Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

Kerana Aku Bukan Seorang Ustazah a.k.a. K.A.B.S.U. [9]
Jenis Karya : E-Novel
Oleh : Isha Idiaz

*****************

Surat tawaran untuk meneruskan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Johor jurusan Sains Hayat berada di tangannya. 

“Alhamdulillah”,rendah suara Fisha menuturkan ucapan itu tanda syukurnya kepada yang Maha Esa.

Inilah surat pertama yang sampai kerumahnya setelah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) di umumkan. Fisha bertekad untuk meneruskan pengajiannya di matrikulasi atas dua sebab. Pertama, untuk meraih cita-citanya sebagai seorang doktor dengan jalan singkat namun penuh ranjau. Namun, ada satu lagi sebab yang mendorong Fisha untuk menerima tawaran itu. Fahmi. Dia sangat merindui insan itu. Hatinya sangat kuat mengatakan bahawa Fahmi juga akan melanjutkan pelajaran di sana.

“Aku yakin kau juga akan mengambil keputusan yang sama denganku Fahmi”, bisik hati kecilnya.


Setelah tamat tuisyen, Fisha sama sekali terputus hubungan dengan insan bernama Fahmi. Tiada berita sama sekali antara mereka. Tiada nombor telefon untuk di hubungi. Malah Fahmi pergi meninggalkannya tanpa kata-kata. Dia juga tidak berkata apa-apa.

*****************

Teringat hari terakhir sewaktu di pusat tuisyen.

“Fisha, hari ni last tuisyen. Kau tak nak beritahu Fahmi ke yang kau pun suka kat dia?”, soal Ayun kepadanya.

“Tak ada apa yang nak di beritahu kat dia Ayun”, balas Fisha tanpa perasaan.

“Kau tak menyesal Fisha?”, tanya Ayun lagi. Benar, sahabatnya ini begitu mengambil berat terhadapnya. Namun bagi Fisha sendiri, masakan bisa perigi mencari timba.

“Tak ada apa nak di sesalkan. Kumbang bukan seekor Ayun”, Fisha membalas dengan tenang pertanyaan sahabatnya itu walaupun di hatinya hanya Allah sahaja yang tahu.

“Sha, kumbang memang bukan seekor. Berjuta kumbang dekat luar tu. Tapi nak cari kumbang yang setia pada satu bunga tu yang susah”, Ayun masih tidak berputus asa menasihati Fisha.

“Biar la kumbang tu terbang Ayun. Biar dia mencari bunga pilihan hatinya”, Fisha masih dengan keputusannya.

Pintu kelas dibuka. Cikgu Roger sudah berdiri di meja guru. Melihat seisi kelas dengan senyuman. Akhirnya, bicara di buka.

“Assalammualaikum semua”, tutur Cikgu Roger seperti kebiasaannya.

Seluruh kelas menjawab salam itu dengan penuh tertib. Teringat bagaimana ustaznya menerangkan hukum memberi dan menjawab salam bagi seorang muslim.

Memulakan pertemuan dengan memberi salam adalah sunat. Sekiranya beramai-ramai memberi salam menjadi sunat kifayah. Sunat kifayah bermaksud; sunat ke atas kumpulan ramai tersebut memberi salam. Apabila seorang melakukannya, pahalanya akan diperolehi oleh semua. Menjawab salam pula, sekiranya berseorangan hukumnya menjadi fardhu ain. Sekiranya beramai-ramai, menjawab salam menjadi fardhu kifayah. Sekiranya seorang menjawab salam, gugurlah tuntutan atas semua orang lain. Sekiranya semua yang hadir menjawab salam, itu lebih baik. Sekiranya semuanya meninggalkan menjawab salam, semua akan berdosa. Malah ditulis di dalam sebuah hadis nabi yang diriwayatkan oleh Abi Dawud, “cukuplah bagi sekumpulan manusia apabila mereka melintasi orang lain dengan salah seorang mereka memberi salam. Dan cukuplah bagi kumpulan yang duduk dengan salah seorang mereka menjawab salam.” 

Betapa bersyukur dirasakan olehnya apabila dapat mendalami ilmu berkenan Islam seawal usia sembilan tahun seiring dengan sistem pelajaran yang di anjurkan oleh kerajaan negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) yang menggalakkan atau dengan kata lain mewajibkan anak-anak kecil menghadiri sekolah agama sejak mereka berumur sembilan tahun lagi. Maka, tidak hairanlah sesetengah pihak memandang rendah jika ada antara mereka yang tidak pergi ke sekolah agama. Ia seolah-olah sudah menjadi tradisi penduduk negeri Johor mempunyai dua sesi persekolahan iaitu sekolah rendah atau menengah dan sekolah agama.

“Memandangkan hari ini hari terakhir saya mengajar anda semua, saya mendoakan agar anda semua berjaya dalam peperiksaan SPM ini”, tutur Cikgu Roger sambil pandangan matanya menyorot ke arah setiap anak muridnya di dalam kelas itu.

“Amin…”, serentak seisi kelas mengaminkan doa seorang guru. Mudah-mudahan termakbul doa itu.

“Saya juga ingin memaklumkan kepada anda semua, tiga orang rakan kita tidak dapat mengikuti kelas kita yang terakhir ini”, ujar guru tua itu lagi.

Hati Fisha berdebar-debar. Di rasakan nafasnya tidak teratur. Telinganya tidak mahu mendengar ayat-ayat yang bakal di ucapkan oleh Cikgu Roger lagi. Dia dapat mengagak siapakah tiga orang itu. Namun siapalah dia untuk menutup mulut itu untuk meneruskan kata-kata.

“Tadi semasa di bawah, Fahmi, Faizi dan Akmal berjumpa saya. Mereka sampaikan salam buat semua. Mereka tidak dapat bersama kita untuk sesi terakhir ini kerana ada urusan dengan pihak sekolah”, ujar Cikgu Roger dengan tenang.

Waktu dirasakan terhenti. Jantungnya juga di rasakan tidak berdenyut. Tangan dan kakinya dirasakan kaku. Ya, seperti jangkaannya. Langsung tidak meleset. Benarlah, dia dapat merasakan mereka akan terpisah bila waktunya tiba. Dan kini, hari ini, saat ini, mereka berpisah jua. Berpisah tanpa kata.

Sepantas itu tangan Ayun memegang erat jari-jemari Fisha. Cuba meminjamkan kekuatan yang ada dalam dirinya kepada Fisha. Dia tahu sahabatnya itu kecewa. Di lihat muka Fisha pucat tak berdarah. Jika di toreh dengan pisau sekalipun mungkin tiada darah mengalir keluar daripada muka itu. Mungkin berita ini telah diagak oleh Fisha. Namun Ayun merasakan Fisha tidak bersedia menerimanya. 

Fisha memandang wajah sahabatnya itu. Segaris senyuman terukir di bibir miliknya. Dengan perlahan Fisha melepaskan jari jemari Ayun. Hatinya benar berkecamuk. Dia harus beredar daripada ruangan ini buat sementara waktu.

Di tolak kerusi sedikit ke belakang. Fisha bingkas bangun dan meminta izin daripada Cikgu Roger untuk ke tandas. Di lajukan langkah kakinya. Empangan air matanya pecah sebaik sahaja pintu kelas ditutup. Pantas Fisha berlari menuju ke tandas. Di kunci pintu. Dia menangis sepuas hatinya di kamar kecil itu. 

“Hadir tanpa bicara, pergi juga tanpa kata”, tutur Fisha dalam linangan air mata. 

Ayun merasa tidak sedap hati. 15 minit Fisha masih belum kembali dari tandas. Ayun bingkas bangun untuk ke tandas. Meninjau keadaan Fisha.

Dari luar, kedengaran suara tangis Fisha. Benarlah. Rakannya itu bersedih. Di ketuk pintu dari luar. Di panggil nama sahabatnya itu.

“Fisha, awak buat apa dalam tandas tu. Sembelit ke?”, tutur Ayun bersahaja walaupun dia juga turut bersedih dengan perkara yang menimpa sahabatnya ini. Dia cuba untuk bersahaja agar sahabatnya itu bisa menjadi seorang yang tabah.

A-ah Ayun. Kita sembelit ni.”, ujar Fisha dengan suara yang tersekat-sekat.

“15 minit dah ni. Jangan di paksa kalau benda tu tak nak keluar”, tutur Ayun lagi.

Tergelak Fisha mendengar bicara sahabatnya itu. Sungguh, sahabatnya ini memahami dirinya.

“Ok, nak keluar ni”, jawab Fisha. Fisha juga tidak mahu berlama-lama di dalam tandas itu. Di basuh wajahnya di sinki. Di sapu air mata yang masih bersisa dengan tisu. Di buka pintu tandas itu.

“Tadaaa”, ucap Fisha dengan wajah yang ceria.

“Aish. Apa punya budak la. Boleh pulak buat lawak kat sini. Jom masuk kelas”, Ayun memimpin tangan sahabatnya itu. Dia tahu Fisha berduka. Sembap mata Fisha jelas kelihatan walaupun hanya 15 minit dia menangis. Fisha menuruti sahaja langkah Ayun tanpa banyak bicara.

Setelah melabuhkan punggung di kerusinya, Cikgu Roger mendekati Fisha. Di sentuh bahu anak gadis itu.

“Fisha, awak ok?”, soal guru itu.

“Ok je cikgu. I’m fine. Cikgu janganlah risau”,ujar Fisha.

“Fahmi kirim salam pada awak. Katanya, maaf kerana tidak sempat bertemu awak buat kali terakhir”, ujar guru itu lagi.

“Waalaikummussalam. Terima kasih cikgu”, Fisha membalas dengan tenang.

Cikgu Roger menganggukkan kepalanya. Dia tahu Fisha pasti bersedih. Dia sudah makan garam lebih dahulu daripada Fisha. Dia selalu memerhati tingkah laku dua anak muda itu dalam diam. Fisha dan Fahmi. Masing-masing menyimpan rasa. Namun tiada siapa yang berani meluahkannya. Dan hari ini cinta mereka terkubur begitu sahaja. Tidak terlafaz. Tidak jelas. Dan akhirnya mereka berduka.

Dan hari itu tamatlah kisah antara mereka, kisah antara Fahmi dan Fisha seperti tamatnya kelas tuisyen yang di hadiri Fisha setiap hari rabu, jumaat,sabtu dan ahad ini.

**************

“Mama tak nak angah masuk matrix ni”, ujar mama Fisha.

Fisha menundukkan wajahnya. 

“Nanti kalau result angah tak elok entah apa-apa course je dia bagi untuk ke degree nanti”, ujar mamanya lagi.

Fisha masih berdiam diri. Hatinya sedih. Satu-satunya peluang untuk dia bertemu Fahmi hanya jika dia menerima tawaran untuk ke matrikulasi itu.

“Angah dengar cakap mama ye. Angah cuba apply Diploma Sains tu. Dah tentu 3 tahun belajar dapat diploma. Nanti boleh sambung degree juga”, mama masih berbicara.

Sungguh dia kecewa. Namun masakan dia melawan perintah orang tuanya. Di fikir balik, ada benarnya kata-kata mamanya itu. Jika Fisha tamat matrikulasi, dia tidak menerima apa-apa sijil. Jika Fisha mengambil diploma, setelah tiga tahun dan tamat pengajian, Fisha bakal memegang segulung diploma. 

“Baiklah mama. Angah apply Diploma Sains tu”, ujar Fisha. Dan berakhirlah semua harapannya. Di lihat wajah mamanya gembira. Sedikit rasa sedihnya hilang. Wajah gembira mamanya lebih penting dari kegembiraan dirinya sendiri.

**************

Hari ini merupakan hari pendaftaran masuk pelajar baru di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ). Semua penjaga menghantar anak masing-masing dengan bangga. Maklumlah, kini anak mereka sudah setapak untuk melangkah ke menara gading. Ruang parkir di KMJ ini penuh dengan kereta. Tidak kira sama ada di ruangan pendaftaran mahupun di kolej kediaman. Masing-masing mengeluarkan barang dari bonet kereta dan mengangkat barang-barang tersebut ke bilik anak mereka.

Hari beransur petang, semua pelajar baru dikehendaki berkumpul di dewan. Iza melihat rakan-rakan di sekelilingnya. Rata-rata pelajar di KMJ ini dikenalinya kerana mereka merupakan pelajar SIGS. Namun ada satu muka asing tetapi cukup dikenalinya. Lelaki itu. Di mana dia pernah melihat wajah lelaki itu. Cuba diingat namun gagal. Terdengar sekumpulan pelajar lelaki melaung-laung nama seseorang. Lantas Iza melihat lelaki itu bangun dari kerusinya dan berpindah ke tempat lain. 

Cuba di rewind kembali laungan kumpulan lelaki itu tadi di dalam mindanya untuk mengingati siapakah lelaki itu.

“Fahmi, duduk sini lah. Depan sangat tu kau duduk”, jeritan itu bermain dalam minda Iza.

Got it!! Fahmi. Ye Fahmi.

Is that person Fahmi yang Fisha selalu cerita?”, Iza memalingkan mukanya ke belakang.

“MasyaAllah.. Benarlah dunia ini kecil”, ujar Iza perlahan. Ya, wajah inilah yang pernah di tunjukkan oleh sahabat karibnya Fisha di dalam foto semasa Fisha menerima hadiah anugerah cemerlang di pusat tuisyennya dulu. Gambar Fisha bersama Fahmi yang di tangkap oleh jurugambar tanpa mereka sedari dan gambar itu di berikan kepada Fisha oleh kerani di pusat tuisyen itu.

Inilah insan yang membuai perasaan Fisha selama ini. Sekaligus ingatan Iza kembali kepada pesanan Fisha semasa dia memberitahu dia mahu meneruskan pengajiaannya di matrikulasi itu. Iza juga menyesal kerana tidak dapat bersama dengan Fisha kali ini. Enam tahun mereka menghabiskan alam persekolah bersama-sama. Namun kini mereka terpaksa berpisah untuk mengejar cita-cita. Pesan Fisha kepadanya di ingati semula.

“Iza, kalau awak jumpa orang yang nama Fahmi nanti kat matrix tu, jangan lupa beritahu kita ea. Kita rasa dia amik Sains Fizikal nanti sebab dia minat Fizik”, itulah pesan Fisha padanya.

Dan seperti jangkaannya dan setelah di soal selidik selama lebih kurang sebulan, maka benarlah orang itu adalah Fahmi yang di puja oleh Fisha. Iza mengeluarkan handphonenya. Di kirim message kepada Fisha.

Salam. Sha. Yang kita cakap budak nama Fahmi kat awak hari tu. Betullah dia Fahmi awak.

Vibrate di rasakan oleh Fisha. Di lihat skrin handphonenya. Mesej daripada Iza. Senyuman terukir di bibir Fisha. Masih ingat sahabat karibnya ini pada dirinya walaupun kini mereka telah berjauhan. Message di buka. 

Senyumannya mati di situ. Menyesalkah dia kerana tidak menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke matrikulasi itu.

**************

©Hak Cipta Terpelihara - Isha Idiaz







Share

0 comments: