Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

Tunjukkan Aku Jalan ke Hatimu
Oleh : Isha Idiaz

*****
LELAKI itu. Kenapa dia ada di sini? Buat apa dia di sini? Berkerut-kerut kening Dieyla memandang  jejaka yang tinggi lampai itu.

Jejaka itu segak dengan kemeja-T hitam berkolar. Penampilannya tampak santai dengan jeans dan sneakers yang dipakainya ketika ini. Sama seperti waktu pertama kali mereka bertemu dahulu. Wajahnya iras-iras pelakon Hindustan yang popular suatu masa dahulu iaitu Arjun Rampal.

“Tengok siapa?” tegur Nina sambil memanjangkan lehernya untuk turut sama melihat orang-orang yang ada di dalam medan selera itu. Mana tahu jika ada juga orang yang dikenalinya di dalam ruangan itu.


            Dieyla hanya menggeleng-gelengkan kepalanya bagi menjawab pertanyaan Nina tadi. Nina memang terkenal dengan jolokon ‘mata laser’ oleh teman-temannya yang lain. Mana tidaknya, pantang nampak benda lain sikit semua mahu ditegurnya.

            Eheh. Nak main sembunyi-sembunyi cerita pulak daripada aku si DE ni. Aku cungkil anak mata tu baru tau. Macamlah aku tak tahu dia dari tadi tengah memerhatikan seseorang. Nina sudah tersenyum sumbing. DE memang tidak pandai nak menipu.

            “Kau usha siapa daripada tadi? Ingat aku tak tahulah kalau kau buat muka toya macam tu,” sindir Nina. Penyedut minuman itu dihalakan ke mulut dan Nina menyedut air bandung cincau di dalam gelasnya yang masih penuh.

            “Eii minah gossip ni. Kau kalau sedut air tu diam-diam je. Jangan bercakap. Karang kalau tersedak aku juga yang susah,” Dieyla mula membebel, cuba keluar daripada topik tadi.

            Dieyla, atau lebih mesra dipanggil DE oleh teman-temannya, merupakan seorang gadis yang sangat low profile. Tidak banyak bicara. Namun punya pendirian yang tetap. Tampak elegan hari ini dengan kemeja jalur-jalur bewarna hitam dipadankan dengan slack warna serupa. Sehelai selendang merah bermanik-manik halus kemas menutup helai-helai rambutnya yang tidak kelihatan.

            Pandangannya dialihkan daripada terus menatap wajah DZ yang sudah mengambil tempat duduk bertentangan dengannya. ‘Punya banyak kerusi dalam food court ni kenapalah kau duduk sini DZ?’ keluh DE dalam hati.

            Melihat DE yang serba tidak kena macam cacing yang sedang kepanasan akhirnya Nina menoleh ke belakang. Melihat gerangan siapakah yang telah membuat DE yang selalunya cool dalam apa jua keadaan sudah tidak senang duduk seperti ini. Sekali pandang sahaja…

            “Eh!” Hanya itu yang terkeluar daripada mulut Nina apabila terpandang wajah itu.

            Pantas DE bangkit daripada kerusinya dan menekup mulut Nina. Lantas, tangan Nina dicapai dan DE menarik gadis itu keluar daripada medan selera tersebut.  Gadis itu hanya menurut walaupun dia agak terkejut dengan tindakan DE yang tiba-tiba itu.

*****

ANGIN yang bertiup sepoi-sepoi bahasa petang itu seakan merestui DE untuk mengimbas kembali memori silam antara dia dan DZ. Di tempat yang sama, di bangku ini. Di Tasik Kasih ini.

            “Kalau kau pergi, siapa yang nak temankan aku dekat sini?” buat sekian kalinya DZ berbicara. Dedaun yang gugur ditiup angin kencang petang itu berterbangan di hadapan mereka.

            DE memandang wajah jejaka yang duduk di sebelahnya tika itu. Sayu juga hatinya mahu meninggalkan DZ seorang diri di sekolah itu. Namun dia harus kuatkan hatinya demi harapan keluarganya.

            “Nina ada,” hanya itu yang terluah di bibir DE. Dilihat Nina sedang menyusuri laluan di sekeliling Tasik Kasih itu dengan gembira bersama Afif.

            DZ mengeluh. Nina ada. Senang je DE ni cakap. Habis kalau aku tak ada, Afif tu kau boleh samakan dengan aku ke?

            “Kau tak faham DE,” ujar DZ sambil memandang tepat anak mata DE.

            “Apa yang aku tak faham DZ?” soal DE. Melihat DZ yang hanya merenung ke arahnya, DE sudah tidak betah berada di situ. Sebelum hatinya goyah, lebih baik dia berlalu daripada situ.  “Kau yang tak faham keadaan aku,” ujarnya sebelum berlalu meninggalkan DZ keseorangan di bangku yang menghadap tasik itu.

            “DE!” Laung DZ daripada kejauhan.

DE tidak berpaling walaupun sekali. Dia tidak mahu DZ menahannya lagi. Dia harus kuat kali ini.

Itulah kali terakhir dia melihat wajah DZ. DZ atau nama sebenarnya D’zun Adzharif. Seorang sahabat tempat dia meluahkan segala rasa hatinya suatu ketika dahulu. Seorang sahabat yang tidak pernah melukakan hatinya walaupun sekali.

Angin yang tadi bertiup sepoi-sepoi bahasa sekarang sudah menggila seperti perasaannya yang menggila setelah melihat DZ di medan selera tengah hari tadi ketika dia bersama Nina. Memadamkan terus kenangan lama yang bermain dalam minda DE sebentar tadi dan memicu tindakan refleks DE untuk berlari ke arah gazebo untuk berlindung jika hujan turun sebentar lagi.

*****

MASUK kali ini sudah hampir sembilan kali DE berjalan mundar-mandir di bilik tidurnya. Seperti kucing hilang anak sahaja lagaknya.

            Langkahnya terhenti di meja belajarnya entah buat kali yang ke berapa. Mencapai telefon bimbitnya. Menaip sesuatu. Tidak lama kemudian, diletak kembali telefon bimbit itu ke atas meja. Niat untuk menghantar pesanan ringkas kepada DZ dimatikan begitu sahaja.

            DE menghempaskan badannya di atas katil. Dia tewas dalam perasaan sendiri. Seminggu ini hidupnya tidak keruan setelah dia melihat kelibat DZ.

Makhluk bernama DZ ini benar-benar membuat perasaannya bercampur-baur kini. Bersalah? Untuk apa dia rasa bersalah? Kerana dia meninggalkan DZ seorang diri di tasik itu sewaktu kali terakhir mereka berjumpa? Gembira? Untuk apa dia berasa gembira? Gembira kerana setelah sembilan tahun akhirnya mereka berjumpa? Sedih? Untuk apa dia bersedih? Kerana DZ tidak perasan kewujudannya di medan selera itu.

Ya. DZ tidak perasan kewujudannya di medan selera itu yang membuat dia serba tidak kena sekarang ini. Mustahil DZ tidak mengingati wajahnya. Segera DE bangun dan menuju ke meja soleknya apabila teringat akan hal ini. Diamati wajahnya di cermin. 

Sama.

Tidak jauh beza dengan wajahnya sewaktu mereka berjumpa kali terakhir dahulu sewaktu umur mereka baru menginjak enam belas tahun. Cuma bezanya dia kini sudah bertudung. Namun kenapa DZ tidak bertegur sapa dengannya? Marah? DZ marah dan mahu membalas dendam kepadanya? Mungkin.

DE kembali menghempaskan badannya ke katil. Rambutnya di tarik-tarik sebagai tanda protes. Bantal busuknya di tendang ke bawah. Anak beruang pemberian DZ di tumbuk sekuat hatinya. Geram!

*****

AISHAH tertawa setiap kali membaca pesanan ringkas yang diterima daripada DE. Entah apa yang terjadi kepada DE dan DZ juga dia tidak tahu. Namun pastinya hal itu sangat serius sehingga DE mencarinya.

            “DE sabarlah. DZ merajuklah tu agaknya,” pujuk Aishah menenangkan DE memandangkan gadis itu menangis tatkala menelefonnya.

            “DE tak tahu kenapa DZ tak balas pesanan DE kak,” ujar DE dalam suara tersekat-sekat. Air mata kini terlalu murah setiap kali dia menyebut nama DZ.

            “Tak ada kreditlah tu DE. DZ tu memang kedekut. Akak ni yang selalu topupkan dia,” adu Aishah pula. DZ adiknya itu memang seorang yang cermat. Kedekut pun boleh tahan juga.

            DE sudah tergelak walaupun air matanya masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti mengalir. Memang. DZ memang kedekut. Teringat waktu ulang tahunnya yang ke lima belas tahun, DZ tidak membelikannya hadiah kerana katanya mahu simpan duit untuk anak isterinya nanti. DZ hanya memberinya sekuntum bunga mawar merah. Itupun yang dipetik daripada Taman Ros sekolah mereka. Memang kedekut.

            “DZ memang,” ujar DE perlahan.

            Aishah sudah tertawa di hujung talian. Dirasakan DE seorang gadis yang sangat comel dan baik. Malah boleh dikatakan DE ini lebih sesuai untuk dijadikan calon isteri buat DZ yang sudah menjangkau umur 25 tahun kini. Calon yang masuk kriteria disenangi oleh bakal kakak ipar dan mertua.

            Nak dibandingkan dengan Hanum, memang DE mengatasi segala-galanya sebagai seorang calon menantu pilihan. Daripada latar belakang keluarga, pendidikan dan juga kerjaya. Semuanya setaraf dengan DZ. Malah ibunya dan adik-beradik yang lain juga kurang berkenan dengan perwatakan Hanum yang sering berkunjung ke rumah mereka walhal Hanum dan DZ tidak punya apa-apa ikatan. Memikirkan perkara itu, ada baiknya dia bertanya soalan cepu emas itu kepada DE.

“DE dah ada buah hati?” soal Aishah tiba-tiba apabila suasana sepi buat beberapa ketika.

            Tersedak DE yang sedang meneguk air ketika itu bagi melegakan tekaknya yang terasa perit akibat menangis sedari tadi.

            “Buah hati tak ada kak. Buah tangan daripada Jerman ni adalah untuk akak,” ujar DE selamba. Air matanya juga sudah berhenti mengalir.

            “Ada jodoh insyaAllah tak ke mana dik. Sabarlah,” ujar Aishah cuba meyakinkan DE. Aishah yakin, DZ juga lebih sayangkan DE daripada Hanum mengikut perkiraannya sebagai orang yang makan garam lebih banyak daripada mereka bertiga. Cuma DZ perlukan masa.

            Setelah meletakkan gagang telefon, DE berasa sangat puas. Akhirnya dia bisa merasa sedikit tenang. Dia terlelap juga akhirnya malam itu setelah lama tidur malamnya terganggu.

*****

“MAK nak pergi pinang seseorang untuk kamu hari ini DZ,” Puan Mirna memberitahu DZ sewaktu mereka bersarapan pagi Ahad itu.

            Surat khabar yang berada di tangan sedari tadi akhirnya terlepas dek mendengar berita yang baru dikhabarkan oleh Puan Mirna tadi. Biar betul? Ni kes kahwin paksa ke ni? Nak buat laporan dekat mana kalau ada kes kahwin paksa macam ni?

            Aishah dan yang lain-lain sudah tergelak memandang DZ yang sudah dalam posisi nak melarikan diri ketika itu. Belum sempat dia bangkit daripada kerusi, Aishah sudah memegang bahu DZ dan mengarahkannya untuk kekal duduk dikerusinya.

            “Barang-barang semua kami dah sediakan. Jangan risau,” ujar Aishah dalam tawa.

            Gila. Anak siapa yang tiba-tiba mak dengan akak nak pinang untuk aku ni? Akak bukan tak tahu aku suka…

            “Cuba tengok cincin berlian ni,” ujar Fatimah, kakak DZ yang kedua pula.

            Gulp. DZ menelan air liurnya yang dirasa kelat ketika ini. Lagi kelat rasanya daripada buah mengkudu. Amboi. Bukan main lagi cincin berlian yang mak belikan untuk bakal menantunya. Entah jari siapa yang menjadi mangsa kerakusan maknya ini.

            “Siapa mak?” soal DZ akhirnya.

            Semua mata memandangnya tanpa kata. Dan penghabisannya mereka semua tertawa.

            “Resume dia ada dalam bilik tu. Atas katil DZ. Pergilah tengok,” ujar Aishah bersahaja. Senyum dibibirnya masih belum lekang.

            Jangan tak tahu, kalau nak jadi menantu Puan Mirna ni kena pakai resume bagai. DZ mencebirkan bibirnya. Hatinya berdebar-debar kala ini.

            Dikuak pintu bilik. Memang ada sebuah fail di atas katilnya. Resume kata kakaknya. Resume menantu pilihan. Lebih tepat lagi resume bakal isterinya. Fail itu di capai. Tiada gambar. Di baca ayat yang tertulis di sehelai kertas.

            Nama              : Nur Dieyla Adzhirah
            Umur              : 25 tahun

DZ tergelak apabila matanya tertancap pada ayat di bawah ini.

Pekerjaan       : Pencuri hati

Pencuri hati? Gila. Sama tak betul dah macam orang dalam rumah ni. Matanya meneruskan melihat ayat-ayat dibawahnya hingga ke ayat terakhir di kertas putih itu.

Harapan         : Tunjukkan aku jalan ke hatimu

 Tunjukkan aku jalan ke hatimu? Macam ayat skema. Ingat novel cinta ke perempuan ni? Jiwang betul.

DZ tidak sedar tangannya telah mencoret sesuatu dikertas putih itu.

Jalan ke hati aku ni tak ada nama.
Jalan mati.
Jalan buntu.
Kau tak tahu ke?

Dia puas. Fail resume menantu  pilihan itu diletakkan kembali di atas katil. Lantaklah mak atau kakaknya mahu cakap apa. Pinanglah perempuan mana pun. Dia tidak akan suka. Dalam hatinya cuma ada satu nama. Dan nama itu biarlah ia menjadi rahsia sampai bila-bila.

*****

MAJLIS merisik berjalan dengan lancar di rumah DE. Kedua-dua buah keluarga sudah bersetuju untuk mengikat tali pertunangan dan mengadakan majlis pernikahan antara DE dan seseorang yang dicintainya seminggu daripada sekarang. DE sangat cantik dengan baju kurung merah lembut.

            Aishah datang menghampiri DE dan membisikkan sesuatu ke telinganya. DE sekadar menangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali. Puan Mirna yang memerhati daripada jauh tersenyum memandang anak gadis itu. Dia senang sekali melihat DE.

*****

DZ sudah berdebar. Jantungnya bagai mahu pecah. Jika seminggu lepas sewaktu membaca resume menantu pilihan emaknya, dia masih boleh melarikan diri. Kini setelah diberitahu bahawa majlis pernikahannya akan diadakan pada hari jumaat depan, hidupnya sudah semacam berubah 360 darjah.

            “Gila. Memang gila,” ujar DZ.

            Dalam situasi begini, otaknya hanya teringat satu nama. DE. Pantas dicapai telefon bimbit yang diletakkan  di atas katil. Di dail nombor telefon DE.

Talian bersambung. Ini bermakna DE masih tidak menukar nombornya sejak kali terakhir mereka berjumpa dulu.

            Entah mengapa adrenalinnya mengarahkan dia untuk mendail nombor DE yang sudah sembilan tahun tidak dihubunginya. Suara itu. Sudah berubahkah suara yang sangat dirinduinya. Atau pemilik suara itu sudah berubah sepenuhnya sekarang? Sembilan tahun. Masa yang cukup lama untuk mengubah seseorang. Lebih tepat, masa yang cukup lama untuk membuat seseorang lupa kepada orang yang pernah rapat dengan mereka suatu masa dulu.

            “Assalammualaikum.” Suara seorang gadis menyapa gegendang telinganya.

            “Wa… Wa… Waalaikummussalam,” jawab DZ tergagap-gagap.

            “Ya, cari siapa?” DE menuturkan penuh hormat.

            “Err… Boleh saya bercakap dengan DE?” tutur DZ teragak-agak.

            “Ya, saya DE.”

            Dan suasana dibiarkan sepi. Akhirnya, DZ memutuskan talian. Berdebar-debar hatinya. Gila. Memang gila. DE ke tu? Suara DE? Lembut macam tu?

Peluh sudah memercik di dahi. DZ masih tidak percaya suara yang didengarnya tadi milik DE.

You are so dead DZ. Kau dah nak kahwin dah jumaat depan. Jangan nak berangan macam-macam dengan DE tu,” DZ memberi amaran kepada dirinya sendiri.

Mulut kata lain, hati kata lain. Hatinya cuma mahu katakan ini sekarang, ‘DE saya rindu awak!’

*****

KERETA yang dinaiki oleh DZ sudah masuk ke perkarangan rumah bakal isterinya di Taman Damansara Aliff ini. Dia tidak pernah ke rumah sesiapa di kawasan ini. Bermakna bakal isterinya ini bukan anak teman maknya.

            “Dah practice ke belum malam tadi DZ?” Soal Aishah cuba bergurau dengan DZ. Dia tahu, pasti DZ sudah separuh mati menahan debaran.

            “Akak, kau jangan nak buat aku bertambah cuak,” kata-kata DZ itu seolah-olah memberi amaran kepada Aishah.

            Tidak peduli dengan kata-kata amaran daripada DZ, Aishah terus mengusiknya. “Sempat lagi ni dik kalau kau nak practice.”

            “Nah! Amik ni!” ujar DZ sambil melemparkan sebiji bantal kecil yang ada di dalam kereta perdana V6 itu kepada Aishah.

            “Sudah tu Aishah, DZ. Jom turun. Orang dah tunggu dekat dalam tu,” Puan Mirna sudah masuk campur.

            Sebaik sahaja melangkahkan kaki ke dalam rumah, DZ tidak mampu berkata apa-apa lagi. Sebuah pelamin bertemakan kuning keemasan tersergam indah di tengah rumah. Bunga pahar sudah terhias indah di kiri dan kanan pelamin. Cantik! Seperti yang diidamkannya selama ini. DZ memandang Puan Mirna. Puan Mirna hanya tersenyum memandangnya dan mengangguk-anggukkan kepalanya.

            “Mana yang nak bertunang dan bernikah tu? Duduk sini.” Suara seseorang memukul gegendang telinganya.

            DZ menghalakan padangannya ke arah bunyi suara itu. Sebuah pelamin kecil bewarna silver hitam terhias indah di sebuah ruangan lain menjadi tatapan pandangan matanya kini.

DZ sudah tidak keruan. Ini majlis pertunangan dan pernikahan yang paling ngeri dalam sejarah keluarganya. Dia sendiri tidak tahu dengan siapa dia akan bertunang sekaligus bernikah malam ini.

Setelah DZ mengambil tempat duduknya di sebuah alas duduk bewarna silver itu di hadapan seorang tua yang dicerna oleh otaknya sebagai Tok Kadi, keadaan menjadi sepi.

“Bawa keluar pengantin perempuannya,” ujar Tok Kadi.

            Tatkala mendengar ayat itu, mahu sahaja DZ melarikan diri. Namun digagahkan juga hatinya untuk melihat siapa bakal isterinya yang akan dinikahi sebentar lagi.

            Dalam kegelisahan hati, matanya dapat melihat seorang gadis yang sangat ayu dengan busana serba putih diiringi oleh dua orang gadis yang lain. Gadis itu hanya tunduk memandang lantai sewaktu melintasi belakangnya. Sopan. Dia seperti kenal gadis itu. Segaris senyuman terukir di bibir mungil gadis itu. Cantik.

            Dan kini, upacara pertunangan dimulakan. Sebuah cincin sudah tersarung kemas di jari manis gadis tadi. Puan Mirna menyambut huluran tangan gadis itu. Kemudian sebuah kucupan dihadiahkan buat bakal menantunya. DZ masih tidak berpeluang melihat gadis itu dalam jarak dekat. Hanya mencuri pandang dalam puluhan manusia yang berkerumun mengambil gambar gadis yang menjadi tunangnya kini.

            Setengah jam kemudian, upacara akad nikah dijalankan. Tangan DZ sudah berjabat dengan tangan Tok Kadi.

            “Aku nikahkan dikau Dzun Adzhariff dengan Nur Dieyla Adzhirah dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai,” ujar Tok Kadi seraya menggoncang tangan DZ.

            “Aku terima nikahnya Nur Dieyla Adzhirah dengan mas kahwinnya dua puluh ringgit setengah tunai,” ujar DZ dengan sekali nafas.

            Setelah pernikahannya dinyatakan sah oleh tiga orang saksi, doa di baca.Mengucapkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerana akhirnya kini dia telah bergelar seorang suami. Dan kini tergalaslah sebuah tanggungjawab yang berat di atas bahunya.

            DZ kini menghampiri isterinya untuk upacara pembatalan air sembahyang. Saat dia melihat wajah isterinya itu secara dekat, hanya satu kata yang terluah dari bibirnya.

            “Alhamdulillah.”

            Sesungguhnya DZ memang tidak teringat sama sekali nama DE yang sebenar adalah Nur Dieyla Adzhirah. Jika dia tahu daripada awal, tidak akan diconteng resume menantu pilihan maknya hari itu.

Pantas DE mencapai kedua-dua belah tangan DZ dan mengucupnya. Perasaan hiba menyelinap masuk ke dalam hatinya. DE. Insan yang selama ini bertakhta dalam hatinya kini menjadi miliknya.

            Sebuah kucupan singgah di dahi DE. Tangan kanan DZ mengusap lembut ubun-ubun DE. Sempat dia membisikkan sesuatu ke telinga DE sewaktu tetamu merakamkan gambar mereka pada upacara pembatalan air sembahyang itu.

            “DE ke isteri abang?”

            DE hanya tersenyum. Jelas, di jari manis kiri dan kanannya kini sudah tersarung dua cincin.

“Jalan ke hati abang ada nama tak?” soal DE pula juga dalam keadaan berbisik.

“Jalan hati namanya,” bisik DZ.

“Jalan ke hati abang bukan jalan mati dan buntukan?”

“Takkan mati dan buntu untuk DE.”

Dalam rasa bahagia yang dirasainya ketika ini, DZ mencari-cari wajah Aishah. Ini pasti kerja kakaknya. Jika tidak masakan DE tahu sebiji-sebiji ayat yang ditulisnya dalam resume menantu pilihan maknya itu.

“Akak tak salah,” Aishah melaung dari jauh.

*****

© Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz


Share

10 comments:

RinsyaRyc said...

terbaek di alaf ini ... <3 <3 dz.. n de..

senyom sensorg baca cerpen nih~ terbaik dri ladang!!! thanks kak isha ~ my peberet penulis ... aish .. untungla jadi de~

Nurfazzy said...

Suka!!
sweet.. >,<

Anonymous said...

awwww~~~ loikeeeee... jalan ke hati lelaki namanya JALAN HATI~~ waoooooo... oh lelaki, tunjukkan aku di mana terletaknya JALAN HATI...

Anonymous said...

So sweeeeett ! Hihi . Mula dah geram dah nape si DZ tu tak nak DE lepas tengok resume . Dia nak pmpn mana lagi . Rupanya dia lupa nama penuh DE . Haha . Terbaekk la cite ni . Thumbs up !

Anonymous said...

kak isha..
memang terbaik la.. senyum manjang saya baca cerpen ni.
rindu akak tau.. dah lama tunggu akak update blog..

Anonymous said...

best..
senyum memanjang bace..huhuu
nasib baik kwn2 dh tido..
lps nie msk dlm mimpi..
ara

Anonymous said...

best..
senyum memanjang bace..huhuu
nasib baik kwn2 dh tido..
lps nie msk dlm mimpi..
ara

kleo said...

huhu! best sangat kak isha! senyum sensorang bila baca. heeee :D
good job, akak! teruskan usaha! sentiasa sokong dari belakang! ;)
Terima kasih untuk cerpen yang mantap ini! :D :D :D

Anonymous said...

hehe..best.sengih2 baca kat part akhir tu ;D

cikna said...

Best2...../😍