Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia



PROLOG

            “Sesuatu yang kita anggap tidak baik itu, belum tentu tidak baik buat kita menurut Allah.”

              Finaz diam. Jauh dia merenung ke arah ombak yang galak menghempas pantai. Melihat burung-burung camar yang terbang beramai-ramai untuk pulang ke sarang, barangkali. Matahari yang tadinya masih cerah semakin lama semakin remang-remang sahaja warnanya apabila ia bersembunyi di balik awan. Kata-kata Aiza tadi menyentap tangkai hatinya. Finaz melepaskan keluhan yang entah buat ke berapa kali. Setitis air mata yang jatuh ke pipi di seka dengan hujung lengan baju kurungnya.

              “Belajarlah untuk mencintai dia. Sampai bila kau nak menidakkan cinta kau pada dia?” Suara Aiza yang seakan-akan memujuk dirinya itu menampar lagi gegendang telinga.
              Finaz angguk perlahan. Kali ini, dia memandang wajah Aiza. Aiza mengusap belakangnya perlahan. Setidaknya, dia masih punya Aiza tempat untuk dia meluahkan segala isi hatinya yang terbuku selama ini.

              Dia sudah berperang dalam medan ini selama dua belas tahun. Dua belas tahun yang menuntut sebuah kesabaran, erti kesetiaan dan melakar episod luka dalam hidupnya. Menidakkan rasa yang mengetuk-ngetuk pintu hati. Bukan hanya sekali. Tetapi berkali-kali. Dia bukan menolak kerana tidak yakin dengan kejujuran sekeping hati itu tetapi kerana dia mahu menjaga hatinya sendiri.

              Finaz resah. Haruskah dia memulakannya dahulu atau dia hanya menjadi penunggu setia sehingga si Arjuna memanah tepat cinta ke hatinya seperti waktu dulu?
Share

0 comments: