Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

Tunggu Aku Pengantinku
Bab 1

Finaz bersandar di dinding tepi kaunter pertanyaan di pusat tuisyen itu sementara menunggu kelasnya kosong. Jam tangan yang dipakai di pergelangan tangan kiri dilihat. Tiga petang.

‘Tak lama lagi habislah tu,’ bisik hati Finaz. Sesi yang bermula jam dua belas tengah hari akan tamat jam tiga petang. Memandangkan jam pun dah menunjukkan jam tiga petang, maknanya, seminit dua nanti keluarlah manusia dalam kelas tu.

Finaz mengintai dari cermin kecil pada pintu untuk meninjau keadaan di dalam kelas tersebut. Dari depan hingga belakang kelas, penuh dengan pelajar tingkatan tiga yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Mengengah Rendah. Hampir dua puluh orang kesemuanya.

Finaz cepat-cepat kalihkan matanya ke arah lain apabila dia merasakan ada mata yang sedang memerhatikannya. Mula-mula rasa macam ada orang pandang tu dia dah rasa lain macam. Tapi bila betul-betul dia tengok ada seorang lelaki ni memang ralit tenung muka dia, tu buat Finaz rasa nak sorokkan muka.

Tangan dah spontan buat garu kepala yang tak gatal. Kaki pula dah ringan nak melangkah meninggalkan spot strategik depan kelas tadi. Hasrat nak cop tempat paling depan dalam kelas dibatalkan serta-merta.

Alahai, macam mana boleh kantoi pula tengah usha kelas ni. Lelaki tu pun satu. Buat macam biasa sudahlah. Ni tenung orang macam nak telan.

Belum sempat Finaz mahu melangkah, pintu kelas sudah terbuka. Finaz kembali bersandar di sebelah kaunter pertanyaan dan mengagah senyum kepada guru tuisyennya yang mengajar subjek matematik apabila guru yang berusia sekitar 30-an itu melewati di depannya.

“Awal kamu datang Finaz?” sapa Cikgu Taufiq.

Finaz senyum dan angguk. “Nak cop tempat, cikgu,” jawab Finaz sopan.

Cikgu Taufiq membalas senyuman Finaz dan menganggukkan kepalanya tanda faham kenapa Finaz awal-awal lagi sudah tercegat depan kelas tersebut.

Setelah yakin semua isi kelas sudah keluar, Finaz melangkah masuk ke kelas tersebut. Tapi yang namanya malang tidak berbau tu memang tak berbau langsung. Bau wangi tak ada. Bau busuk pun tak ada. Walaupun malang tidak berbau, tetapi Finaz tahu deria hidunya masih berfungsi apabila dia dapat menangkap bau minyak wangi Dashing yang kuat. Persis bau minyak wangi yang dipakai oleh adiknya.

Terasa seseorang sedang memegang lengannya saat itu menjadikan Finaz kembali ke alam nyata. Cepat-cepat dia menepis tangan yang memegangnya saat itu. Ya, tadi sewaktu dia mahu masuk ke kelas itu dia telah melanggar seseorang. Dan dia pasti orang itulah yang memakai minyak wangi Dashing yang dia bau sebentar tadi.

“Maaf,” ujar Finaz perlahan. Namun dia tahu, pasti lelaki itu mendengar butir bicaranya. Mata ditalakan ke lantai. Tak rela rasanya nak pandang wajah orang itu. Takut pun ya. Bersalah pun ya. Orang dah tolong selamatkan daripada jatuh tu kira dah bagus dah tu Finaz oii. Ni dia sudah tak berterima kasih, siap tepis dengan kasar tangan orang yang menolong dia tadi. Finaz memang tak reti nak bersyukur ya.

“Tak apa,” lembut suara itu menampar gegendang telinganya.

Finaz angkat muka melihat gerangan empunya suara. Rasa nak lari laju-laju bila dia hanya lihat hanya sekujur tubuh tanpa kepala yang ada di depannya. Namun tidak mahu kesilapannya berulang lagi, Finaz mendongak sedikit ke atas. Sebuah nafas lega di hela. Jantung yang tadi berdebar hebat kini dah berdetak normal.

“Ingatkan tak ada kepala tadi,” tutur Finaz kepada dirinya sendiri.

“Pardon me?” ujar lelaki tersebut dengan tawa.

Mana tak terperanjat dibuatnya. Bila tengok-tengok alih-alih nampak badan je. Kepala tak ada. Nasib baik dia tak terus menjerit. Tengok dua kali, mendongak sedikit, baru tahu, rupanya lelaki ni tinggi. Finaz hampir lupa tingginya yang hanya sekitar seratus lima puluh sentimeter menjadikan lapangan pandangnya hanya terhad pada objek yang setinggi dengannya. Bukan tak boleh pandang benda yang lebih tinggi dari tingginya. Cuma lenguh kalau nak mendongak sepanjang masa.

“Tak. Tak ada apa,” Finaz menjawab teragak-agak.

“Awak ni lawak,” komen lelaki tersebut dengan ketawa yang masih tersisa.

Finaz cepat-cepat mengambil tempat duduk di barisan kedua. Malas dia mahu melayan lelaki itu. Kenal pun tidak. Entah dari sekolah mana entah. Tak berani dia nak berbaik-baik sangat dengan lelaki ni. Sekolah dia semua perempuan. Dekat pusat tuisyen nilah baru dia jumpa yang namanya lelaki.

Lelaki tadi masih tersenyum memandangnya. Setapak, dua tapak. Lelaki itu melangkah ke arahnya. Finaz dah takut. Mana tahu lelaki ni nak balas dendam dekat dia sebab dia tepis tangan lelaki tu tadi. Cepat-cepat Finaz angkat beg galasnya dan menjadikan sebagai perisai. Reaksi spontan Finaz tadi membuatkan tawa lelaki itu pecah.

“Saya bukan nak pukul awak,” terang lelaki itu sambil menarik beg galas Finaz yang dah tutup sebahagian mukanya.

Merona merah wajah Finaz saat itu. Ni namanya macam pakai blusher cap semula jadi. Hai nasib, kenapa hari ni kau tidak menyebelahi aku. Masuk kali ni, dua kali dah dia dah memalukan diri depan lelaki tu.

Beg yang dibuat perisai tadi sudah selamat mendarat bawah meja. Finaz tunduk.

“Saya Fahmi.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya.

Finaz angguk. Tak tahu nak cakap apa. Nak cakap salam perkenalan pun mulutnya macam dah kena zip. Malunya bukan main. Nak tengok muka lelaki ni pun dia main aci pandang-pandang jeling-jeling je. Nampaklah lelaki ni muka bujur, dagunya agak tirus dengan janggut sejemput, bibir tipis warna merah, rambut style pacak-pacak entah berapa banyak minyak rambut dia pakai. Mata juling ke tidak, dia tak sempat nak perhatikan betul-betul.

“Awak?” soal lelaki bernama Fahmi itu.

Finaz diam. Tak apa ke kalau beritahu nama dengan orang tak kenal macam tu je? Kot nanti budak nama Fahmi ni bomohkan dia nanti pakai nama tak ke haru? Finaz menepuk dahinya beberapa kali. Otak dia ni cepat betul fikir benda bukan-bukan.

“I guess, it is Tanpa Nama,” ujar Fahmi.

Hah? Apa lelaki ni cakap? Dia tak faham.

“Awak, nama awak, Tanpa Nama.” Fahmi menjelaskan.

Finaz angguk. Blur sebenarnya. Tapi tak nak panjangkan cerita, dia iyakan sahaja kata-kata lelaki bernama Fahmi itu. Tapi sebentar kemudian, dia menyumpah dirinya sendiri apabila dia melihat lelaki itu berlalu pergi sambil mentertawakannya lagi.

Apa ke slownyalah otak dia hari ini. Nama dia kan Finaz. Apa kesnya pula tiba-tiba nama dia tukar jadi Tanpa Nama?

Tak apa. Hari ini hari dia. Siapa tahu esok lusa hari dia. Masa tu, kalau dia dapat kenakan lelaki nama Fahmi tu, memang dia akan kenakan habis-habisan.
Share

0 comments: