Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia



Salahkah Aku Mencintainya??
Oleh : Isha Idiaz


***************
Malam itu Adira sendiri lagi. Kamar itu seperti malam-malam sebelumnya. Sunyi. Sepi. Hanya terdengar bunyi air pancur dari bawah. Asyik. Tenang. Damai. Adira masih duduk mengenangkan nasib hidupnya sambil merenung kerdipan bintang yang cantik menghiasi dada langit pada waktu malam. Walau cantik di pandang namun tak mungkin bisa di gapai. Ingatannya serta-merta kembali kepada Amri. Tengku Amri. Walaupun sudah hampir dua tahun mereka mendirikan rumahtangga, namun mereka seolah-olah orang yang tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Sudah dua bulan dia tidak melihat wajah suaminya itu. Teringat kata-kata suaminya itu sebelum pemergiannya dua bulan lepas.

“Aku tak balik malam ni. Kau tak payah tunggu aku”.

“Abang outstation ke? Biar Dira kemaskan baju abang”, Adira menuturkan lembut.


“Tak payah. Aku dah kemas. Kau tak payah nak sibuk-sibuk”.


“Berapa lama abang outstation?”, soal Adira.


“Hey! Kau dengar sini. Aku dah beritahu kau awal-awal dulu sebelum kita kahwin. Dan kau pun dah setuju dalam surat perjanjian tu yang kau takkan tanya apa-apa yang berkaitan dengan hidup aku.”


“Maafkan Dira abang. Dira bukan nak masuk campur urusan abang. Dira cuma risaukan makan minum abang bila abang duduk seorang nanti”


“Tak payahlah kau nak berpura-pura Dira. Kau ingat kau boleh bodohkan aku macam kau bodohkan mama? Ingat ni baik-baik. Aku cuma kahwin dengan kau sebab aku tak nak jadi anak derhaka pada family aku. Dalam hati aku ni hanya ada nama Alia, bukan Adira. Ingat tu!”, jerkah Tengku Amri sambil berlalu meninggalkan Adira.


Dia tahu Tengku Amri bukan outstation atas urusan syarikat tetapi berbulan madu bersama kekasih hatinya Alia. Air jernih itu menitis lagi di pipinya. Tidak di seka. Hanya di biarkan mengalir. Tangannya di usap lembut ke perut yang tidak kelihatan terlalu membuncit.


“Sabarlah sayang. Mama akan sayang anak mama ni sampai bila-bila”, tutur Adira perlahan pada janin dalam kandungannya.


Usia kehamilannya sudah mencecah tiga bulan. Tidak di khabarkan berita itu kepada sesiapa. Walaupun kepada Tengku Amri. Dia tidak mahu simpati dari insan bernama suami malah dari keluarganya mahupun keluarga mertuanya. Adira mahu membuktikan dia bisa hidup sendiri tanpa bantuan sesiapa.


****************


“Amri, mama nak kenalkan seseorang pada Amri”, tutur Datin Mariam lembut kepada anak tunggalnya pagi itu.


“Siapa mama?”


“Namanya Adira. Anak Aunty Laila kawan baik mama tu”, terang Datin Mariam lagi.


“Adira?”, tanya Amri sepatah.


“Ya, Adira. Amri siap-siap. Pukul satu nanti Aunty Laila akan datang dengan Adira. Mama ajak mereka lunch dekat rumah ni. Cuba kenal-kenal dulu.”


“Kenapa kena kenal dengan dia mama?”, soal Amri lagi.


“Sebab Adira bakal isteri kamu”, jawab Datin Mariam ringkas.


“Tapi mama, Amri dah ada calon pilihan Adri sendiri”.


“Siapa? Alia? Perempuan macam itu yang kamu nak jadikan isteri? Perempuan yang setiap malam jadi penunggu nightclub tu?”, sinis Datin Mariam menuturkan.


Memang sejak dahulu lagi Datin Mariam tidak berkenan dengan calon pilihan Amri. Alia bukan sahaja pengunjung tetap kelab malam, malah pakaiannya juga bagaikan kain tidak cukup ela. Sendat, padat dan nampak pusat. Entah di mana silapnya kornea mata anak tunggalnya ini hingga Alia terlihat begitu cantik di matanya. Mungkin kerana gadis genit itu begitu seksi. Bagi Datin Mariam, definisi cantik bagi seorang perempuan adalah apabila mereka menyembunyikan aurat mereka daripada pandangan lelaki yang bukan muhrim.


“Tapi mama, itu pilihan Amri”, Amri masih cuba mempertahankan haknya.


“Ingat sikit Amri, Rasullullah sendiri pernah bersabda, “Wanita dikahwini kerana empat hal. Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu pilih kerana agamanya, sebab kalau tidak demikian, nescaya kamu akan celaka”. Kalau kamu yakin Alia boleh berubah, mama izinkan kamu kahwin dengan Alia. Kalau kamu tak yakin, kamu harus nikahi Adira”, itulah kata putus yang diucapkan oleh Datin Mariam.


“Mama kan tahu Alia tu hidupnya macam mana daripada kecil. Mana boleh Amri paksa Alia untuk berubah mama. Amri pun suka dia macam tu”, jujur sekali jawapan Amri kepada mamanya.


Datin Mariam sudah mula naik darah. Mahu sahaja ditangankan anak tunggalnya ini. Mana bisa dia membiarkan anak tunggalnya ini hanyut dengan godaan dan keseronokkan dunia. Dia harus segera menikahkan anaknya dengan Adira. Itu yang terbaik untuk Amri.


“Kalau itulah jawapan kamu Amri, bersiap-sedialah. Hujung bulan ni mama mahu kamu menikahi Adira. Dia adalah yang terbaik untuk kamu”, Datin Mariam telah membuat keputusan.


“Tapi mama…”


“Tiada tapi-tapi. Cantik tu tak bawa ke mana Amri. Kalau cantik yang kamu cari, Adira itu cukup cantik.. Kalau sempurna yang kamu cari, Adira cukup sempurna untuk dijadikan isteri. Mama dah buat keputusan. Selama ini mama manjakan kamu, mama biarkan kamu pilih jalan hidup kamu. Tetapi mama tidak mahu kamu memilih calon yang salah untuk di jadikan isteri. Kelak di akhirat bukan kamu sahaja yang dipersoalkan, malah mama juga akan di persoalkan kerana membiarkan kamu terus hanyut dengan dunia kamu tu”.


Melihat Amri diam tidak berkata apa-apa, Datin Mariam menyuruhnya naik  dan bersiap-siap.


“Pukul satu nanti turun ke bawah”, tambah Datin Mariam.


Amri berlalu meninggalkan mamanya. Langkah kakinya begitu berat di rasakan untuk mendaki tangga banglo setinggi tiga tingkat itu menuju ke biliknya. Berat lagi hatinya mahu menerima insan yang tidak di kenalinya itu.


Adira. Nama baru dalam kamus hidupnya. Nama itu yang bakal merosakkan segalanya. Merosakkan kebahagiaannya bersama Alia. Sungguh, dia sangat benci dengan nama itu walaupun belum pernah melihat pemiliknya.


“Kau tengoklah nanti macam mana aku ajar kau Adira”, dalam diam Amri sudah menyimpan dendam terhadap Adira.


***************


“Adira, hari ini Adira banyak kerja di pejabat?”, soal Puan Laila kepada anak bongsunya.


“Ada ibu. Tapi nanti pukul dua belas Dira balik lunch dekat rumah”, jawab Adira tenang.


“Kalau macam tu, nanti ibu jemput Dira dekat office Dira je lah. Kita lunch dekat luar je”, Puan Laila sedang merencanakan strategi untuk mengatur pertemuan antara Adira dan Amri.


Mana mungkin dia menolak pelawaan sahabat karibnya sejak kecil,Mariam. Nanti berkecil hati pula sahabatnya itu. Walaupun Mariam kini sudah mendapat gelaran Datin, namun sahabat karibnya ini tidak pernah melupakannya. Dia tumpang berbangga apabila menerima berita MM Holding’s Sdn Bhd yang merupakan sebuah agensi pelancongan milik Mariam dan suaminya Malik , semakin terkenal di tanah air. Hasil usaha mereka berdua yang tidak kenal erti penat lelah telah membuahkan hasil apabila mereka mendapat gelaran Dato’ dan Datin.


Puan Laila tersenyum sendiri apabila kenangan lama menghiasi mindanya.


“Ibu, senyum sorang-sorang makruh tau”, Adira mengusik ibunya seraya tangannya merangkul erat pinggang ibunya.


Adira tahu, ibunya pasti teringat kisah-kisah silamnya. Seringkali ibunya tersenyum begitu setiap kali teringat kisah silamnya. Pernah beberapa kali Adira bertanya kenapa ibunya sering tersenyum saat duduk seorang diri. Ringkas sahaja jawapan ibunya. “Bila kenangan lama mengetuk pintu hati, siapa kita untuk menidakkan ia dalam memori”.


“Yalah. Ibu tahu. Dira bila nak pergi kerja ni?”, soal Puan Laila. Takut juga nanti anaknya ini dimarahi di pejabat jika dia lewat sampai. Maklumlah, anaknya ini seorang sekretaris. Jika bosnya sudah sampai, tetapi sekretaris masih tidak nampak batang hidung, percuma sahaja anaknya dimarahi.


“Eh, ibu halau Dira ya. Dira tak naklah lunch dengan ibu nanti”, Adira berpura-pura merajuk.


“Ibu bukan halau kamu sayang. Nanti kalau En. Adham tu membebel ke kamu satu hari nanti kamu juga yang sakit telinga nak mendengar”, jawab Puan Laila tenang sambil membelai pipi anaknya.


Adira tertawa kecil. Ibunya juga sudah maklum dengan perangai bosnya Encik Adham. Mana tidaknya, selalu sahaja Adira menceritakan perihal bosnya itu yang padanya sangat cerewet. Ini tidak boleh, itu tidak boleh.


“Ibu memang faham Dira. Sayang ibu. Tak jadilah Dira nak cancel lunch date dengan ibu macam ni”, Adira masih mengusik ibunya.


“Dah. Cepat pergi kerja. Pukul satu nanti ibu jemput Dira”, Puan Laila menghantar Adira hingga ke muka pintu.
Adira menyalami tangan ibunya. Pipi tua itu dikucupnya penuh kasih.


“Dira pergi dulu ya ibu. Assalammualaikum”, tutur Adira lalu meloloskan diri ke dalam kereta waja putih miliknya.


***************


“Adira, saya nak awak teman saya lunch dengan client jam dua belas nanti”, tegas Adham menuturkan melalui butang interkom yang di hubungkan terus ke meja Adira.


“Tapi encik…”, Adira melepaskan keluhan. Dia sudah berjanji dengan ibu mahu makan tengah hari bersama.


“Kenapa? Awak ada masalah nak keluar dengan saya?”, tanya Adham ringkas namun cukup tegas.


“Tak ada encik”, hanya itu yang mampu di katakannya.


“Ok, kalau macam tu, jam dua belas”,tutur Adham lantas mematikan interkom.


Namun dari dalam Adham dapat melihat wajah ayu milik Adira seolah-olah dalam dilema. Sebetulnya, dia sengaja mahu mengajak Adira makan tengah hari bersamanya. Namun dia pasti jika dia mengajak pasti Adira menolak pelawaannya mentah-mentah.  Maka, dia menggunakan alasan lunch bersama client agar secara automatis, Adira mahu atau tidak, harus menerima pelawaannya.  Sudah lama hatinya terpaut pada Adira. Namun dia tidak mahu Adira tahu akan hal itu. Terlalu awal, fikirnya.


Adira masih lagi memikirkan bagaimana dia mahu menjelaskan kepada ibunya.


Adham masih lagi memerhatikan Adira dibalik cermin tingkap biliknya. Gadis bertudung ini cukup cantik. Tutur katanya sungguh sopan. Memang memenuhi ciri-ciri wanita solehah. Saat gadis ini tersenyum, lesung pipitnya jelas kelihatan di kedua-dua belah pipinya.


Adham teringat tafsir Al-Quran yang di bacanya malam tadi. Surah Yaasin ayat 36, yang bermaksud, Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan, sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.


Pandangannya di halakan kembali ke luar. Memandang wajah itu sekali lagi.


Hati Adham berkata, “Mungkinkah Adira di ciptakan untukku?”


Gusar hatinya melihat wajah itu masih runsing. Di tekan butang interkom sekali lagi.


“Adira, masuk ke bilik saya”.


Sebentar kemudian terdengar ketukan di pintu biliknya.


“Masuk”, jawab Adham tegas.


Adira memulas tombol pintu lantas menutup kembali daun pintu setelah dia meloloskan diri ke dalam bilik itu. Langkahnya dihalakan ke meja Encik Adham. Di tangannya sudah tersedia pen dan planner untuk mencatat semua pesanan yang bakal di beritahu oleh Encik Adham sebentar lagi.


"Duduk Adira”, umpama diktator Adham memberi arahan kepada Adira.


Adira menarik kerusi yang tersedia di hadapan meja Encik Adham lalu duduk. Mukanya di tundukkan melihat planner yang dibawanya. Tangan bersedia memegang pen.


“Cuba awak pandang saya Adira”, tutur Adham perlahan. Lirih suaranya seolah-olah berharap Adira memandangnya.


Hati Adira sudah mula berdegup pantas. “Lain macam je Encik Adham ni”, bisik hatinya.


Di angkat sedikit wajahnya agar matanya bisa menatap mata biru milik Adham. “Subhanallah”, bisik hatinya. Maha Suci Allah yang telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Manusia yang merupakan spesies yang sama iaitu dari spesies homosapiens, namun mempunyai pelbagai warna mata, jenis rambut, warna kulit dan bermacam-macam lagi. Begitulah kebesaran Allah.


Sungguh, wajah yang di tatapnya kini sungguh kacak. Wajah yang bisa menggegarkan mana-mana sahaja hati wanita yang memandangnya, tidak terkecuali dirinya.


“Apa masalah awak Adira? Awak tak mahu temankan saya lunch dengan client ke? Dari tadi saya tengok awak macam cacing kepanasan dekat luar tu”, tutur Adham.


“Bukan begitu Encik Adham. Sebenarnya, pagi tadi Adira dah janji dengan ibu nak makan tengah hari bersama”, Adira menuturkan perlahan. Seolah-olah meraih simpati daripada Adham untuk memahami masalahnya.


“Kenapa awak tak cakap kat saya awal-awal. Dah, awak tak payah ikut saya. Pergi lunch dengan ibu”, perlahan Adham menuturkan.


Adira seolah-olah tidak percaya akan perkara yang baru didengarnya tadi. Matanya tepat memandang wajah Adham. Melihat ekspresi wajah itu.


Adham menghadiahkan sebuah senyuman kepada Adira. Pertama kali Adira melihat Adham tersenyum. Jelas kelihatan lesung pipit di pipi kiri Adham. “MasyaAllah”,tuturnya dalam hati. Adakah hatinya semakin terpaut dengan Adham setelah melihat senyuman itu. Cepat-cepat direndahkan kembali pandangannya.


“Awak nak saya berubah fikiran ke Adira?”, soal Adham dengan senyuman yang masih tersisa di bibirnya.


“Terima Kasih Encik Adham”, tutur Adira seraya bangkit dan bersedia untuk keluar.


“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu Encik Adham”, tutur Adira lagi.


Adham hanya mengangguk. Namun, belum sempat Adira menutup kembali pintu biliknya, Adham memanggil namanya. Adira tidak jadi menutup pintu itu. Dijengulkan kepalanya sedikit ke dalam bilik itu.


“Call me Adham. Tak payah berencik-encik”, tutur Adham tegas.


“Baik Encik Adham”, jawab Adira lantas pintu itu di tutupnya rapat.


Adira bersandar di balik pintu. Jantungnya berdegup kencang. “Petanda apa itu Encik Adham?”, soal hati kecilnya.


**************


“Kita nak lunch kat mana ni ibu?”, soal Adira sebaik sahaja dia meloloskan diri kedalam kereta perdana milik ibunya.


Ish Dira ni. Dah macam segmen terjah dalam Melodi dekat TV3 dah. Mana salam?”, ngomel ibunya sambil menekan pedal minyak.


Adira menepuk dahinya perlahan. Mungkin kerana terlalu teruja dapat meluangkan masa untuk makan tengah hari bersama ibunya membuatkan dia terlupa adab apabila berjumpa orang.


“Assalammualikum ibu”, Adira menuturkan penuh hormat.


“Waalaikummussalam. Ha, kan elok macam tu anak dara ibu”, Puan Laila menuturkan lembut.


“So, kita ke mana ni ibu?”Adira bertanya lagi.


“Dira tengok je ibu nak bawa Dira luch di mana”, ringkas ibunya menjawab.


Adira hanya mengangguk perlahan.


Setelah perjalanan selama tiga puluh minit, kereta yang dipandu ibunya memasuki selekoh.


Ibunya mula memerlahankan kelajuan kenderaan. Adira memandang sekeliling. Ini kawasan perumahan. Mana ada restoran.


Dan akhirnya kereta itu berhenti di hadapan sebuah rumah banglo mewah tiga tingkat. Adira kenal rumah ini. Rumah Aunty 
 Mariam, sahabat karib mama.


Sepantas itu Adira memandang ibunya. Puan Laila hanya mengangguk.


Dari dalam Datin Mariam telah melihat kereta Puan Laila di hadapan rumahnya. Berlari-lari anak wanita berusia 40-an ini ke pintu pagar menyambut kedatangan sahabat karibnya ini sekaligus bakal menjadi mertuanya nanti serta Adira yang bakal menjadi menantunya.


“Assalammualaikum”, kedua-dua tetamu memberikan salam.


“Waalaikummussalam”, jawab Datin Mariam ramah sambil menyambut huluran tangan sahabat karibnya ini lantas kedua-dua mereka berpelukan erat.


Setelah pelukan terlerai, Adira segera menghulurkan tangan menyalami Datin Mariam.


Tersentuh hati wanita itu dengan kesopanan anak gadis ini.


Menerusi tingkap kamarnya, Amri melihat mamanya memimpin tangan seorang gadis bertudung menuju ke rumah.


“Mungkin  itu Adira”, bisik hatinya.


“Mari Ila, kita terus ke meja makan. Namanya pun jemputan makan tengah hari. Takkan nak duduk tengok TV pulak kan”, ramah Datin Mariam menuturkan diselangi tawa.


“Kamu ni Yam, dari dulu sampai sekarang, tidak habis-habis dengan loyar buruk kamu tu. Dah nak bermenantu pun masih macam ni”, sengaja Laila menyakat Mariam. Sudah lama mereka tidak bergurau.


Ala, tak apalah Ila. Bakal menantu Yam tu pun bukan orang lain. Anak Ila juga”, seloroh Datin Mariam.
Adira yang tadinya cuma menjadi pendengar setia dan hanya tersenyum kini kaku. Fikirannya cuba mencernakan ayat yang dituturkan oleh Aunty Mariam sebentar tadi.


“Bakal menantu Yam tu pun bukan orang lain. Anak Ila juga”, ini yang di dengarnya. Sah. Tak silap.


Adira memandang ibunya penuh persoalan. Puan Laila hanya tersenyum.


Seketika kemudian kedengaran derap kaki di tangga.


Ha, Amri, salam Aunty Laila ni”, arah Datin Mariam kepada anak tunggalnya itu.


Amri menghampiri Puan Laila lalu menyalami tangan wanita itu. Sekilas matanya memandang wajah gadis yang duduk di sebelah Puan Laila.


“Aunty sihat?”, tanya Amri sekadar berbasa-basi.


“Alhamdulillah. Amri macam mana?”, soal Puan Laila.


“Dia sentiasa sihat Laila. Tak pernahnya tak sihat”, sampuk Datin Mariam dengan tangan memegang dulang berisi juadah tengah hari itu. Nasi jagung berlaukkan ayam masak merah, daging kurma dan pajeri nenas.


Pantas Adira bangun dan membantu Datin Mariam menghidang makanan.


“Tak apa aunty, Adira sendukkan nasi”, Adira menawarkan dirinya.


Datin Mariam mengganguk lantas kembali ke dapur untuk mengambil air limau yang telah di bancuhnya tadi.


Dengan sopan Adira meletakkan pinggan berisi nasi di hadapan Amri.


Amri hanya mengangguk tanda terima kasih.


Setelah semuanya ada, Amri menadah tangan dan membaca doa makan. Semuanya mengaminkan doa yang di baca oleh 
 Amri. Dan mereka menikmati makan tengah hari itu diselangi dengan cerita antara Puan Laila dan Datin Mariam.


Setelah selesai mengemas, mereka beralih duduk di ruang tamu dan kini perbincangan  yang serius bermula.


Datin Mariam membetulkan duduknya. Puan Laila juga begitu.


“Adira, ni aunty nak cakap sesuatu. Aunty harap Adira dengar cakap aunty ni elok-elok ya”, Puan Mariam memulakan bicaranya.


Adira sekadar mengangguk. Di rasakan oksigen tidak cukup di ruang tamu ini. Sungguh, nafasnya terasa sesak.


Aunty dah bincang dengan ibu Adira, aunty nak jodohkan Adira dengan Amri”, perlahan Datin Mariam menuturkan.


Adira sudah mengagak perkara ini yang mahu dibincangkan. Walaupun fikirannya agak bercelaru, namun dia tetap tenang.


“Ya Allah, kau kurniakanlah aku kesabaran”, bisik hati kecilnya.


“Adira setuju?”, soal Datin Mariam.


Adira menarik nafas dalam. Di pandang wajah Puan Laila dan Datin Mariam silih berganti.


“Beginilah aunty. Adira masih terkejut dengan berita ni. Lagipun,Adira tak kenal Amri lagi. Adira tahu pilihan ibu pasti seorang yang terbaik untuk Adira tetapi Adira juga tak nak jika Amri tidak setuju dengan hal ini”, tutur Adira penuh hormat.


Puan Mariam tertawa setelah mendengar jawapan Adira.


“Amri awal-awal lagi dah setuju Adira. Kalau tidak setuju, masakan aunty mahu bertanya”, gembira sekali nada suara Datin Mariam.


Amri hanya memamirkan senyuman plastiknya kepada mamanya dan Puan Laila.


“Kira jadilah ni ya Ila. Minggu depan Yam hantar rombongan meminang. Hujung bulan ni kita adakan majlis akad nikah”, begitu rinci sekali rancangan yang sudah lama diatur oleh Datin Mariam. Tidak sabar dia mahu berbesan dengan sahabat karibnya ini.


“Ya lah Yam. Ila ikut sahaja”, tutur Puan Laila dengan senyuman di bibir.


Mata Amri dan Adira bertemu seketika. Cepat-cepat Adira melarikan pendangannya.


“Cantik”, bisik hati kecil Amri.


***************


“Adira, saya nak cakap sesuatu dengan awak”, perlahan Adham menuturkan.


“Ya Encik Adham”, ringkas Adira menjawab.


“Sudikah awak menjadi isteri saya?”, soal Adham terang lagi nyata. Bagai hukum tajuwid izhar halqi. Bacaanya harus terang dan nyata tanpa dengung.


Adira terkejut dengan soalan yang ditanyakan secara tiba-tiba itu.


“Maaf Encik Adham. Saya bakal menjadi tunangan orang hujung minggu ini”, Adira juga menjawab soalan itu dengan jujur. Terang tanpa berlapik.


Adham terpaku. Hujung minggu ini? Kenapa Adira tidak pernah memberitahunya.


“Pilihan keluarga?”, soal Adham lagi.


“Pilihan keluarga semestinya pilihan yang tepat untuk kita Encik Adham. Ibu dan bapa mana yang mahu melihat anaknya menderita”,luah Adira perlahan. Terdengar seakan-akan gadis itu hampa.


“Kamu tidak cintakan saya Adira?”, Satu lagi soalan diajukan oleh Adham.


“Cinta saya hanya pada Allah Encik Adham. Sungguhpun jika saya mencintai seorang insan, insan itu hanyalah suami saya”, ringkas namun ada kebenaran dalam kata-kata Adira itu.


Namun memang tidak dapat dinafikan, dari dulu lagi, Adira tertarik akan sikap Encik Adham. Encik Adham sempurna terlihat di matanya. Tidak pernah meninggalkan solat sesibuk mana pun dia. Batas pergaulannya di jaga walaupun dia terpaksa berhadapan dengan pelbagai manusia yang bermacam-macam ragam di luar sana.


Adham tertunduk lesu. Terasa penat sungguh hari ini setelah mendapat berita itu. Diringankan mulutnya untuk berbicara lagi.


“Tahniah daripada saya. Moga masjid yang  bakal di bina sentiasa dalam rahmat Allah”,ucapnya perlahan.


“Amin. Terima Kasih Encik Adham. Nanti saya edarkan kad minggu hadapan beserta surat perletakan jawatan saya”, tenang Adira menuturkan.


“Nak berhenti kerja?”, soal Adham menginginkan kepastian.


“Permintaan bakal suami saya. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu Encik Adham”.


Adham hanya mengangguk.


Adira hilang di sebalik kereta waja putih itu. Adham hanya melihat kereta itu berlalu meninggalkan perkarangan bangunan syarikatnya.


Hanya ini yang terlintas di hatinya.

Ya Allah...
Seandainya telah Engkau takdirkan
Dia bukan milikku...
Bawalah dia jauh daripada pandanganku...
Luputkanlah dia dari ingatanku...
Dan periharalah aku dari kekecewaan...


Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti...
Berikanlah aku kekuatan...
Menolak bayangannya jauh ke dada langit...
Hilang bersama senja yang merah...
Agarku sentiasa tenang...
Walaupun tanpa bersama dengannya...


Ya Allah yang tercinta...
Pasrahkanlah aku dengan takdir-Mu...


Adira memandu kereta dengan perasaan yang bercampur-baur. Antara rasa kecewa dan bahagia. Bahagia kerana akhirnya dia mengetahui Adham mempunyai perasaan yang sama sepertinya. Kecewa kerana impian itu tidak akan terlaksana. Doa ini 
terlintas di hatinya.

Ya Allah yang tercinta...
Pasrahkanlah aku dengan takdir-Mu...
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik untukku...
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui...
Segala yang terbaik buat hamba-Mu ini...


Ya Allah...
Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku...
Di dunia dan akhirat...
Dengarkanlah rintihan daripada hamba-Mu yang daif ini...
Jangan Engkau biarkan aku sendirian...
Di dunia ini mahupun di akhirat...
Menjuruskan aku ke arah kamaksiatan dan kemungkaran...
Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman...
Agar aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup...
Ke jalan yang Engkau redhai...
Dan kurniakanlah kepadaku keturunan yang soleh dan solehah...


Ya Allah...
Berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan akhirat...
Dan periharalah kami dari azab api Neraka...


*************

Majlis akad nikah berlangsung dengan lancar. Dengan sekali lafaz sahaja Adira sah menjadi milik Tengku Amri. Setelah selesai diijabkabukan, majlis berzanji diadakan oleh keluarga Adira. Sekadar memenuhi hajat ibunya. Maka beralunlah suara milik Adira membacakan ayat-ayat yang terdapat di dalam kitab berzanji itu.

Tengku Amri terpaku mendengar suara Adira yang sungguh merdu. Tidak pernah dia mendengar suara semerdu itu. Lunak sekali di dengar. Bergetar naluri lelakinya tatkala mendengar suara insan yang kini telah sah menjadi isterinya.
Tema majlis hari itu putih biru. Gabungan warna kegemaran Adira iaitu putih dan warna kegemarannya, biru.

Setelah selesai semua majlis, semua keletihan. Datin Mariam memandang Adira dan Tengku Amri.


“Pergilah naik tidur”, arahnya.

“Ada lagi sikit pinggan ni mama. Dira habiskan cuci dulu”, jawab Adira.


“Esok-esok ada lagi Dira. Rehat-rehatlah. Pergi naik temankan Amri”, Datin Mariam menambah lagi.


Datin Mariam memandang Amri.

“Amri, bawak Adira masuk”, perintah Datin Mariam.

Tidak mahu memanjangkan perkara, Adira membilas tangannya. Lantas di kucup tangan mertuanya itu dan meminta izin untuk naik ke atas.


Di dalam bilik, Amri sudah menunggu. Setelah mengetuk pintu dan memberi salam, Adira menguak daun pintu.
Salamnya bersahut.


Di lihat Amri duduk di birai katil. Adira menghampiri suaminya. Dia duduk bersimpuh di bawah menghadap suaminya.
Adira membuka bicara.


“Abang, Dira mandi dulu ya. Dira tak solat isyak lagi”, Adira meminta izin dari Amri.


“Pergilah”, perlahan Tengku Amri menjawab.


Setelah mandi, Adira keluar dari tandas tanpa tudung di kepala. Inilah pertama kali Tengku Amri melihat rambut Adira. Ikal dan panjang. Merasa dirinya diperhatikan oleh Tengku Amri, Adira hanya menundukkan mukanya. Inilah kali pertama seorang lelaki melihat rambutnya.


Tengku Amri menghampiri Adira. Dan malam itu milik mereka.


************


Kini sudah dua tahun usia perkahwinan mereka. Tengku Amri tidak menafikan dia memang sudah mencintai Adira. Namun, dia masih tidak dapat melupakan Alia. Tambahan pula Alia sentiasa bersamanya.


Dia akui Adira melayan makan minumnya dengan sempurna. Malah Adira seorang isteri yang cukup sempurna baginya. Namun kerana egonya, dia tidak mengaku yang dia mencintai Adira. Dia masih ingat dendamnya pada Adira sewaktu mama mengkhabarkan padanya dia harus menikahi Adira.


Kerana itu dia tidak begitu mengendahkan Adira semenjak mereka berpindah rumah setelah tiga hari bernikah.


Memang nafkah yang di beri kepada Adira cukup. Cuma dia selalu mencari kesalahan Adira. Kesalahan yang kecil akan di perbesarkan. Namun kerana kesabaran yang di miliki oleh Adira, hal yang di perbesarkan olehnya akan hilang begitu sahaja.
Kerana modalnya untuk membuat Adira sakit hati tidak berjalan dengan lancar, Adham menggunakan Alia sebagai medium untuk dia membalas dendam kepada Adira. Seringkali dia menjawab panggilan Adira tatkala lewat malam. Seringkali juga dia keluar bersama Alia. Apa saja yang bisa membuat Adira sakit hati. Sama seperti sakit hatinya saat dia terpaksa menerima Adira sebagai isterinya dan meninggalkan Alia.


************


“Assalammualaikum abang”, kedengaran suara Adira di hujung talian. Suara itu yang di rinduinya.


“Ha, kau nak apa?”, jerkah Tengku Amri. Sengaja mahu menyakiti hati Adira.


“Abang balik bila?”soal Adira perlahan. Sudah hampir dua bulan suaminya tidak pulang kerumah.


“Apehal kau sibuk nak tahu aku balik bila?” soal Tengku Amri.


“Tak ada apa-apa abang. Lama dah abang tak balik”, jujur Adira menuturkannya. Sebenarnya Adira agak risau kerana kini usia kehamilannya sudah mencecah lima bulan. Dia sangat memerlukan Tengku Amri di sisinya saat-saat begini. Adira memerlukan sokongan suaminya.


“Tengoklah nanti malam karang ke aku balik”, Tengku Amri menjawab seakan-akan acuh tidak acuh. Sengaja dia mahu menimbulkan amarah di hati Adira.


“Terima kasih abang. Kalau macam tu Dira letak telefon dulu ya. Assalammualaikum abang”, tenang Adira menuturkan. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Hari ini suaminya pulang. Mahu di khabarkan kepada Tengku Amri bahawa dia kini sudah hamil lima bulan.


“Waalaikummussalam”, jawab Tengku Amri bersahaja. Di matikan talian telefon lebih awal daripada Adira. Senyuman terlukis di bibir tipis miliknya. Merasakan kemenangan miliknya. Pasti Adira sudah rindukannya.


Tengku Amri mengemas beg pakaiannya. Sebenarnya, dia juga sangat merindui Adira. Segera Tengku Amri mendaftar keluar daripada hotel dan memandu meneruskan perjalanan ke rumahnya.


Di rumah, Adira memasak pelbagai menu kesukaan Tengku Amri. Malam ini sungguh istimewa baginya. Sementara menunggu Tengku Amri pulang, Adira menunaikan solat Isyak.


Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu


Itulah doanya pada malam itu. Di rasakan begitu kerdil dirinya menghadapi ujian Allah. Dari halaman rumah, kedengaran deruman enjin kereta milik Tengku Amri. Bingkas Adira bangkit dari duduknya dan menjengah ke tingkap. Benarlah Tengku Amri sudah pulang. Bergegas dia menuruni anak tangga dengan telekung yang masih belum di tanggalkan.


Dan begitu besar kuasa Allah, pada anak tangga yang terakhir Adira terpijak kain telekungnya. Lantas dia jatuh tersembam 
ke lantai.

“Ya Allah”, hanya itu yang keluar dari mulutnya.


Automatis darah mengalir keluar. Adira menjerit menahan kesakitan. Di pegang perutnya yang di rasakan bagai mahu meletup. Sakit yang amat.


Dari luar rumah, Tengku Amri terdengar jeritan Adira. Segera dia membuka pintu. Dilihat Adira terbaring di lantai dengan berlumuran darah. Di lihat muka Adira menahan kesakitan dengan juraian air mata.


“Ya Allah Adira. Kenapa ni?”, panik Tengku Amri melihat keadaan Adira. Di lihat perut Adira membuncit. Adakah Adira sedang hamil? Mengapa Adira tidak pernah memberitahunya akan hal ini? Rasa kesal bertandang di hati Tengku Amri.


Segera Tengku Amri mengangkat Adira untuk dibawa ke hospital. Di bisikkan sesuatu ke telinga Adira.


“Abang sayang dan rindu Adira. Maafkan abang Adira. Maafkan abang kerana tidak menjaga Adira. Maafkan abang kerana tidak tahu Adira hamil. Kalau abang tahu, abang tak akan biarkan Adira seorang diri di rumah”


Setitis air mata Tengku Amri jatuh di pipi isteri kesayangannya itu. Kini baru Adira mengerti, Tengku Amri sangat mencintainya.


Di hospital, doktor mengesahkan kandungan Adira sudah mencecah usia lima bulan. Akibat perdarahan yang banyak, doktor hanya bisa menyelamatkan salah seorang dari mereka. Sama ada Adira ataupun bayinya. Diberitahukan hal itu kepada Tengku Amri.


“Selamatkan isteri saya doktor”, pinta Tengku Amri dengan juraian air mata. Sesalnya tidak berpenghujung. Rencananya untuk menguji cinta Adira telah melampaui batas. Kini dia terpaksa memilih nyawa yang harus di selamatkan. Antara isteri dan anaknya. Dan dia memilih isterinya.


“Duhai anakku, maafkan papa kerana mengabaikan kamu sayang”, bisik hati kecilnya.


Di dalam wad kecemasan, doktor sedaya upaya menyelamatkan kedua-duanya. Tetapi kerana kondisi Adira yang begitu lemah akibat kehilangan banyak darah, nyawa si kecil juga tidak dapat di selamatkan.


“Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun. Allaahumma’jurni fii mushiibatii wakhluflii khairan minhaa ”, hanya ini yang mampu dituturkan oleh Tengku Amri apabila doktor memaklumkan kepadanya bahawa isteri dan anaknya tidak dapat diselamatkan. Air matanya mengalir laju. Sungguh, dia begitu menyesal akan perbuatannya terhadap Adira dan anaknya. Telah di zalimi keduanya.

“Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami akan kembali. Ya Allah, berilah pahala kepadaku dan gantilah aku dengan yang lebih baik dari musibah ini.”


****************


Tengku Amri redha dengan pemergian kedua-dua orang yang di sayanginya. Kini, dia mengerti apa itu cinta. Dia mengerti apa itu kecewa. Adiralah yang mengajarnya semua ini.


Di buka kembali helaian diari Adira. Sudah beratus-ratus kali dia membaca muka surat ini namun tidak pula dia merasa jemu. Di rasakan seolah-olah Adira menemaninya setiap waktu apabila dia membaca puisi ini.
                
                Salahkah aku mencintainya Ya Allah,
                Jika Engkau telah menciptakan dirinya untukku,
                Jika itu yang Engkau tuliskan sejak di luh mahfuz…

                Salahkah aku mencintainya Ya  Allah,
                Jika kini aku adalah isterinya yang sah,
                Jika kini aku membawa benihnya di dalam rahimku…

                Salahkah aku mencintainya Ya Allah,
                Jika cintaku padanya mendekatkan diriku padaMu,
                Jika dia hanya dalam hatiku…
               
                Berikanlah suamiku kebahagiaan Ya Allah,
                Berikanlah dia taufiq dan hidayahmu,
                Agar jika satu hari nanti kami berpisah,
                Dia bisa menemaniku di alam rohMu…


Tengku Amri menyeka air mata yang jatuh di pipinya. Di tutup lembaran diari milik arwah Adira. Bingkas dia bangun untuk menunaikan solat maghrib setelah mendengar laungan azan.

Dalam doanya setelah selesai solat, dia memohon agar roh isteri dan anaknya di tempatkan bersama-sama golongan yang beriman.

***************
©Hak Cipta Terpelihara – Isha Idiaz









Share

6 comments:

Puan Nurussalwa said...

As'salam..
=) ni link sharing untuk batch 4.

http://pendambarahmat.blogspot.com/2011/06/batch-no4-segmen-lets-learn-from-best.html

jazkllh.

pelangi hafyza said...

assalam..
salam ziarah...
cerpen yang menarik...
buat renungan semua..

Unknown said...

wuuuu ,, knpa Biarkan airmata aku mengalir ? Best citer ni mengharukan

Unknown said...

Sedih banget deh

Unknown said...

Sedih banget deh

Anonymous said...

Cerpen ini memang mengutamakan syariat Islam tapi sebagai pandangan dan maaf kalau saya tersilap cuma ada satu bahagian yang perlu diberi lebih perhatian iaitu Datin Mariam menyuruh Tengku Amri bersalaman dengan Puan Laila walaupun Tengku Amri belum sah menjadi menantunya sebab kita sedia maklum batas pergaulan dalam Islam.