Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia


Cerpen : Maafkan Adik, Mama
Oleh : Isha Idiaz

*****

HARI ini aku  nampak mama lagi. Aku tengok mama sibuk. Jadi aku tak nak kacau mama. Aku duduk diam-diam. Aku tak bising pun.

Tapi bila mama nampak aku, mama terus datang dekat aku. Sebab tu aku sayang mama. Walaupun aku tak cakap, mama tahu apa yang aku nak. Mama terus peluk aku. Mama tahu aku sejuk sebab dekat luar tu hujan lebat.


Aku sayang sangat dekat mama. Kalau tak ada mama, aku tak tahu macam mana nak hidup.  Aku tak tahu siapa yang nak bagi aku makan. Siapa yang nak peluk aku waktu aku nak tidur. Siapa nak main dengan aku kalau aku bosan.

                                                            *****

“ADIK, jom kita main dekat luar,” pelawa abang.

            Aku hanya diam tak berganjak daripada kerusi. Memandang ke arah abang.

            “Jomlah adik. Adik asyik duduk je dalam rumah. Cuba keluar tengok matahari ni sikit,” pujuk abang lagi.

            “Entah adik ni. Adik kan lelaki. Kenalah berani sikit. Ni tak, duduk je dalam rumah tu,” kakak pula menyampuk.

            Malas mahu bertengkar, aku segera keluar mengikuti abang dan kakak.

            “Kita nak main apa ni abang, kakak?” soalku penuh minat.

            “Nanti dah sampai sana baru abang beritahu,” jawab abang serius sambil melajukan langkah kakinya.

            “Betul tu. Dah sampai baru beritahu. Nanti adik dah tahu tak surpriselah,” kakak menambah pula.

            Aku hanya mengangguk dan mengekori abang dan kakak daripada belakang. Sekejap-sekejap abang menoleh ke belakang untuk memastikan aku masih mengekori mereka. Kakak juga begitu.

            “Jauh lagi ke ni abang?” soalku apabila aku rasa kakiku mula lenguh setelah berjalan agak jauh.

            “Tak jauh dah ni.” Kakak pula yang menjawab walaupun soalan itu tak diajukan untuknya.

            “Tapi adik rasa kita jalan dah jauh daripada rumah ni. Adik takut mama marah. Kan mama dah pesan tak boleh main jauh-jauh,” ujarku sekadar mengingatkan kakak dan abangku.

            “Sekejap je. Kita bukan main jauh sangat pun. Abang dengan kakak dah biasa main dekat sini,” ujar abang perlahan. Aku rasa abang juga sudah rasa bersalah kerana ingkar dengan arahan mama.

            Setelah berjalan agak lama, akhirnya kami bertiga sampai di sebuah padang yang dipenuhi lalang. Aku memandang abang dan kakak silih berganti. Nak main apa dekat kawasan penuh lalang begini?

            “Kita nak main apa dekat sini kakak?”

            Kakak dan abang terus memandang aku. Sebuah keluhan dilepaskan. Mungkin mereka bosan dengan perangai aku yang suka bertanya itu dan ini.

            “Kita main sembunyi-sembunyi,” ujar abang dengan rasa teruja.

            Kakak pula sudah mula berlari ke dalam lalang yang tinggi itu. Sekejap sahaja bayang kakak sudah hilang daripada pandangan.

            “Siapa yang kena cari?” soalku kembali. Kali ini soalan aku memang untuk abang sebab kakak sudah pun bersembunyi.

            “Adiklah cari. Nanti bila nampak abang dah tak ada, baru adik mula mencari,” ujar abang cermat seraya memaklumkan kepadaku teknik bermain sembunyi-sembunyi.

            “Kalau adik dapat tangkap abang ataupun kakak, nanti adik boleh sembunyi pula?” soalku lagi.

            Aku dengar abang mengeluh.

            “Yalah. Kalau dapat tangkap, adik sembunyi pula,” ujar abang dengan suaranya yang agak tinggi.

            “Okey, abang sembunyi. Nanti adik cari,” ujarku seraya memalingkan badan ke arah lain supaya abang dapat mencari tempat persembunyian.

                                                                        *****

TERMENGAH-MENGAH aku berlari mencari kakak dan abang. Sudah agak lama aku mencari, namun tidak juga ketemu dengan mereka berdua. Di mana agaknya tempat persembunyian mereka?

            Aku menolak lalang-lalang ke tepi untuk memberikanku laluan. Gatal-gatal badanku di buat dek lalang ni. Pelik juga aku kakak dan abang dapat bertahan sembunyi di dalam lalang-lalang ini berjam-jam lamanya.

Tidak lama kemudian, aku dengar suara kakak menjerit dari arah depan aku. Walaupun kurang jelas, aku hanya dapat mendengar kakak menyuruh aku lari. Suaranya agak jauh. Pantas aku berlari ke arah kakak mengikut arah bunyi suaranya yang aku dengar tadi.

            Sewaktu aku mengharungi lalang-lalang itu, sesuatu telah melanggar aku daripada arah bertentangan. Kami sama-sama terjatuh.

            “Kakak. Bangun kakak,” jeritku apabila kakak seolah-olah tidak sedarkan diri.

            Kakak pantas membuka matanya dan cuba bangun.

            “Kita kena lari adik. Ada ular sawa dekat depan tu,” ujar kakak termengah-mengah.

            Mataku bulat tatkala mendengar ayat yang kakak beritahu tadi. Pantas aku mengikuti kakak daripada belakang.

            “Kita kena cari abang!” jerit kakak cemas. Walaupun ular sawa itu tidak lagi mengekori kakak, namun kami harus segera keluar daripada tempat ini. Tempat ini berbahaya.

            “Adik tak tahu abang dekat mana. Adik cari tadi tapi adik tak jumpa,” ujarku tersekat-sekat. Kurang oksigen.

            “Abang! Abang!” Kakak menjerit sekuat hatinya. Sambil itu matanya meliar memandang keadaan sekeliling.

            Aku juga sama menjerit memanggil abang. Namun abang masih tidak memunculkan dirinya. Sampai di sebuah tunggul kayu daripada pokok yang tumbang, kami berhenti berehat.

            “Adik tak nampak ke abang pergi mana tadi?” tanya kakak.

            “Tak,” jawabku ringkas. Badanku semakin menggigil. Hari sudah semakin gelap. Aku juga semakin takut. Mana jugalah abang bersembunyi. Aku rasa mahu menangis saat ini. Aku rasa abangku sesat.

            Bunyi derapan daun yang  diinjak oleh seseorang membuatkan aku dan kakak menoleh. Kami sudah bersedia untuk menghadapi apa-apa bersama saat ini.

            “Abang!” jerit kakak apabila wajah abang menyapa pandangan kami.         

            Pantas abang memeluk kami berdua.

            “Kakak, adik, abang dah ada dekat sini. Penat abang mencari kamu berdua,” ujar abang.

            Saat itu, hanya Allah yang tahu. Aku bersyukur kerana kami bertemu dengan abang. Jika tidak, apa kami mahu jawab dengan mama balik nanti.

            “Kakak kena kejar dengan ular sawa tadi,” ujarku kepada abang apabila abang bertanya mengapa dia mendengar kakak menjerit tadi.

            “Nasib baik tak ada apa-apa,” ujar abang sambil menghelakan nafas lega.

            “Abang, kita dah terlambat balik ni. Nanti kita nak cakap apa dekat mama?”

            “Kita cakap je kita seronok main sampai tak sedar hari dah nak malam,” ujar abang menjawab pertanyaanku.

            “Tapi jangan cakap kita main dekat padang,” tambah kakak pula. Mungkin takut mama marah apabila mengetahui hal itu.

            Kami bertiga berlari agak laju menyusuri lalauan sewaktu pergi tadi supaya dapat sampai awal di rumah dan mengelakkan mama marah.

                                                                        *****

SAMPAI di rumah, aku dapat lihat mama ke hulu dan ke hilir. Risau barangkali kerana kami adik-beradik lambat pulang. Aku lihat wajah mama sugul. Nampak sahaja wajahku, mama terus berlari mendapatkan kami adik-beradik.

            “Abang, kakak dengan adik pergi mana? Mama risau,” ujar mama dengan suaranya yang terketar-ketar menahan sebak. Terasa kejap rangkulan mama memeluk kami bertiga.

            Aku sudah menyinggung abang dan kakak di sebelah. Menyuruh mereka menjawab pertanyaan mama tadi.

            “Abang bawa adik-adik main tadi,” ujar abang tenang.

            Mama memandang aku. Inginkan kepastian. Aku mengangguk laju mengiakan kata-kata abang tadi.

            “Dah, jom masuk makan,” ajak mama sambil mendahului kami bertiga.

            Sempat abang menarik aku dan mengingatkan aku agar menyimpan rahsia berkenaan kakak dikejar ular sawa sewaktu kami bermain tadi.

            “Kalau mama tahu, siap adik!” Kakak pula mengugut aku.

                                                                        *****

HARI itu sekali lagi abang dan kakak mengajak aku untuk pergi bermain di padang tersebut.

            “Jomlah adik,” pujuk abang.

            Aku berpura-pura tidur. Mata kupejam rapat-rapat.

            “Kakak tahu, adik tak tidur tu.” Kakak pula mencelah sambil menguis-nguis kakiku menggunakan kakinya.

            Aku masih kaku di tempat pembaringanku. Kali ini, untuk memastikan lakonanku berjaya, aku hasilkan bunyi bersendar agar mereka percaya bahawa aku memang betul-betul tidur lena.

            Abang yang tidak puas hati masih cuba mengganggu aku. Abang menghampiriku, lalu dia menampar-nampar pipiku. Kerana marah dengan perbuatan abang itu, segera aku bangun dan menolaknya ke belakang.

            “Sakitlah abang!” Jeritanku bagaikan bunyi halilintar menyambar bumi.

            Abang sedikit terkebelakang kerana terkejut. Tidak lama kemudian baru abang bersuara.

            “Abang dah agak adik tak tidur lagi,” ujar abang seraya duduk di sebelah aku.

            “Adik tak nak pergi. Kan mama dah pesan jangan main dekat padang tu,” ujarku berani. Aku memandang wajah abang dan kakak silih berganti.

            “Kalau kita tak beritahu mama, mama pun tak tahu kita pergi padang tu,” ujar kakak cuba membela dirinya.

            “Kalau jadi macam hari tu macam mana? Mesti mama risaukan kita sebab kita tak balik-balik,” ujarku lagi bagi menangkis kata-kata kakak tadi.

            “Sudahlah! Kalau kau tak nak ikut, tak payah ikut!” Abang membentak tiba-tiba. Selepas itu abang terus beredar.

            Kakak mengekori abang daripada belakang sambil memanggil-manggil namanya. Namun sempat kakak mengugut aku.

            “Kalau adik beritahu mama kami main di padang, siap adik nanti.”

*****

MALAM sudah melabuhkan tirainya. Mama juga sudah pulang ke rumah. Aku menghampiri mama lalu menciumnya. Mama terus memelukku lalu mencium kepalaku.

            “Abang dan kakak mana?” soal mama.

            Aku menelan liur. Serba salah aku hendak beritahu mama. Teringat ugutan kakak petang tadi sebelum meninggalkan aku dan menuju ke padang untuk bermain.

            “Adik, mama tanya, abang dan kakak mana?” soal mama sekali lagi.

            Aku memandang mama. Aku kuatkan hati.

            “Abang dengan kakak pergi main tadi dengan kawan-kawan mereka,” ujarku tergagap-gagap. Inilah masalah aku. Aku memang tidak pandai menipu.

            “Sudah pukul berapa ni tak balik-balik lagi,” ujar mama dalam nada gelisah. Mama menjengukkan kepala ke luar tingkap memandang keadaan di luar.

            Seketika kemudian, mama memandang ke arahku kembali.

            “Adik tahu abang dengan kakak main dekat mana?”

            Aku diam.

            Mama melepaskan keluhan. Aku nampak mama berjalan mundar-mandir. Hatiku sendiri saat ini sangat risau. Aku takut jika kejadian seminggu lepas terjadi lagi kepada kakak ataupun abang.

            “Dah malam ni adik. Kenapa abang dengan kakak tak balik-balik lagi,” ujar mama dengan nada risau.

            Aku harus membuat keputusan sekarang. Aku harus memberitahu mama. Aku takut sesuatu yang buruk terjadi kepada abang dan kakak.

            “Mama…” ujarku perlahan seraya menapak menghampiri mama.

            Mama menoleh memandangku.

            “Kenapa adik?”

            Aku diam beberapa ketika sebelum meneruskan kata-kata.

            “Adik tahu abang dengan kakak main dekat mana,” ujarku lemah.

            “Dekat mana?” Pantas mama menyoal siasat.

            “Dekat padang,” ujarku ringkas.

            “Padang mana?”

            “Padang belakang.”

            Kali ini wajah mama aku lihat sangat cemas. Setelah itu, mama berlari meninggalkan aku. Aku cuba mengejar mama daripada belakang.

*****

“ABANG! KAKAK!” Laungan mama tidak henti-henti sejak kami sampai di kawasan padang ini.

            Aku turut sama menjerit memanggil abang dan kakak. Aku tidak berani berjauhan dengan mama kerana hari semakin gelap. Kulihat awan hitam sudah menghiasi dada malam.

            Kami berdua terus berlari-lari mencari abang dan kakak. Walaupun mama sudah kelelahan, namun mama masih menggagahkan kakinya untuk terus melangkah.

            Setelah berjalan agak jauh, kami terdengar suara kakak menjerit dari arah kanan kawasan padang. Aku dan mama pantas berlari semula ke tengah padang. Seketika kemudian, suara abang pula kedengaran menjerit dari arah kiri padang. Aku dan mama tidak keruan saat ini.

            “Kita nak pergi mana mama?”

            Mama menoleh ke kiri dan kanan. Dalam keadaan begini, hanya ada seorang yang boleh diselamatkan.

            “Pergi dekat abang,” ujar mama dan terus berlari selaju yang mungkin membelah lalang-lalang yang tinggi.

            Setibanya di tempat kejadian, aku lihat abang sedang bergelut abang dengan ular sawa yang sangat besar. Mama pantas menerkam ular sawa itu agar abang tidak terus dibelit.

            “Cepat lari abang! Bawa adik lari!” jerit mama setelah abang terlepas daripada belitan ular sawa tadi.

            Abang masih tidak berganjak. Aku juga terpaku melihat mama bergelut dengan ular sawa itu.

            “Lari! Lari! Cari kakak!”

            Dan aku lihat badan mama kini sudah mula dibelit oleh ular sawa yang besar itu. Badan mama semakin lemah. Mata mama hampir terpejam. Melihat keadaan itu, abang pantas kembali menerkam ular sawa tersebut di bahagian matanya.

            Mungkin kerana terperanjat dan sakit, ular sawa itu terus melepaskan belitannya pada mama dan mama kini jatuh di atas tanah. Sepantas itu, abang menggigit tengkuk mama dan membawa mama lari. Nafas mama turun naik saat itu. Aku takut. Aku tak mahu kehilangan mama.

            Dipertengahan jalan meredah lalang, kami terjumpa kakak yang juga sedang berlari menyelamatkan diri. Walaupun kakak terperanjat melihat mama dan aku ada bersama abang, namun saat ini, pilihan yang ada adalah masing-masing harus menyelamatkan diri.

*****

KINI, kami sudah tiba di rumah.  Mama sudah abang baringkan. Keadaan mama sungguh lemah saat ini. Nafasnya juga turun naik dengan laju. Aku menghampiri mama. Aku tahu ini semua salahku. Aku tidak berkeras untuk melarang abang dan kakak pergi ke padang. Aku juga merahsiakan hal ini kepada mama tadi.

            “Maafkan adik mama.”

            Aku rebahkan kepalaku ke badan mama. Aku tidak mahu berjauhan daripada mama. Tidak untuk saat ini.

            Aku rasa tangan mama mengusap lembut kepalaku. Namun sebentar sahaja, mama sudah diangkat oleh tuanku.

            “Ya Allah Ila. Kenapa kucing ni?” Suara tuanku menampar gegendang telingaku.

            “Encik, tolonglah selamatkan mama. Adik tak nak hilang mama,” laungku kuat walaupun aku tahu tuanku tidak faham apa yang aku tuturkan.

            Dan selepas itu, aku tidak melihat mama lagi.

            “Maafkan adik mama. Adik janji tak nakal lagi.”

*****

Pengajaran : Jika haiwan juga sayangkan anaknya dan sanggup berkorban untuk anaknya, mengapa tidak kita manusia mempunyai rasa itu?

*****

©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Share

5 comments:

Anonymous said...

sedey kot...kisah kasih sayang haiwan ag berkesan daripada kisah manusia.sebab kasih mereka suci~

>>k<<

MissxYana said...

wahhhh.. menarik.. kucing rupanya..
sedihhh..:(

mynameisAINA said...

Oh,kucing rupe nyer~
Sedih~ T^T
Bestx10!!!!
:DD

Anonymous said...

lawak ler.. mati-mtian sy igt kish mnusia.. hahah.. trtipu..hee.. bgus sis.. i like..

ISHA IDIAZ said...

K : Hehe. Kasik cinta manusia je. Bosan.

Yana : Hehe.. Jangan sedih2.

Aiena : Hehe. Kucing. Meow. :-)

Anon : Haha~ Tertipu kan~ Tq baca. :-)