Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

Cerpen : Kau Tigakan Cintaku


Oleh : Isha Idiaz

*****

“KENAPA mesti sekali lagi abang?” ujar Lydia kepada suaminya. Air mata yang mengalir laju diseka menggunakan hujung lengan baju kurung putih berbunga merah jambu itu.

“Maafkan abang sayang. Abang tak pernah terfikir untuk menduakan sayang,” ujar Latif dengan rasa hiba.

Lydia memalingkan mukanya daripada memandang wajah suaminya. Hatinya kini benar-benar terluka. Tidak mungkin bisa disembuhkan lagi.


“Sayang tak boleh pertimbangkan lagi ke keputusan sayang kali ini? Abang masih sayangkan Lydia,” ujar Latif dengan nada sayu. Hari ini dia dipanggil ke mahkamah syariah apabila Lydia menuntut cerai kepadanya.

Lydia menarik pintu kereta dengan kasar. Perkarangan mahkamah syariah itu ditinggalkan olehnya secepat yang mungkin. Dia tidak mahu keputusannya untuk menuntut khuluk’ daripada Latif kali ini dipengaruhi oleh kata-kata manis daripada Latif lagi.

“Sesuatu yang halal yang amat dibenci Allah ialah talak.”

           (H.R. Abu Dawud dan Ibnu Majah )

*****

PETANG itu mereka sama-sama menikmati angin petang di Taman Bukit Layang-Layang. Seingatnya, sudah lama Lydia tidak meluangkan masa berjalan-jalan bersama Latif suaminya itu lantaran kenaikan pangkatnya sebagai penolong pegawai jabatan perkhidmatan veterina benar-benar membuatnya sibuk.

            “Sayang sibuk ya sekarang ni?” soal Latif perlahan. Tangannya mengelus lembut jari jemari Lydia.

            “Sangat,” jawab Lydia sepatah. Sebuah keluhan dilepaskan. Kepalanya dilentokkan ke bahu Latif.

            Latif memandang sekilas wajah Lydia. Lydia sedang memejamkan matanya. Dilihat wajah isterinya itu kelihatan agak pucat. Barangkali Lydia sangat letih sekarang ini.

            “Kalau sayang penat, jom kita balik,” usul Latif kepada Lydia. Kasihan pula dilihat isterinya itu.

            Memang tadi Lydia yang beria-ia benar mengajaknya ke sini setelah pulang daripada kerja. Katanya sudah lama mereka tidak bersiar-siar bersama. Kerana itu mereka ada di Taman Bukit Layang-layang itu.

“Emm,” hanya itu yang keluar daripada mulut Lydia.

Latif hanya tertawa apabila mendengar reaksi Lydia itu. Sah, isterinya sangat penat dan mengantuk. Dibiarkan suasana sepi di antara mereka hampir sepuluh minit. Akhirnya Lydia membuka matanya.

“Abang masih sayang Lydia?” soal Lydia tiba-tiba.

Latif tersentak mendengar pertanyaan Lydia. Senyuman diukirkan menutup kegusaran hatinya. Anak matanya dilarikan daripada memandang wajah isterinya itu.

“Bagi sepuluh sebab kenapa abang tak sayang Lydia,” ujar Latif cuba melarikan diri daripada menjawab soalan isterinya itu.

Angin petang berhembus kuat. Lydia mengalihkan pandangannya ke atas langit. Dilihat layang-layang berbagai warna, bentuk dan saiz sedang terbang tinggi mendahului antara satu sama lain. Ada juga yang boleh menghasilkan bunyi. Kagum dia melihat bentuk satu layang-layang yang berbentuk seakan-akan dua hati yang bercantum menjadi satu itu.

“Kalau sayang kata sayang, tidak aku terbayang-bayang,” ujar Lydia tenang.

Sebenarnya sudah lama dia mahu menanyakan soalan itu kepada Latif. Hari ini baru dia berpeluang menanyakannya setelah usia perkahwinan mereka menginjak enam tahun.

“Lydia meragui kasih sayang abang pada Lydia?” soal Latif. Suaranya kedengaran bergetar.

            “Bukan meragui, sekadar ingin memastikan,” lancar sahaja ayat itu meluncur keluar daripada bibir Lydia.

            Dan layang-layang berbentuk hati tadi kini sedang terbang tinggi di atas awan meninggalkan layang-layang lain di bawah yang cuba menyaingi ketinggiannya. Kedengaran jeritan suara daripada bawah yang bersorak apabila ada layang-layang yang terputus talinya direntap oleh layang-layang lain.

            “Kita kena saling percaya Lydia,” ujar Latif perlahan.

            Lydia sekadar mengangguk mengiakan kata-kata Latif tadi. Pandangannya masih tidak beralih daripada memandang layang-layang berbentuk hati tadi. Membuat Latif juga turut sama memandang ke arah layang-layang itu.

            Tiba-tiba muncul sebuah layang-layang bewarna hitam dengan bentuk seolah-olah burung menghampiri layang-layang berbentuk hati tadi.  Dengan rakusnya, layang-layang hitam itu merentap tali layang-layang yang ada disekitarnya.

Terlopong mulut Lydia melihatnya. Tidak percaya, dada langit yang tadi dihiasi dengan pelbagai warna, bentuk dan saiz layang-layang kini hanya bersisa tiga layang-layang. Kini hanya tinggal layang-layang merah berbentuk hati, layang-layang hitam berbentuk burung dan sebuah lagi layang-layang lagi bewarna merah hitam berbentuk kumbang.

“Abang, tengok tu. Tinggal tiga je,” ujar Lydia separa menjerit.

Latif yang sememangnya dari tadi memerhati hanya ketawa mendengar ayat yang keluar daripada mulut isterinya itu.

“Abang gelak pulak. Si burung tu jahatlah abang. Habis semua layang-layang lain dia putuskan tali,” komen Lydia lagi.

Dalam tawa yang masih bersisa, Latif memaut bahu isterinya itu. “Layang-layang je pun sayang. Kenapa nak serius sangat ni,” ujar Latif seolah-olah memujuk Lydia.

“Abang tengoklah tu. Sekarang dia kejar si hati tu pulak,” ujar Lydia sambil menudingkan jarinya ke arah layang-layang bewarna hati yang sedang ligat melarikan diri daripada terus menjadi buruan si layang-layang burung hitam.

            “Ya, abang tengah tengok ni,” ujar Latif perlahan. Setia melayani Lydia yang kini sedang teruja melihat layang-layang itu.

            Dan si burung hitam tadi kini merapati si kumbang merah hitam perlahan-lahan. Mengelilingi si kumbang beberapa kali, hingga pada akhirnya tali mereka terbelit. Namun si burung hitam tidak memutuskan tali si kumbang merah hitam. Membawa si kumbang terbang tinggi bersamanya. Meninggalkan si hati di bawah.

            Si hati yang tadinya terbang tinggi kini sudah ketinggalan di bawah. Masih terbang tenang mengikut arah angin. Lydia menarik nafas lega. Namun kelegaannya tidak bertahan lama apabila si burung hitam bersama kumbang merah hitam tadi tiba-tiba terbang rendah menghampiri si hati.

            Hati yang tadinya terbang tenang kini kelam-kabut mencari ruang untuk menjarakkan diri daripada si burung. Si burung pula semakin menggila mencari ruang dan peluang untuk merentap tali si hati. Si kumbang yang terbelit sama tidak pula cuba untuk melepaskan dirinya daripada si burung. Akhirnya, dengan kasar, si burung merembat tali si hati sekuat-kuatnya membuatkan si kumbang turut sama merentap tali si hati.

            Terbanglah si hati menjunam jatuh ke bumi. Kini di dada langit, terbang megah beriringan si burung hitam dan kumbang merah hitam yang terlilit kemas tali mereka. Kemenangan kini milik mereka.

            Muka Lydia sudah mencuka. “Jomlah kita balik abang,” ujarnya serius.

            “Eh, abang pula yang kena marah,” ujar Latif cuba berseloroh.

            “Jahat sungguh si burung tu. Kesian hati. Si kumbang pulak boleh pulak ikut si burung tu. Tak cuba langsung nak lepaskan diri,” ujar Lydia dalam nada protes.

            “Dahlah tu. Layang-layang je pun sayang. Emosi sangat sayang ni.” Latif cuba memujuk. Untuk melegakan rasa marah isterinya itu, Latif membelikan aiskrim kon berperisa vanilla kegemaran Lydia di gerai kecil di Taman Layang-Layang itu dalam perjalanan mereka pulang ke kereta.

                Walaupun sudah menikmati aiskrim itu, rasa marah di hati Lydia masih tidak reda. Dia juga tidak tahu kenapa. Latif mengusap-ngusap bahu Lydia untuk menenangkan hati isterinya itu. Mungkin isterinya bisa lebih tenang.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”.

                                                                                                                   (Q.S. Ar Rum (30) : 21 )

*****

TELEFON Latif berbunyi lagi. Masuk kali ini sudah tiga kali telefonnya berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yang masuk. Lydia merasa tidak sedap hati. Mungkin ada perkara penting yang ingin dikhabarkan oleh keluarga terdekat mereka. Mahu ditunggu Latif pulang daripada kedai memang lama lagilah jawabnya.

            Kini, telefon itu berdering lagi. Lydia merapati meja kecil di sebelah katil. Dilihat sekilas telefon bimbit milik suaminya itu. Akhirnya Lydia mencapai telefon itu. Entah mengapa dadanya berdebar-debar apabila melihat ada empat pesanan ringkas baru tertera di skrin telefon bimbit suaminya itu.

            Belum sempat Lydia membuka peti simpanan, Latif sudah menjengukkan kepalanya ke dalam bilik dan mengejutkan Lydia yang sama sekali tidak perasan kepulangan Latif.

            “Sayang buat apa tu?” soal Latif dengan senyuman di bibir.

            “Err.. Tak ada apa-apa. Lydia tengah lap habuk dekat meja ni,” ujar Lydia tergagap-gagap. Jantungnya hampir luruh apabila mendengar suara Latif sebentar tadi. Tangannya mengelap habuk yang ada di meja kecil itu bagi memastikan lakonannya berhasil.

            “Owh, kenapa tak guna kain buruk. Guna tangan pulak. Nanti kotorlah tangan si cantik manis abang ni,” ujar Latif seraya menghampiri Lydia. Melihat Latif menghampirinya, pantas Lydia meletakkan kembali telefon bimbit Latif di atas meja kecil itu sebelum Latif betul-betul berada dibelakangnya.

            “Alaa, tangankan boleh lap kalau kotor,” ujar Lydia perlahan.

            “Meh abang tolong lapkan,” ujar Latif seraya mencapai tangan Lydia dan dilap menggunakan tisu basah.

            Lydia hanya tersenyum memandang kelakuan Latif itu. Kadang-kadang lelaki ini begitu romantis terhadapnya tetapi kadang-kadang Lydia meragui keikhlasan hati Latif kepadanya. Telefon bimbit Latif yang berada di atas meja kecil itu dipandang lagi.

‘Empat pesanan ringkas tadi daripada siapa?’ Persoalan itu bermain-main dibenaknya. Cuba dipamerkan senyuman buat suaminya walaupu hatinya sedang mendidih marah.



‘Aku berlindung diri dengan Allah dari syaitan yg terkutuk, ya Allah, ampunilah dosaku dan hilangkanlah kepanasan hatiku dan lepaskanlah aku dari syaitan yg terkutuk.”

                                                                                    (Doa ketika sedang marah)
*****

TASYA rindu abang tak?” soal Latif. Bibirnya mengukir senyum.

            “Mestilah rindu. Dah tiga hari abang tak telefon Tasya,” ujar Tasya dalam nada manja. Wayar telefon rumahnya dipintal-pintal.

            “Wah, ingatkan tak rindu dekat abang.” Latif berpura-pura terperanjat. Sebenarnya dia tahu Tasya pasti rindukan belai mesra daripadanya.

            “Abang tu yang tak rindu dekat Tasya,” rengek Tasya manja. Mahu dipujuk oleh Latif.

            “Alaaa, abang bukan tak nak telefon. Tasya pun tau kan Lydia tu macam mana,” ujar Latif sambil melepaskan keluhan kecil.

            “Hubungan kita ni macam mana abang?” soal Tasya terus kepada persoalan yang sering kali bermain di mindanya sejak akhir-akhir ini.

            “Hubungan kita?” soal Latif inginkan penerangan lebih lanjut. Kepalanya disandarkan ke kepala katil.

            “Yalah. Takkan kita nak telefon dan jumpa curi-curi sepanjang masa. Bila abang nak beritahu Lydia pasal sayang?” Tasya bertanya lagi. Dia berharap Latif memahami maksud pertanyaannya itu.

            “Nantilah sayang. Sayang sabar ya. Ada peluang nanti abang beritahu Lydia tu,” ujar Latif cuba meyakinkan Tasya kekasih pujaan hatinya kini.

            “Abang beritahulah cepat-cepat. Sayang tak sanggup nak berjauhan dengan abang. Tasya nak sentiasa ada di sisi abang” rengek Tasya lagi.

            Kembang hati Latif mendengarnya. Jika dengan Lydia, jarang sekali Lydia berada di rumah. Jika ada sekalipun pasti Lydia sibuk menguruskan hal-hal pejabatnya. Jika tidak, pasti Lydia tidur awal kerana keletihan. Jarang sekali Lydia mahu menemaninya.

            “Sebab tulah abang sayang sayang. Abang pun dah bosan dengan Lydia tu,” ujar Latif tanpa berselindung.

            Tasya sudah tersipu-sipu malu. Kini, rancangannya sudah berjaya. Dia bakal menjadi isteri Latif tidak lama lagi. Hanya perlu menanti waktu beberapa hari lagi sebelum Lydia diceraikan.

            Di balik daun pintu, Lydia yang mendengar semua perbualan Latif di kamar tidur mereka terduduk di atas lantai. Dia sangat lemah ketika ini. Apakah benar semua yang didengarinya tadi dituturkan oleh Latif suaminya.

            Lydia tidak boleh menuduh suaminya begitu sahaja. Dia harus menyelidiki perkara ini dahulu untuk mengetahui sejauh mana kebenarannya. Walaupun kini hatinya hancur, dia hanya mampu bersabar.

         "Dan seorang isteri yang sabar atas budi pekerti suaminya yang buruk akan diberi oleh Allah pahala sama dengan pahala Asiah isteri Firaun".
                                                                                                                        (Sabda Rasullulah)

*****

LYDIA terjaga daripada tidur lenanya apabila telefon bimbit milik Latif bergetar di atas meja kecil itu. Lampu tidur yang bewarna kuning malap itu menerangi bilik yang kelihatan samar-samar dalam kegelapan malam. Dapat dilihat jam di dinding menunjukkan pukul tiga pagi.

            Lydia melorotkan selimut yang dipakainya. Badannya disandarkan ke kepala katil. Matanya disorotkan ke arah Latif disebelah yang masih lena diulit mimpi. Pantas tangannya menyelimuti badan Latif yang dilihat meringkuk itu. Barangkali suaminya itu kesejukan.

            Sekali lagi telefon bimbit Latif bergetar di atas meja kecil itu. Kali ini lebih lama.

            ‘Mungkin panggilan penting,’ bisik hati Lydia. Lantas, Lydia bangkit dari katil dan kakinya menuju ke meja kecil itu. Skrin telefon bimbit itu masih menyala-nyala menanti panggilannya bersambut.

            Hatinya berdebar. Matanya terpaku pada nama yang tertera di skrin telefon bimbit itu. Kakinya kaku. Terasa badannya sejuk tiba-tiba.

            ‘Aku harus mencari tahu siapa pemanggil ini,’ kata hati Lydia memberi semangat dan keyakinan kepadanya.

            Melihat Latif yang masih tidur lena, dengan pantas telefon itu dicapai dan Lydia melangkah dengan cepat ke pintu bilik dan meloloskan diri keluar daripada bilik tidur itu.

            Lydia masih menanti pemanggil tadi menelefon kembali di ruang tamu yang hanya diterangi oleh biasan cahaya lampu daripada jalan raya. Dan telefon itu bergetar lagi. Kali ini, tertera dengan jelas nama di skrin. Tasya Darling.

            ‘Tasya Darling,’ bisik hati Lydia.

            Tangannya pantas menekan butang menerima panggilan dan kedengaran suara seorang wanita di hujung talian.

            “Abanggggg,” suara itu merengek manja.

            Lydia diam. Dia tahu pasti suara itu mahu mendengar suara Latif. Hatinya bergelora. Masih menanti ayat seterusnya daripada wanita itu.

            “Abangggg sayang sejuk. Peluk sayang….” Rengeknya lagi.

            Kali ini mulut Lydia ternganga luas. Peluk? Peluk siapa? Siapa yang disuruh peluk oleh wanita itu?

            “Abang kenapa diam ni. Penat tau sayang tunggu abang peluk sayang. Abang tak telefon sayang pun sebelum tidur tadi,” suara itu berbicara lagi dengan nada menggoda.

            Lydia masih mendiamkan diri. Dia tidak tahu apa yang harus diucapkannya kali ini. Terasa dirinya begitu kerdil saat ini apabila mendapat tahu suaminya bermain kayu tiga dibelakangnya. Malah Lydia merasakan hubungan suaminya dengan wanita ini bukan calang-calang. Sudah pandai berpeluk bagai.

            “Abang mengantuk sangatlah tu sampai tak nak cakap dengan sayang. Meh sayang peluk abang. Sayang cium pipi abang ya,” ujar Tasya lagi. Kali ini lebih menggoda.

            Kali ini, Lydia sudah tidak mampu lagi untuk menadah telinganya mendengar kata-kata wanita itu. Semakin lama dia mendengar, semakin hancur hatinya. Talian diputuskan.

            Lydia bersandar di sofa itu. Mengingat kembali kata-kata wanita tadi, pantas Lydia membuka peti simpanan pesanan ringkas di telefon suaminya. Di lihat satu-persatu pesanan ringkas yang diterima oleh Latif. Hampir semuanya daripada wanita bernama Tasya tadi.

            Paling menyayat hati apabila pesanan ringkas ini dibacanya.

‘Tasya sayang abang sangat-sangat. Tak sabar nak tunggu abang ceraikan Lydia tu. Sakit hati Tasya dengar abang cerita dia tak pandai layan makan minum abang. Tak pandai layan keperluan abang. Abang cepat-cepatlah ceraikan dia. Tasya boleh layan abang setiap saat.’

Air mata berjuraian juga akhirnya.

‘Alahai suami. Apa lagi yang tidak dilakukan oleh aku. Makan minummu tiap hari aku sediakan. Pakaianmu tiap hari aku gosok dan gantung rapi. Setiap malam aku mendengar cerita dan setiap keluhanmu yang bagaikan anak kecil. Apa lagi yang kurang dalam hubungan kita ini hingga engkau bercerita tentang keburukkanku kepada orang lain,’ rintih hati Lydia.

Lydia menangis teresak-esak. Tidak dapat di tahan kesedihan ini. Sebenarnya ini bukan kali pertama Lydia mendapat tahu mengenai hubungan mesra Latif bersama wanita lain. Masuk kali ini, sudah lima kali Latif curang kepadanya. Dan setiap kali itu Lydia hanya mampu memaafkan Latif kerana dia benar-benar menyintai lelaki itu. Kasihnya hanya tumpah pada Latif, lelaki yang dicintainya sejak di bangku sekolah dulu.



'Ingatlah (hai kaumku), terimalah pesanku untuk berbuat baik kepada para isteri, isteri-isteri itu hanyalah dapat diumpamakan kawanmu yang berada di sampingmu, kamu tidak dapat memiliki apa-apa dari mereka selain berbuat baik, kecuali kalau isteri-isteri itu melakukan perbuatan yang keji yang jelas (membangkang atau tidak taat) maka tinggalkanlah mereka sendirian di tempat tidur dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukai. Kalau isteri-isteri itu taat kepadamu maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka.’

(Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

*****

“SAYA Latif bin Iskandar dengan ini menceraikan Lydia binti Ismail dengan talak satu,” ujar Latif dengan sebak. Air mata lelakinya gugur juga.

            Lydia yang sopan berbaju kurung putih pemberian Latif pada malam pernikahan mereka dahulu turut menitiskan air mata. Usia perkahwinan mereka yang genap tujuh tahun hari ini telah memisahkan mereka hanya dengan satu lafaz cerai daripada Latif.

            Lydia masih kelihatan ayu dan sopan saat pertama kali mereka bertemu dibangku sekolah dahulu. Air mata yang menitis di pipi Lydia mengingatkan Latif tentang pertemuan pertama mereka di mana waktu itu juga Lydia sedang menangis kerana telah dibuli oleh rakan-rakan Latif. Latif yang berasa simpati melihat keadaan Lydia pantas menyelamatkan Lydia daripada terus dibuli oleh rakan-rakannya. Namun hari ini, air mata wanita itu gugur kerananya.

            Sejumlah wang diserahkan kepada Latif untuk menebus dirinya daripada kekuasaan Latif.  Itulah yang disebut khuluk’ ataupun tebus talak. Memandangkan Latif tidak mahu menceraikannya sejak peristiwa malam itu, dan keadaan Lydia yang tidak mahu terus menjadi isteri Latif lagi, maka Lydia telah menuntut talak daripada Latif melalui mahkahmah syariah. Wang yang diserahkan kepada Latif adalah sebagai wang ganti rugi dari buruknya keadaan yang bakal menimpa Latif kerana bercerai dengannya.  

            Tujuh tahun. Berbagai-bagai ranjau dan duri dalam kehidupan berumahtangga mereka lalui bersama. Segala kesedihan dan kegembiraan mereka kongsikan bersama. Namun, hari ini semua itu sudah berakhir. Semuanya akan menjadi kenangan.

Hanya kerana seorang wanita bernama Tasya, hari ini semuanya berkahir. Wanita itu benar-benar telah membunuh cintanya pada Latif. Baru hari ini Lydia melihat gerangan wanita bernama Tasya itu..

Aku tertipu
Kediamanmu
Yang kuanggap semuanya baik-baik saja
Kutak menyangka
Dibelakangku
Kau tigakan cintaku
Yang hanya kepadamu

Hanya ayat itu yang bermain dibenaknya setelah melihat senyuman yang terpamir di bibir Tasya saat Latif mengucapkan lafaz cerai tadi. Senyuam itu seakan-akan mengejeknya. Namun bagi Lydia kini dia tidak mahu bersengketa. Ini adalah pengajaran buat dirinya.

‘Air yang tenang jangan disangka tidak ada buaya. Suami yang diam jangan disangka tidak bermain kayu tiga,’ bisik hati kecilnya.



“Dan tidak halal bagi kamu mengambil dari sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali kalau keduanya (suami isteri) khawatir tidak akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah, maka tidak ada dosa atas keduanya tentang bayaran yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya."                                                                                                                              
                                                                                                     (Al-Baqarah:229)

***** 
© Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz 
           

           
           


Share

10 comments:

Ieymma Ismail said...

tabik spring !!

penulisan yang begitu kreatif. adunan yg mantap (@_@)

syania said...

best sesangat...xsabar nak tahu kesinambungannya...i'm waiting=) cpt sambung n3 baru.. chaiyok3.!!

Anonymous said...

err, cerpen nie mcm t'gantung plk.. sambung taw :) nak taw pe jd lps tuu..

-thyahanim^^

Wild Cherry said...

ade sambungan tak kak?

noyu said...

yela,...ctew nie cam trgntung plak...tp apepun good job writer!!!

ISHA IDIAZ said...

Ieymma : Terima kasih..
Syania : Cerita ini tidak ada sambungan.. :-)
Anon : Rasanya sudah habis tu sebab dah ceraikan. :-)
WC : Habis dah tu sayang. :-)
Noyu : Terima kasih. Dah tamat dah cerita ni. :-)

ainsahrizal said...
This comment has been removed by the author.
RinsyaRyc said...

x semua kau rancang akan berlaku... *teringat lagu Yuna -penakut.. hehe..

Walaupun sad ending, x tau kenapa rin x kesah wlupun sedih. Mungkin sebb rin tengok dari sudut ilmu yg kak isha nak cuba terapkan..
Thumbs up story nih memang best dan bnyak ayat al-quran.. Tasya, harap-2 awak akan beroleh jalan yg lurus jugak..

Aida Sherry said...

lumrah rumahtangga.... ada yg bahgia selamanya....dan ada yg kecundang d tengah jln...
setiap rumahtangga pasti ada dugaan mendatang....sama ada boleh hadapi dugaan atau tidak...
org ketiga...masalah yg paling rumit utk d hadapi...yg pasti tiada seorg isteripun dlm dunia ni yg sanggup bermadu....
bermadu itu manis bagi suami tapi racun berbisa bagi isteri...membunuh dam senyap...

kusyi said...

3 kali bce, 3 kali nangis.. kq ishaaaaaa... saya suka cerpen ini!!!