Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

BAB 1

P
ertama kalinya, dapat kulihat senyuman mama. Itu mungkin senyuman pertama mama setelah begitu lama wajah itu kelihatan begitu sugul. Namun, sesekali aku dapat melihat titik jernih mengalir di wajah tua itu. Barangkali, mama masih belum dapat melupakan kesemua kisah yang memberi warna-warna hitam di dalam hidupnya. Namun aku tahu, hatinya tenang kini.

           Perlahan-lahan aku menghampiri mama. Mama yang sedari tadi leka mengait sebuah sarung untuk kotak tisu sambil melayan perasaannya memandang aku. Melihat sahaja wajahku, mama mengukir senyum. Jarum kait, benang dan juga sarung kotak tisu yang sedang dijahit diletakkan di atas katil. Pantas juga tangan tuanya itu mengusap-ngusap lembut pipiku. Aku memaut tangan mama lalu aku cium tangan itu. Senyuman kuukir seperti biasa setiap kali aku bertemu mama di sini.

            “Assalammualikum mama,” ujarku sekali lagi memandangkan sewaktu aku masuk tadi mama tidak perasan kehadiranku.

            “Waalaikummussalam,” jawab mama perlahan. Suaranya sedikit serak. Mungkin akibat kurang minum air di musim panas begini.

            “Siha tengok mama termenung je dari tadi. Sampai Siha masuk pun mama tak perasan. Mama fikir apa?” Soalku sambil memegang erat tangan mama.

            Mendengar soalanku tadi, cepat-cepat mama tertawa. Pantas juga tangan mama mengambil kembali jarum kaitnya. Melalui gerak-gerinya, aku tahu, mama tidak mahu aku risau.

            “Mana ada mama termenung. Kan mama tengah mengait ni. Mama nak beri sarung kotak tisu pada Siha,” ujar mama tenang. Fokusnya kembali kepada kerja-kerja mengaitnya yang terbantut kerana kehadiranku tadi.

            Aku tersenyum. Mama memang pandai menutup rasa hatinya.

            “Siha dah makan?” Mama menyoal setelah suasana dibiarkan sepi antara kami buat beberapa ketika.

            Aku mengangguk seraya memberikan sebuah senyuman kepada mama.

            “Mama pula? Tadi makan apa?” Biasanya, mama memang akan diberikan makanan untuk makan tengah hari sekitar jam dua belas tengah hari. Sekarang sudah menunjukkan jam dua petang. Sudah pasti mama sudah menjamah menu makan tengah harinya sebelum aku berkunjung ke mari.

            “Sudah. Makan nasilah Siha. Takkan mama makan spaghetti pula,” ujar mama berseloroh. Pecah tawaku mendengar jawapan mamaku sebentar tadi. Ya, aku tahu, di sini pastinya makanan yang diberikan adalah nasi. Tidak mungkin akan ada makanan seperti spaghetti dan makanan barat yang lainnya.

            “Mama nak makan spaghetti ke? Siha belikan?”

            Mama menggeleng perlahan. Pantas tangannya mengusap lembut kepalaku.

            “Tak usah. Tekak mama ni tekak orang tua. Bukan tekak orang muda nak makan macam-macam. Bukan mama mengidam nak makan spaghetti tu macam orang mengandung. Mama tak nak pun Siha,” ujar mama satu-persatu. Sesekali, mama berdehem apabila tekaknya mungkin terasa perit.

            “Kamu tu Siha, mama tengok makin hari makin kurus. Kamu berdiet ke kamu sibuk bekerja sampai tak sempat nak makan?”

Ya telahan mama yang kedua itu memang tepat. Aku memang sibuk sampai kadang-kadang, setelah seharian aku ke sana dan ke mari, akhirnya bila aku pulang ke rumah, aku tidak ada selera untuk makan kerana terlalu penat.

“Siha makan je mama. Cuma kadang-kadang bila dah penat tu, Siha tak ada selera nak makan. Siha terus je masuk tidur,” ujarku menerangkan duduk perkara.

Mama melepaskan sebuah keluhan.

“Kerja tu kerja juga Siha, tapi jangan lupa, kesihatan tu kena jaga juga. Tak lama lagikan kamu dah nak bernikah. Nanti selepas nikah, kamu bukan sahaja kena jaga diri kamu, tapi kamu kena jaga Faris tu juga. Kalau kamu sendiri tak sihat, macam mana kamu nak jaga keluarga kamu,” nasihat mama.

Aku mengangguk sambil tersenyum sumbing. Bila dah besar-besar begini dan aku masih ada seorang mama untuk menasihati dan mengingatkan aku seperti ini, hatiku merasa bahagia teramat.

“Isk mama ni. Sampai ke situ pula,” ujarku sambil memeluk pinggang mama. Sempat kukucup pipi mama sambil memerhati mama meneruskan kerja-kerja mengaitnya.

“Yalah. Mama sekadar mengingatkan. Jangan nanti hidup kamu jadi macam mama sekarang ni,” ujar mama sedikit tegas. Intonasi suaranya sudah mula berubah.

Aku perhati setiap gerak-geri mama saat itu. Tangan yang tadinya leka mengait telah berhenti daripada meneruskan kerja-kerja itu. Jarum kait yang tadinya galak disorong tarik ke bawah dan ke atas kini sudah dipegang dalam posisi mahu menikam di dalam genggaman tangan mama.

Aku tahu mama kini berperang dengan perasaannya sendiri. Sejarah itu tidak mungkin luput daripada ingatannya. Dendam yang disimpan di dalam hatinya masih belum terluah semuanya.

Pelukan di pinggang mama aku eratkan lagi. Aku menyandarkan kepalaku di atas bahu tua itu. Perlahan-lahan, aku mengusap lembut tangan mama. Dan ketika itu, genggaman mama tadi semakin longgar lalu jarum kaitnya tadi kuambil daripada tangannya.

“Mama baring ya. Mama penat dah tu mengait daripada tadi,” ujarku seolah-olah berbisik di telinga mama.

Mama mengangguk lemah. Aku pula terus bangun dan membaringkan mama di atas katilnya. Barang-barang mengaitnya tadi aku masukkan ke dalam laci meja sebelah katilnya itu.

Setelah aku yakin mama benar-benar tenang, aku meminta izin untuk pulang. Mama menghantar pemergianku dengan sebuah senyuman.

Senyuman yang tadinya sewaktu aku mula-mula melihat mama tidak sama seperti senyuman yang kulihat sekarang. Aku tahu walaupun perkara itu telah lama berlalu, namun mama masih tidak dapat melupakannya.

*****
Share

1 comments:

NurAtiZa said...

Sis ni novel baru ke???
Tak sabar nak tahu kisah Siha & mama Siha....apa sebenarnya yang terjadi pada kisah silam mama Siha...