Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia




Cintaku Tertinggal di Malaysia
Jenis Karya : Cerpen
Oleh     : Isha Idiaz


*************
Pagi itu sungguh nyaman. Nyaman seperti hari-hari sebelumnya di bumi Jengka, Pahang Darul Makmur ini. Udara yang di hirup sungguh membuat Linda terasa segar. Mungkin kerana bumi Jengka ini di penuhi oleh tumbuh-tumbuhan yang tidak diusik oleh mana-mana tangan kotor yang hanya memikirkan keuntungan mereka tanpa mengambil kira keadaan alam semulajadi ciptaan tuhan ini.

“Mungkin kerana itulah UiTM ini diberi nama Kampus Khazanah Alam”, desis Linda dalam hati.

Matanya masih meliar memandang pepohon hijau di luar tingkap biliknya yang melambai-lambai perlahan di tiup angin. Otak Linda terbang entah ke mana. Sama terbang di bawa angin memikirkan hala tuju hidupnya setelah tamat semester enam dalam jurusan Diploma Sains ini.

“Hoi Linda!! Tak habis-habis berangan!!”

Sepantas jeritan itu, tangan Linda juga pantas mencapai bantal busuknya dan di lempar ke teman sebiliknya itu.


“Amik kau”, ucap Linda dengan nada tidak puas hati.

Terdengar sisa tawa Syuhada di meja studynya yang bertentangan dengan Linda. Di lihat temannya itu memandangnya sambil menayang-nayangkan bantal busuknya di udara.

“Kau tak nak ke Linda bantal guling Pooh kesayangan kau ni? Kalau tak nak aku buang kat tong sampah tu”, tutur Syuhadah selamba sambil menjuirkan bibirnya ke arah tong sampah yang terletak di sebelah pintu bilik itu.

Bagaikan tindakan reflex, pantas Linda bangkit daripada kerusinya dan mengambil semula bantal busuk kesayangannya itu dari tangan Syuhada. Lantas di peluk bantal itu dengan erat supaya Syuhadah tidak merampas semula bantal itu darinya.

Kini, bilik yang tidak sebesar mana itu telah dipenuhi dengan gelak tawa ke tiga-tiga teman sebiliknya itu yang telah melihat drama sebabak antara Linda dan Syuhadah.

Begitulah kehidupan mereka berempat di dalam bilik B2-06 di Kolej Kediaman Siswi UiTM Jengka itu pada hujung minggu. Pasti ada salah seorang yang menyakat dan yang lain hanya tumpang sekaki mentertawakan orang yang di sakat. Bagi Linda, dengan cara ini hubungan mereka lebih erat. Tiga semester Linda menghabiskan masa bersama mereka. Suka duka mereka tempuhi bersama sepanjang tiga semester itu.

Syuhadah, atau lebih mesra dipanggil Adah, seorang teman yang cukup sempoi bagi Linda. Namun, Linda respect teman sebiliknya itu kerana sesempoi manapun Adah, dia adalah pemegang Anugerah Dekan setiap semester. Malah Linda mengagumi kepintaran Adah. Linda pun hanya mampu mendapat Anugerah Dekan itu sebanyak tiga kali sepanjang berada di Diploma itu.

Anugerah Dekan bukanlah anugerah yang biasa-biasa sahaja. Anugerah ini diberikan oleh Dekan kepada siswa siswi UiTM yang mendapat CGPA dengan nilai 3.5 dan ke atas. Kerana itulah sesiapa sahaja yang menerima anugerah itu akan di beri jolokan budak pandai oleh teman-teman yang lain. Tetapi Linda lebih senang jika mereka tidak mengutarakan hal itu. Linda mahu berkawan dengan semua orang. Dia tidak memilih bulu.

Dua lagi teman sebiliknya adalah Wani dan Dayang. Wani, adalah teman sebiliknya yang bagi Linda wajar mendapat jolokan Islamic girl. Seorang yang sangat menjaga batas-batas pergaulan dan agak allergic setiap kali persoalan cinta di utarakan di dalam bilik itu. Bagi Wani, dia senang jika jodohnya adalah dari pilihan orang tuanya. Kagum dengan sifat Wani yang taat kepada orang tuanya. Begitulah sifat temannya yang sering diusik oleh kami dengan gelaran anak Tok Imam. Sungguh, ayah Wani adalah seorang imam. Dayang, seorang yang agak pendiam. Tidak banyak bicara. Hanya leka dengan dunianya. Namun manis terlihat dengan tahi lalat yang menghiasi bibirnya.

**************

Dilihat Adah tersenyum seorang diri sambil menaip sesuatu di laptopnya.

“Macam kerang busuk dah budak ni”, tutur Linda seraya tersenyum.

Di hampiri temannya itu dari belakang.

“Hoi, kerang busuk!!”, sepantas itu Linda lari keluar dari bilik dan memegang tombol pintu dari luar.

Kedengaran dari dalam bilik Adah terjerit-jerit bagai orang di rasuk hantu.Linda hanya ketawa kerana dia dapat membayangkan tindakan Adah yang ekstrim itu. Dia bakal di kejar dengan penyapu sekeliling level dua itu jika dia tidak memegang tombol pintu itu.

“Linda, baik kau bukak pintu ni.”jerit Adah dari dalam.

“Aku tak nak bukak. Nanti kau kejar aku satu level”, jerit Linda dari luar.

“Baik kau bukak Linda”,ugut Adah lagi.

“Mana ada orang bukak pintu dari luar Adah. Bukak pintu kena dari dalam”,sambut Linda dengan tawa di hujung bicaranya.

“Main-main eh kau”, balas Adah lagi.

“Assalammualikum… Makcik Adah, saya ni datang nak beraya”, tutur Linda dengan tawa yang meledak lagi.

“Makcik Adah tak ada kat rumah nak. Anak pergi la balik”, suara Adah kedengaran geram dari dalam.

“Eh, makcik, kalau tak ada kat rumah kenapa ada orang yang jawab ni. Ni mesti hantu Makcik Adah ni. Ke hantu Mak Limah”, usik Linda lagi.

“Linda!! Bukak cepat pintu ni”, Adah masih tidak berputus asa menarik pintu itu dari dalam.

“Boleh cik kerang busuk, tapi dengan satu syarat”, balas Linda.

“Ha, ok. Syarat apa?”,Adah tidak sabar mahu membalas perbuatan Linda kepadanya.

“Makcik Adah kerang busuk. Awat tadi makcik senyum sorang-sorang”,jerit Linda dari luar.

“Makcik tengah chatting la nak”, Adah masih menarik pintu itu.

“Makcik ajar Linda chatting boleh tak”, soal Linda lagi.

“Boleh. Tapi Linda kena buka pintu ni dulu”, tutur Adah sambil menarik pintu itu dengan sepenuh tenaga perempuannya.

Linda melepaskan tangannya dari tombol pintu. Serentak itu kedengaran jeritan Adah dari dalam.

Di kuak daun pintu dan dilihat Adah telah terduduk di atas tikar yang di hampar di tengah bilik itu.

“Keji punya budak. Sakit punggung aku ni”,bebel Adah.

Linda tertawa dan merapati Adah. Di bantu temannya itu untuk berdiri.

“Dah kau cakap suruh bukak pintu tu, aku bukak la”, tutur Linda selamba dengan tawa yang masih bersisa.

Roger-roger la dulu kalau nak bukak pun”, bebel Adah lagi.

“Yela, sorry Adah sayang. Ha, tadi kau kata nak ajar aku chatting”, Linda mengingatkan kembali pada syarat yang dipersetujui oleh Adah tadi.

“Nah, amik software ni. Install dulu. Nanti kau pandai la tu chatting kalau dah install benda tu”, tutur Adah sambil menghulurkan pendrivenya kepada Linda.

Thanks Cik Kerang Busuk”, jawab Linda sambil mengambil pendrive itu dan sempat mengenyitkan matanya kepada Adah.

Adah hanya mampu mengeleng-gelengkan kepalanya. Linda memang bersifat keanak-anakan.

****************

Big Ant. Salah satu free web chatting selain Softros yang terdapat dalam kampus ini yang di kendalikan oleh pelajar Diploma in Computer Science yang sememangnya pakar dalam bidang IT dan yang sewaktu dengannya.
Dan dari situlah Linda mengenali Nizam, cinta hatinya.

Teringat kali pertama menggunakan chatting itu. Berbekalkan nama Fareez dan gambar tampilan lelaki, Linda telah memperdaya semua pengguna laman itu bahawa dia seorang lelaki. Dengan mudah Linda dapat bergaul dengan semua teman alam mayanya itu kerana rata-rata pengguna web itu adalah lelaki. Malah jika di kira dengan nisbah, boleh dikatakan jumlah lelaki dalam chatting itu berbanding perempuan adalah 10:1. Dengan alasan itulah Linda merahsiakan identiti sebenarnya adalah seorang perempuan. Nak selamat, fikirnya.

Alien9     : Fareez, kau budak apa?
Fareez    : Aku budak AS.
Alien9     : AS banyak.
Nizam     : Budak Sains ke, Ladang ke, Kayu ke?
Aqustatic : Entahnya Fareez ni.
Fareez    : Ladang boleh, Sains boleh, Kayu pun boleh juga. Haha.
Alien9     : Kenapa aku rasa kau ni macam budak sains ek?
Nizam     : Betul Alien9. Aku sokong.
Aqustatic : Aku pun.
Fareez     : Kenapa aku tak rasa apa yang korang rasa? Haha.
Nizam      : Sebab kau tak ada perasaan kot. LOL. Haha.
Alien9      : Haha. Setuju Nizam.

Dan begitulah Linda dalam web chatting itu. Tidak sesekali dia membuka identitinya sebagai seorang perempuan dan student DIS. Dia sekadar ingin mempunyai ramai teman. Bukan setakat teman yang sama course dengannya. Malah dia mahu mempunyai teman dari course yang lain supaya dia dapat belajar dari mereka. Jika di beritahu dia adalah pelajar Diploma in Science atau lebih dikenali sebagai DIS yang di label budak pandai dan skema oleh  pelajar course lain, maka akan berkuranglah temannya.

*****************

Kuliah hari itu selesai awal. Di lihat jam di dinding. Baru pukul tiga desis hatinya. Dua katil double decker yang terdapat dibiliknya itu di pandang kosong sambil punggungnya di labuhkan di atas kerusi studynya. Adah, Wani dan Dayang masih belum pulang. Terasa bilik itu sunyi. Linda bangkit dan membuka almarinya. Dikeluarkan Laptop Acer miliknya. Di letakkan di atas meja. Sambil menunggu laptopnya loading, Linda meniup habuk-habuk yang melekat di papan kekunci laptop itu.

“Nak melawat budak-budak Big Ant la. Apa diorang buat petang-petang ni agaknya”,bisik hati Linda.

Di buka browser Big Ant. Tertera semua nama ahli yang online pada petang yang sunyi itu. Namun mata Linda terlekat pada satu nama. Nizam. Ya, nama itu. Kenapa hatinya begitu ingin tahu siapakah pemilik nama itu. Pantas jari-jemari runcing miliknya membawa tetikus ke nama Nizam dan di klik nama itu. Dan muncullah chatbox lain di skrinnya kini.

Fareez  : Hello there. Salam.
Nizam   : Hye there. W’salam.
Fareez  : You tak ada class ke petang ni?
Nizam   : Baru je habis? How about you?
Fareez  : Sama la.
Nizam   : Jom makan roti canai.
Farez    : Dining ada roti canai ke?

Mata Linda sempat melirik ke arah kad makan di rak bukunya. Lama sungguh dia tidak menggunakan kad itu. Sudah lama dia tidak berkunjung ke dining. Dining adalah dewan makan yang di sediakan oleh UiTM di mana semua pelajar mendapat subsidi makanan percuma. Satu hari, peruntukan adalah sebanyak RM4.

“Bagus juga kalau dining ada jual roti canai. Boleh guna kad ni”, bisik hatinya.

Nizam   : Ada pulak kat dining roti canai.

Linda hampa. Baru nak guna kad.

Fareez  : Dah tu dekat mana? Bandar?
Nizam   : Kat cafe la. Jumpa kat cafe bawah.
Fareez  : Cafe kolej siswi ke?
Nizam   : Sejak bila cafe mama kat kolej siswi tu jual roti canai? Cafe siswa la beb.

Linda menekup mulutnya. Baru dia sedar identitinya hampir terbongkar.

Fareez  : Saja je. Manalah tau cafe mama tu dah maju.
Nizam   : By the way, are sure you are not a girl?
Fareez  : Why?
Nizam   : Nothing. Rasanya semua tahu cafe bawah ni ada jual roti canai. Pelik you sorang je tak tahu.

Nak kantoi dah ni. “Ya Allah, selamatkanlah hambaMu ini”, sempat Linda berdoa.

Fareez  : Tau la.
Nizam   : My instinct said that you are girl.
Fareez  : Kalau ya kenapa?
Nizam   : Rusuhan nanti kat Big Ant. Semua ingat you lelaki.
Fareez  : And I am a boy.
Nizam   : And all of us dalam Big Ant dah cari you dekat tiga blok siswa ni and we didn’t find any of guy with that name from Science, Wood n Planters. So, who are you?

Demn. Caught.

Fareez  : Belanja I ice-cream. Jumpa dekat koop besar in 15 minutes.
Nizam   : Ok. 15 minutes from now. See you there girl.

Linda mencapai tudungnya. Bersiap-siap untuk berjumpa insan bernama Nizam ini sekaligus mendedahkan identitinya. Sungguh, dia tidak tahu kenapa dia tidak mahu membohongi insan ini. Inikah yang dinamakan cinta?

****************

14 minit. Linda sudah berada di hadapan ATM BSN yang terletak di belakang Koperasi UiTM berhad. Memerhati setiap orang yang lalu-lalang di situ. Cuba mengecam wajah Nizam melalui gambar tampilannya di laman chatting itu. Masih tiada bayang Nizam.

Di sebelahnya, seorang lelaki berdiri dengan tenang. Tidak berganjak dari tembok itu sedari tadi. Lagak lelaki ini seperti menunggu seseorang. Sama sepertinya.

Tidak betah berdiri di situ, Linda mengatur langkah ke koperasi untuk membeli Ice-Cream. Dan sepertinya, lelaki itu turut melangkah ke dalam koperasi.

Dan setiba di koperasi, Linda pantas menuju ke peti menyimpan ice-cream.Terasa seseorang memegang tangannya sebaik sahaja Linda mahu membuka peti itu. Seolah-olah terkena renjatan elektrik,Linda pantas menarik tangannya.

Opps, sorry, tak sengaja”, tutur lelaki itu seraya melemparkan sekuntum senyuman.

“Mata letak mana?”, soal Linda dalam nada geram.

“Letak kat sini,”jawab lelaki itu sambil mengarahkan jari telunjuknya ke arah matanya.

Linda hampir tergelak melihat gelagat selamba lelaki di hadapannya ini. Namun geramnya masih bersisa.

“Kenapa tak letak kat sini?”,soal Linda sambil tangannya di halakan ke lututnya. Berani sungguh Linda.

“Kalau letak kat situ, I tak nampak you Fareez.

Fareez? Macam mana dia tahu. Budak-budak Big Ant je tau aku guna nick Fareez tu. Siapakah gerangan lelaki ini.  “Hard core fan aku ke”,bisik hati kecil Linda. Silap orang kot. Linda menyedapkan hatinya.

“Janganlah pandang ice-cream tu lama-lama, nanti cair semua ice-cream dalam peti ni. You amik satu,I bayar”, tutur lelaki itu dengan tenang.

“Kalau I amik 30, you nak bayar jugak ke?”,sindir Linda seraya tangannya mencapai ice-cream Cornetto.

Nizam hanya memandang wajah gadis di hadapannya ini dengan sekuntum senyuman. Di lihat gadis itu sedang membelek-belek sampul ice-cream itu yang bertemakan Show Your Love dan menuju ke kaunter untuk membayar.

“Saya bayar”,dengan cepat Nizam berkata sekaligus menghulurkan duit kepada penjaga kaunter itu.

“Thanks”, tutur Linda dan berlalu meninggalkan lelaki yang sungguh budiman itu lalu duduk di tangga berhampiran ATM BSN itu sambil menikmati ice-creamnya.

"Sedapnya ice-cream ni. Wahai ice-cream, kenapa kau sedap?",Linda bermonolog seolah-olah bercakap dengan ice-cream itu.

“Macam mana saya tak sedap, ada orang belanja Fareez makan saya”, tutur satu suara disebelahnya.

Pantas Linda mengangkat mukanya.

Siapa lagi la yang kacau aku ni. Nak makan ice-cream pun tak senang.

Sick. This guy again.

Who are you? Kenapa dari tadi you follow i?”, soal Linda bertubi-tubi kepada lelaki itu.

“Nizam here”, tutur lelaki itu sopan.

Dan serta merta pipi Linda memerah. Di ulang ayat yang dituturkan lelaki itu, Nizam here.

You dah lambat 7 minit Fareez. You nak kena denda ke?”,soal lelaki itu dengan senyuman manis yang terukir di bibirnya.

Sorry. Tak tau you Nizam. Anyway, thanks for the ice-cream”, Linda berbicara seolah tiada apa-apa terjadi sebelum ini. Namun dalam hatinya hanya tuhan yang tahu. Nizam, nice to see in person.  Just nice. Bisik hati kecilnya lagi.

Nizam juga berlagak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku antara mereka. Namun,dalam hatinya bagai ada pertunjukan bunga api yang di lepaskan sewaktu sambutan Hari Kebangsaan setiap 31 Ogos. Fareez, cantik. Bisik hati kecilnya.

Dan hari itu, identiti Linda bukan sekadar terbongkar di hadapan Nizam. Malah dengan cepat berita itu tersebar di kalangan penghuni Big Ant. Dia tahu memang tinggi risikonya apabila dia mengambil keputusan berjumpa dengan Nizam. Mungkin ada antara penghuni Big Ant yang mendengar perbualan mereka tadi. Linda juga tahu rata-rata penghuni Big Ant itu merupakan pelajar Computer Science yang seangkatan dengan Nizam. Maka, tidak hairanlah cerita itu tersebar. Pasti mereka juga ada bersama-sama mereka tadi antara puluhan siswa yang lalu-lalang di kawasan itu tadi. Cuma Linda yang tidak mengenali mereka.

Serve you right Linda.

*************

Linda masih di terima di dalam Big Ant. Malah semua jejaka yang ada di situ begitu mengambil berat terhadapnya apabila mengetahui dia adalah seorang perempuan.

“Alhamdulillah”, tutur Linda mengucapkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerana dia tidak kehilangan teman.
Kini, bulan berganti bulan dan hubungan Linda dan Nizam semakin akrab. Malah ada beberapa kali mereka keluar bersama teman yang lain ke pasar malam di Bandar Jengka pada hari Sabtu. Linda juga bakal menamatkan zaman diplomanya dalam waktu dua hari lagi.

Satu kiriman sms dari Nizam benar-benar menimbulkan tanda tanya pada Linda. Nizam mahu berjumpa dengannya.

Di baca semula sms itu. 


Kita jumpa dekat tasik at 4. 


Di lihat jam di pergelangan tangannya. 5 minit lagi.

Setibanya Linda di tasik yang terletak di belakang kolej lelaki itu, di lihat Nizam sudah menunggu. Langkah kaki di hayun menuju ke arah Nizam.

“Assalammualikum. Sory lambat. In 5 minutes you expect me to be here. Pintu kolej I jauh En. Nizam. Lainlah pintu kolej you ni. Sekangkang kera je dengan tasik ni”, tutur Linda bersahaja.

“Waalaikummussalam. Sit. ”, tutur Nizam sambil mengarahkan Linda untuk duduk bersebelahan dengannya.

Akur dengan arahan Nizam, Linda duduk di kerusi itu. Nafasnya masih belum stabil. Mana tidaknya, puas dia berlari menuruni tangga kolej, merentas MEDEC, merentas kolej siswa, merentas padang ragbi, barulah akhirnya dia berjaya tiba di sini, di tasik yang indah dipenuhi dengan bunga teratai. Dilihat Nizam berjalan menuju ke tepi tasik dan mengambil sekuntum bunga teratai. Linda hanya memandang dari kerusi itu. Tidak larat rasanya mahu mengikuti Nizam. Dengan senyuman, Nizam berjalan kembali kearahnya dengan sekuntum bunga teratai di tangan kanannya.

Setiba di kerusi mereka, Nizam melutut di hadapan Linda. Linda yang terkejut dengan situasi itu hanya terpaku memandang Nizam dengan penuh persoalan.

Can you be my lover Linda?”, terkeluar juga ayat itu dari mulut Nizam.

Linda masih terpaku. Nizam ni demam agaknya.

“Nizam, bangun la. Apa ni.”, tutur Linda. Di lihat banyak mata memandang mereka di tasik itu.

Say yes Linda”, tutur Nizam yang tidak langsung menghiraukan mata-mata yang memandang mereka. Biarlah apa kata mereka. Sudah lama dia menyimpan perasaan ini terhadap Linda. Dia tidak mahu kehilangan Linda setelah Linda menamatkan diplomanya sedangkan dia masih mempunyai dua semester lagi di sini.

“Nizam, I lagi tua dari you”, tutur Linda perlahan.  Nizam menarik nafas dalam. Dia tahu pasti Linda akan mengungkit hal ini. Dia akui Linda lebih tua dua tahun daripadanya. Namun dia tidak kisah semua itu.

I tau you lagi tua daripada I Linda. Tapi cinta I pada you juga bukan bohong”, tutur Nizam perlahan.
Lirih hati Linda mendengarnya. Bukan dia tidak mahu menyambut cinta yang di hulurkan oleh Nizam. Namun dia takut suatu masa nanti Nizam akan meninggalkannya setelah menemui orang yang lebih muda darinya.

“Linda, you tak kesian kat I ke? Penat da ni I melutut depan you macam patung dalam muzium”,Nizam bertutur lagi setelah dia melihat air muka Linda seolah-olah kusut memikirkan sesuatu.

Perlahan tangan Linda mencapai bunga teratai itu. Dia juga tidak mahu kehilangan Nizam.

Thanks dear, accept this flower and you are mine”, ucap Nizam.

***************

Kini sudah hampir tujuh bulan hubungan mereka. Semuanya berjalan lancar walupun mereka berjauhan sekarang. Nizam masih di Jengka, namun Linda di terima masuk di UiTM Shah Alam melanjutkan pelajarannya ke peringkat degree.

Sehinggalah suatu hari Linda menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang kedokteran. Bukan di UiTM. Tetapi di salah sebuah universiti di Indonesia. Permohonannya untuk ke universiti itu di terima setelah Linda lulus dalam entrance exam yang di hadirinya di Pejabat Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia.

Berita itu di khabarkan Linda kepada Nizam. Berita gembira sekaligus mengundang duka. Menerima tawaran ini berarti Linda harus meninggalkan Nizam. Namun, Linda juga tidak mahu menghampakan harapan kedua orang tuanya yang telah banyak menghabiskan duit untuknya.

“Nizam, I dapat offer letter from Indonesia”, tutur Linda.
You nak pergi dear?”, perlahan suara Nizam di talian.
I have too, dear”, lirih kedengaran suara Linda.
Then go. I’ll wait for you here”, tenang suara Nizam menuturkan sungguhpun air mata lelakinya mula membasahi pipi.
Thanks dear,” balas Linda.
“Bila berangkat?”, soal Nizam.
“Dua puluh satu haribulan ni”, jawab Linda pendek.
I tak cuti. Ada kuliah”, nafasnya di hela lagi.

Linda tahu Nizam tidak cuti ketika hari dia berlepas nanti. Masakan dia mahu Nizam ponteng kuliah semata-mata untuk menghantarnya di lapangan terbang nanti.

I know. It’s ok. I nak tidur dah ni.” , tutur Linda.
Good night dear. Sleep well. Assalammualaikum.”, suara Nizam kedengaran di talian.
“Waalaikummussalam”, Linda lantas mematikan talian telefon itu.

Malam itu Linda dan Nizam masing-masing tidak dapat melelapkan mata mereka. Empat hari lagi Linda akan meninggalkannya. Nizam pasti akan merindui Linda sepanjang Linda berada di sana. Linda tidak tahu adakah Nizam akan setia menunggunya.

******************

Tiket penerbangan sudah ada di genggaman. Selesai sesi taklimat tadi, seramai 47 orang pelajar di beri tiket penerbangan. Kini, masa berlalu denagan pantas. Semuanya seolah-olah mimpi. Linda di sini dan bakal terbang ke Indonesia sebentar lagi. Terbang meninggalkan keluarganya, terbang meninggalkan cintanya, terbang menyambut cita-citanya, terbang menunaikan harapan keluarganya.Terdengar tangis sendu rakan-rakan seperjuangannya. Kelihatan 46 orang sedang di peluk oleh ibu bapa dan ahli keluarga mereka yang lain. Berbagai pesan di ingatkan oleh ibu bapa kepada anak mereka.

Dalam keasyikan Linda memerhati keadaan sekeliling, tangannya di pegang lembut oleh mamanya. Di capai tangan itu lalu di kucup tangan ibu yang membesarkannya selama ini. Tangan inilah yang membesarkannya sehingga dewasa. Kini, tibalah masanya memenuhi impian mamanya untuk melihat dia menjadi seorang doktor.Dan ibu itu memeluk anaknya penuh erat. Tidak mudah bagi seorang ibu melepaskan anaknya belajar di luar negara tanpa ada peneman. Namun di cekalkan hati agar dia redha pemergian anak kesayangannya itu. Anak ini tidak pernah mengingkari perintahnya sejak kecil. Ibu itu mengerti, Linda menerima tawaran itu bukan kerana minatnya. Tetapi, anak itu masih menuruti permintaannya. Si ibu mengucup dahi dan pipi anaknya itu. Linda memeluk ibunya sepuas-puasnya. Dia bakal tidak pulang dalam tempoh setahun. Berbekalkan pelukan inilah dia akan sentiasa mengingati mamanya. Dan kini, air mata itu gugur jua baik di pipi si anak mahupun si ibu. Malah ahli keluarganya yang lain turut mengalirkan air mata. Jika dahulu, Linda belajar di Jengka, mamanya sudah terasa jauh dengannya. Kini di Indonesia. Malah anaknya kini merentas lautan. Mamanya pasti merasa ketiadaan Linda nanti.

Linda melangkahkan kaki ke pintu perlepasan. Di serahkan passport dan tiket penerbangan kepada pegawai yang bertugas di situ. Di toleh ke belakang dan Linda dapat melihat wajah sugul mamanya bersama harapannya. Wajah tua ayahnya yang selama ini membesarkannya. Wajah dua adiknya yang masih lagi mengalir air mata. Lambaian tangan dari mereka begitu menyentuh hati Linda.

Hati Linda teringat kepada Nizam. Di cari wajah Nizam antara ribuan manusia di LCCT itu tadi namun tidak di jumpainya. Sememangnya Nizam tidak berjanji akan menghantarnya. Namun Linda berharap agar dia dapat melihat wajah itu sebelum dia berangkat. Kini hatinya di runtun pilu. Hingga saat terakhir pun sebelum hilang di sebalik escalator itu Linda hanya dapat melihat wajah keluarganya. Tiada wajah Nizam.

Di kuatkan hati. Di pasang azam dalam diri.

Di sebalik dinding, Nizam menghantar pemergian Linda dengan linangan air mata. Dia tahu Linda menanti kehadirannya. Namun dia tidak sanggup melihat wajah itu di basahi air mata. Dia tidak mahu Linda terseksa.

Cinta…
Kejarlah cita-cita…
            Jangan engkau terus kecewa…
            Tabahlah engkau di sana…
            Aku di sini akan setia…

Air matanya di seka. Linda kini berada di perut pesawat. Kedengaran arahan dari ketua pramugari agar semua penumpang memasang tali pinggang keledar. Tali pinggang keledar di pasang. Duduknya di perbetulkan. Linda membetulkan nawaitunya.

Pesawat mula bergerak perlahan. Di buang pandangnnya ke luar tingkap. Hanya ini berbisik di hatinya.

Cinta…
Tinggallah engkau di Malaysia…
Aku ingin menyambut cita-cita…
Bertahanlah engkau di sana…
Kelak pasti kita berjumpa…

Pesawat mulai mendarat di bumi Indonesia setelah 3 jam perjalanan. Hati Linda dengan pasti berkata,
           
"Ya, Cintaku Tertinggal di Malaysia".

**************
©Hak Cipta Terpelihara - Isha Idiaz   














Share

3 comments:

ainhjzack said...

wow i loike it...
p/s: sambung lagi cerpen ni hikhik

Isha Idiaz said...

ainhjzack:
tq.. insyaallah jika ada kesempatan, saya akan menyambung cerpen ini.. thnx 4 ur support.. =)

azie azia said...

part yang last sedih... T.T
ade sambungan tak?