Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia


Cerpen : Istikharah Cinta
Oleh : Isha Idiaz
*****

DAN juga mereka yang diredhai Allah itu ialah orang-orang yang berdoa dengan berkata : ‘Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara  yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa’.” (Al-Furqan : 74)

*****


BUAT kesekian kalinya, aku berjumpa lagi gadis itu. Dia tampak begitu ayu tanpa selendang yang menutupi helai-helai rambutnya seperti selalu. Ini juga kali pertama aku melihatnya tanpa hijab. Dia tersenyum malu memandang aku. Pipinya yang putih gebu itu memerah.

            ‘Malu mungkin,’ bisik hatiku.

Aku menghadiahkan sekuntum senyuman kepadanya. Dia tidak ragu-ragu membalas senyumanku tadi. Malah kini dia lebih berani dengan menghampiri ke arahku.

“Akhi tak nak berjemaah di masjid?” Suaranya yang lembut menampar gegendang telingaku. Aku terpaku seketika mendengar suaranya yang sungguh merdu itu. Rasa terbuai sebentar hatiku dengan suara itu.

“Akhi?” sergah gadis itu mengejutkanku daripada lamunanku.

            Cepat-cepat aku berdehem untuk menutup malu sambil memandang tepat ke anak matanya. Sebentar kemudian aku mengalih anak mataku ke tempat lain apabila mataku berlaga dengan matanya.

            ‘MasyaAllah.’ Sungguh indah makhluk ciptaan Allah di hadapan aku di kala ini. Matanya yang bewarna hazel itu menggetarkan jiwaku.

            “Apa Humairah cakap dekat Akhi tadi?” Aku berpura-pura bertanya kembali. Walhal, memang aku tidak mendengar apa yang dikatakan oleh Humairah tadi.

            Humairah tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. Anak rambutnya yang jatuh menutup matanya dikuak ke belakang telinga.

            “Maira cakap, Akhi tak nak berjemaah di masjid ke hari ni? Kalau nak, Maira nak ikut.” Ujar Humairah lembut. Tanpa segan silu dia memaut lenganku dan menyandarkan kepalanya di bahuku.

            Aku sedikit tersentak apabila Humairah bertindak begitu sedangkan kami belum lagi menjadi pasangan suami isteri yang sah. Belum sempat aku menepis tangan Humairah yang masih kejap memaut lenganku, aku terdengar gelak tawa di ruang tengah berhadapan tempatku berdiri kini. Aku menoleh. Dapat kulihat wajah umi, abah serta umi dan abah Humairah tertawa sambil memandang kami.

            “Huzaifah, habis waktu kalau bermanja-manja begitu. Dahulukan yang mana penting dulu,” ujar abah dari ruang tengah. Kata-kata abah disahut dengan tawa abah Humairah.

            “Orang baru kahwin memang macam tulah Fauzi. Melekat dua puluh empat jam,” sahut abah Humairah pula. Makin galak suara gelak-tawa di ruang itu.

            Aku menoleh memandang wajah Humairah di sisi. Humairah tersipu malu. Aku memandang kembali ke ruang tengah.

            ‘Humairah telah menjadi isteriku?’

            Bunyi guruh di luar membuat aku terjaga daripada tidurku. “Astaghfirullahhalazim,” ujarku seraya meraup wajahku dengan kedua-dua telapak tanganku. Sekilas aku memandang jam di dinding. Jam tiga pagi. Cepat-cepat aku mengambil wudhu’ untuk menunaikan solat sunat tahajud yang menjadi rutin  harianku.

            “Ya Allah, jika petunjuk yang kau berikan kepadaku melalui mimpi tadi adalah jawapan kepada solat istikharahku, maka kau tuntunlah aku ke arah itu. Sesungguhnya Kau lebih mengetahui apa yang terbaik buatku.” Sempat aku titipkan doa itu di akhir solatku.

*****

AKU melihat lagi kelibat gadis yang aku kagumi itu daripada kejauhan. Buat kesekian kalinya hatiku merasa tenang apabila melihatnya walaupun aku hanya bisa melihat anak matanya yang bewarna hazel itu.

            “Tengok apa tu ustaz?” tegur satu suara daripada belakangku. Segera aku melarikan pandanganku daripada terus menatap wajah gadis itu.

            Sebuah senyuman ku hadiahkan buat Iqbal, teman rapatku. Huluran tangannya kusambut dan aku mempersilakannya duduk di bangku kosong di sebelahku itu. Kami kini berada di sebuah taman yang sering kali aku kunjungi jika aku mahu merehatkan fikiranku dan memandang alam indah ciptaan Allah.

            “Tak ada apa. Saja ambil angin di sini,” ujarku sambil melihat keadaan sekeliling sambil mencari-cari kelibat gadis itu yang sudahpun berlalu pergi daripada tempat dia berdiri tadi.

            Melalui ekor mataku, dapat kulihat, Iqbal juga seolah-olah tercari-cari apa yang aku lihat tadi. Lalu segera aku kembali menatap wajah temanku itu. Dia yang baru tersedar aku dapat menangkap gerak-gerinya terus tersenyum kambing. Menutup rasa malu barangkali.

            “Ana datang bawa hajat ni ustaz,” ujar Iqbal penuh berhati-hati. Senyuman yang memang tidak pernah lekang daripada bibirnya itu menambahkan lagi seri di wajahnya.

            “Hajat apa tu Iqbal sampai anta sanggup mencari ana sampai ke taman ni?” soalku pula. Kurasa keningku sedikit berkerut kerana rasa hairan yang tidak dapat dibendung lagi.

            Iqbal berdehem beberapa kali sebelum meneruskan kata-katanya. “Begini ustaz, ana ada berkenan dengan seorang ustazah ni…” Sengaja Iqbal berjeda di situ.

            Aku menegakkan badanku lalu bersandar di kerusi itu. “Alhamdulillah. Terus?” Aku memancingnya untuk bercerita lagi tentang hajatnya tadi.

            “Ana ingat nak minta tolong ustaz jalankan ana dengan ustazah tu,” ujar Iqbal berterus-terang.

            “Ustazah mana yang ana maksudkan ni?” soalku pula inginkan kepastian. Bukannya apa, takut juga tersilap orang. Nanti haru jadinya.

            “Ustazah Humairah,” ujar Iqbal perlahan. Kepalanya ditundukkan, namun jelas keceriaan di wajahnya. Bibirnya menguntum senyum.

            “Ustazah Humairah?”

            “Ya ustaz.”

            Hatiku seolah-olah ditusuk sembilu. Ratusan ustazah di sini kenapa juga Humairah yang menjadi pilihan Iqbal? Kenapa bukan yang lain?

            “Astaghfirullah…” ujarku panjang apabila aku menyedari aku telah melawan qada’ dan qadar Allah.

            “Kenapa ustaz?” soal Iqbal mematikan lamunanku.

            Aku menggeleng-gelengkan kepalaku.

 “Tak ada apa. Nanti ana beritahu ke Ustazah Fatimah berkenan hajat anta tu. Jika ada jawapan daripada pihak perempuan nanti baru kita tetapkan tarikh untuk sesi ta’ruf.”

Iqbal mengangguk-nganggukan kepalanya tanda faham akan butir bicaraku tadi.

*****

SEBUAH pesanan ringkas aku hantar menerusi telefon mudah alihku. Sebentar kemudian, pesananku berbalas. Cepat-cepat aku membaca pesanan itu.

            Saya berkecil hati dengan Akhi kerana mengalah begitu sahaja.

            Ayat itu kubaca berulang kali sambil otakku cuba mentafsir apa maksud pesanan yang kuterima tadi. Aku menyandarkan badanku ke dinding dan meraup muka beberapa kali.

            ‘Astaghfirullahhalazim,’ ucapku dalam hati berkali-kali.

*****

HUMAIRAH datang lagi dalam mimpiku malam ini. Serba putih dengan pakaian solatnya. Dia sedang menunggu aku di hadapan pintu rumahku. Melihat kelibatku yang keluar daripada bilik, pantas Humairah menoleh. Senyuman menghiasi bibirnya.

            “Akhi dah siap?” soal Humairah lembut.

            Aku membalas kembali senyumannya sambil menganggukkan kepala. Pantas Humairah berdiri dan memberi laluan kepadaku untuk melewati pintu rumah itu. Pantas juga tangannya menyematkan purdahnya di tepi tudung. Hanya matanya sahaja kelihatan kini. Aku tersenyum. Humairah tetap cantik walaupun dalam pakaian itu. Kecantikannya masih terserlah walaupun telah disembunyikan dibalik purdah.

            Kami jalan beriringan menuju ke masjid berhampiran rumah untuk menunaikan solat Maghrib. Aku melihat Humairah hingga dia masuk ke saf perempuan sebelum aku menuju ke saf lelaki.

            “Amin…” ujar seluruh jemaah yang berada di dalam masjid itu mengakhiri bacaan doa setelah solat pada hari itu. Setelah bersalaman dengan semua jemaah yang hadir, aku mula menapak keluar daripada masjid.

            Aku menunggu Humairah di tempat selalu. Namun hampir sepuluh minit Humairah tidak keluar-keluar juga. Perkarangan masjid semakin kosong.

            “Akhi…”

            Aku memandang ke belakang apabila aku terdengar suara Humairah memanggil aku. Aku nampak Humairah sudah agak jauh meninggalkan aku. Aku berlari sambil menjerit memanggil namanya. Namun sedikit Humairah tidak menoleh memandangku. Tiba di selekoh jalan itu, Humairah hilang.

            Aku terjaga daripada mimpi. Ini kali ketiga aku mimpi perkara yang sama. Humairah hilang. Setitis air mata jatuh jua ke pipi. Mungkin ini adalah petunjuk daripada Allah sebagai jawapan kepada istikharahku. Aku menafsirkan mimpi ini dengan membuat kesimpulan bahawa jika pada awalnya aku memiliki Humairah, namun di akhirnya aku pasti akan kehilangannya juga.

            Dan aku nekadkan hatiku pada malam itu dan menghantar sebuah pesanan ringkas kepada Humairah. Mungkin tidak seringkas mana. Tetapi aku rasa cukup untuk membuat Humairah faham duduk perkara sebenar.

*****

HARI ini Iqbal datang lagi menemuiku. Wajahnya ceria seperti selalu. Huluran tangannya aku sambut.

            “Alhamdulillah ustaz,” ujar Iqbal membuka cerita.

            “Wah! Ada berita yang ana tak tahu ke ni?” Aku sengaja meneka walhal aku sudah maklum akan hal yang akan diceritakan oleh Iqbal kepadaku.

            Lebar senyuman sahabat baikku itu.

            “Ustazah Humairah terima lamaran ana,” ujar Iqbal dalam nada gembira.

            Aku menepuk-nepuk bahu Iqbal. “Alhamdulillah,” ujarku.

            “Terima kasih ustaz sebab tolong ana. Kalau tak ada ustaz, melepaslah ana. Nak harapkan ana yang beritahu sendiri pada Ustazah Fatimah mintak dijalankan tak kan mungkinlah,” seloroh Iqbal. Aku cuma tersenyum mendengar kata-kata Iqbal itu.

            Kebetulan juga Ustazah Fatimah itu sepupuku. Melalui pertolongannya, dapat aku khabarkan hajat hati Iqbal itu kepada Humairah. Jika tidak, aku pun tidak tahu bagaimana mahu membantu Iqbal. Maklumlah, pergaulan kami di bumi Mesir ini sangat terbatas.

*****

ASSALAMMUALAIKUM Humairah,

Semoga Humairah selalu berada dalam limpah rahmat-Nya. Tujuan akhi menghantar pesanan ini adalah untuk menerangkan duduk perkara sebenar supaya Humairah tidak salah sangka di kemudian hari. Sesungguhnya kita tidak tahu apa yang terbaik untuk kita melainkan apa yang telah ditentukan oleh-Nya.

Ketahuilah Humairah, apa yang kita dambakan tidak semestinya kita perolehi. Tidak mungkin Akhi mahu merampas kebahagiaan Iqbal, sahabat karib Akhi sendiri yang bersungguh-sungguh ingin menjadikan Humairah sebagai surinya. Tidak mungkin juga Akhi mahu mendirikan masjid atas kesengsaraan Iqbal.

Akhi juga tahu Humairah sudah lama menyimpan perasaan terhadap Iqbal. Dan melalui petunjuk-Nya, dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, Akhi redha Humairah bersama dengan Iqbal. Tidak ada keputusan yang lebih baik lagi daripada ini. Percayalah, Iqbal lebih layak mendapat gelaran suami itu berbanding Akhi yang serba kekurangan ini.

Akhi memohon maaf atas segala salah dan silap sepanjang tempoh perkenalan kita ini. Percayalah, ajal, maut, jodoh dan pertemuan itu adalah ketentuan Allah. Maka redhalah dengan ketentuanNya.
Wassalam.

*****

AKU melihat Humairah daripada kejauhan. Tiga hari lagi, gadis itu akan bergelar seorang isteri. Perasan aku melihatnya, cepat-cepat Humairah bangun dan berlalu pergi. Aku dapat melihat dia menjeling tajam ke arahku. Mungkin Humairah masih marah kepadaku. Namun, tidak mudah juga bagiku membuat keputusan yang besar ini dengan menyerahkan Humairah, insan yang kucintai sepenuh hatiku kepada sahabat karibku Iqbal.

            Lamunanku terhenti apabila sebuah pesanan ringkas masuk ke telefon bimbitku. Aku memandang skrin telefon. Pantas juga tanganku menekan tombol-tombol yang ada di telefon itu untuk membaca pesanan yang kuterima. Melihat nama pengirim pesanan ringkas itu sahaja sudah buat aku tersenyum. Mata aku menyorot satu-persatu huruf yang tertera di skrin itu.

            Walau jauh dari mata,
            Walau terpisah benua,
            Walau kita tak pernah bersua,
            Siapa kita untuk menolak bila jodoh datang tiba-tiba?

            P/S : Hazirah sibuk sikit. Tak dapat nak bagi abang buli Hazirah hari ni. Hehe. J

            Hazirah. Gadis ini gadis pertama yang berjaya mendekati aku dengan gayanya yang bersahaja. Dia gadis pertama yang membuat aku banyak bicara. Gadis yang sering buat aku tertawa dengan usikannya. Pernah membuat aku menitiskan air mata di tengah malam sunyi ketika rasa bersalah menjengah hati apabila telah melukakan hatinya. Dia gadis pertama yang aku percaya untuk berkongsi segala cerita sedih dan duka. Dalam hatiku, aku tidak tahu di mana tempat untuknya. Dia gadis biasa. Bukan seorang ustazah. Juga tidak punya ciri-ciri gadis idamanku. Namun, aku menerima dia seadanya. Tanpa dia aku tidak tertawa.

            Jari-jemariku menekan tombol-tombol di telefon bimbit itu. Membalas kembali pesanan ringkas kiriman Hazirah tadi.

            Bila jodoh datang tiba-tiba,
            Walau jauh dari mata,
            Walau terpisah benua,
            Walau kita tak pernah bersua,
            Seribu tahun pasti bertemu juga.
           
            P/S : Ada ubi ada keladi, ada masa nanti abang buli. Jaga diri baik-baik di perantauan. J

            “Ehem. Ada orang tu sibuk berSMS sekarang ni. Dia tak pandang dah ustazah dekat bumi Mesir ni. Dia pandang bakal doktor dekat seberang laut,” usik Iqbal. Aku tidak tahu entah bila dia sudah duduk di hadapanku. Usikan Iqbal tadi telah menarik berpuluh mata untuk memandang ke arah kami.

            Aku hanya mampu tersenyum mendengar usikannya tadi. Jelas terbayang di mataku wajah Hazirah. Tidak sesempurna dan secantik Humairah, namun cukup membuat hati seorang Huzaifah sejuk apabila mengingatinya.

            “Siapa kita untuk menolak bila jodoh datang tiba-tiba,” ayat itu meluncur laju daripada bibirku.

            “Ha tengok tu. Jiwang dah ustaz kita sekarang ni. Hebat juga penangan doktor cinta tu ya ustaz,” usik Iqbal lagi.

            Sekarang, aku memang tak tahu nak cakap apa. Senyuman dekat bibir ni pun dah rasa kelat semacam. Cover line bak kata Hazirah. Tengok tu, nama Hazirah juga yang keluar.

*****

AKU melihat gadis itu lagi hari ini. Sudah hampir seminggu aku mimpikan gadis ini. Tetapi setiap kali dia ingin menoleh ke arahku, setiap kali itu aku akan terjaga daripada tidur. Aku berharap kali ini aku dapat melihatnya.

            Dalam kesesakan di dalam ruangan itu, aku hanya dapat mengekori gadis itu dalam jarak kira-kira tiga depa. Gadis itu sangat lincah. Pergerkannya laju membelah lautan manusia yang ada di ruangan itu. Tercungap-cungap juga aku dibuatnya.

            Tiba-tiba aku dapat melihat sehelai kertas jatuh daripada kocek baju gadis itu. Cepat-cepat aku menunduk dan mengutip kertas itu. Gadis itu sudah semakin jauh daripada aku.

            “Cik! Cik!” Aku melaung kuat memanggil gadis itu.

            Gadis itu berhenti akhirnya. Lalu dia menoleh memandang ke arahku. Ini pertama kali aku melihat wajahnya. Langkah kakiku terkebelakang sedikit dek kerana terperanjat memandang wajah yang sangat kukenali itu.

            “Abang terkejut ya?” ujar gadis itu lembut. Dia tertawa manja.

            Aku hanya mengangguk. Bibirku seolah-olah terkunci.

            “Abang yang cakap dekat saya, bila jodoh datang tiba-tiba, walau jauh dari mata,  walau terpisah benua, walau kita tak pernah bersua, seribu tahun pasti bertemu juga,” ujarnya petah sambil tersenyum.

            Aku beristighfar beberapa kali setelah terjaga daripada mimpi. Ini kali pertama aku melihat wajah gadis itu dalam mimpi setelah seminggu aku hanya dapat melihatnya daripada kejauhan. Hazirah. Ya, Hazirahlah gadis itu.

            “Ya Allah, hanya Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat aku. Jika benar dia adalah jodohku, maka Kau peliharalah hatinya. Kau dekatkanlah hatinya dengan hatiku. Kau titipkanlah rasa cinta antara kami dengan jalan yang diredhai olehMu Ya Allah.”

            Aku melihat skrin telefon bimbitku. Ada sebuah pesanan ringkas. Aku membaca pesanan itu.

            Tiap-tiap malam mimpi abang. Bosan betul. Tak ada orang lain ke dalam dunia ni nak masuk dalam mimpi saya? Hehe.. J

            Aku tersenyum membaca pesanan itu. Inilah penyakit baru yang aku dapat sejak berkenalan dengan hazirah. Setiap kali membaca pesanannya, aku pasti akan tersenyum walaupun tidak lawak langsung apa yang ditulisnya dalam pesanan tu.

‘Hazirah, apa awak dah buat dekat abang ni…’

*****

©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz
Note : Nantikan sambungan kisah cinta Huzaifah dan Hazirah dalam cerpen Dalam Bingkai Mahabbah.

*****

Share

3 comments:

aida azira said...

akak.. saje bagi suspen tau... cepat la sambung. heee

NurAtiZa said...

Aduh memang - memang betul - betul suspen...#^_^

ISHA IDIAZ said...

Aida : Hehe. Bersabar ye.

NurAtiza : Hehe. :-)