Cerpen : Dalam Bingkai Mahabbah
(Sambungan cerpen Istikharah Cinta)
Oleh
: Isha Idiaz
*****
BUNYI
deringan telefon membuat aku tersedar
daripada lamunan dan memaksa aku untuk menapak menuju ke meja belajarku. Di
situlah aku mengambil telefon bimbitku lalu aku melihat nama yang tertera di
skrin.
‘Ummi…’
bisik hati kecilku. Jarang sekali ummi mahu menelefonku melainkan jika ada hal
penting berkaitan keluarga. Maklumlah, aku di Mesir sekarang ini. Jadi kos
untuk menelefon aku bukannya murah.
Aku
menekan butang menerima panggilan. Dan serta-merta aku mendengar suara ummi
memberi salam di hujung talian.
“Waalaikummussalam
ummi,” jawabku penuh hormat.
Entah
kenapa tiba-tiba dada aku berdebar. Aku takut jika apa yang ummi akan khabarkan
kepadaku sebentar lagi adalah musibah yang menimpa keluarga. Sempat aku berdoa
di dalam hati agar Allah melindungi kami sekeluarga daripada sebarang musibah.
“Fah
sihat ummi,” ujarku apabila Ummi bertanya keadaanku di sini.
“Fah,
ummi nak beritahu sesuatu pada Fah,” ujar ummi. Suara ummi kedengaran gembira.
Jadi, dapat aku simpulkan, khabar yang akan di bawakan oleh ummi sebentar lagi
adalah khabar gembira.
“Apa
dia ummi?” Aku bertanya inginkan kepastian. Dadaku masih berdebar walaupun
debarannya tidak sehebat tadi.
Gelas
yang kupegang terlepas daripada tangan apabila mendengar penjelasan daripada
ummi tadi. Aku tidak tahu bagaimana mahu mengungkapkan rasa yang aku alami
kini. Mulutku seakan-akan terkunci untuk berbicara dengan ummi.
“Fah
dengar tak apa ummi cakap tadi?” soal ummi apabila aku mendiamkan diri beberapa
minit dan tidak memberi respon kepada kata-katanya.
“Fah
dengar ummi,” ujarku lirih. Entah kenapa hatiku tiba-tiba sebak. Seharusnya itu
sebuah khabar gembira buatku. Namun jauh di sudut hati aku merasakan sebuah
kehilangan.
“Baguslah
kalau Fah dengar. Abah dah balik tu. Ummi nak sambut abah dulu,” ujar ummi
dengan nada yang masih ceria.
“Baiklah
ummi. Sampaikan salam Fah untuk abah.”
“Waalaikummussalam,”
jawabku sebelum memutuskan talian.
Terasa
kakiku tidak kuat untuk berdiri saat itu. Aku terjelepuk di atas lantai. Entah
bila air mataku jatuh ke pipi.
*****
Lima hari yang lalu…
JENDELA
YM aku biarkan terbuka seperti selalu jika aku online. Pantas bibirku mengukir senyum
apabila melihat nama yang satu itu. Hazirah. Pantas juga jari-jemariku mengarah
ke nama itu dan setelah aku menekan dua kali pada nama itu, muncul sebuah layar
lain dengan latar belakang daun-daun maple
yang sedang berguguran. Seiring itu juga, jari-jemariku pantas menekan beberapa
butang di papan kekunci membentuk sebuah icon.
Lalu kutekan butang enter dan
muncullah sebuah icon smiley pada
jendela bernama Hazirah tadi.
Huzaifah
: J
Huzaifah
: Assalammualaikum wbt.
Selang
beberapa minit kemudian, pesanan aku tadi berbalas. Dan makin lebar senyuman di
bibirku saat itu.
Hazirah
: J
Hazirah
: Waalaikummussalam wbt.
Hazirah
: Ya, kenapa abang? Abang tak sihat ke?
Itulah
soalan lazim Hazirah jika aku yang memulakan perbualan. Bakal doktor yang cukup
dedikasi. Apa-apa pun mesti tanya aku sihat ke tidak. Padahal kalau ikut logis akal,
orang tak sihat tak adalah boleh online.
Huzaifah
: Alhamdulillah abang sihat. Cik doktor tak payahlah risau ya.
Huzaifah
: Hazirah sihat?
Dan
beberapa saat kemudian Hazirah membalas pesananku.
Hazirah
: Aaa. Ingat tak sihat. Saya sihat. Alhamdulillah.
Aku
tersenyum sekali lagi. Perkataan kegemaran Hazirah adalah aaa. Aku cuba
membayangkan bagaimana memek mukanya setiap kali dia menyebut ayat itu. Dan
setiap kali aku membayangkannya, pasti aku akan ketawa.
Huzaifah
: Rasa berdebar-debar nak lalui hari-hari mendatang.
Huzaifah
: Rasa semakin berat tanggungjawab yang terpaksa dipikul.
Huzaifah
: Yang pastinya, kita terpaksa meraikan semua orang.
Aku
menunggu respon daripada Hazirah.
Hazirah
: Emm… Lain macam je bunyi.
Hazirah
: Abang ada apa-apa ke nak beritahu?
Dan
seperti biasa, respon daripada Hazirah tidak pernah menghampakan aku. Dan aku
tiba-tiba rasa
mahu mengusiknya seperti selalu.
Huzaifah
: Mesti laa…
Huzaifah
: Sebenarnya…
Sengaja
aku berjeda di situ untuk memancing Hazirah bertanya. Supaya konsentrasinya
kepada aku lebih saat itu.
Hazirah
: Sebenarnya apa abang?
Hazirah
: Ades, buat orang nervous pulak.
Aku
sudah dapat mengagak itu yang akan dikatakan oleh Hazirah. Hazirah adalah orang
yang kurang sedikit tahap kesabarannya.
Huzaifah
: Sebenarnya, dragon ball ada tujuh
biji kesemuanya.
Dan
aku sudah tertawa.
Hazirah
: Ades. Belasah karang.
Sudah
kuduga Hazirah akan mengeluarkan ayat itu.
Huzaifah
: Hazirah tahu tak, lepas hari raya hari tu…
Huzaifah : Ada seorang adik tu, dia
selalu tegur abang dekat fb...
Huzaifah : Awal-awal tu abang
tak perasan lagi.
Huzaifah : Tapi bila abang
tak balas dia punya message tu dia pm
message dekat inbox.
Huzaifah : Dia minta maaf
la bagai sekian-sekian. Abang pun beritahulah, tak sempat nak respon message-message dekat inbox.
Huzaifah : Abang beritahu
dia, semua rakan-rakan fb yang biasa berhubung tu, abang dah anggap macam adik
bradik dah...
Huzaifah : Cuba Hazirah teka
apa respon dia?
Dan sebentar kemudian
Hazirah membalas kembali.
Hazirah : Entah~
Hazirah : Dia cakap dia suka
dekat abang?
Senyuman aku ukirkan di
bibirku.
Huzaifah : Dia cakap… "adik
je"?? :-)
Huzaifah : Lepas tu dia
terus senyap sampailah hari ni...
Serasa lega sedikit hatiku
dapat meluahkan masalahku kepada Hazirah.
Hazirah : Haha. Abang heartbreaker.
Hazirah : Nak bebel kejap dekat
abg.
Hazirah : Abang pun satu
dok melayan. Kadang-kadang over sampai
orang boleh salah sangka.
Hazirah : Sedangkan abang dengan
adik-adik kandung abang sendiri abang tak treat
macam tu. Kenapa dengan yang tak kandung abang nak treat lebih-lebih?
Hazirah : Memanglah orang
akan terasa. Dah nama pun hati perempuan tu lembut. Cepat jatuh cinta. Yang
pergi usik hati orang siapa suruh?
Hazirah : Aish~ Rasa nak
belasah abg.
Huzaifah : :-)
Hazirah : Cuba belajar sikit
hargai perasaan orang.
Hazirah kalau sekali dah
membebel rasanya kalah ummi. Begitulah Hazirah yang aku kenal.
Huzaifah : Nak kena letak
harga ke? Hehe.
Huzaifah : Susahlah
Hazirah...
Hazirah : Benda ni tak
susah. Abang je yang bagi susah.
Hazirah bagi contoh ya.
Huzaifah : Okey.
Hazirah : Abang selalu care dekat perempuan. Macam Hazirah ni
ha. Nak habis YM abang mesti cakap jaga diri baik-baik. Kalau Hazirah macam
budak tu, mesti Hazirah rasa, owh.. abang ni sayang dekat aku.
Hazirah : Kalau tiap-tiap
kali YM abang cakap macam tu, tak ke lama-lama kalau tak suka dekat abang pun
boleh jadi suka?
Baru hari ini aku sedar apa
yang aku buat selama ini boleh membuat orang lain salah sangka. Itupun apabila
Hazirah yang menyedarkan aku.
Huzaifah : Ooo begitu…
Dan Hazirah terus dengan
bebelannya.
Hazirah : Cuba buat biasa
je. Ni buat luar biasa. Memang la akan jadi luar biasa juga.
Hazirah : Lagi satu contoh.
Hazirah : Abang bolehlah
Hazirah kategorikan sebagai lelaki idaman setiap perempuan. Agama mantap,
hafiz, muka boleh tahan, baik budi pekerti. Siapa yang tak nak?
Hazirah
: Jadi, bila abang sentuh isu-isu cinta dan yang luar daripada kebiasaan, confirm perempuan tu akan perasan yang
abang suka dekat dia.
Hazirah
: Otak dia akan set, takkan abang ni yang molek agamanya akan cakap benda-benda
macam ni dekat aku kalau dia tak serius. See?
Hazirah
: Persepsi perempuan tak sama pada lelaki. Cuba kalau yang cakap hal cinta tu
adalah playboy, otak mereka akan set,
alah, lelaki ni dengan perempuan lain pun dia akan cakap benda macam ni juga.
Bukan dengan aku je. Jadi dia tak
sempat nak perasan. Common senselah
abang.
Huzaifah : Cuba Hazirah
terangkan 'isu2 cinta dan yang luar daripada kebiasaan'.
Huzaifah
: Yang ni tak berapa nak faham sikit...
Hazirah : Macam mana ya.
Macam dengan Hazirah kan cuti hari tu, abang asyik tanya je Hazirah dah jumpa
orang tu ke belum. Abang suruh Hazirah ambil gambar dan bagi abang cemburu.
Hazirah : Ha, benda-benda
ni kan memicu perempuan tu untuk fikir, ‘Eh abang ni cemburu ke kalau aku
keluar dengan lelaki lain? Dia suka aku kot?;
Hazirah : So elakkanlah memicu rasa perasan dalam hati perempuan.
Dan sekali lagi aku rasa
terpempam dengan contoh yang Hazirah berikan. Tiba-tiba rasa bersalah hinggap
di hatiku.
Huzaifah : Yang tu saja je nak usik Hazirah.
Huzaifah : Memang tak boleh
ya?
Hazirah : Cuba kalau
Hazirah pun fikir macam perempuan tu. Kan jadi luar biasa benda tu.
Hazirah : Walaupun niat
abang tu mengusik, tapi bagi Hazirah benda tu serius. Mungkin abang nak cakap
yang abang cemburu tapi abang tak nak Hazirah rasa bersalah. Jadi abang gunakan
kiasan. Boleh je Hazirah nak fikir macam tu.
Hazirah : Jangan expect orang akan faham apa yang kita
cuba sampaikan. Tapi anggap dia tak tahu apa-apa supaya kita lebih
berhati-hati.
Huzaifah : 

Huzaifah : Difahami.
Huzaifah : Terima kasih
atas pencerahan.
Dan setelah itu, aku duduk
merenung ke luar tingkap. Memikirkan setiap kata-kata yang ditulis oleh Hazirah
tadi. Mungkin gadis itu kecewa. Atau adakah gadis itu mencintai dirinya? Ah,
dia sendiri tidak tahu perasaannya pada gadis itu.
*****
ENAM
hari sudah berlalu sejak hari Hazirah
meluahkan rasa hatinya kepada aku berkenaan rasa kecewanya apabila aku
memperlakukannya seperti itu. Walaupun dia cuma menyampaikan dalam bentuk
nasihat kepada aku, tetapi aku tahu, itu memang apa yang dirasakannya. Dan
sepanjang enam hari ini, aku merasa bersalah kepadanya.
Cinta.
Nak katakan aku cintakan Hazirah mungkin tidak. Aku cuma selesa berbicara
dengannya lewat YM dan juga FB. Sesekali menerusi SMS. Dia pendengar masalah
yang baik. Bersedia berkongsi duka dan suka dengan aku. Tetapi untuk menafikan
yang aku tak sayang Hazirah, aku tidak berani. Kerana aku tahu aku sayangkan
dia. Mungkin sebagai adik. Tetapi jika aku sayang dia sebagai adik, kenapa aku
melayannya lebih daripada adik kandungku sendiri?
Aku
memicit-micit dahi yang terasa berdenyut daripada tadi. Semakin banyak yang aku
fikir mengenai Hazirah, semakin bersalah aku jadinya. Aku sendiri keliru dengan
perasaan aku. Siapa sebenarnya Hazirah di hati aku? Di tambah pula berita yang
disampaikan oleh ummi yang aku terima semalam membuatkanku rasa tidak tenteram.
Perlukah aku memberitahu perkara tersebut kepada Hazirah?
*****
LAPAN bulan berlalu, Hazirah terus mendiamkan diri
daripada aku. Dia seolah-olah membawa dirinya sejak aku memberitahunya perkara
itu. Mungkinkah dia merajuk dengan aku? Atau dia sibuk menjalani hari-harinya
merawat pesakit di hospital?
Setiap
kali aku membuka laman YM dan aku melihat Hazirah online, aku menegurnya seperti biasa. Namun, cukup tiga saat
Hazirah akan offline dan teguranku dibiarkan
tidak bersambut. Jujur aku katakana, aku kehilangan tempat berbicara. Tempat
untuk aku berkongsi kisah suka dan duka. Aku cuma berfikiran positif yang
Hazirah tidak melupakan aku. Dia Cuma sibuk dengan tugas hariannya. Tetapi
sampai bila? Lapan bulan tiada sehari pun dia menegurku di laman YM ini seperti
dahulu.
Aku
buka laman FB pula. Aku melihat timeline
Hazirah. Sekali lagi aku hampa kerana yang cuma boleh kulihat adalah profilnya.
Gambar dan juga statusnya semua tidak boleh kulihat. Sepanjang tempoh lapan
bulan ini, aku boleh katakan aku rindukan gurauan gadis itu. Aku rindukan
usikannya. Aku rindukan messagenya mengejut aku setiap pagi. Aku rindukan
segala-galanya tentang Hazirah. Benarlah kata orang, kita tidak akan tahu
sebesar mana kita cintakan seseorang itu selagi kita tidak kehilangannya.
Aku
menyeka air mata yang tiba-tiba mengalir di hening subuh itu. Rinduku pada
Hazirah membuatkan manik-manik jernih ini mengalir laju menuruni pipiku. Entah
kecewa, entahkan sebak, aku juga tidak tahu. Lapan bulan menanggung rindu,
adakah Hazirah masih mengingatiku?
*****
LAPAN bulan yang lalu…
Huzaifah
: Assalammualaikum wbt.
Huzaifah
: J
Dan aku tidak perlu menunggu lama kerana
Hazirah sudah menjawab salamku.
Hazirah
: Waalaikummussalam wbt.
Hazirah
: Ya kenapa? Abang sihat?
Soal
Hazirah seperti biasa.
Huzaifah
: Alhamdulillah abang sihat.
Hazirah
: J
Huzaifah
: Hazirah, abang ada sesuatu nak beritahu Hazirah.
Hazirah
: Silakan.
Huzaifah
: Sebenarnya..
Aku
berjeda di situ seperti selalu. Sudah lama rasanya aku tidak bergurau dengan
Hazirah.
Hazirah
: Sebenarnya, dragon ball ada tujuh biji? Hazirah dah tahulah abang.
Dan
aku tergelak membaca ayat itu. Hazirah sudah tahu aku akan mengenakannya.
Huzaifah
: Tidak. Bukan yang tu abang nak beritahu.
Aku
masih rasa serba salah untuk berkongsi cerita ini dengan Hazirah. Namun, aku
tahu satu masa nanti aku tetap harus memberitahunya. Aku menunggu respon
daripada Hazirah namun gadis itu diam tidak memberi apa-apa reaksi. Jadi,
kukuatkan hati menyatakan hal yang sebenarnya kepada Hazirah.
Huzaifah
: Sebenarnya, abang dah bertunang…
Sebuah
keluhan aku lepaskan. Terasa sesak dadaku saat itu.
Hazirah
: Alhamdulillah.
Dan
jawapan sesingkat itu membuatkan aku rasa bersalah kepadanya. Aku tahu, Hazirah
mungkin kecewa mendengar berita ini.
Huzaifah
: Abang serahkan segalanya pada keluarga…
Hazirah
: J
Huzaifah
: Kalu itu jodoh abang, abang redha, abang terima dia seadanya. Janji ummi
bahagia.
Hazirah
: J
Hazirah
: Baguslah kalau begitu.
Huzaifah
: Kami tak pernah kenal, tak pernah jumpa.
Hazirah
: Baguslah.
Huzaifah
: Setakat ni abang serahkan semuanya pada keluarga.
Huzaifah
: Tak sempat lagi nak bertaaruf dengan dia.
Hazirah
: J
Huzaifah
: J
Aku
merenung skrin. Kami sama-sama kehilangan kata-kata. Aku tahu Hazirah sedang
melayan perasaannya. Mungkin dia juga masih mencerna berita yang kau sampaikan
tadi. Aku harap dia tabah seperti selalu.
*****
SEBUAH pesanan aku terima pagi tadi menerusi email.
Namun baru sekarang aku bisa membacanya. Di suasana hening malam ini.
Aku
melihat alamat email yang tertera di situ. Alamat yang paling kuhafal. Alamat
email Hazirah. Cepat-cepat aku membuka email tersebut lalu aku membaca
satu-persatu ayat yang tertulis di dalam itu.
Untuk abang…
Assalammualaikum wbt. Semoga abang sentiasa
sihat dan berada di dalam rahmatNya. Terlebih dahulu, maaf kerana sudah lama Hazirah
tidak bertanya khabar dan bertukar cerita dengan abang. Harap abang boleh
maafkan Hazirah.
Ada kalanya, kita rasa terlalu selesa dengan
seseorang hingga kita lupa siapa dia di dalam hati kita. Tetapi apabila suatu
hari kita sedar hati kita bukan miliknya, kita katakan pada dia dan kita harap
dia dapat menerima semua yang kita kata.
Kita lupa, dia juga punya perasaan dan
harapan. Yang menciptakan kenangan itu adalah kita yang tiada perasaan.Tanpa
sedar, kita telah membunuhnya dengan kenangan yang kita tinggalkan. Kita
biarkan dia menangis tanpa kata.
Tahukah kita, dalam setiap air mata yang dia
alirkan, dia cuba untuk melupakan? Walau yang kita lihat adalah sebuah
senyuman, mana mungkin hati yang luka bisa sembuh sekejap-kejapan?
Biarkan dia membawa dirinya bersama masa
depan. Bukan senang untuk melupakan melainkan dia meninggalkan. Biarkan
dia melupakan segala kenangan walaupun
kita tahu bukan mudah untuk dia lakukan. Mohon maafkan dia untuk segala
kekhilafan.
Mengingatimu…
-Hazirah-
Aku
membaca pesanan itu beberapa kali. Dan setiap kali aku membacanya, setiap kali
itu juga air mataku mengalir tanpa dipaksa. Begitu berat penderitaan yang aku
berikan kepada Hazirah. Begitu payah juga dia cuba bangkit demi sebuah
kehidupan.
*****
AKU melihat Hazirah duduk di sudut biliknya.
Jauh sekali dia merenung memandang ke luar tingkap. Entah apa yang direnungkannya
di luar sana.
“Assalammualaikum,”
ujarku sambil menapak menghampiri Hazirah.
Hazirah
menoleh memandangku. Namun pandangannya kosong. Dia kembali menatap ke luar
tingkap. Salamku juga tidak bersambut seperti tiga tahun yang lalu.
“Hazirah
pandang apa dekat luar tu sampai tak nak pandang muka abang ni?” Sengaja aku
memancing Hazirah untuk bicara.
Aku duduk betul-betul berhadapan dengannya.
“Abang dah tak handsome macam dulu ke?” soalku lagi.
Hazirah masih diam. Dia lebih suka melihat
burung-burung yang terbang pulang ke sarang di dada langit petang itu
berbanding melihat wajahku.
Hatiku remuk melihat Hazirah dalam keadaan
seperti itu. Aku yang menyebabkan Hazirah terkunci di bilik kecil ini.
Menghabiskan hari-harinya seorang diri tanpa sesiapa menemani. Aku merenung
wajah itu dalam-dalam. Sesekali tudung Hazirah terbang ditiup angin. Hazirah
hanya membiarkannya.
Agak lama sehingga Hazirah memalingkan
wajahnya memandang aku. Dia merenung wajah aku dalam-dalam. Dan seketika
kemudian aku lihat air mata mengalir jatuh di pipinya. Dan segera dia
mengalihkan wajahnya kembali menatap pemandangan di luar. Ketukan di pintu besi
mengejutkan aku. Aku berpaling memandang pintu besi itu.
“Encik, masa melawat dah habis,” ujar
pengawal di luar. Dia pengawal biasa yang mengawal di wad yang terdapat di
Hospital Permai ini.
Aku mengangguk tanda faham. Wajah Hazirah
kutenung sayu.
“Hazirah, abang balik dulu,” ujarku perlahan.
Berharap Hazirah memalingkan mukanya dan memandang wajahku saat itu.
Hazirah menoleh. Air mata masih mengalir di
pipinya seperti tadi. Dia mengangguk lambat-lambat.
Dengan berat hati aku menapak menuju ke pintu
besi. Sebelum pintu itu dikunci kembali, aku mendengar Hazirah berkata sesuatu.
Aku menghentikan langkah kakiku.
“Abang, siapa kita untuk menolak jika jodoh
datang tiba-tiba kan? Hazirah faham tu,” ujar Hazirah tenang.
Senyuman yang terukir di bibirnya dengan air
mata yang mengalir di pipinya adalah jawapan kepada segala-galanya. Kemudian
dia berpaling kembali menghadap ke luar tingkap.
Aku keluar dengan hati yang walang. Ini
adalah kesalahan terbesar aku. Mempermainkan sekeping hati yang sangat jujur
mencintai aku sehingga kehidupan seorang yang seharusnya bergelar doktor
sekarang ini berakhir sebagai seorang pesakit di sebuah hospital sakit jiwa.
*****
“ABANG, Hazirah macam mana?” soal isteriku setelah aku
meloloskan diri ke dalam kereta.
“Masih macam tu. Cuma tadi dia baru nak
bercakap dengan abang,” ujarku menjawab pertanyaan Husna.
Husna memandang ke arah tingkap di bilik yang
menempatkan Hazirah.
“Semoga Allah memberikan dia ketabahan dan
ketenangan hati,” ujar Husna sebak.
Dan sebentar kemudian, aku menerima panggilan
telefon daripada pihak hospital.
“Assalammualaikum encik. Hazirah baru sahaja
menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi.”
Telefon di dalam genggaman terlepas. Aku
membuka pintu kereta lalu berlari semula menaiki tangga dan menuju ke bilik
Hazirah.
Baru sahaja tadi aku mendengar gadis itu berkata-kata.
Namun kini aku cuma melihat gadis itu kaku di kerusinya.
‘Maafkan abang Hazirah…’
*****
©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz
11 comments:
sedih nye :'(
Waaa...Sedihnya π_π
sdih...ingatkn huzaifah dgn hazirah,rupanya tak..
sedihnye..
penulis nie ske wt watak mula dgn hruf H an.. :)
Ya Allah.. Kisahnya sangat mirip dengan jiran saya. tp yg perempan tu dinikahi org lain, ada anak 4 tp terkadang dia anggap suaminya tu org yg dia suka. sekarang dah tak siuman... padahal hijabnya labuh..
oh.. begini endingnya?? ish ish ish.. dasyatlah kak.. belajarlah buat cerita happy ending.. hahaha.. =)
An@ni@ : Jangan menangis. Ni tisu.
NurAtiza : Pengomen tegarku, jangan menangis. :-)
Anon 1 : Tidak. Mereka tak ditakdirkan untuk bersama. :-)
Anon 2 : Kebetulan je tu. :-)
Anon 3 : Kita tidak tahu hidup kita berakhir bagaimana. Mungkin itu akhirnya hidup jiran anda dengan cintanya. Kasihan. Turut bersimpati.
Ezza : Haha~ Wah. Suruh akak belajar wat happy ending ea. Dalam dunia ni tak semua benda berakhir dengan sesuatu yang gembira. :-)
makk aihh..tragis dan menakutkn..ok!love is soo blind..bukan hanya membutakan mata tp juga membutakan hati manusia
Sedihnya... :(:(:( mempermainkan perasaan seseorang itu sangatlah kejam
(seperti halnya perhatian Huzaifah kepada Hazirah),
seakan-akan memberikan sebuah harapan kepadanya
ialah suatu bentuk kesalahpahaman terhadap perhatian. tanpa mereka sadari ada hati yg sedang terluka...
@Isha : cerita dalam cerpen ini, pernah dialami oleh seseorang yang sangat sy kenal...
sy seakan merasakan kesedihan Hazirah...
:):):)
pernah dengar kisah yg sma tapi alhamdulillah takdir memihak pada dia..mereka bersama dan sedang membina bahagia kerana Allah.. :)
Lah camtu je?😐
Post a Comment