Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia


Cerpen : Selamat Ulang Tahun Sayang

Oleh : Isha Idiaz
*****
“ABANG tak nak ucap dulu ke dekat sayang sebelum sayang gerak ni?” soal Fina lembut kepada suaminya melalui corong telefon.


        Kedengaran tawa kecil Faris menampar gegendang telinganya sebelum Faris menjawab ringkas ayat yang tidak mahu didengarnya.

“Tak nak.”


Fina sudah menarik muncung panjang dua depa. Tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Faris. Selalunya, Farislah orang pertama yang akan mengucapkan selamat ulang tahun kepadanya setiap kali tanggal dua puluh satu haribulan Mac menjenguk kalendar.

“Alaaaa… Kenapa abang tak nak ucap dekat sayang ni…” Sengaja Fina berjeda dan membuat suara manja untuk melembutkan hati Faris.

“Tak nak,” ujar Faris lagi. Tegas.

Fina mengeluh. Sudah hampir setengah jam dia cuba berdiplomasi dengan Faris namun entah mengapa hari ini Faris begitu tegar tidak mahu mengucapkan ayat yang satu itu. Bukannya susah pun hendak mengucapkan Happy Birthday kepadanya. Cuma dua patah perkataan yang harus dituturkan. Malah kata-kata itu hanya memerlukan satu saat untuk diucapkan.

“Yalah, nanti kalau tak sempat nak ucap dekat sayang, abang jangan menyesal tahu,” ujar Fina dalam nada merajuk.

Hatinya sudah sebak. Alasannya cuma satu. Suami kesayangannya itu tidak mahu mengucapkan selamat ulang tahun kepadanya. Susah sangat ke nak tuturkan ayat itu?

“Baiklah sayang. Abang doakan sayang selamat sampai ke pangkuan abang malam nanti,” ujar Faris lembut. Dia tahu Fina merajuk. Jika tidak, masakan isteri kesayangannya itu diam sahaja di hujung talian.

“Abang rindu dan sayang Fina sangat-sangat,” tambah Faris lagi. Kata-kata itu ikhlas dari hatinya. Dua tahun tidak bertentang mata dengan Fina membuatkan perasaan rindu menggebu dalam hatinya.

Fina tersenyum. Tahu pun rindu. Ingatkan tak rindu tadi.

“Fina pun sayang dan rindu abang sangat-sangat. Tunggu Fina ya abang,” ujar Fina sayu. Dua tahun masa yang sangat lama untuk berjauhan dengan suami. Namun dia dan Faris akur memandangkan Fina harus menamatkan pelajarannya di perantauan. Hidup tanpa Faris bagai siang tanpa matahari. Tiap hari Fina merindui belaian manja daripada suaminya.

Faris senyum bahagia. Hubungan mereka bukan sekadar cinta jarak jauh. Bagi dirinya, Fina adalah isteri jarak jauh dan bagi Fina pula, Faris adalah suami jarak jauh. Merindui dan dirindui itu menambahkan lagi rasa cinta dalam perhubungan mereka.

*****

FINA menyandarkan kepalanya di kerusi. Pandangannya dibuang ke luar tingkap pesawat. Melihat awan tebal yang berarak laju ditiup angin. Sesekali terasa badan pesawat bergegar tatkala melanggar awan tebal. Namun, Fina yang sudah biasa dengan keadaan itu, hanya duduk tenang di kerusinya. Fikirannya menerawang mengingati Faris. Mengingati saat pertama kali mereka bersua dahulu. Waktu itu, Fina masih pelajar tahun pertama.

*****

HARI itu, dia diajak oleh rakan-rakannya untuk menemani mereka berbelanja. Tidak menolak, Fina mengikuti mereka tanpa rasa syak wasangka. Namun, Fina terperanjat sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam restoran itu.

            “Surprise!” jerit kawan-kawannya yang entah bila sudah berada di dalam restoran itu. Bukan seorang dua. Hampir dua puluh orang semuanya di situ. Belon yang bewarna-warni tergantung di setiap sudut restoran itu.

            Lagu Happy Birthday pun berkumandang dengan kuatnya di dalam restoran yang sederhana besar dan kurang pengunjung di petang hari itu. Sebiji kek ditatang oleh seorang rakannya yang datang menghampirinya.

            Fina yang terharu dengan kejutan itu hanya mampu mengalirkan air mata. Sungguh, dia tidak menyangka rakan-rakannya akan mengadakan kejutan untuknya. Lilin sebanyak dua puluh empat batang di atas kek tadi ditiup. Serentak itu, tepukan gemuruh memenuhi ruang restoran itu. Pisau yang dihulurkan oleh rakannya tadi disambut lalu kek hari lahirnya dipotong.

            Fina diajak oleh rakannya untuk ke meja mereka. Namun dalam perjalanan menuju ke meja mereka itu, bahunya dilanggar oleh seseorang. Fina menoleh ke belakang cuba memandang wajah orang yang melanggarnya tadi.

            “Selamat Ulang Tahun sayang,” ujar orang yang melanggarnya tadi dengan senyuman manis di bibirnya.

            Fina ternganga. Faris? Abang Faris?

            Faris. Lelaki pertama yang diminati oleh Fina semenjak dia menjejakkan kaki di bumi Indonesia ini. Bukan kerana kekacakkan lelaki itu walaupun wajah Faris hampir seiras dengan Aaron Aziz. Bukan juga kerana kegagahan lelaki itu walaupun badan lelaki itu segagah Salman Khan. Lelaki itu cuma lelaki biasa di mata orang lain. Namun di mata Fina, lelaki itu cukup luar biasa. Dia tertarik dengan bicara lembut lelaki itu dan ya, senyumannya. Senyuman Farislah yang menghancur leburkan hatinya selama ini.

            “Abang Faris yang merancang semua ni,” ujar Su yang berdiri di sebelahnya saat itu.

            Fina memandang Su dengan pandangan tidak percaya.

            “Kenapa?” soal Fina hairan. Matanya masih tidak lepas memandang wajah Faris yang masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri tadi.

            “Sebab abang suka Fina,” ujar Faris tenang.

            “Sejak bila?” Fina masih tidak berhenti bertanya. Semuanya umpama mimpi saat ini. Dia sukakan Faris dan Faris juga menyukai dirinya.

            “Sejak pertama kali abang nampak Fina,” lancar sahaja ayat itu keluar daripada mulut Faris tanpa dipaksa.

            Fina kelu. Fina terharu. Air matanya kini gugur satu persatu. Kejutan ini benar-benar membuatnya terkejut. Mujur dia tidak punya riwayat penyakit jantung. Jika tidak, mahu dia terkena serangan jantung saat ini.

*****

GEGARAN pesawat yang menggila membuat Fina tersedar daripada lamunannya. Isyarat tali keledar telah dinyalakan. Sekejap-kejapan sahaja pramugari sudah membuat pengumuman.

            “Lampu isyarat memasangkan tali pinggang keselamatan sudah dinyalakan. Semua penumpang dikehendaki memasangkan tali pinggang keselamatan anda dan duduk di tempat masing-masing. Penggunaan tandas pada waktu ini tidak dibenarkan sama sekali.”

            Fina menarik nafas dalam lalu menghembusnya perlahan. Hari ini cuaca tidak elok. Dia dapat melihat awan tebal di luar. Gelap. Fina berdoa agar perjalannannya ini selamat. Dia mahu bertemu dengan Faris.

*****

“FINA jangan tak balik pula nanti kalau dah habis,” ujar Faris mengusik isterinya itu sewaktu pertama kali melepaskan Fina pergi setelah usia pernikahan baru menjangkau satu bulan.

            Fina mengangguk lemah. Kalau boleh, dia tidak mahu berjauhan daripada Faris saat ini. Dia mahu menjaga Faris seperti isteri orang lain menjaga suaminya.

            “Janganlah nangis. Nantikan kalau ada cuti Fina boleh balik. Kalau tidak pun, nanti abang datang sana,” ujar Faris seraya menyeka air mata yang jatuh di pipi Fina. Bahu isterinya itu dirangkul erat.

            Hari ini, genaplah usia perkahwinan mereka selama sebulan. Dan hari ini juga, Fina harus pulang ke universiti untuk memulakan semester baru. Jika universiti di dalam negara, seminggu sekali pun Faris tidak kisah jika dia harus berulang-alik untuk berjumpa dengan Fina. Memandangkan Fina belajar di Indonesia, tidak dapatlah dia hendak berjumpa dengan isterinya itu setiap hari.

            “Abang kan tahu lepas ni Fina tak boleh balik dah sampai Fina habis. Dulu pun abang tak boleh balik juga masa praktikal,” ujar Fina lirih. Air matanya jatuh lagi.

            Faris tersenyum. Dia maklum akan hal itu. Dulu sewaktu dia praktikal juga tidak pernah sekali dia pulang ke Malaysia kerana mahu pengajiannya tamat tepat waktu. Namun, saat ini, hanya kata-kata itu yang mampu diucapkannya untuk memujuk Fina.

            Belum sempat dia menyambung bicara, Fina sudah mencelah lagi.

            “Abang pun tengah housemanship. Mana boleh ambil cuti sesuka hati.”

            Tepat dan padat ayat yang diucapkan oleh Fina. Kini Faris kehilangan kata-kata. Dia hanya mampu tersenyum dan menggenggam erat jari-jemari Fina.

            “Sabarlah sayang. Dua tahun je lagi. Lepas dua tahun ni, Fina boleh teman abang sampai bila-bila.”

            Fina mengangguk lemah. Mahu tidak mahu, dia harus meneruskan perjuangannya untuk mendapat gelar doktor sama seperti Faris. Jika tidak, percuma sahaja dia menghabiskan masa selama tiga tahun sebelum ini di tempat orang.

            Kedengaran pengumuman untuk perlepasan pesawat menuju ke Makassar, Indonesia. Fina memandang wajah Faris. Lelaki itu menghadiahkannya sebuah senyuman. Perlahan, tangan lelaki itu dicapai lalu dikucupnya penuh hormat. Terasa ubun-ubun kepalanya diusap lembut oleh Faris.

            “Jangan tak terbang pulang. Abang akan menanti Fina penuh kerinduan. Selamat tinggal. Selamat jalan sayang,” bisik Faris ke telinga Fina sebelum melepaskannya pergi.

            Setitis air mata lelakinya menitis jua apabila melihat Fina melambai dari kejauhan setelah memasuki balai perlepasan.

            ‘Ya Allah, kau lindungilah isteriku. Kau tabahkanlah hatinya di sana tanpa aku,’ ujar Faris dalam hatinya.

            Kelibat Faris sudah tidak kelihatan. Fina meneruskan langkah kakinya.

            ‘Ya Allah, kau lindungilah suamiku. Kau tetapkanlah hatinya di sana tanpa aku,’ bisik hatinya.

*****

Setahun yang lalu…

“SELAMAT ulang tahun sayang,” bisik Faris ke telinga Fina sewaktu gadis itu ralit menghadap nota kuliahnya.

            Pantas Fina menoleh ke sebelah dan dapat dilihat Faris yang segak berbaju kemeja lengan panjang jalur-jalur biru dan slack hitam. Tali leher polos warna senada kemas tersangkut di lehernya. Melihat muka itu, mudah sahaja bibirnya mengukir senyum.

            “Terima kasih abang,” ujar Fina seraya menghadiahkan senyuman buat Faris. Bibirnya yang nipis dan kemerah-merahan itu membuatkan senyumannya bertambah manis jika dilihat.

            “Sama-sama.”

            Fina memasukkan nota yang dibacanya tadi ke dalam beg sandang yang dibawanya. Faris hanya memerhati gadis kesayangannya itu. Fina tampak santai hari ini dengan blouse biru cair bercorak abstrak yang dipadankan dengan skirt labuh warna senada. Selendang warna biru lembut dipin kemas di kepalanya.

            “Fina nak hadiah tak?” soal Faris tiba-tiba.

            Fina menoleh. Sebentar kemudian, dia tertawa kecil. Tangannya menekup mulutnya agar tawanya tadi tidak kedengaran oleh orang lain. Faris mengangkat kedua-dua alisnya. Dia bertanya bukannya membuat lawak. Entah kenapa Fina tertawa.

            “Abang ni. Ada tanya macam tu,” ujar Fina sopan.

Wajah Faris dipandang sekilas sebelum pandangannya dihalakan ke arah dua orang kanak-kanak perempuan yang sedang leka bermain-main di tepi tasik itu. Waktu petang begini, memang ramai orang yang akan mengunjungi tasik di universiti ini. Mengambil angin mungkin. Ada juga yang bersenam tak kurang juga yang mencari idea untuk melukis mahupun mengarang.

            “Yalah, abang ingat nak bagi Fina hadiah. Tapi…” Sengaja Faris mematikan kata-katanya di situ untuk memancing minat Fina.

            “Tapi?” ujar Fina sepatah tanpa memandang muka Faris. Kakinya dicelupkan ke dalam air tasik itu. Sebentar kemudian, cepat sahaja kakinya di angkat. Sejuk.

            Faris tertawa memandang gelagat Fina itu. Comel.

            “Tapi apa abang?” soal Fina kembali apabila soalannya masih belum dijawab oleh Faris.

            Faris menarik nafas dalam. Kalau dua tahun lepas dia masih ragu-ragu tatkala dia melafazkan rasa cintanya kepada Fina sewaktu merancang sambutan ulang tahun Fina bersama junior-junior yang lain, namun, hari ini, dia yakin, rasa cintanya hanya untuk Fina.

            Untuk mendapat jawapan yang pasti seperti itu, Faris membuat solat istikharah setiap malam sebelum tidur. Di dalam doanya, Faris  memohon agar Allah menunjukkan wanita yang terbaik baginya untuk dijadikan isteri. Dan setiap kali dia melakukan solat istikharah, pada malamnya Faris akan melihat wajah Fina dalam mimpi.

            “Tapi abang takut Fina tak suka hadiah yang akan abang bagi,” ujar Faris tenang.

Tangannya diseluk ke dalam kocek seluar. Menutup kegusaran hatinya saat itu. Hatinya berdebar bukan kepalang. Namun, dia harus berani untuk mendapatkan sebuah jawapan.

Fina memandang wajah Faris sekali lagi. Kali ini, dia cuba mencari jawapan kepada teka-teki yang cuba disembunyikan oleh Faris saat ini. Melihat dirinya direnung begitu, pantas Faris membuang pandangan ke arah bunga teratai yang menghiasi tengah-tengah tasik itu.

“Kalau abang nak bagi hadiah, bagilah. Apapun Fina terima,” ujar Fina lembut. Selendang yang terjurai di bahagian tepi itu menampar perlahan pipinya apabila angin petang berpuput lembut.

“Termasuk ini?” ujar Faris seraya mengeluarkan sebuah kotak baldu bewarna merah daripada kocek seluarnya yang sedari tadi digenggam erat.

Fina kaget. Terasa darah menyerbu ke muka. Kotak baldu merah berbentuk hati. Dia selalu melihat kotak itu di kedai-kedai emas. Di dalamnya pasti akan terisi sebentuk cincin. Dan dia pasti, di dalam kotak ini pun bakal ada sebentuk cincin. Dan cincin itu biasanya bukan sebentuk cincin biasa. Namun ianya merupakan sebentuk cincin pertunangan mahupun pernikahan.

“Fina sudi menjadi isteri abang?” soal Faris inginkan kepastian dan jawapan daripada Fina.

Fina merenung wajah Faris. Sungguh, lidahnya kelu saat ini. Tidak tahu apa yang harus dijawabnya. Air mata sudah mula bertakung di kolam mata. Akhirnya, perlahan-lahan Fina mengangguk.

“Alhamdulillah,” ujar Faris lega. Rasa syukur tidak terhingga dipanjatkan kepada Allah kerana membuka hati Fina untuk menerima dirinya.

“Abang datanglah rumah tanya keluarga Fina,” akhirnya Fina bersuara.

Faris mengangguk laju. Kotak baldu itu diletakkan di atas telapak tangan Fina. Bibirnya tidak henti-henti mengucapkan syukur.

“Minggu ini abang hantar pinangan. Kita bertunang dulu ya sayang,” ujar Faris lembut.

Fina hanya mengangguk. Seketika kemudian, telapak tangannya menutup muka. Malu apabila mendengar Faris menyatakan ayat itu kepadanya.

*****

“YA, saya Faris. Ada apa hal encik?” soal Faris apabila tiba-tiba sebuah panggilan diterimanya.

            “Nama isteri Encik Faris adalah Puan Syafina binti Syaiful?” soal pegawai itu lagi.

            Dada Faris berdebar pantas. Ya, memang itu nama penuh Fina. Kenapa dengan Fina? Adakah sesuatu terjadi kepada Fina?

            “Ya… Ya…” jawab Faris tergagap-gagap. Inilah hal yang paling ditakutinya satu waktu dahulu sewaktu dia juga belajar di luar negara.

“Pesawat AK306 yang dinaiki oleh Puan Syafina penerbangan daripada Makassar menuju ke Kuala Lumpur tadi mengalami kecelakaan sewaktu mendarat,” ujar pegawai itu lebih terperinci.

            Gelas kaca yang dipegang oleh Faris tadi terlepas dan pecah berderai apabila mencium permukaan lantai.

            “Astaghfirullahalazim…” Faris mengucap panjang.

            “Kami harap encik dapat bersabar. Kami akan cuba menyelamatkan semua mangsa yang terlibat dalam nahas itu. Kami harap encik dapat datang ke sini untuk membantu kami membuat pengecaman mangsa kerana kami hanya menemui kad pengenalan mangsa.”

            Air mata sudah merembes keluar daripada tubir mata. Perasaanya hancur lebur ketika ini. Dia hanya berdoa agar Fina selamat.

            “Baiklah encik. Saya akan segera ke sana,” ujar Faris seraya memutuskan talian.

            Hidangan makan malam yang sedang disusun atur di atas meja untuk menyambut kepulangan dan ulang tahun Fina dibiarkan begitu sahaja. Kunci kereta dicapai dan pantas Faris masuk ke dalam kereta. Dia perlu cepat menuju ke Terminal LCC. Dia mahu berjumpa dengan Fina. Dia mahu mengucapkan selamat ulang tahun kepada isterinya itu.

            “Ya Allah, kau selamatkanlah isteriku…”

            Kereta perdana itu dipecut laju membelah kegelapan malam.

*****

MATA Fina masih menatap gambar Faris yang dipegangnya sejak awal perjalanan tadi. Gambar yang tadinya bersih kini telah kotor dengan percikan darah. Tangannya terketar-ketar cuba membawa gambar itu dekat di depan mata. Semakin lama, semakin kabur wajah Faris daripada pandangan matanya. Mulut Fina terkumat-kamit cuba mengatakan sesuatu.

            “Abang me me…mang tak nak ucap sela…mat ulang ta…hun pada Fina ya…” payah sekali ayat itu mahu diucapkannya.

“ Se…bab tu Fina tung…gu abang ca…kap tadi…” ujar Fina tersekat-sekat. Air mata keluar dari hujung mata.

            “Fina dah ba…lik kepang…kuan abang,” ujarnya lagi. Gambar Faris masih direnung walaupun kini pandangannya semakin kabur.

            “Maaf…kan Fina abang. Fina tak ba…lik dengan se…lamat…”

            Hujan yang semakin menggila membasahi tubuh Fina yang cedera teruk. Kepalanya berlumuran darah akibat hentakan yang kuat. Kali ini, tubuh Fina seolah-olah kejang. Dadanya berombak laju.

            “Allahhhhhhhh…” ucapnya perlahan.

*****

TUBUH yang berlumuran darah itu dipandang kosong. Sewaktu proses pengecaman mangsa tadi, dia melihat sekujur tubuh ini memegang gambarnya. Walaupun Faris tidak mahu mengakui sekujur tubuh yang kaku di hadapannya ini adalah tubuh isterinya, namun dia tahu inilah Fina. Gambarnya dipegang kemas dalam gengaman Fina.

            Faris mendekatkan mulutnya ke telinga Fina. Dia mahu mengatakan sesuatu kepada isterinya itu walaupun dia tahu Fina takkan bisa mendengar suaranya lagi.

            “Selamat Ulang Tahun sayang,” ujarnya perlahan seraya mengurut lembut ubun-ubun Fina yang basah dengan darah.

            Sekujur badan kaku itu dipeluk erat. Dia sangat merindui Fina walaupun Fina kini sudah berada di hadapan matanya.

            “Innalillahhiwainnailaihirojiun…” ucap Faris tersedu-sedu.

            “Ya Allah, kau tempatkanlah isteriku di kalangan orang-orang yang solehah. Aku redha dengan pemergiannya Ya Allah.”

                                                                         *****
Janganlah anda membuat orang yang anda sayang tertunggu-tunggu anda mengucapkan selamat ulang tahun kepada mereka. Jika hal begini terjadi kepada anda, saya pasti anda akan menyesal seumur hidup anda. 

Sincerely, 
~Isha Idiaz~

                                                                         *****
©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz         
                                                                         *****
Selamat Ulang Tahun Sayang
Imran Ajmain

*****
            
Share

8 comments:

Anonymous said...

waaaa! sad ending ye, huhu! patut la Fina beria sgt, rupe2nye dia dah tau yg masa dia dah nak smpai! hmm, kesiann dekat Faris! ape2 pun, citer ni best & agak santai permulaan dia! suka3! ^_^


-aida-

Syafi Najihah said...

waaaaaaaa~ huhu
sad ending!
best2~ :)

Anonymous said...

Sedehnya cite ni . Tapi sangat best ! Thumbs up ! :)

Miss FF said...

nice story... tp ending dia sedih.... =( ... tp nak wat cam ne kan kalo realitinye jadi camtu... takdir dan ketentuan dari Allah.. tak siapa mampu halang~

kuzie said...

sobssobs dah bergenang air mata..huhuu
sedihhhh sgt2...
nsidur

Aida Sherry said...

kesiannya kat Faris dgn Fina....
hanya jasad yg kaku shj yg menemuinya... menyesalpun dah tak berguna.... masa tak mungkin kembali lagi....

zaza said...

Napa buat cerita mcm ni...xbest la....bt sambungan, fina bangun lpas dgr ucpn 2....plzzz

izan supian said...

huhu....sedey baca cite ni.memang betul....kalau ada apa yng nak diucapkan...ucapkan secepat mungkin.takut nanti tak sempat....