Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

17
*****

Hari sudah menjengah ke sebelah petang. Faizah melihat jam yang tergantung di tengah-tengah ruang tamu. Jam lima petang. Ditinjau cuaca di luar melalui cermin pintu gelongsor. Redup. Dilihat pohon buluh hiasan yang menghiasi penjuru rumah meliuk-lintuk ditiup angin petang.

            “Keputusan angah keluar pukul berapa?” soal Puan Laila kepada anak keduanya itu. Tangannya menatang dulang yang berisi seteko air teh dan sepinggan pisang goreng.

            Mendengar suara mamanya, pantas Faizah menoleh. Senyuman terpamer di bibirnya. Dulang yang dipegang oleh Puan Laila tadi kini telah bertukar tangan.


            Puan Laila menolak daun pintu gelongsor itu ke sisi kanan. Lalu kedua beranak itu mengarahkan kaki ke arah meja kopi yang terletak di beranda rumah mereka.

            “Katanya pukul lima. Tapi tak ada lagi kawan angah yang telefon cakap apa-apa,” jawab Faizah seraya tangannya laju menuang air teh tadi ke dalam cawan setelah dulang tadi diletakkan di atas meja kopi tersebut.

            Puan Laila menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya di situ.  “Angah rasa macam mana keputusan angah?” soal Puan Laila dalam nada serius.

            Faizah sudah menelan liur. Tiba-tiba sahaja perutnya terasa sakit. Gerun juga dia apabila tiba-tiba Puan Laila bertanyakan soalan seperti itu. Jantungnya juga terasa berdegup laju.

            Tidak menjawab terus soalan yang diajukan oleh Puan Laila, Faizah menyuakan pinggan berisi pisang goreng kepada mamanya itu. Puan Laila mengambil sekeping pisang goreng lalu menyuapkannya ke dalam mulut.

            Setelah mengambil tempat duduk, Faizah membuka mulutnya menjawab pertanyaan Puan Laila tadi. “Soalan susah hari tu mama. Tak tahulah nak cakap macam mana,” hanya itu yang mampu dituturkan olehnya.

            “Tapi dapat jawabkan?” soal Puan Laila lagi. Nada suaranya masih seperti tadi. Tegas.

            Gulp. Sekali lagi Faizah menelan air liur.

            “Dapat tu memanglah dapat mama. Tapi tak tahulah betul ke tidak,” Faizah bersuara lagi.

            Puan Laila memandang wajah anak gadisnya itu sekilas. Dia tahu anak itu tidak selesa apabila ditanya begitu. Faizah melarikan anak matanya daripada terus menatap wajah Puan Laila.

            Dia memang sejak azali tahu Puan Laila sangat tegas dalam soal pelajaran. Puan Laila memang seorang ibu yang baik dan penyayang. Namun apabila tiba soal pelajaran, Puan Laila sangat tegas. Kerana itu sejak Faizah sekolah rendah lagi, dia sering menerima anugerah pelajar cemerlang. Malah sewaktu darjah tiga, Faizah adalah antara empat orang pelajar yang lulus dalam peperiksaan penilaian tahap satu di sekolahnya yang membolehkan mereka melangkau terus ke darjah lima tanpa menduduki darjah empat. Namun, Puan Laila tidak membenarkannya melangkau ke darjah lima dan kerana itu dia masih bersama rakan-rakan yang lain melalui darjah empat waktu itu sedangkan tiga lagi pelajar yang lulus itu terus melangkau ke darjah lima.

            “Mama hantar angah pergi sana untuk belajar bukan bercinta. Ingat, cinta tak bawa angah ke mana-mana,” Puan Laila mengingatkan Faizah.

            Faizah mengangguk perlahan. Cinta tidak bawa ke mana. Menyentuh soal cinta, dia baru teringat dia akan menyemak keputusan peperiksaan ini bersama-sama Farhan. Namun hingga sekarang Farhan masih belum menelefonnya lagi.

            “Pergi siap-siap. Sekejap lagi kita keluar pergi semak keputusan angah tu kalau betul dah keluar,” ujar Puan Laila apabila melihat Faizah sudah berhenti makan dan menghabiskan air tehnya di dalam gelas.

          “Baiklah mama,” ujar Faizah seraya mengangkat kembali dulang masuk ke dalam rumah meninggalkan Puan Laila yang ingin menghirup udara petang di luar.

*****

FAIZAH kembali ke bilik tidurnya untuk menukar pakaian setelah selesai membasuh pinggan dan cawan. Baru sahaja tangannya mahu membuka almari pakaian, telefon bimbitnya berdering memainkan lagu Relaku Pujuk dendangan kumpulan Spider.

            Faizah berlari-lari kecil ke meja soleknya dan mencapai telefon bimbitnya. Sekilas dilihat nama yang tertera di skrin telefon. Farhan.

            “Hello, Assalammualaikum,” ujar Faizah dalam nada ceria.

            Farhan sudah tersenyum sebaik sahaja mendengar suara Faizah. Pasti Faizah sedang menunggu panggilan daripadanya.

            “Waalaikummussalam,” jawab Farhan dihujung talian. Suaranya juga kedengaran ceria.

            Sunyi sepi seketika. Masing-masing tidak tahu mahu berkata apa-apa. Yang ada cuma sekuntum senyuman yang terukir mekar di bibir mereka.

            “Kenapa diam?” Faizah dan Farhan masing-masing menuturkannya serentak. Di hujung kata itu terdengar mereka tertawa kecil. Tidak sangka mereka akan bertanya soalan yang sama pada masa yang sama.

            Farhan berdehem beberapa kali. Akhirnya Farhan menanyakan kembali soalan yang ditanyakan tadi kepada Faizah. “Kenapa diam?” soalnya.

            Faizah masih lagi tersenyum. “Aku pulak, kaulah yang diam. Siapa yang telefon siapa sekarang ni?” lancar sahaja ayat itu meniti di bibirnya.

            “Owh, tak boleh telefonlah ni. Okeylah. Aku letak telefon ea,” ujar Farhan sengaja mahu mengusik Faizah.

            “Apa sensitif sangat ni. Mengada-ngada betul,” komen Faizah. Sejurus setelah dia mengucapkan ayat itu, Farhan sudah ketawa besar.

            “Mengada-ngada pun dengan kau je Faiz. Bukan dengan orang lain. Kekasih aku,” selamba sahaja Farhan berkata seperti itu.

            Tersedak Faizah mendengar perkataan terakhir yang disebut oleh Farhan itu.

            Sekali lagi Farhan tertawa. Faizah sudah menarik muka masam.

            “Eh, diam pulak dia. Kekasih, ni aku nak nyanyi untuk kau ni,” ujar Farhan sengaja mahu memancing Faizah untuk berbicara. Sengaja juga dia menekan perkataan kekasih itu ketika menyebutnya.

            “Apa?” soal Faizah kasar.

            “Dengar ea,” ujar Farhan dalam nada memujuk.

            Gitar yang disandarkan di hujung kepala katil dicapai dan dipangku di atas ribanya. Tangannya mula mencari-cari not muzik yang akan dimainkannya sebentar nanti.

            Dan sebuah lagu dimainkan oleh Farhan menghasilkan bunyi yang sangat menyentuh hati. Tanpa nyanyian. Sekadar muzik. Tiba-tiba Farhan menghentikan petikan gitarnya sekaligus membawa semula Faizah ke alam realiti.

            “Ha, dah dengarkan? Tak boleh bagi banyak-banyak,” ujar Farhan mengusik Faizah.

            “Sedap,” komen Faizah.

            Belum sempat Farhan menuturkan kata-kata Faizah kembali menyambung ayatnya. “Tapi kenapa tak boleh dengar sampai habis?” soal Faizah.

            “Kalau dapat Anugerah Dekan baru boleh dengar lagu tu sampai habis,” lembut Farhan menuturkan ayat itu.

            Anugerah Dekan. Ya, Faizah tercampak lagi ke alam realiti. Dia hampir terlupa tadi dia mahu menukar pakaiannya untuk pergi menyemak keputusannya di Cyber Cafe berdekatan kerana rumahnya tidak mempunyai internet.

            “Dah keluar ke?” soal Faizah. Dadanya berdegup kencang saat ini.

            “Dah,” ujar Farhan sepatah.

            “Macam mana? Dapat berapa?” soal Faizah bertalu-talu kepada Farhan.

            Farhan hanya tersenyum.

            “Gelojoh,” jawabnya sepatah.

            “Main-main. Cakaplah cepat. Dah semak ke?” soal Faizah lagi inginkan kepastian daripada Farhan.

            “Kan nak semak sama-sama. Kenapa kau tak siap lagi? Pergilah siap cepat,” ujar Farhan seolah-olah dia tahu Faizah sedang mahu bersiap-siap.

            “Dah tu, kau yang telefon aku. Terbantut aku nak tukar baju,” Faizah mengomel membela dirinya yang langsung tidak bersalah dalam hal ini.

            “Kalau tak dapat dekan boleh dengar lagu tu tak?” soal Faizah inginkan kepastian. Dia berharap dia dapat mendengar lagu itu hingga akhir.

            “Tengok macam mana nanti kalau hati aku ni baik,” ujar Farhan dalam nada mengusik.

            Faizah mengeluh. Dia mahu mendengar lagu itu lagi. Farhan menyeringai ketawa. Dia sudah dapat mengenakan Faizah.

“Nanti dah sampai sana, message aku. Aku call,” pesan Farhan lagi sebelum meletakkan telefon.

            “Okey. Nanti aku message. Assalammualaikum,” ujar Faizah.

            “Waalaikummussalam,” jawab Farhan seraya memutuskan talian.

Komputer yang berada di hadapan mata ditatap. Laman rasmi portal pelajar Universiti Teknologi Mara sudah terpapar. Kecut juga perutnya melihat laman itu. Doa dibaca di dalam hati. Berdoa agar keputusannya dan Faizah sama-sama cemerlang. Itu azam dan janji mereka sewaktu mereka mula-mula kenal dahulu. Mahu menerima Anugerah Dekan itu bersama-sama.

*****

JARI-JEMARI Faizah mula menaip di butang kekunci telefon bimbitnya. Lalu dihantar sebuah message kepada Farhan.

            Farhan mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan di sebelah komputer ribanya apabila sebuah pesanan ringkas masuk. Ditekan butang buka pesanan dan sebuah pesanan ringkas diterima daripada Faizah.

            ‘Dah sampai,’ ulang Farhan dalam hatinya.

            Keypad ditekan ke bawah mencari nama Faizah di dalam memori telefon bimbitnya. Ditekan butang membuat panggilan dan serta-merta panggilan bersambung.

            “Assalammualaikum,” jawab Faizah mengangkat panggilan dalam nada tercungap-cungap. Tersekat-sekat nafasnya setelah berlari-lari menaiki tangga bangunan setinggi tiga tingkat itu.

            “Waalaikummusalam. Kau kena kejar anjing ke?” soal Farhan dalam tawa kecil. Jelas kedengaran nafas Faizah yang tercungap-cungap itu di hujung talian. Dia juga mendengar Faizah terbatuk-batuk kecil.

            “Bukan setakat kena kejar dengan anjing. Aku kena kejar dengan anak gajah,” jawab Faizah spontan. Sakit benar hatinya dengan Farhan. Lelaki itu memang suka membulinya.

            “Anak gajah mana?” soal Farhan serius. Apa benar Faizah dikejar oleh anak gajah.

            “Kaulah anak gajah tu,” sekali lagi spontan sahaja jawapan yang dituturkan oleh Faizah.

            Terhambur ketawa daripada mulut Farhan. Kepalanya digeleng-gelengkan beberapa kali. Tidak percaya Faizah yang menuturkan ayat itu kepadanya.

            “Kenakan aku pulak. Dah dapat PC ke belum?” soal Farhan lagi.

            “Dah. Tengah browse. Student portalkan?” soal Faizah pula ingin mendapatkan kepastian.

            “Yup betul,” ujar Farhan tenang walaupun hatinya hanya Tuhan yang tahu.

            “Okey done,” ujar Faizah seraya tangannya laju menghalakan tetikus ke arah petak login untuk membolehkannya mengakses ke dalam portal pelajar itu.

            “Login dah?” soal Farhan lagi.

            “On the road, in the rain,” Faizah menjawab dengan nyanyian kecil persis sebuah lagu Hindustan di dalam filem yang dia juga sudah tidak ingat tajuknya.

Farhan tergelak kecil mendengar jawapan daripada Faizah itu. Sempat lagi Faizah melawak saat-saat begini.

            Faizah cuba memasukkan id pelajar dan kata laluannya. Namun tidak berjaya.

            “Tak lepaslah,” ujarnya kepada Farhan sementar tangannya masih cuba memasukkan kata laluan yang benar.

            “Password ke yang tak lepas?” soal Farhan inginkan kepastian.

            “Aku lupa,” ringkas jawapan Faizah.

            “Dua satu kosong tiga lapan lapan,” ujar Farhan satu-persatu dengan senyuman di bibir.

            Tanpa berfikir panjang, pantas tangan Faizah menekan nombor-nombor yang diucapkan oleh Farhan tadi dan menekan butang submit sekali lagi. Lepas!

            Terpampanglah laman portal pelajar Universiti Teknologi Mara. Pantas tangan Faizah menghalakan tetikus ke bahagian semak keputusan peperiksaan.

            “Macam mana kau tahu password aku?” soal Faizah. Matanya tidak berganjak sedikitpun daripada skrin komputer yang ada di hadapannya kini.

            “Siapa je yang tak tahu password kau. Cuba beritahu aku kau telefon siapa kalau kau lupa password kad Bank Islam kau tu,” ujar Farhan selamba.

            “Owh, aku lupa. Kau kan Personal Assistant aku. Bagus-bagus,” ujar Faizah juga selamba. Ada tawa di hujung kata-katanya.

            Teringat sewaktu dia mahu mengeluarkan wang di mesin Auto Teller sewaktu mula-mula masuk di sini dahulu, Farhanlah orang yang selalu menemaninya jika tiada Mira. Dia sangat takut kalau-kalau kadnya ditelan oleh mesin itu. Dan mereka berdualah yang tahu password kad banknya itu. Hingga kini, jika dia mahu mengeluarkan wang, jika terlupa kata laluan, orang yang pertama dicari adalah Farhan dan Mira.

                “Dah bukak page semak keputusan tu tak?” Farhan bertanya apabila Faizah mendiamkan diri.

        “Okey dah. Ready?” tanya Faizah. Jantungnya mahu luruh saat ini. Kecut hatinya. Bimbang keputusannya tidak cemerlang.

                 “Aku kira sampai tiga, kita tekan butang semak sama-sama ea,” ujar Farhan.

                “Okey,” jawab Faizah gugup. Air liur ditelan.

            “Satu,” ujar Farhan. Pendingin hawa di dalam biliknya seolah-olah tidak berfungsi. Peluhnya mula memercik di dahi.

            “Dua,” ujar Faizah pula. Suasana dalam Cyber CafĂ© itu yang tadi hingar bingar dengan suara pengunjung yang bermain game kini tidak kedengaran lagi di telinganya.

            “Tiga,” ujar Farhan seraya menekan butang semak keputusan. Faizah juga membuat perkara yang sama.

            Kini mereka berdua masing-masing menutup mata. Takut untuk melihat keputusan peperiksaan mereka. Faizah memegang erat tangannya dan dibawa ke dada. Begitu juga dengan Farhan. Masing-masing berdoa di dalam hati.

            Setelah pasti keputusan mereka sudah tersedia di depan mata, Faizah dan Farhan sama-sama membuka mata mereka perlahan-lahan. Sah. Dah keluar.

            Faizah mula melihat slip keputusan peperiksaannya. Tiada subjek gagal.

            Farhan juga mula meniliti keputusannya. Juga tiada subjek gagal.

            Masing-masing kini menyorot mata mereka ke arah nilai GPA yang tertera di bawah slip peperiksaan itu.

            “Farhan!”

            “Faiz!”

            Kedua-duanya menjerit serentak memanggil nama masing-masing.

            “Tiga lima satu,” ujar Faizah.

            “Tiga lima sembilan,” ujar Farhan.

            “Anugerah Dekan!!” kedua-duanya menjerit kegembiraan.

            Manik-manik jernih mengalir di pipi Faizah yang mulus. Begitu juga dengan Farhan. Kegembiraan yang mereka rasa kini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

            Berkat usaha, doa dan tawakkal, untuk semester pertama ini, mereka mendapat Anugerah Dekan. Sebuah anugerah yang diberikan oleh Dekan Universiti buat siswa siswi yang mendapat GPA tiga perpuluhan lima dan ke atas.

            “Alhamdulillah,” ujar kedua-duanya.

            “Nak tuntut hadiah,” ujar Faizah dengan suara yang ceria.

            “Nak tuntut hadiah juga,” ujar Farhan juga dengan nada ceria.

            Setelah meletakkan penggilan, Faizah berjalan menuju ke arah Puan Laila yang menanti di kereta dan memberitahu keputusannya. Lebar senyum Puan Laila apabila mendapat tahu anak keduanya itu berhasil lagi kali ini. Faizah tidak pernah menghampakan harapannya.

            Faizah tersenyum puas. Keputusan yang didapatnya ini membakar lagi semangatnya untuk melakukan yang lebih baik untuk peperiksaan semester hadapan.

            Farhan tersenyum bangga. Impian yang diciptakan bersama Faizah menjadi kenyataan hari ini.

Cinta bukan sekadar menyatakan rasa suka dan cinta. Cinta adalah bagaimana anda boleh membawa pasangan anda ke arah mewujudkan impian kalian kepada kenyataan.

*****

USAI solat Isya’ Farhan merebahkan badannya ke katil. Gambar Faizah yang diletakkan di atas meja belajarnya di pandang sekilas. Gambar mereka berdua sewaktu menikmati aiskrim pada hari terakhir sebelum pulang bercuti dulu. Syafik yang mengambil gambar itu dari jauh. Gambar curi istilahnya. Gambar mereka di mana Farhan sedang mengelap mulut Faizah yang comot dengan lelehan aiskrim dengan sapu tangannya.

            Mengimbas kembali detik itu, Farhan tersenyum. Serta-merta ingatannya kembali kepada Faizah. Telefon bimbit yang berada di sebelah dicapai. Pantas juga tangannya mendail nombor Faizah.

            Faizah yang sedang melayan perasaannya waktu itu sedikit terperanjat apabila tiba-tiba lagu Relaku Pujuk bersuara lantang di telefon bimbitnya menandakan ada panggilan yang masuk.

            “Assalammuaikum,” suara dihujung talian memberi salam.

            “Waalaikummussalam,” jawab Faizah. Mendengar sahaja suara itu, dia sudah tahu siapa pemilik suara itu. Bibir sudah mengukir senyum.

            “Tengah buat apa?” soal Farhan berbasa-basi.

            “Terbang melayang ke planet Musytari,” ujar Faizah dalam tawa kecil.

            “Kenapa bukan Pluto?” soal Farhan sengaja mahu mengusik.

            “Sebab Pluto tak ada kau. Boleh mati aku duduk sana seorang-seorang,” jawab Faizah spontan.

            “Alasan yang boleh diterima pakai,” komen Farhan. Pandai juga Faizah ini loyar buruk. Mungkin bahana terjangkit perangainya yang suka loyar buruk itu.

            “Tengah buat apa?” giliran Faizah pula bertanya.

            “Tengah pandang kau,” laju sahaja ayat itu keluar daripada mulut Farhan.

     Darah menyerbu ke muka Faizah. Merah pipinya saat itu. Walaupun dia tahu Farhan tidak memandangnya, tetapi entah mengapa dia malu mendengar Farhan mengatakan ayat itu.

            Mendengar Faizah senyap tanpa suara, Farhan sudah terkekeh-kekeh ketawa. Pasti Faizah sudah malu saat ini. Dia bukan menipu. Memang dia sedang menatap gambar Faizah sekarang ini. Bingkai gambar Faizah yang tadi berada di atas meja kini sudah berada di tangannya.

            “Pakai blusher cap apa tu Faiz?” sengaja Farhan melontarkan pertanyaan itu untuk mengusik Faizah.

            “Blusher cap semula jadi,” ringkas jawapan Faizah sekaligus membuat mereka sama-sama ketawa.

            Farhan kini mencapai gitarnya. Dia mahu menunaikan janjinya petang tadi kepada Faizah. Memainkan semula lagu yang tidak habis dimainkan petang tadi. Sebagai hadiah kejayaan Faizah mendapat Anugerah Dekan.

            “Hadiah ini untuk kau. Dengar elok-elok,” ujarnya kepada Faizah.

            “Baiklah,” jawab Faizah menurut perintah.

            Farhan memangku gitar di atas pehanya. Badannya disandarkan ke kepala katil. Menyangkutkan handsfree di kolar bajunya.

            Jari-jemarinya mula menari-nari di atas gitar memainkan alunan irama pembukaan yang merdu. Faizah memejamkan matanya menghayati lagu yang dimainkan oleh Farhan itu.

            Kini Farhan mula menyanyikan bait pertama lagu itu sambil memetik gitar akustiknya.

"Akan kupintal buih-buih, 
Menjadi tali,
Mengikatmu ..”

“Akan kuanyam gelombang-gelombang,
Menjadi hamparan, 
Ranjang tidurmu…”

Faizah mendengar dengan penuh khusyuk. Cuba mendalami maksud tersurat dan tersirat di sebalik setiap ayat yang dinyanyikan oleh Farhan.

“Akan kutenun awan-gemawan,
Menjadi selendang, 
Menudungi rambutmu…”

“Akan kujahit bayu gunung,
Menjadi baju, 
Pakaian malammu…”

Farhan menyanyikan bait-bait puisi nukilan Usman Awang itu dengan penuh perasaan. Sebuah puisi yang mempunyai maksud yang sangat mendalam. Puisi yang sangat digemarinya.

“Akan kupetik bintang timur, 
Menjadi kerongsang,
Menyinari dadamu…”

“Akan kujolok bulan gerhana,
Menjadi lampu ,
Menyuluhi rindu…”

Faizah menukar posisi baringnya ke posisi duduk. Badannya disandarkan ke kepala katil. Tangannya memeluk kedua-dua belah kakinya.

“Akan kurebahkan matari,
Menjadi laut malammu, 
Menghirup sakar madumu…”

“Kekasih, hitunglah mimpi,
Yang membunuh realiti,
Dengan syurga ilusi…”

         Farhan memetik tali gitarnya memainkan penutup lagu itu. Mata yang sejak tadi ditutup rapat kini dibuka perlahan-lahan.

            Lagu nyanyian kumpulan Kopratasa ini benar-benar meninggalkan kesan di hatinya. Mungkin kerana ayat-ayat yang sangat indah ditulis oleh Usman Awang dan cara lagu itu disampaikan oleh Kopratasa yang bisa membuatkan kita sama-sama terbuai jika mendengar lagu ini.   
       
“Kekasih, hitunglah mimpi, yang membunuh realiti, dengan syurga ilusi…” ujar  Faizah perlahan. Teringat kata-kata mamanya petang tadi. Cinta tidak bawa kita ke mana-mana. Hanya pelajaran yang membawa kita mencapai kejayaan.

“Kekasih, hitunglah mimpi, yang membunuh realiti, dengan syurga ilusi…” ujar Farhan lirih. Kata-kata ayahnya sewaktu makan malam tadi yang melarang keras dia bercinta sewaktu masih bergelar mahasiswa benar-benar membuat hatinya sedih. Kata ayahnya, cinta membuat kita leka. Hanya keputusan cemerlang yang akan membawa kita kepada kejayaan.

Suasana sunyi sepi. Farhan dan Faizah masing-masing melayan perasaan sendiri. Membiarkan air mata membasahi pipi mereka.

“Tapi kita berjaya walaupun kita bersama,” kedua-duanya menuturkan serentak dalam suara yang hampir tidak kedengaran.

Akanku tadahkan seribu lautan
Menjadi tempat menakung air matamu
Akanku hapuskan kenangan lama
Memori kita biarkanlah ia berlalu

Berjuraian air mata jatuh daripada tubir mata dua anak muda itu. Malam itu mereka masing-masing berbicara tanpa suara.

*****
©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz


           
           
           
            
Share

10 comments:

Aida Sherry said...

suka sangat ngan couple.... walaupun bercinta tapi pelajaran tetap diutamakan.... so sweet....

ISHA IDIAZ said...

Kak Aida : terima kasih sudi baca.. ngehee.. sweet ye.. pasni xsweet dh..

Anonymous said...

Sedihnya....

cepat sambung ya Isha... :)

ISHA IDIAZ said...

Anonymous : InsyaAllah jika ada masa terluang, Isha akn cpt2 sambung ye.. Terima Kasih sudi membaca.. :-)

Anonymous said...

cite y mmg btul2 trkesan bg sy la kak isha..xsbr nk tggu y strusnya..hehe

mInE pLayGrouNd!!!! said...

Salam...
thumbs up!!..
nervous mo tunggu next part..
nanti i siap beli tissue cap Premier k..haha...

p/s: saya dah berjaya leavekan comment...rasa2 kenal x?..hehe

Idha Chunhyang said...

Idha Chunhyang (Comment) :
Best Isha....
suka...suka...
cepat sambung yaa... :) ;)

ISHA IDIAZ said...

Anon : tq syg~ wait 4 next episode k~
Mine : Waalaikummussalam.. mcm knl je~ Idayu kn? Hehe.. Tq bce..
Idha : Makasih~ InsyaAllah.. ;-)

nik athirah said...

cerita nie best !da baca sekali ..teringin nk bce bnyk kali .. <3
apa2 pun ..terbaik laa ! =)

memey said...

best3 . sama2 lepas . jeles lakk . betul2 . cinta2 jugee . pljaran utama !! :)