Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

Cerpen : Tipu Kalau TAK…
Oleh : Isha Idiaz
*****

“WEI, dialah. Dialah,” bisik Wani ke telingaku.

Dia? Siapa? Siapakah dia? Berkali-kali soalan itu bermain di mindaku. Nama aku nak angkat kepala tengok orang yang dimaksudkan oleh Wani tadi tu memang tidak sesekali. Lebih baik aku hadap buku Calculus ni sampai juling mata daripada sibuk nak tengok muka orang.

“Kau ni sungguh ke tak nak tengok dia?” soal Wani lagi. Kali ini suaranya naik satu oktaf. Dia sudah menyiku tanganku di sebelah.


Aku macam biasa malas nak melayan si Wani ni. Bukannya apa, Wani ni jenis yang extreme sikit kalau nampak lelaki macho macam Aaron Aziz. Ala, takkan kau orang tak tahu Aaron Aziz tu siapa. Aaron Aziz pelakon Ombak Rindu yang menang anugerah bintang popular berita harian tu. Kalau kau orang tak tahu juga, silalah cari tahu ya.

Masih macam tadi, aku masih leka menatap buku Calculus. Bukannya aku tak nak tengok orang yang dimaksudkan oleh Wani tadi. Tapi aku punya tiga alasan untuk tidak melihat orang itu. Satu, kalau tengok, entahkan aku nampak entahkan tidak orang tu sebab aku lupa nak bawa cermin mata hari ni. Kedua, aku rasa mata aku ni lebih suka nak pandang buku Calculus ni daripada nak pandang muka orang. Tiga, aku rasa tak naklah aku buat dosa kering kot kot kalau orang tu pakai seksi-seksi pulak kan.

“Tengok, dia dah pergi.” Telingaku dapat menangkap keluhan yang terluah dari bibir mungil Wani yang sememangnya banyak bercakap itu.

            Pen yang sedari tadi kugengam, aku letakkan di atas meja. Ibu jari dan jari telunjuk ku bawa ke pangkal hidungku lalu mengurut-ngurut di situ. Kebiasaanku untuk menghilangkan rasa letih apabila aku memandang sesuatu terlalu lama apabila memakai cermin mata. Tetapi hari ni, walaupun aku tidak memakai cermin mata, aku tetap nak buat. Memang betullah apa kata Horace Mann dalam ayatnya yang mengatakan, Habit is a cable, we weave a thread each day, and last we cannot break it.  

            Akhirnya aku mengangkat muka memandang Wani di sebelah. Wajahnya kelihatan hampa. Muncungnya sudah panjang sedepa. Sekali aku tengok, dah macam muncung Daisy, kekasih si Donald Duck dalam siri kartun popular masa aku kecik-kecik dulu, Mickey Mouse. Aku tergelak sendiri.

            “Kau gelak eh. Gelaklah. Gelaklah,” Wani memprotes. Lagi panjang muncungnya berbanding tadi.

            “Lah, siapa budak tadi tu?” soalku cuba berdiplomasi dengan Wani. Lebih tepat aku sebenarnya nak pujuk si Wani sebab dia dah mula keluarkan aura-aura merajuk dengan aku. Back to Calculus. Kalau ikut perkiraan aku, sekiranya Wani punya muncung dah panjang empat inci, itu tandanya dia dah merajuk. Ni aku tengok dah empat inci, sebab tulah aku kena pujuk dia cepat-cepat.

            Wani memalingkan mukanya ke arah lain. Ha, kan aku dah cakap, dia merajuk. Kau orang yang tak percaya cakap aku dari tadi. Empat inci dah tu. Empat inci.

            “Tadi aku tunjuk kau tak nak tengok. Sekarang baru sibuk nak tanya siapa budaknya,” ujar Wani dalam nada merajuk. Sebaik sahaja mendengar ayat itu, aku tersenyum. Sekurang-kurangnya Wani masih menjawab pertanyaan aku. Itu tandanya, dalam kiraan tiga, hilanglah rajuknya tu.

            Mari kita kira sama-sama.

            Satu.

Dua.

Tiga.

“Mamat tu handsome kau tahu. Dahlah segak bergaya. Kacak menawan. Rugi kau tak tengok dia tadi Fira,” ujar Wani teruja.

See. Kan aku dah cakap. Hilanglah dah rajuk si Wani ni. Tak payah aku nak bermodal ayat manis nak pujuk dia. Coklat pun tak payah. Aku kenal dia ni dah lama. Dari kecik aku membesar dengan dia.

“Iya dia handsome, kacak lagi bergaya?” soalku seolah-olah berminat dengan cerita Wani tadi.

“Uihh. Kau tak tengok. Kalah Aaron Aziz tu,” ujar Wani lagi sambil mengeluarkan sekeping gambar Aaron Aziz yang memang dibawanya ke mana-mana dan dibandingkan dengan wajah lelaki tadi yang disave dalam kotak ingatannya yang dikatanya kacak lagi bergaya. Katanya, untung badan, dapat boyfriend muka macam Aaron Aziz ni kalau tiap-tiap hari tengok muka dia. 

“Rugilah aku kalau macam tu,” komen aku untuk membuat Wani merasakan yang dia sungguh-sungguh bertuah kerana dapat melihat wajah lelaki iras-iras Aaron Aziz itu.

“Ha la. Kalau kau tengok dia Fina, melekat terus kau dengan dia. Silap hari bulan, kau jatuh cinta dengan dia. Lepas tu rindu. Nanti mulalah, makan tak lena, mandi tak kenyang, tidur tak basah,” tambah Wani lagi. Satu hal lagi hal yang aku lupa nak beritahu pasal Wani ni. Dia memang suka menukar-nukar perumpamaan melayu ni. Kalau kau orang tak percaya, kau orang bacalah ayat dekat atas tu sekali lagi. Ada ke makan tak lena, mandi tak kenyang, tidur tak basah? Wani kawan aku ni memang perosak bahasa. Bila dengar kata-kata Wani tadi tu, aku terfikir sesuatu. Perfect benar gamaknya lelaki itu kalau boleh bikin hidup aku tunggang terbalik macam tu.

            “Aku? Cinta? Rindu? Tak!” ujarku dengan tawa yang kedengaran agak kuat di telingaku sendiri. Sejak bila Fina pandai nak bercinta? Pandai nak merindu? Pelik-pelik. Malas mahu berfikir soal itu lagi, aku lantas bangun dan mencapai beg sandang ku. Buku Calculus dan sebatang pen tadi aku masukkan ke dalam beg. Kakiku mula melangkah mahu beredar daripada meja di Café Cinta Bersemi itu.

            “Eh kau nak pergi mana tu?” soal Wani terpinga-pinga.

            Aku berhenti seketika, memandang meja yang terletak di sudut paling kiri Café itu, lalu aku mengukir sebuah senyuman di bibir. Dan aku pun berkata, “Aku masuk kuliah Calculus dulu.” dan ‘sebenarnya, aku tak nampak kau Wani’. Aku habiskan ayat terakhir itu dalam hati.

*****

“DUSH!!!” Bunyi itu telah membuat semua orang yang ada di atas jambatan kecil menuju ke Café Cinta Bersemi itu memandang ke arah aku. Serentak itu, percikan air membasahi mukaku. Aku sendiri kaget. Dari mana datangnya bunyi itu. Dan dari mana pula datangnya air yang membuatkan muka aku basah begini. Bukan setakat muka aku sahaja yang basah. Dengan kemeja T cap Adidas aku sekali basah sama.

            “Wei perempuan! Kau tak nampak aku ke ha? Jalan tengok depan la wei!” Aku dapat menangkap teriakan itu dari bawah. Ku jengukkan sedikit kepalaku ke bawah. Samar-samar aku dapat melihat seorang lelaki sudah sama-sama berenang dengan ikan yang ada di dalam kolam itu.

            Aku tergelak tiga saat. Ni dugong ke apa yang nak sama-sama berenang dengan ikan yang ada dalam kolam tu tengah hari macam ni.

            “Hei, kau boleh gelak pula ya!” teriak lelaki itu lagi.

            Entah siapa yang dimarahnya, aku juga kurang tahu. Niat hati mula-mula aku nak marah lelaki tu sebab dia dah basahkan baju cap Adidas aku ni. Mahal baju ni aku beli. Terpalit pula air dari kolam ikan. Mujur aku dah habis kuliah hari ni. Sebab tulah, aku berjalan je tinggalkan dia terjerit-jerit memaki hamun entah siapa yang ada di situ. Marah dengan orang yang menolaknya hingga masuk ke dalam kolam ikan itu.

*****

MALAM itu, aku temankan Wani sekali lagi makan malam di Café Cinta Bersemi itu lagi. Abang pelayan sibuk meletakkan makanan yang Wani pesan tadi satu persatu di atas meja kami. Besar betul selera si Wani ni. Badan kecik tapi makan banyak. Kini, sudah terhidang di depan mata sajian makan malam yang sangat mengasyikkan hingga buat aku yang tengah jalani program diet ni meleleh air liur. Rasa nak hentak-hentak kepala atas meja sebab tak tahan dengan bau ikan bakar pari dan bau air asam. Tu belum masuk bau sayur chap chai kegemaran aku lagi. Bau ayam goreng lemon ni lagilah buat aku rasa macam nak terbalikkan meja kita orang saat tu juga. Mujur aku dalam keadaan waras. Untuk legakan rasa nak makan tu, aku sedut sedikit air limau nipis yang aku beli tadi.

            “Bismillahirrahmanirrahim,” ujar Wani seraya menyudukan suapan pertama berisi secubit ikan bakar pari, sedikit sayur chap chai dan juga sehiris ayam goreng lemon ke dalam mulutnya.

            “Gulp!” Aku meneguk air liur bila aku rasa kelenjar air liur aku langsung tak membantu aku dengan merembeskan begitu banyak air liur saat ini.

            “Jemput makan Fina.” Sempat Wani mempelawa aku dengan senyuman dia yang macam kerang busuk tu. Bila sebut pasal kerang, teringat aku kerang masak sos padang kegemaran aku. Sekali lagi dengan susah payahnya aku terpaksa menelan air liurku. Dugaan.

            “Sila sila.” Itu sahaja yang mampu aku cakap. Bimbang kalau cakap banyak-banyak nanti, terpercik pula air liurku ke muka Wani. Maklumlah, tak berhenti-henti air liur aku keluar mengalahkan masa dalam bulan puasa.

            Aku menyedut lagi air limau nipis. Cuba mengawal pengeluaran salivaku saat ini. Memandang kolam ikan yang terletak di sebelah meja kami. Memandangkan malam ni aku pakai cermin mata, dapatlah aku tengok beberapa ekor ikan emas sibuk berenang dalam kolam yang aku kira dalamnya mencecah ke paras pinggang aku.

            Tiba-tiba sahaja aku teringat peristiwa tengah hari tadi. Lelaki dugong. Alangkah baiknya jika aku dapat melihat wajah lelaki dugong itu. Boleh juga aku minta ganti rugi kalau-kalau tak hilang bau hanyir dekat baju cap Adidas yang telah selamat aku rendam dalam air sabun di bilik tadi. Aku senyum sendiri.

            “Senyum seorang-seorang. Angau ke apa kau ni?” tegur Wani. Isy. Mengacau betul. Aku baru berangan nak mintak lelaki dugong tu ganti rugi baju cap Adidas aku yang lama tu dengan baju cap Adidas yang aku tengok kat mall hari itu.

            “Angau apanya. Aku ni menahan air liur tengok kau makan sedap tu, kau tahu! Tiap-tiap hari kau menyeksa jiwa dan batinku ini Wani,” ujarku bersahaja. Memang betul pun. Ada ke aku yang tengah ikut program diet ni disuruhnya teman dia pergi makan tiap-tiap malam. Kejam kawan aku seorang ni. Mujur iman aku ni kuat. Kalau tak, dengan aku sekali bersantap menu makan malam si Wani ni. Bersantap gitu. Macam raja. Aku gelak lagi.

            “Kau tu, otak kau tak boleh ke kalau tak imagine ayat-ayat yang tak tercapai dek akal Fina?” soal Wani serius.

            Ayat tak tercapai dek akal? Kalau Wani perosak perumpamaan melayu, aku ni kau orang boleh kategorikan sebagai perosak penggunaan bahasa istana. Ahai.

            “Isy. Kau dengar ke apa yang aku cakap Wani? Aku rasa aku tak buka mulut pun tadi,” sengaja aku mengusik Wani. Bukannya apa, kadang-kadang, aku rasa Wani ni ada kuasa psikik. Dia macam tahu apa yang aku cakap dalam hati.

            “Kau tak cakap pun aku tahu Fina. Otak kau tu bukannya betul sangat.”

            Amboi, sedap sungguh mulut si Wani ni mengata otak aku tak betul. Dah tu, otak dia betul sangatlah tu.

            Belum sempat aku menzahirkan kata-kata, Wani dah sambung semula ayat dia tadi yang aku fikir dah habis. “Aku dah cakap, jangan ngadap sangat nombor-nombor dekat dalam buku tu. Cuba tengok sikit dunia luar ni. Tengok alam ciptaan Allah. Tengok langit, tengok bintang.” Tu dia. Mula dah Wani memberi tazkirah.

            “Ni kau asyik tengok nombor. Benda lain kau tak nampak. Contohnya mamat yang duduk dekat meja hujung tu. Ada kau nampak dia main dekat café ni sebelum ni?” ujar Wani bersahaja.

            Got it. Itu dia. Tu bukan tazkirah. Tu namanya Wani menggunakan teknik reverse psychology. Dia sebenarnya nak suruh aku tengok mamat yang duduk dekat meja hujung sebelah kanan tu rupanya. Memandangkan aku pakai cermin mata, jadi aku pun tolehlah ke arah kanan dan dapatlah aku lihat wajah lelaki yang dimaksudkan oleh Wani tadi.

            “Café ni setahu aku bukan tempat untuk bermain. Café adalah sebuah tempat untuk orang yang lapar macam kau menikmati makan malam mahupun siang. Yang makan tak kira waktu pun boleh juga,” ujarku membetulkan ayat yang Wani ucapkan tadi setelah aku rasa tak berminat nak tenung wajah lelaki tadi lama-lama. Apalagi bila lelaki itu turut sama memandangku saat itu. Cepat sahaja otot-otot mataku melarikan bola mataku daripada terus memandang lelaki itu.

            Wani tersengeh memandangku. Seketul ayam goreng lemon yang telah dipotong membentuk bulat-bulat kecil disumbatkan ke dalam mulutnya.

            “Tulah mamat yang segak bergaya yang kau terlepas nak tengok hari tu,” ujar Wani dengan rasa terujanya.

            Aku menoleh ke arah meja hujung di sebelah kananku itu sekali lagi. Tetapi perasaanku sedikit hampa apabila lelaki segak bergaya itu sudah tiada di mejanya. Melepas lagi. Aku menundukkan wajah mengadap air limau nipis di dalam gelasku itu.

            “Fi Fi Fina,” ujar Wani tergagap-gagap.

            Apa hal pulak la si Wani ni tergagap-gagap. Nampak hantu ke apa. Ke tercekik ayam goreng lemon tadi. Aku malas mahu mengangkat muka. Leka aku pandang titis-titis air yang membasahi luar permukaan gelasku. Kalau tidak silap, ini namanya proses kondensasi.

            “Hye,” suara seseorang menampar gegendang telingaku sekaligus mengganggu otakku bekerja memikirkan kebenaran konsep proses kondensasi yang aku agak tadi. Yang pastinya sekarang ini, suara yang aku dengar tadi bukan milik Wani kerana aku pasti itu suara lelaki. Melalui pemeriksaan kesihatanku yang lepas, doktor nyatakan aku tidak mempunyai masalah pendengaran. Jadi, betullah aku tidak ada masalah pendengaran.

            Di bawah meja, Wani menyepak kakiku dengan kuat. Terkejut dengan tindakan Wani tadi, pantas aku mengangkat muka. Dan… Eh! Betullah suara yang aku dengar tadi adalah suara lelaki. Seorang lelaki yang handsome lagi segak dan bergaya sedang berdiri betul-betul di sebelah meja kami.

Kerana rasa kagum aku terhadap kekacakkannya, maka mulutku ternganga luas. Betullah kata Wani tadi, banyak lagi benda yang menarik lagi untuk dilihat dari nombor-nombor yang ada dalam buku Calculus aku tu. Contohnya muka lelaki ni. Dengan misai tipis yang menghiasi atas bibirnya, matanya yang kuyu dan hidungnya yang tinggi, cukuplah aku katakan, kata-kata Wani tempoh hari sangatlah tepat. Lelaki ini memang segak bergaya. Memang macam Aaron Aziz. Owh Abang Aaron! Tengok, aku pulak dah berjangkit dengan penyakit Wani ni.

“Makan berdua je ke?” soal lelaki segak bergaya itu sambil memandang tepat ke anak mataku. Senyumannya memang boleh buat aku punya hati macam dah nak meloncat-loncat keluar menari atas meja ni.

“Awak ada nampak orang ketiga ke?” soal mulutku tanpa dapat dikawal. Cepat-cepat aku menekup mulutku lantaran tersedar aku sudah terlanjur bicara. Isy, mulut ni saja nak bagi aku malu agaknya.

“Kalau ada orang ketiga, orang tu adalah saya. Kalau tak pun, syaitan,” jawab lelaki itu bersahaja. Kali ini dia sudah duduk dan pandangannya sudah setara denganku. Tak perlulah aku mendongak untuk memandangnya. Yang peliknya, entah bila lelaki itu menarik kerusi di meja sebelah. Lagi pelik, aku rasa aku mahupun Wani tidak mempelawanya untuk duduk bersama kami di situ.

“Rasanya, kami tak mintak ada orang ketiga di sini,” ujarku spontan. Sungguhlah mulut ni. Ringan sahaja mahu menjawab kata-kata yang keluar daripada mulut lelaki itu. Lelaki segak bergaya itu ketawa besar. Seolah-olah kata-kataku tadi lawak sangat. Aku rasa tak ada pun aku buat lawak macam peserta rancangan raja lawak tu.

“Dan rasanya, awaklah perempuan yang tolak saya sampai saya masuk dalam kolam ikan tu tengah hari tadi,” ujar lelaki segak bergaya itu sambil menghalakan muncungnya ke arah kolam ikan di sebelahku itu.

Aku terdiam sekejap. Kali ini bukan tiga saat seperti kebiasaanku. Kali ini aku terdiam hampir 10 saat. Wani pula aku lihat, mulutnya ternganga seluas-luasnya waktu itu. Kejang kaki tu aku pernah dengar, tapi kalau kejang mulut ni baru nilah aku lihat.

“Awak? Jatuh kolam? Tengah hari tadi? Saya yang tolak?” soalku bertubi-tubi. Bila pula aku tolak dia. Aku merenung wajah lelaki itu lagi. Isy. Lelaki ni saja buat cerita kot sebab dia nak kenal dengan aku.

“Eheh, mana ada,” ujarku setelah aku rasa lelaki ini silap orang gamaknya.

Lelaki segak bergaya itu tersenyum manis sekali lagi. Dia menupang dagunya dengan tangan dan terus menerus menatapku dengan pandangan redupnya. Anak rambutnya yang jatuh ke dahi membuatkan wajahnya kelihatan sungguh tampan waktu itu.

“Baju Adidas warna merah. Beg silang tepi warna krim. Bukan awak ke orang tu?” soal lelaki segak bergaya itu.

Eh, baju Adidas aku yang basah terkena percikan air kolam tengah hari tadi memang warna merah. Beg yang aku pakai tadi pun memang warna krim. Dua-dua dah selamat aku rendam dalam air sabun dek kerana nak hilangkan bau hanyir air kolam ni. Dan serta-merta aku teringat peristiwa petang tadi.

Damn! Ikan dugong!

            Aku sudah tersenyum kelat. Tak tahu mana nak sorok muka. Aku ke yang langgar dia sampai dia jatuh dalam kolam ni tengah hari tadi? Salah pemilik Café Cinta Bersemi ni jugak sebab buat jambatan tanpa penghadang dekat kolam ni. Kalau orang semua dah nak cepat, langgar sikit je, kalau tak stabil, confirm masuk dalam kolam ni.

            Lelaki segak bergaya menguak anak rambutnya ke belakang. Aku pula. Err. Memandangkan rambutku cuma separas bahu dengan pixie haircut, maka, aku hanya mampu menguak anak rambutku ke belakang sekaligus merosakkan pacakkan rambutku yang hampir sejam aku membuatnya sebelum aku menemani Wani makan malam di Café Cinta Bersemi ni tadi.

*****

PATUTLAH lelaki segak bergaya itu terjerit-jerit bila aku dengan selamba meninggalkannya berenang bersama-sama ikan emas yang ada di dalam kolam itu tengah hari tadi. Manalah aku tahu, aku yang tolak dia. Sungguh, bila fikir balik benda ni sejak aku balik temankan Wani makan malam tadi, aku dah tak boleh nak hadap buku Calculus aku. Kerana itu, sekarang ini, aku baring telentang mengadap siling bilik aku ni. Aku sekarang ini, dalam proses membawa kembali otak aku pada saat kejadian.

            Petang tadi, aku betul berebut-rebut nak berjumpa dengan si Wani di Café Cinta Bersemi tu memandangkan aku dah terlewat sejam daripada masa yang dijanjikan. Kena pulak, masa aku nak melintas di jambatan tu, masa tu ramai orang pergi makan tengah hari. Jadi ramailah manusia yang nak meniti dekat atas jambatan yang aku panggil jambatan pintas yang membawa kami dari bangunan akademik ke medan selera yang ada di situ.

            Dan dalam kesesakan itu, aku pun jalanlah selaju yang aku mampu walaupun aku tahu manusia berpusu-pusu di arah bertentangan. Maka aku terasa suatu benda keras melanggar bahuku saat itu dan tidak lama kemudian, aku terdengar bunyi benda terjatuh dan sekelip mata sahaja air di dalam kolam itu terpercik ke mukaku seraya menguyupkan kemeja T merah cap Adidasku.

            That’s it! Kan aku dah cakap, bukan salah aku. Lelaki segak bergaya yang langgar aku. Padanlah dengan muka dia. Dah tahu jambatan tu tak ada pemegang, lagi mahu eksyen konon dada bidang yang kononnya kalau bertembung dengan bahu aku, dia masih terpacak stabil atas jambatan tu.

            Aku menepuk-nepuk bahuku. Bangga juga aku dibuatnya memandangkan bahu aku ni lagi kuat dan kukuh daripada dada bidang si lelaki segak bergaya tu. Aku tersenyum sendiri. Mujur aku lupa bawa cermin mata tengah hari tadi. Kalau tidak, sia-sia sahaja aku kena maki dengan lelaki tu hidup-hidup dekat tengah orang ramai tu. Dan aku rasa, kalau aku pakai cermin mata tengah hari tadi, dengan aku sekali sengaja menjatuhkan diri dalam kolam tu gara-gara nak selamatkan lelaki segak bergaya tu sebagai rasa cinta aku padanya. Lepas tu, mesti dia dah tak jadi nak marah aku sebab aku pun dah sama-sama basah macam dia. Play fair and square kata otakku.

            Bila fikir balik semua kata-kata dekat atas ni, aku terdiam tiga saat. Walaupun secara zahirnya aku memang tak berkata apa-apa. Tapi aku dengan kasarnya meminta hati aku diam untuk tidak berkata-kata selama tiga saat. Hanya otak aku yang berfikir kewarasan kata-kata aku tadi.  Kalau tidak silap, tadi aku ada sebut perkataan cinta. Perkataan tu sekarang menari-nari dalam kepala otak aku macam seorang penari ballet ligat menari di atas pentas.

Aku? Cinta? Isy. Tak! Tak!

*****

“OKEY, saya pensyarah baru yang akan gantikan pensyarah Calculus kamu yang telah berpindah.”

            Kata-kata pensyarah muda itu disambut oleh tepukan pelajar-pelajar yang ada di kelasku. Nama dia Syafrin. Dah dekat-dekat dengan nama aku, Syafina. Aku masih tak ada keinginan nak tengok muka pensyarah baru aku tu. Bukannya tak suka. Tapi aku lebih suka pensyarah lama aku, Puan Nina itu. Sayang sekali Puan Nina terpaksa mengikut suaminya berpindah ke negeri lain. Pensyarah separuh umur itu sungguh dedikasi dalam mendidik. Pensyarah baru ini, tidak tahulah aku bagaimana pula gayanya.

            “Sekarang, saya rasa saya tak mahu mengajar dulu. Saya nak berkenalan dengan semua ahli kelas ini,” ujar pensyarah muda itu lagi.

Aku masih lagi tidak mahu memandang mukanya. Nak berkenalan pula. Bukan ke lagi baik kalau dia terus mengajar. Tapi kata orang, kalau tak kenal maka tak cinta. Mungkin sebab tulah kena kenal dulu dengan pensyarah muda ni hari ini. Baru lepas ni, apa jua yang dia ajar, masuk melekat dalam kepala otak aku ni.

            “Kita mula dari hujung sana,” suara itu menampar gegendang telingaku lagi. Aku kini ligat melukis sesuatu di atas kertas. Inspirasi daripada kehadiran pensyarah baru ini dan juga daripada lelaki segak bergaya yang sudah seminggu tidak dilihatnya di Café Cinta Bersemi itu.

w+y= Tipu Kalau Tak…
            “Awak yang rambut pacak tu, tak nak kenalkan diri?” suara lembut pensyarah muda itu menampar gegendang telingaku. Rambut pacak? Setahu aku, dalam kelas ni, yang rambut pacak cuma aku seorang. Maka, dengan itu aku pun menguak anak rambutku yang yang jatuh sehelai ke dahi lalu berdiri bangun. Kononnya, akulah pelajar paling macho dalam kelas ini.

            “Panggil saya Syaf. Umur 21.” Ujarku yakin seraya mengangkat muka memandang wajah  pensyarah muda itu yang sedari tadi aku menolak untuk melihatnya. Tatkala terpandangkan wajah pensyarah muda itu, aku tiba-tiba kaget. Ngeee. Bala apakah ini? Pensil yang tadinya aku pegang terjatuh di atas lantai.

            Lalu tanpa diduga, dan entah bila masanya, pensyarah muda itu sudah berada di sampingku. Huluran pensilku yang terjatuh tadi ku sambut daripada tangan pensyarah muda itu. Mataku masih tidak berganjak memandang wajahnya. Aku dapat lihat, sepasang anak mata pensyarah muda itu memandang ke arah mejaku.

            “Nice drawing,” ujarnya kepadaku seraya berlalu ke hadapan kelas semula.

            Aku pun macam robot yang telah diprogramkan terus duduk dan kawan disebelahku bangun memperkenalkan dirinya. Melihat sehelai kertas di atas mejaku, baru aku dapat tangkap maksud kata-kata pensyarah muda itu tadi. Ngee. Dia tengok gambar ni. Matilah kalau dia tahu aku… Eh tak mungkin dia tahu. Cepat-cepat aku sembunyikan kertas itu di dalam beg sandangku.

*****

SATU jam aku menahan rasa malu yang tiba-tiba mengetuk pintu hati aku. Mujurlah hari ini kuliah Calculus cuma satu jam. Jika dua jam, masak jugalah aku hendak bertahan duduk di dalam kelas itu mengadap muka pensyarah baru itu.

            “Fina, tipu kalau tak apa?” soal pensyarah muda itu sewaktu aku tergopoh-gapah menyelitkan diri di antara pelajar kelasku yang mahu keluar daripada kelas tersebut.

            Aku terus terdiam di tempat aku berdiri tadi. Betul-betul di hadapan pintu kelas kami. Nak tengok kembali wajah pensyarah baru tu rasanya macam tak lalu. Tapi aku paksa diriku menoleh ke arah meja pensyarah di hadapan kelas tersebut.

            “Apa dia sir?” soalku sengaja buat-buat tidak dengar. Sudah aku katakan sebelum ini aku tidak punya masalah pendengaran sama sekali.

            “Saya tanya, tipu kalau tak yang awak tulis dalam lukisan awak tadi tu, apa maksudnya,” tenang sahaja suara itu menampar gegendang telingaku.

            Derap kaki pensyarah muda itu semakin dekat menghampiri. Aku jadi tak keruan tiba-tiba. Rasanya mahu sahaja aku dendangkan lagu Tak Keruan nyanyian Zamani dan Zarina saat itu.

            Saratnya bebanan asmara
Beratnya menepis gelora
Semua relaku terima
Andainya inilah cinta

“Ah, tak ada apa tu. Saya memang suka buat benda merepek macam tu sir,” ujarku selamba menutup kegelisahan hati. Beg silang yang tersangkut di bahu aku betulkan letaknya. Ku bawa beg itu ke hadapan. Tali beg itu ku pegang erat. Menutup debaran dada yang semakin tidak dapat ditahan.

            “Tipu kalau awak tak cinta dekat saya ke?” soal pensyarah muda itu tiba-tiba.

            Nah. Macam sebijik bom atom jatuh dekat hati aku saat ini. Memang gila soalan cepu emas pensyarah muda bernama Syafrin ini. Aku nak jawab pun kena fikir seribu kali. Sebenarnya memang aku rindu sikit dekat ikan dugong ataupun lelaki segak bergaya tu. Tapi tak adalah aku sangka dia tu sebenarnya pensyarah aku dan sekarang dia tengah tanya dekat aku soalan cepu emas macam tu.

            “Eh sir ni. Tiba-tiba tanya saya soalan macam tu. Sir angau dekat saya ke?” soalku kembali kepada manusia bernama Syafrin ini.

Ha, padan muka. Sekarang rasa macam mana kalau tiba-tiba kena tanya soalan macam tu. Cepat jawab. Cepat. Aku tersenyum sendiri. Sekaligus, aku sedekahkan sekali senyuman mengejek pada Sir Syafrin. Nak sangat suruh aku jawab soalan dia tadi.

“Kalau saya kata saya angau dekat awak?” duga Sir Syafrin lagi.

            Amboi kes parah pensyarah aku ni. Boleh pulak nak main-main dengan aku. Sekali aku back hand baru dia tahu.

            “Saya tahu awak rindu dekat saya kan? Tak pun awak cinta dekat saya,” Sir Syafrin memang tidak mahu mengalah.

            Aku memandangnya dari atas ke bawah. Dia cukup segak hari ini dengan kemeja hitam jalur-jalur. Seluar slack hitam membuatnya penampilannya cukup untuk membuat aku terpesona. Tu belum masuk tali leher merah hati yang tersangkut kemas di lehernya. Memang lain benar dengan penampilannya saat dia terjatuh di kolam ikan dahulu.

            “Saya? Cinta? Rindu? Tak mungkin. Tak mungkin,” ujarku dengan tawa dan terus hilang di sebalik pintu kelas. Aku dapat menangkap suara Sir Syafrin mentertawakan aku saat itu. Aku tidak kira, pensyarah muda itu mahu katakana aku pengecut atau apa. Aku hanya mahu melarikan diri daripada soalan-soalan yang bakal menjerut leher aku kalau sesi soal jawab itu masih diteruskan.

*****
           
WHAT? Dia pensyarah kau?” soal Wani terperanjat. Bulat matanya memandang aku. Bukan kau je yang terperanjat Wani. Aku lagilah terperanjat.

            Aku cuma mengangguk lemah menjawab pertanyaan Wani tadi. Malas aku nak cakap banyak. Buang air liur je.

            “Dah tu? Dia ada cakap apa-apa tak masa dalam kelas tadi?” soal Wani lagi.

            Aku menggelengkan kepala seraya menyedut jus epal di dalam gelasku. Lega rasa tekakku bila dibasahi oleh jus epal yang sejuk itu.

            Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Lantas aku segera membuka zip beg sandangku. Aku mengeluarkan sehelai kertas dan menyuakannya kepada Wani. Melihat kertas itu, Wani ternganga. Aku tahu, Wani menantikan kata-kata seterusnya keluar daripada mulut aku.

            “Aku lukis tu masa budak-budak tengah kenalkan diri tadi,” ujarku perlahan. Tanganku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Aku tidak tahu bagaimana aku harus memberitahu perkara tersebut kepada Wani. Aku bukannya seorang penulis novel yang hebat menyusun kata-kata macam Syamnuriezmil tu.

            “Lepas tu?” soal Wani seolah-olah dia tidak sabar mahu mendengar cerita aku.

            “Lepas tu dia tengoklah lukisan tu,” aku jawab ringkas. Kan aku dah cakap aku tak pandai sangat nak menyusun kata-kata bagi berbunga-bunga cerita aku tu.

            “Takkan tu je kau nak beritahu aku?” duga Wani. Wani ni sebenarnya lebih kepada nak mengorek rahsia. Bukan aku tak tahu taktik dia tu.

            “Dia ada tanya aku satu soalan ni. Lagi susah daripada soalan Calculus yang selalu Puan Nina bagi suruh kita orang buat,” ujarku seraya melepaskan keluhan. Jus epal yang sudah mendap di dalam gelas itu aku kacau laju.

            “Soalan apa? Tipu kalau kau tak cinta dia ke?” Soalan Wani itu membuatkan aku yang waktu itu sedang menyedut jus epal tersedak.

            “Serius dia tanya kau soalan tu?” sambung Wani lagi.

            Aku mengangguk lemah. Tidak tahu mahu berkata apa. Lagipun anak tekak aku rasa macam nak tercabut sebab tersedak tadi.

            Sebelum Wani bertanya, aku bersuara.

            “Aku tanya dia balik, dia angau dekat aku ke. Lepas tu kau tahu dia jawab apa?” Giliran aku pula menyoal Wani.

            “Dia jawab memang dia angau dekat kau?” ujar Wani seraya merenung wajahku dalam-dalam. Petama aku lihat Wani serius seumur hidupya selama 21 tahun ni.

            Aku mengangguk lagi. Pandai Wani. Kuasa psikik dia semakin bertambah-tambah nampaknya.

            “Fina, aku bukan nak cakap apa, tapi aku rasakan…” Wani berjeda di situ. Matanya sudah bulat memandang sesuatu. Aku malas mahu melihat kebelakang kerana aku sudah terbiasa dikenakan oleh Wani.

“Kau rasa apa?” soalku sambil menyandarkan badan ku malas ke kerusi. Pandangan aku buang ke arah kolam.

            “Aku rasa, dia tu memang angau dekat kau,” ujar Wani lagi. Kali ini matanya betul-betul bulat memandang ke arah bangunan akademik yang terletak di belakang aku. Tidak puas hati, aku menoleh ke belakang. Melihat sama benda yang dilihat oleh Wani.

           Ngee. Banner besar gajah untuk aku terbentang megah dekat bangunan belakang tu. Siapa punya kerja tu?

            w+y= Tipu Kalau Tak…
A. Cinta                                  C. Angau
B. Rindu                                 D. Gila

Sila pilih jawapan yang tepat Syafina.
Saya tunggu jawapan awak dalam kolam ikan sebelah awak tu.

            Pantas aku menoleh ke arah kolam yang betul-betul berada di sebelah aku. Di dalam kolam itu aku dapat lihat Sir Syafrin seperti mana pertama kali aku bersua dengannya dahulu. Jelas aku melihatnya berenang bersama-sama ikan emas yang ada di kolam itu. Sah, macam ikan dugong. Aku hanya mampu tersenyum.

            “Awak tak nak jawab soalan saya tu ke Fina?” soal Sir Syafrin yang masih belum keluar daripada kolam itu.

            Aku mencapai kertas yang aku tunjukkan kepada Wani tadi lalu aku mencoretkan sesuatu di atasnya. Lalu aku menyerahkan kertas itu kepada Sir Syafrin.

           
w+y= Tipu Kalau Tak… cakap sir D.

“Syafinaaaaaaaaaaaaa! Awak cakap saya gila?” laung Sir Syafrin daripada kolam itu.

Saat itu aku sudah lari meninggalkan Wani yang menjadi mangsa percikan air yang datang daripada kolam ikan itu.  Aku hanya terkekeh-kekeh ketawa memandang Wani yang sudah basah kuyup di situ.

Tipu kalau saya tak suka dekat sir.

Tipu kalau saya tak rindu dekat sir.

Tipu kalau saya tak angau dekat sir.

Saya memang gila sebab cintakan sir.

Aku tersenyum lagi. Walaupun sekejap, aku tidak tahu entah bila aku jatuh cinta pada Sir Syafrin aka ikan dugong ku.

Aku? Cinta? Rindu? Isy. Yalah! Ya!

*****

©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz
Share

2 comments:

Aida Sherry said...

hahaha...... cinta memang buta...

kuzie said...

haha lain dr lain cite nie...best2