Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

Tunggu Aku Pengantinku
Bab 2

Senyuman dan Fahmi tidak boleh dipisahkan. Semenjak dia bertemu dengan gadis yang dia gelarkan Tanpa Nama itu, bibirnya tidak berhenti mengukir senyum.

“Kau tahu siapa nama budak tadi?” soal Fahmi ketika dia menuruni anak tangga di pusat tuisyen itu.

Iqbal sudah angkat kening. Budak mana pula yang dimaksudkan oleh Fahmi ini? Budak yang mengintai di balik kaca kecil di pintu sewaktu mereka berada di kelas tadi ataupun perempuan yang tergedik-gedik menegur mereka sewaktu berpampasan di tangga tadi?

Kalau budak perempuan yang mengintai itu yang buat Fahmi tersenyum tak sudah sampailah ke saat ini, sahlah perempuan tu sudah apa-apakan Fahmi. Siapa tak kenal dengan Fahmi yang demand dan selera macam raja kalau nak berkawan dengan orang? Dia ni pun kira bernasib baik dapat jadi kawan Fahmi sebab dia memang membesar sama-sama dengan Fahmi. Main pasir sama-sama. Main kereta mainan sama-sama.

“Hoi, kau ni dengar ke tidak soalan aku tadi?” Sergah Fahmi. Si Iqbal ni punyalah orang tunggu dia menjawab, dia boleh pula berkhayal.

Iqbal hanya senyum sumbing. Dengarlah. Takkanlah tak dengar. Bukan dia pekak. Cuma nak jawab soalan Fahmi tu susah. Macam nak jawab soalan esei kertas Sejarah. Kena fikir baik-baik dulu sebelum menjawab. Sebab kalau sekali dia dah menjawab, soalan berikutnya akan lebih susah. Mula-mula tanya nama, lepas tu Fahmi akan tanya anak siapa, duduk dekat mana. Dia bukan setahun dua kenal Fahmi.

“Entah,” jawab Iqbal selamba.

Punyalah lama Fahmi menunggu jawapan kepada soalan yang paling mudah dalam dunia, si Iqbal ni jawab sepatah je. Tu pun sepatah yang tak memberi makna. Cuba kalau yang sepatah kata yang keluar daripada mulut Iqbal tu sebut perkataan Minah ke, Aiza ke, Azlea ke ada juga maknanya.

Cepat Fahmi mengambil beg galasnya dan menghempuk kepala Iqbal di sebelah. Iqbal mengaduh sakit.

“Aku tunggu punyalah lama. Kau jawab entah je?” Protes Fahmi.

Fahmi melihat Iqbal sedang menggosok-gosok kepalanya. Rasa bersalah pula. Dahulu, masa kecil-kecil menjadi kepantangan dia kalau ada orang main pukul dekat kepala. Mula dia rasa nak hempuk juga dekat kepala. Dia masih ingat, dia akan cakap, bapak dia bayar zakat fitrah, kepala jangan main.

“Sorry,” ujar Fahmi sepatah.

Mendengar sepotong kata itu buat Iqbal tersenyum. Fahmi ni lembut hatinya. Dia tahu Fahmi tidak sengaja tadi. Mungkin bengang sebab dia bagi jawapan seciput macam tu.

“Tak apa, aku faham,” ujar Iqbal dengan senyuman di bibir. Bahu Fahmi dirangkul erat. Mereka berjalan beriringan di deretan kedai bawah bangunan pusat tuisyen itu.

“Budak tu…” Sengaja Iqbal berjeda. Mahu lihat reaksi Fahmi.

Langkah kaki yang tadi terasa laju tiba-tiba terhenti. Fahmi dah renung mata dia lain macam. Macam ada cahaya bersinar-sinar pada anak mata Fahmi. Fahmi memang berharap benar agaknya dia akan sebut nama budak perempuan tu.

“Kenapa dengan budak tu?” soal Fahmi.

Langsung terhambur ketawa Iqbal. Kepalanya digeleng berkali-kali. Sah temannya ini dah macam kena penangan virus cinta. Melihat riak Fahmi yang berubah buat tawa Iqbal mati. Seram juga bila Fahmi serius begini. Ada juga nanti kepalanya merasa pukulan Fahmi buat kali kedua.

“Aku tak tahu nama dia,” jawab Iqbal.

Fahmi lepaskan sebuah keluhan. Ingatkan si Iqbal ni nak beritahu dia nama budak tu. Dia pun macam dah kena syihir dengan si Iqbal. Setiap kali Iqbal sebut ‘budak tu’ dia mesti nak tahu, apa yang Iqbal tahu pasal budak Tanpa Nama tu.

“Aku tak tahu nama dia, tapi aku dengar budak-budak panggil nama dia Finaz.” Terang Iqbal yang akhirnya membuahkan senyum di bibir Fahmi.

“Finaz,” ulang Fahmi sambil menganggukkan kepalanya. Puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Iqbal. Cuba dari tadi Iqbal cakap je nama budak tu Finaz, tak adalah kepalanya jadi mangsa beg sandangnya tadi.

“Kenapa kau nak tahu nama dia?” Giliran Iqbal pula bertanya. Wajah Fahmi yang kelihatan ceria itu dikerling sekilas. Kaki dah mula sepak batu kerikil yang ada di jalan raya itu. Kira ni sesi curhat dia dan Fahmi dah nak mula.

“Saja.”

Jawapan sepatah Fahmi itu buat Iqbal rasa macam nak kena bagi sedas dua tumbukan padu dekat muka Fahmi. Tapi niat jahat tadi dibatalkan serta merta sebab dia nak kena korek rahsia hati sahabat baiknya ini. Orang selalu cakap, kalau kita nak buat baik, niat je dah dapat pahala, tapi kalau niat nak buat jahat, selagi kita tak buat, tak dapat dosa. Jadi sebab dia tak jadi nak tumbuk muka Fahmi, kira malaikat tak boleh nak tulis dia buat jahat.

Jeda.

Dia lihat Fahmi. Fahmi dah tersenyum macam kerang busuk.

“Kau berani ke nak kacau budak tu?” Soal Iqbal tiba-tiba.

“Kenapa pulak tak berani? Bukan Alien budak tu. Macam manusia normal je aku tengok budak tu.”

Hailah Fahmi ni. Memanglah budak tu manusia. Dia bukannya cakap budak tu Alien. Tapi secara luaran je dia dah tahu budak tu macam mana. Kerek semacam je. Budget hot. Macam budak pandai. Macam tak sesuai dengan Fahmi.

“Dia tu tomboy. Kau tak perasan ke?”

Fahmi tersengih. Dia angguk perlahan.

“Jadi kenapa kalau dia tomboy? Takkan aku nak kena jadi Tom and Jerry pulak kalau nak berkawan dengan dia?”

Ada betulnya juga kata-kata Fahmi tu. Nak berkawan dengan orang ni tak payah kita nak ubah diri kita. Berkawan kena terima keburukan dan kebaikan kawan kita. Cuma yang buruk tu janganlah diikut. Kalau boleh kita yang bimbing kawan kita ke arah yang lebih baik.

Macam dia dengan Fahmi berkawan masa sekolah rendah dulu. Dia suka cabut ikut pagar belakang sekolah kalau agak-agak bosan belajar. Tapi bila dia berkawan dengan Fahmi, nak tak nak dia kena tunggu sampai habis waktu sekolah barulah dia boleh lepas dari pintu pagar sekolah. Kalau tidak, Fahmi akan jadi sukarelawan pergi report dekat mak dia yang dia ponteng sekolah hari tu. Daripada punggung dia kena makan rotan buluh yang halus tu, lebih baik dia duduk dekat sekolah tu belajar apa yang patut.

“Tak adalah. Aku ada dengar budak-budak ni cakap dia anti-lelaki,” ujar Iqbal lagi.

Bersungguh-sungguh betul dia nak jadi Romeo nak selamatkan si Fahmi walaupun si Fahmi ni bukanlah Juliet. Bukannya apa. Dia tak naklah Fahmi ni kalah di tangan seorang tomboy. Sudahlah tomboy, anti-lelaki pulak tu.

“Biarlah dia nak jadi tomboy ke, anti-lelaki ke. Aku cuma nak berkawan je dengan dia.”

Bak kata orang, there is no border to make friends with others. Eceh. Dah macam keluar aura-aura mat saleh celup pulak bila dia cakap pakai Bahasa Inggeris. Fahmi gelakkan diri sendiri. Untung ayat tu dia cuma cakap dalam hati. Kalau keluar dekat mulut pasti kena tempelak dengan Iqbal.

“Yalah. Aku cuma boleh doakan kau selamat jelah di sisi budak tu.”

Tugas dia mengingatkan Fahmi. Jangan nanti sampai dah lebam-lebam kena belasah dengan budak tomboy tu baru Fahmi nak menangis cari dia.

Fahmi sengeh.

Budak tomboy. Macam kena je title tu dengan budak Tanpa Nama tu. Tadi pun dia tengok budak perempuan ni rare habis. Lain daripada perempuan yang lain.

Budak perempuan lain sibuk gayakan tudung bawal buat style Wardina bagai. Yang tak bertudung pula dengan gaya ikat rambut yang dia juga tak tahu style apa. Tapi budak ni datang tuisyen dengan tudung bawal yang hanya diselak ke belakang. Tak ada style. Tak ada law of attraction gitu.

Budak perempuan lain bergaya datang ke pusat tuisyen ni dengan baju kurung, baju kebaya kain belah depan sampai ke lutut atau blouse gaya orang berkerja. Tapi budak Tanpa Nama tu punya rare, dia cuma pakai baju kemeja T lengan pendek dengan seluar jeans je.

Budak perempuan lain asal lalu je boleh dengar dah bunyi ketak ketuk kasut mereka. Tapi budak Tanpa Nama ni agaknya kalau lalu pun orang tak perasan sebab dia cuma sarung kasut sukan warna hitam jenama Nike je.

Kesimpulannya, sebab budak Tanpa Nama ni rare daripada perempuan yang lain, itulah yang buat dia macam berminat nak berkawan dengan budak ni. Dia suka cara budak ni. Budak ni jadi diri dia sendiri. Tak hipokrit. Tak kira apa orang kata belakang dia, apa orang bisik-bisik cakap pasal dia kalau dia lalu depan mereka, budak Tanpa Nama ni cool sahaja seolah-olah hidup dalam dunianya. Dan dia pula menyibuk nak masuk dalam dunia budak Tanpa Nama tu.

“Habis dah kau berangan?” soal Iqbal yang langsung mematikan semua bayangan tentang budak Tanpa Nama itu.

“Eh!”

Entah berapa lama dah dia berangan pasal budak tu sampaikan la ni dia dah ada depan rumah dah. Dari tadi dia cuma ikut je langkah kaki Iqbal. Agaknya kalau Iqbal bawak dia sampai ke tanah perkuburan dan tinggalkan dia di situ sendiri pun dia tak perasan.

“Sudah-sudahlah tu berangan. Lebih baik kau fikir pasal diri kau sendiri,” ujar Iqbal sambil mengarahkan mulutnya ke arah Pak Cik Nordin, bapa Fahmi yang berwajah bengis sedang menanti anak bujangnya pulang dari tuisyen di hadapan rumah.

Senyuman Fahmi yang tadi manis, sekarang dah bertukar kelat. Iqbal pula dah bersiap-sedia nak mulakan acara lari pecut sebelum dirinya dihujani oleh pelbagai soalan oleh Pak Cik Nordin tentang keterlambatan mereka pulang dari tuisyen. Ni semua gara-gara Fahmi. Duk tersangkut dengan budak tomboy tu tadi.

“Saya balik dulu pakcik. Assalammualaikum,” sapa Iqbal berbahasa.

Encik Nordin mengangguk dan menjawab salamnya.

Fahmi pula dah terjengket-jengket jalan nak masuk ke perkarangan rumah. Jalan rasa macam tak jejak bumi ala-ala Cik Ponti. Kalaulah ada jalan lain nak masuk rumahnya ini, memang dia dah lalu jalan tu. Asalkan tidak bertembung dengan abahnya.

“Fikir apa sampaikan dah depan rumah pun tak perasan?” Sergah Encik Nordin.

Langkah Fahmi langsung terhenti. Tak jadi nak teruskan perjalanan masuk ke rumah. Badannya diluruskan. Tegak. Tak bergerak. Serupa macam terima command sedia kalau dalam perbarisan.

Fahmi tunduk. Tak tahu nak jawab apa. Takkan nak cakap, dia berangan pasal perempuan tomboy dekat pusat tuisyen yang berjaya menjadi pencuri hati dia. Gila.

“Sudah. Masuk. Siap-siap ikut abah ke masjid solat Asar nanti,” arah Encik Nordin.

Fahmi mengangguk tanda faham dan menundukkan badannya sewaktu melewati di hadapan Encik Nordin.

Nak kata abahnya ini bekas tentera, tidak pula. Tapi abahnya punya tegas dah gaya tentera berpangkat kolonel.

Agaknya budak Tanpa Nama tu perangai macam abah dia juga ke? Kalau macam abah dia ni memang hidupnya bakal berubah tiga ratus enam puluh darjahlah jawabnya.

Beg sandangnya diletak di atas katil. Langkah kaki menuju ke sudut kiri bilik yang menempatkan tempat penyidai pakaian. Tuala yang tersangkut di tempat penyidai itu dicapai. Dia harus segera mandi.

Asar dah nak dekat.

Panggilan bersujud kepada Allah itu lebih penting dari segala jenis panggilan di dunia ini. Hatta panggilan hatinya pada budak Tanpa Nama itu boleh tahan juga kuatnya, namun panggilan lima kali sehari ni tidak boleh diabaikan. Tak boleh lupa yang wajib tu. Kalau yang wajib terjaga, insya-Allah yang lain-lain juga akan terjaga. Itu yang biasa abahnya ingatkan pada mereka adik-beradik.

‘Nabi Musa berkata, 'Umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi'. Beliau bersabda: "Aku masih saja bolak-balik antara Tuhanku dan Nabi Musa, sehingga Allah berfirman: 'Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan lima waktu sehari semalam. Setiap shalat fardu dilipatgandakan dengan sepuluh kali lipat. Maka itulah lima puluh shalat fardu. Begitu juga barangsiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, niscaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya barangsiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, niscaya tidak dicatat baginya sesuatu pun. Lalu jika dia mengerjakannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya'. Aku turun hingga sampai kepada Nabi Musa, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih saja berkata, 'Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan'. Aku menjawab, 'Aku terlalu banyak berulang-ulang kembali kepada Tuhanku, sehingga menyebabkanku malu kepada-Nya'.’(1)

‘Jadi yang malas-malas solat tu, ingat sikit, Rasullullah dah minta ‘discount’ dekat Allah supaya kurangkan waktu solat dari lima puluh waktu ke lima waktu sehari semalam dalam peristiwa Isra Mi’raj. Jadi bila dah dapat ‘discount’ tu jangan nak buat-buat macam kena amnesia. Malu sikit dekat Allah. Malu sikit dekat Rasullullah. Bayangkan macam mana perasaan Rasullullah tu ulang alik jumpa Allah minta dikurangkan waktu solat tu untuk kita ni umatnya.’

Kata-kata daripada Ustaz Zamri itu masih melekat di otaknya hingga kini. Dan hari ni, dia rasa macam nak doa lebih sikit lepas sembahyang. Macam bertambah pula satu hajat dalam hidupnya hari ini. Itupun lepas bertemu budak Tanpa Nama.

(1 )H.R Muslim : 162
Share

0 comments: