutahu jantan betinanya. Aku tergelak sendiri.
“Gila! Dahlah termenung
seorang-seorang. Lepas tu ketawa seorang-seorang,” komen Izad lalu menarik
kerusi di hadapan aku.
“Mana ada gilalah,” ujarku perlahan.
“Kau pasal apa main dekat sini?”
soalku kembali apabila aku lihat cuma Izad yang ada di kafeteria ini. Fazil dan
Faiz tidak ada bersamanya seperti selalu.
“Saja jengah kau. Aku tengok dari
atas tu kau dah serupa pungguk rindukan bulan tunggu aku dekat sini,” perli
Izad sambil terbahak-bahak ketawa.
Perasan. Inilah yang orang katakan
muka tak cantik, pipi tersorong-sorong. Siapa entah yang menunggu dia.
“Pungguk rindukan bulan apanya. Mana
datangnya bulan tengah hari terik macam ni Izad oii,” ujarku sambil
mengeluarkan tisu daripada beg untuk mengelap peluh yang memercik di dahi.
Entah berapa suhu tengah hari ini. Mahu kuyup bajuku dibasahi peluh kalau panas
begini.
Izad hanya ketawa. Dia faham benar
perangai aku yang suka loyar buruk sama sepertinya.
“Ha, nasib baik aku tak terlupa,”
ujar Izad separa berbisik namun telingaku masih mampu mendengarnya. Tangannya
sibuk menyeluk ke dalam begnya mencari sesuatu. Aku hanya memerhatikannya. Apa
jugalah yang dicari dek Izad ni.
“Nah,” ujarnya sambil menghulurkan
coklat dalam bekas berbentuk hati yang siap bereben bagai.
“Apa benda ni?” soalku spontan
walaupun aku tahu itu adalah coklat.
“Gula-gulalah. Tu pun kau tak tahu
ke?” Giliran Izad pula mengenakan aku.
“Gula-gula ea. Aku tak tahu pulak
gula-gula bentuk dia macam ni,” ujarku
sambil mencubit lengan Izad kuat. Ha, amik kau. Suka sangat nak loyar
buruk dengan aku.
“Kau bukan ke dah tahu aku tak suka
coklat? Yang bazir duit beli coklat untuk aku ni buat apa?” soalku bertubi-tubi
kepada Izad.
Kenal aku tiga tahun dah. Memang dah
tahu aku tak suka coklat. Pergi belikan aku coklat lagi. Membazir duit tu
namanya.
“Sakitlah. Mamat tu tengah tengok
tu,” tutur Izad separa berbisik ke telingaku.
“Biarlah dia tengok. Tak ada kena
mengena dengan aku,” ujarku tanpa menoleh ke arah orang yang dimaksudkan oleh
Izad itu.
“Ada kena-mengena dengan kau. Sebab
dia tu yang bagi coklat ni dekat kau bukan aku. Aku ni penyimpan mohor coklat
di raja je,” ujar Izad separa
menjerit kerana cubitanku semakin kuat di lengannya waktu itu.
Penyimpan mohor besar raja-raja aku
pernah dengar. Tapi kalau penyimpan mohor coklat di raja aku tak pernah dengar.
Izad memang suka loyar buruk dengan aku. Segera aku lepaskan cubitanku di
lengan Izad. Aku menoleh ke belakang. Kemudian, cepat-cepat aku memalingkan
kembali mukaku memandang wajah Izad.
“Dia?” soalku.
“Kau suka?” soal Izad pula. Soalan
aku tidak berjawab, dia pula menyoal aku.
“Betul dia yang bagi aku coklat ni?”
soalku sekali lagi. Berharap kali ini Izad akan menjawab pertanyaanku.
“Lelaki tu bagi coklat ni dekat
aku?” soalku lagi memandangkan soalanku tadi dibiarkan sepi tanpa jawapan oleh
Izad.
“Kau suka?” soal Izad sekali lagi
kepadaku. Tidak mahu mengalah.
Aku menoleh ke arah lelaki itu
sekali lagi. Dia hanya tersenyum memandangku. Cepat-cepat aku mengalihkan
wajahku daripadanya. Aku memandang sekali lagi bekas coklat berbentuk hati itu.
Lelaki
itu? Aku suka ke dekat dia?
*****
“AIRA…,”
sapa satu suara dari belakangku sewaktu aku sedang sibuk melihat papan
kenyataan yang terletak di blok akademik itu.
Meremang bulu romaku apabila namaku
dipanggil selembut itu oleh seorang manusia yang semestinya seorang lelaki. Dan
lagi meremang bulu romaku apabila aku melihat wajah insan yang menegur aku itu
adalah lelaki yang telah memberi aku sekotak coklat dalam bekas berbentuk hati semalam.
Cepat-cepat aku mengalihkan wajahku mengadap kembali papan kenyataan di
hadapan.
‘Isy… Apahal pula mamat ni datang
dekat aku.’
Dapat aku lihat melalui ekor mata,
lelaki itu masih tidak berganjak daripada tempat dia berdiri sedari tadi iaitu di
sisiku.
“Nama adik Aira kan?” soal lelaki
itu lembut.
Mendengar pertanyaannya itu, aku
menoleh ke kanan dan memandang tepat ke wajahnya. Aku mengangguk
perlahan-lahan.
“Ingatkan abang salah orang tadi.
Nasib baik betul,” ujar lelaki itu. Mukanya memerah saat ayat itu
dituturkannya.
Gulp. Air liur aku telan. Kekacakan
lelaki ini memang tidak boleh disangkal lagi. Lagi-lagi kalau masa muka dia
merah macam ni. Dah lama aku suka dekat lelaki ni sebenarnya. Semenjak aku mula
menjejakkan kaki ke fakulti ini di hari pertama lagi aku telah jatuh suka
dengan lelaki ini. Namun, tidak pernah terluah ayat aku sukakan dia walaupun
sekali hingga ke saat ini. Aku hanya suka memerhatikannya dari jauh. Jadi
apabila tiba-tiba dia ada depan mata aku, rasa macam terbang di awang-awangan
sekejap. Suka ada. Terperanjat pun ada. Yang pastinya, aku sedang kontrol ayu
di hadapan lelaki ini. Jual mahal kata hatiku.
“Kenapa tak ambil coklat yang abang
bagi hari tu?” soal lelaki yang aku tidak tahu siapa namanya waktu itu. Yang
aku tahu, lelaki itu merupakan seniorku. Dan bila namanya senior, aku malas mahu cari pasal. Jadi
aku paksakan mulutku untuk berkata-kata.
“Sebab saya tak suka coklat,” ujarku
bersahaja.
Sebuah
senyuman kuukir di bibirku. Teringat kembali saat aku menyuruh Izad
mengembalikan bekas berbentuk hati itu kepada lelaki yang berdiri di hadapanku
ini. Dapat aku lihat waktu itu, wajah lelaki di hadapanku ini merona merah.
Marah barangkali. Dan berkali-kali juga aku mendengar kata maaf keluar daripada
mulut Izad. Aku pula hanya tersenyum memandang wajah lelaki itu yang
sememangnya sangat kacak jika mukanya merona merah saat itu. Deheman lelaki itu
segera mengembalikan aku semula ke alam realiti.
“Kalau
tak suka coklat, suka apa?” soal lelaki itu.
Belum
sempat aku menjawab, lelaki itu sudah bersuara kembali.
“Suka
abang?” duga lelaki itu.
“Hah?”
spontan ayat itu keluar daripada mulut aku.
Bala
apa pulalah yang melanda aku petang-petang hari begini. Tiba-tiba dapat soalan
cepu emas. Aku menelan air liurku yang terasa pahit. Epiglottisku seolah-olah
tidak membenarkan air liur itu ku telan masuk dalam-dalam.
Tawa
lelaki itu memecahkan kesunyian yang melanda kami. Sungguh aku tidak suka
situasi yang semacam ini.
“Abang
saja je usik Aira. Nama abang
Asyraf,” ujar lelaki itu dalam tawa yang masih bersisa.
“Owh…”
hanya perkataan itu yang keluar daripada mulutku. Owh yang membawa dua maksud. Satu,
menandakan yang itu baru pertama kali aku mengetahui namanya dan nampak
sangatlah aku tidak kenal senior-senior.
Yang kedua, sebab itu je yang aku
mampu cakap sebab aku tak tahu nak kata apa.
Tiba-tiba
aku terlihat kelibat Izad berhampiran tangga. Segera aku melambai-lambaikan
tanganku kepadanya memohon bantuan kecemasan untuk lari daripada lelaki di
hadapanku ini. Izad yang perasan lambaianku melambai semula ke arahku seraya
menaikkan ibu jarinya ke atas menunjukkan maksud bagus atau lebih tepat lagi,
padan muka kau!
Terlopong
mulut aku melihat aksi Izad itu. Tidak cukup itu, Fazil juga turut membuat aksi
yang sama. Dan kedua-duanya pantas berlari menuruni tangga apabila aku mula
menanggalkan sepatuku dan ingin melemparkannya ke arah mereka.
Seketika
aku lupa, ada mata yang memerhati tindak tanduk aku sedari tadi. Apabila mata
kami bertentang, segera aku tersenyum menutup rasa malu yang beraja di hatiku.
Sepatu tadi aku sarungkan kembali ke kaki. Lelaki tadi menggeleng-gelengkan
kepalanya beberapa kali sambil tertawa.
“Macam
budak-budak,” komennya ringkas.
‘Aku
memang budak-budak,’ bentak hatiku. Aku pastikan bibirku tertutup rapat saat
itu. Aku hanya menuruti langkah lelaki itu yang mengajakku untuk menemaninya ke
perpustakaan. Katanya, ada sesuatu yang dia mahu berikan kepadaku. Aku juga
tidak pasti apa yang mahu dia berikan hingga kami perlu ke perpustakaan.
*****
ABANG Asyraf
mengeluarkan sesuatu dari beg
sandangnya. Aku hanya memerhati tindak-tanduknya sejak kaki kami melangkah ke
dalam perpustakaan ini. Aku juga tidak melepaskan peluang memerhatikan keadaan
sekeliling kut kut ada orang yang boleh selamatkan aku kali ini.
Melihat
perpustakaan yang luas ini dipenuhi buku-buku, aku merasa pelajar di kampus
induk ini bertuah jika dibandingkan dengan pelajar di kampus cawangan. Jika di
kampus cawangan dahulu, perpustakaan kecil. Buku rujukan juga tidak sebanyak
ini. Namun pengunjungnya sentiasa ramai. Di kampus induk ini yang mewah dengan
buku pula, pengunjungnya boleh dikira dengan jari tangan dan kakiku.
“Nah,”
ujar Abang Asyraf sambil mengunjukkan satu bar coklat di hadapanku.
Aku
menelan air liur. Aku tak tahu spesies manusia apakah di hadapan aku ini
sehingga dalam dua perkataan TAK SUKA yang dia tidak faham. Nak kata Abang
Asyraf bodoh, tak mungkin, sebab dia adalah antara senior aku yang dapat Anugerah Dekan setiap semester.
Aku
melepaskan sebuah keluhan berat. Kalau nak cakap lagi sekali, aku rasa macam
kejam pula. Kalau tak cakap, membazir pula coklat ni sebab confirm aku takkan makan. Mahu tidak mahu, aku ambil juga coklat
pemberian Abang Asyraf tadi.
“Tu
je?” aku menyoalnya.
Abang
Asyraf hanya menganggukkan kepalanya dan tersenyum. Kemudian dia bangun
daripada kerusi. Aku hanya memandang wajahnya penuh tanda tanya. Abang Asyraf
ni memang aku tak faham langsung perangai dia. Setakat bagi coklat ni, tak
payahlah nak bagi dalam perpustakaan. Bagi depan papan kenyataan tadi pun
boleh.
“Abang
teman Aira balik,” ujarnya lagi dan menuntutku untuk mengejar langkah kakiknya
yang kian laju.
Sepanjang
perjalanan menuju Kolej Kediamanku, aku hanya memandang wajah Abang Asyraf.
Banyak persoalan bermain dalam kotak fikiranku. Memikirkan logika setiap
perlakuan Abang Asyraf terhadapku sejak semalam.
“Jangan
tenung abang lama-lama. Nanti bukan setakat coklat Aira suka. Dengan pemberi
coklat pun Aira boleh suka,” tegurnya perlahan tanpa memandang ke arahku.
Cepat-cepat
aku alihkan wajahku. Pelik. Lelaki ini memang pelik. Daripada perangainya
hinggalah ke ayat yang keluar daripada mulutnya. Semua bagi aku adalah sesuatu
yang pelik.
*****
TIDAK
termasuk hari ini, sudah 175 hari aku menerima coklat daripada Abang Asyraf
sepanjang 175 hari perkenalan kami. Dan seperti biasa, aku akan menanti Abang
Asyraf di perpustakaan ini. Di tempat duduk ini. Semata-mata untuk menerima
coklat daripadanya.
Aku panjangkan leher memandang
sekeliling. Kelibat Abang Asyraf masih belum kulihat walaupun jarum jam sudah
menunjukkan jam tiga petang.
‘Mana pula Abang Asyraf ni,’ hatiku
mula tidak senang.
Telefon bimbit yang bergetar
cepat-cepat aku keluarkan daripada poket jeans yang aku pakai. Segera aku
melihat skrin dan nama Abang Asyraf tertera di situ. Pantas sahaja
jari-jemariku menekan butang untuk membaca pesanan yang baru aku terima itu.
Kalau
nak coklat, Aira jumpa abang dekat luar.
Semacam kanak-kanak kecil, aku
gembira tak tentu pasal. Padahal bukannya aku suka coklat. Tapi sebab Abang
Asyraf dah jadi supplier coklat aku
tiap-tiap hari, maka bila dia tak beri aku coklat hari ni, aku ternanti-nanti
pula coklat darinya.
Cepat sahaja aku mengambil beg
sandangku di rak dan berlari keluar daripada pepustakaan itu. Sedikit hampa
apabila kelibat Abang Asyraf tidak aku lihat sama sekali apabila aku sudah
berada di luar perpustakaan.
Aku melangkah lemah menuju ke arah
bangku yang disediakan di hadapan perpustakaan itu. Masih berharap aku dapat
sebungkus coklat daripada Abang Asyraf seperti selalu. Namun, hampir satu jam
aku menanti, bayang-bayang Abang Asyraf langsung tidak kelihatan. Letih
menunggu, aku bingkas bangun dari bangku dan membawa langkah kakiku yang belum
ku tahu ke mana arahnya. Sepanjang jalan itu, aku hanya memandang lantai.
“Kalau nak coklat, peluk saya dulu,”
ujar satu suara di hadapanku.
Langkah kakiku terhenti. Kepalaku ku
angkat memandang makhluk yang menghalang jalanku saat itu.
Seekor beruang bewarna coklat
sebesar manusia berdiri betul-betul di hadapanku. Dan yang pastinya itu adalah
kostum beruang yang di dalamnya ada seorang manusia. Jika tidak, masakan
beruang yang tidak bernyawa itu boleh berkata-kata.
“Kalau nak coklat, peluk saya dulu,”
ujar suara manusia di dalam beruang itu sekali lagi.
Aku tidak tahu mahu berkata apa saat
itu. Segera beruang itu aku dakap dengan erat. Setelah pelukan itu aku
leraikan, kepala beruang itu aku tanggalkan.
Kini,wajah Abang Asyraf menjadi
santapan mataku. Aku tidak tahu apa yang harus kukatakan saat ini. Gembira.
Terharu. Dua rasa itu telah diadun menjadi satu. Tidak sedar, titis-titis
jernih mengalir di pipiku.
Melihat aku menangis, pantas Abang
Asyraf mendakapku erat dengan kostum beruang yang masih belum ditanggalkannya. Kemudian,
Abang Asyraf cuba mengeluarkan sesuatu daripada poket kostum beruangnya itu.
Namun, dek kerana tangan beruang terlalu besar, maka Abang Asyraf tidak boleh
mengambil barang yang ada dipoket kostumnya itu.
Aku cuba menyeluk masuk tanganku ke
dalam poket kostum beruang. Dan apabila tanganku terpegang sesuatu, aku segera
menarik benda itu keluar. Memandang benda yang satu itu, aku hanya mampu
tersenyum.
“Coklat lagi?” soalku perlahan namun
aku rasa Abang Asyraf dapat mendengarnya.
“Tak ada benda lain ke nak bagi? 176
hari dah Abang bagi Aira coklat,” bebelku panjang lebar.
Abang Asyraf merenungku tajam. Dia
menarik nafas dalam. Kemudian, sebuah hembusan yang agak berat dilepaskan.
“Kalau abang bagi hati abang, Aira
nak?” soalan itu menampar gegendang telinga aku buat kesekian kalinya.
Aku tersenyum memandang Abang
Asyraf. Aku tarik nafas dalam-dalam. Aku yakin dengan perasaanku sekarang.
“Bukan setakat coklat, pemberi
coklat pun Aira suka,” ujarku rendah seraya tunduk memandang lantai.
Menyembunyikan rasa yang tidak pernah hadir dalam diri aku sebelum ini sewaktu
bersama dengan Abang Asyraf.
*****
SEHINGGA ke
hari ini, hari kami bakal diijabkabulkan sebentar nanti, aku masih menerima
coklat pemberian Abang Asyraf yang dikirim melalui Izad. Jika dihitung jumlah
coklat yang aku terima daripada Abang Asyraf sepanjang kami bersama, mungkin
kalian tidak percaya begitu banyak jumlahnya.
Aluminium foiled
itu aku koyakkan. Satu bar coklat itu kupatahkan lalu aku suakan ke mulut. Ku
pejam rapat-rapat mataku sambil menikmati rasa coklat itu. Manis. Manis macam
kisah cinta aku dengan Abang Asyraf sewaktu pertama kali kami berkenalan.
“Hei, apa makan coklat ni. Karang
melekat dekat gigi macam mana?” suara Mak Andam yang nyaring itu betul-betul
membuat aku terperanjat. Segera aku menyimpan coklat tadi di dalam laci meja
solekku.
“Tak apa kak. Bakal suami saya tak
kisah. Dia suka coklat,” ujarku selamba sambil memeriksa gigiku di cermin mana
tahu ada terlekat sisa coklat di situ.
Mak Andam itu hanya
menggeleng-gelengkan kepalanya melihat gelagatku. Aku hanya mampu tersenyum.
Tidak sabar rasanya mahu melihat
Abang Asyraf dalam baju melayu satu sut yang semestinya bewarna coklat. Mungkin
bagi kalian pelik kerana pernikahan selalu dikaitkan dengan warna putih. Tapi
bagi aku, yang pelik itu yang aku suka. Kerana segala yang pelik itu adalah
milik Abang Asyraf.
Tiba-tiba aku terfikirkan sesuatu.
Segera aku menghantar sebuah pesanan ringkas kepada Abang Asyraf.
Abang
jangan pakai kostum beruang coklat tu pulak.
Sebentar
kemudian, aku menerima balasan daripada Abang Asyraf. Cepat-cepat aku membaca
ayat yang tertera di skrin.
Mana
Aira tahu abang pakai kostum tu~ :-P
“What?” ujarku separuh menjerit. Dan
serentak itu kedengaran suasana riuh rendah dengan gelak tawa di luar bilikku
menandakan rombongan Abang Asyraf telah tiba.
Jika riuh sahaja aku tidak kisah,
namun kerana kedengaran gelak tawa yang tidak mahu berhenti aku jadi risau.
Jangan-jangan memang Abang Asyraf mengenakan kostum beruang coklat itu malam ini.
Aku cuba intai dari pintu bilikku
yang terbuka sedikit. Dalam puluhan manusia yang ada di ruang tamu itu, aku
cuba mencari kelibat Abang Asyraf. Dan akhirnya aku dapat melihat Abang Asyraf
duduk di atas alas baldu itu. Melihatnya dari jauh juga bisa membuatkan aku
tertawa. Bukan kerana Abang Asyraf memakai kostum beruang coklat itu tetapi
kerana aku tidak tahan geli hati apabila membayangkan bagaimana rupanya jika
Abang Asyraf duduk di atas alas baldu itu dengan kostum beruangnya.
*****
© Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz
5 comments:
nak lagi sambungan
-yana-
nak lagi sambungan
-yana-
haila coklattttt...huhu best la
best..kegemaran atau kesukaan seseorang itu walaupun tak sama..itu tkkan menjadi satu halangan..sbb cinta itu tidak memilih..yg penting kita dpt terima dia seadanya hehe..
Anon 1 : Tiada sambungan. Hehe.
Anon 2 : P beli coklat cpt~
Kk Zen : Betul. Setuju 100%.
Post a Comment