Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

JALAN HATI
Oleh : Isha Idiaz
*****
PUAN Faridah bingkas bangun dari sofa. Wajahnya sudah merona merah. Berita yang baru disampaikan oleh anak sulungnya Fahmi tadi betul-betul menghancurkan hatinya.
      “Ibu tak setuju Mie,” tegas Puan Faridah menuturkan sebaris ayat itu.
      Fahmi tahu pasti ibunya akan naik angin jika diberitahu akan hal ini. Namun, dia harus menyampaikan hal ini kepada keluarganya dahulu sebelum dia menyampaikan hal ini kepada orang lain. Fahmi memandang ke arah Encik Farid.

      Encik Farid menggeleng. “Abah pun tak setuju. Benda nikah kahwin ni bukan boleh dibuat main. Kamu fikir menikah ni senang macam ABC ke?”
      “Tapi ni keputusan Mie, abah, ibu,” ujar Fahmi seakan-akan meminta simpati dari Puan Faridah dan Encik Farid.
      “Kamu bayangkan Mie, ini kamu baru beritahu ibu dan abah dan reaksi kami sudah sebegini. Kamu boleh bayangkan tak kalau keputusan kamu ni diketahui oleh orang lain, apa orang lain kata? Tak takut dengar cakap-cakap orang dekat luar sana tu?” Puan Faridah cuba menyedarkan anak bujangnya itu.
      “Jangan fikirkan diri kamu sahaja Fahmi. Fikir juga impak keputusan yang bakal kamu ambil dengan orang disekeliling kamu,” tambah Encik Farid.
     
“KAU fikir apa?” tegur Karl apabila melihat Fahmi termenung jauh. Wajah Fahmi yang kusut itu memancing dia untuk melabuhkan punggung di sebelah lelaki itu.
Fahmi menggeleng perlahan. “Tak ada apa,” ujar Fahmi tenang seraya menebarkan pandangan ke arah sawah yang terbentang di hadapan pondok kecil itu.
Tenang. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki ke sini. Namun, kali ini, dia gagahkan juga diri untuk kembali ke kampung halamannya ini. Dia harus membuat satu keputusan yang besar. Malah keputusan itu akan mengubah hidup dia dan juga orang yang dia sayang.
“Aku tengok kau termenung je sejak balik kampung ni. Kau dah tak biasa duduk dekat kampung atau kau rindu orang dekat bandar sana?” Kata-kata Karl itu disambut dengan tawa kecil Fahmi. Cermin mata yang melorot ke pangkal hidung di tolak ke atas.
“Kau rasa?” Kali ini Fahmi pula cuba membaca fikiran Karl. Karl merupakan teman baiknya sejak zaman mereka berdua masih budak-budak hingusan dahulu.
Karl jungkit bahu. “Aku rasa kau rindu dekat orang bandar,” jujur Karl menjawab. Wajah Fahmi ditatap. Karl lihat Fahmi melepaskan sebuah keluhan berat. Perlahan dia menepuk bahu teman baiknya itu.
“Hidup maknanya pilihan Karl,” ujar Fahmi rendah. Pandangannya kini dicuri oleh burung pipit yang sedang berebut mendapatkan padi yang sedang masak. Nampaknya, orang-orang yang dipacak di sawah itu tidak mampu menghalau burung pipit yang kelaparan.
“Buatlah pilihan yang betul Mie kalau kau adalah orang yang memilih,” ujar Karl penuh makna. Fahmi tahu maksud Karl. Kepalanya diangguk perlahan.
“Susah bila kita dipilih dan kita harus memilih,” ujar Fahmi seolah-olah mengeluh.
“Nak buat macam mana. Siapa suruh kau jadi Mr. Nice Guy,” perli Karl.
Fahmi tersengih menunjukkan baris giginya yang putih dan tersusun.
 “Kalau aku ni jadi kau, memang tang tu juga aku pilih. Tak ada fikir-fikir. Kau pun tahu taste aku macam mana kan. Seksi, gebu, dahi licin,” ujar Karl seraya bangun melarikan diri sebelum dia dihambat oleh Fahmi.
“Tu pilihan kau, bukan aku!” laung Fahmi kepada Karl yang sudah berlari ke batas sawah.

MEREKA bertiga sudah sepakat untuk bertemu di Café Amour jam sembilan pagi. Belum jam sembilan, ketiga-tiganya sudah ada di situ. Hari yang mendung seolah-olah memahami kekusutan hati Fahmi.
      “Fariza dan Farisha nak pesan apa?” soal Fahmi seraya memandang kedua-dua insan yang dicintai olehnya.
      “Macam biasa,” jawab kedua-duanya serentak. Fariza dan Farisha berpandangan sesama sendiri. Ada riak marah di wajah Fariza. Ada riak tenang di wajah Farisha. Sempat Farisha mengukir sebuah senyuman untuk Fahmi sekaligus membuang rasa bersalah yang bersarang di hatinya saat itu.
      Setelah pelayan berlalu pergi, Fahmi berdehem beberapa kali. Fariza dan Farisha yang dari tadi melayan hati masing-masing, kini menumpukan perhatian kepada Fahmi.
      “Hidup maknanya pilihan. Kiri dan kanan menunggu kata putus,” ujar Fahmi memulakan bicara. Terasa gugup juga nak meneruskan kata-kata apabila Fariza dan Farisha masing-masing memandangnya dengan penuh harapan.
      “Dan hari ini saya dah memutuskan dengan siapa akan saya habiskan masa saya seumur hidup,” tambah Fahmi menghabiskan kata-katanya tadi yang seolah-olah tergantung.
      Sebaik sahaja dia selesai menuturkan semua yang berada di benak dan hatinya, Fahmi lihat Fariza dan Farisha masing-masing keliru. Sejujurnya, dia sendiri ragu-ragu dengan keputusannya. Namun, untuk kebaikan bersama, dia tetap harus membuat keputusan. Fariza cinta pertamanya, tidak tega dia melukakan hati perempuan yang sentiasa ada di kala senang dan susah dirinya. Farisha cinta yang dia sering nafikan, cinta yang dia kenal melalui erti pengorbanan.

ANGIN yang bertiup di pantai itu menampar lembut pipi Farisha. Dingin. Sedingin hati dan cintanya buat Fahmi.
      “Awak cakap akan tunggu saya,” ujar Farisha rendah. Suaranya tenggelam timbul dibawa angin.
      Fahmi berdiri tepat di belakang Farisha. Dia tahu gadis itu kecewa. Dia tahu gadis itu sengsara. Namun, itulah pilihannya. Jika Farisha setuju dengan pilihannya, maka Farisha akan menemaninya hingga hujung usia.
      “Saya memang tunggu dan masih menunggu awak sampai saat ini Farisha,” ujar Fahmi rendah. Burung layang-layang yang terbang pulang ke sarang memberi petunjuk matahari akan melabuhkan sinarnya dalam masa terdekat.
“Jika awak hanya punya satu pilihan, masihkan awak pilih saya atau awak akan pilih Fariza?” soal Farisha tenang. Kini, mata mereka berlaga. Farisha ingin mencari sebuah kejujuran dari Fahmi. Fahmi mencari sebuah keikhlasan dari Farisha.
“Awak tahu jawapan saya Farisha,” ujar Fahmi tegas.
Farisha tersenyum. Dia tahu benar perangai Fahmi. Jika A katanya, maka sampai ke hujung, A jugalah pilihannya.
“Awak memang keras kepala,” komen Farisha dan membalikkan kembali pandangannya memandang ombak yang menghempas pantai.
“Dan awak sangat memahami. Terima kasih kerana sudi berkorban untuk saya,” ujar Fahmi seolah-olah memujuk Farisha yang sedang berperang hatinya.
“Saya tak cakap saya setuju,” Farisha seolah-olah bermain kata.
“Saya juga tak suruh awak setuju,” ujar Fahmi. Serentak itu, Farisha memandang ke arahnya. Setitis air mata dilihat jatuh membasahi pipi gadis itu. Fahmi hanya membiarkan gadis itu berlalu membawa hatinya yang remuk dihancurkan oleh dirinya.
Farisha perlu masa.

“AWAK tahu saya tak suka dia,” bentak Fariza sebaik sahaja wajah Fahmi muncul di hadapannya.
Fahmi angguk. “Dan saya juga tahu awak juga tak akan tinggalkan saya,” ujarnya memujuk Fariza.
“Kenapa awak buat macam ni pada saya Mie?” lirih kedengaran suara Fariza. Dia lihat wajah Fariza pucat tanpa sebarang solekan. Perempuan itu terlihat seperti sakit.
“Kerana saya harus memilih dan saya tak boleh memilih. Saya perlu awak dan Farisha untuk bantu saya membuat pilihan,” tenang Fahmi menerangkan.
“Awak pengecut Mie,” ujar Fariza sinis.
“Hidup maknanya pilihan Fariza. Ya, saya pengecut kerana saya tak berani untuk memilih antara awak dan juga Farisha bila kalian menunggu kata putus dari saya. Saya pengecut kerana saya tak sanggup korbankan awak mahupun Farisha. Saya pengecut kerana saya tidak ambil jalan terus, jalan yang paling selamat untuk diri saya sendiri dan mengecewakan kalian.” Fahmi seolah-olah menyalahkan sekaligus membela dirinya sendiri. Dia mahu Fariza berfikir dengan waras.
“Dan awak takut untuk kecewakan kami berdua?” duga Fariza. Fahmi mengangguk. Fariza ketawa kuat. Menutup kegusaran hatinya.
“Awak memang Mr. Nice Guy Fahmi. Kalau ada anugrah pelakon lelaki terbaik, saya rasa awak boleh rangkul anugrah tu,” perli Fariza seraya melangkah keluar dari Restoran Cinta Sayang itu.

UNTUK kesekian kalinya, Farisha duduk termangu di sudut bilik sambil bersandar pada katilnya. Satu-persatu fotonya bersama Fahmi dilihat kembali. Peristiwa yang membuat hatinya terpaut pada Fahmi kembali menerjah ingatan.
      “Maaf,” ujar Farisha sewaktu terlanggar seseorang sewaktu dia terburu-buru menuruni tangga. Wajah insan yang baru dia langgar tadi tidak dilihat. Farisha hanya tunduk memandang lantai. Yang dia lihat hanya kasut Converse hitam yang dipakai oleh insan itu.
      “Tak apa,” jawab pemilik kasut Converse hitam itu tanpa berganjak sedikit pun dari tempatnya. Farisha juga seolah-olah kaku di situ.
      Kerana masing-masing tidak berganjak, perlahan-lahan Farisha mengangkat mukanya memandang insan itu. Sah insan itu seorang lelaki melalui suara yang didengarnya sebentar tadi.
      “Saya Fahmi. Awak?” soal Fahmi selamba tanpa sedikitpun berganjak dari tempat dia berdiri.
      “Err. Err.” Tergagap-gagap Farisha ingin memperkenalkan dirinya pada Fahmi yang tidak pernah dia kenal sebelumnya.
      “Okey. Tiada paksaan untuk memperkenalkan diri. Ladies first,” ujar Fahmi seraya membungkukkan badannya dan mendepangkan tangan kirinya ke samping untuk memberikan laluan kepada Farisha untuk menuruni anak tangga tersebut.
      Farisha hanya menurut tanpa banyak bicara. Dan mulai detik itu dia rasa cintanya hanya untuk lelaki itu. Hubungan mereka semakin lama semakin akrab sehingga hari dia mendapat tahu Fariza pernah hadir dalam hidup Fahmi. Namun, sesuatu yang Farisha ingat tentang Fahmi hingga kini, lelaki itu berjanji untuk menunggunya hingga dia bersedia. Bersedia untuk berkongsi segalanya dengan Fariza.
Setitis air mata jatuh di pipi Farisha. Kini, baru dia sedar cintanya pada Fahmi menjerat dirinya sendiri.
Dosakah aku bila dicintaimu?
Bila jalinan hati kini menjeratku
Tapi haruskah diriku pasrah
Diriku mengalah

Erat Farisha memeluk kakinya. Hatinya sebak. Hatinya terluka. Namun, dia harus membuat keputusan berdasarkan jalan yang ditentukan oleh hatinya.


“SAYA cintakan awak Fariza,” ujar Fahmi perlahan di telinga Fariza sewaktu kelas Matematik sudah selesai.

Fariza menoleh ke belakang. Jantungnya berdegup laju umpama memainkan irama tango. Fahmi menupang dagunya dengan tangan sambil menunggu reaksi Fariza. Sebuah senyuman dihadiahkan buat gadis idamannya itu. Dia suka lihat wajah Fariza yang memerah setiap kali dia menuturkan sebaris ayat itu.
     
      “Awak tak pernah nak give-up eh?” soal Fariza seperti selalu. Muak juga apabila sering diganggu oleh Fahmi dengan ayat yang membuat hatinya goyah itu.

      Fahmi geleng perlahan. Bibirnya masih mengukir senyum. “Sebab saya memang cintakan awak sejak kita tingkatan satu lagi. Awak pun tak pernah nak give-up reject cinta saya sepanjang tiga tahun ni eh?”
     
      Fariza tunduk. Diam-diam sudah tiga tahun dia menolak cinta daripada lelaki bernama Fahmi. Dia juga tidak tahu kenapa dia menolak cinta lelaki itu. Walhal Fahmi merupakan lelaki yang digilai oleh teman sekolahnya.

Siapa tidak kenal Fahmi? Apabila dia lalu sahaja di koridor kelas, pelajar perempuan bagai terkena histeria. Lelaki dengan tubuh yang agak sasa dan tinggi lampai macam Arjun Rampal. Kulit kuning langsat. Kaca mata yang menampakkan kesegakannya. Sejemput janggut di bawah dagu.

Bagi Fariza, Fahmi lelaki biasa. Namun punya daya tarikan yang luar biasa. Macam hukum gerakan Newton yang kedua. Daya sama dengan jisim dikalikan dengan pecutan. Kira daya tarikan Fahmi yang luar biasa tu adalah disebabkan oleh jisim puluhan hati yang sukakan dia dan pecutan perempuan yang terkejar-kejarkan dia bila dia pergi ke mana-mana.

Fahmi punya pakej lengkap lelaki idaman wanita. Selain mempunyai wajah yang masuk kategori kacak, Fahmi merupakan pelajar cemerlang di sekolahnya. Semua perempuan tergila-gilakan Fahmi tapi bukan dirinya. Dan Fahmi pula bagai sebuah antidot menggilai dirinya.
     
      Memang cinta tiada bermata
Bisa ciptakan sedih juga bahagia
Aku kini terjerat kerananya
Susah lepaskan dia

      Fariza senyum sendiri. Fariza tahu, dia susah untuk melepaskan cintanya pada Fahmi saat ini. Kerana itu dia juga harus membuat keputusan.


“SAYA cintakan awak juga,” ujar Fariza sewaktu mereka jalan beriringan ke perhentian bas setelah selesai waktu sekolah.

            Fahmi memandang wajah Fariza dengan riak tidak percaya. “Betul?” soal Fahmi teruja. Matanya yang biasanya sepet kini terbuka besar.
           
            Fariza angguk. Fahmi ukir senyuman bahagia. Namun lama-kelamaan senyuman itu mati di bibirnya. Dia teringat pertemuannya dengan Farisha minggu lalu.

            “Sudi awak menangis dan ketawa bersama saya walaupun awak tahu saya masih menunggu kata putus dari Fariza?” soal Fahmi tenang.

            Farisha mengangguk. Dan Fahmi fikir saat itu bahagia milik mereka berdua. Nama Fariza seolah-olah terpadam dalam kamus hidupnya sementara waktu.


FAHMI menoleh ke belakang sebelum upacara pernikahan dimulai. Hari ini adalah hari yang paling dia tunggu dan paling dia takuti. Wajah ibu dan abah dipandang silih berganti. Fahmi bersyukur kerana akhirnya Allah melembutkan hati ibu dan ayah untuk menerima keputusannya.

            “Mohamad Fahmi bin Mohamad Farid,” ujar Tok Kadi di hadapannya.

            “Ya saya,” ujar Fahmi yakin.

            “Aku nikahkan dikau dengan Nur Farisha binti Arif dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai,” ujar Tok Kadi sambil menggoncang tangan Fahmi.

            “Aku terima nikahnya Nur Farisha binti Arif dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai,” ujar Fahmi sekali nafas.

            “Sah?” soal Tok Kadi sambil memandang saksi pernikahan. Semua mengangguk mengesahkan pernikahan itu. Tangan ditadah mengaminkan doa yang dibaca tanda syukur ke hadrat Ilahi.

            Terasa dadanya sedikit lapang setelah selesai akad nikah yang pertama. Fahmi melihat Farisha yang ayu dalam pakaian serba putih menitiskan air mata.

‘Terima kasih Allah kerana telah melembutkan hati Farisha untuk menerima keputusanku ini. Berikanlah dia sedikit kekuatan atas pengorbanan yang dia lakukan untuk diriku yang tidak boleh memilih ini,’ bisik hati Fahmi.

 Dia tidak tahu air mata itu akan tumpah lebih banyak atau tidak sebentar lagi. Fahmi menarik nafas panjang. Dia kembali memandang wajah Tok Kadi.

Fahmi teringat perbincangan mereka bertiga dengan Puan Faridah dan Encik Farid minggu lalu sewaktu dia menyampaikan keputusan yang dia buat bersama Farisha dan Fariza.

“Kamu bertiga dah fikir masak-masak? Dah bincang dengan keluarga masing-masing?” soal Puan Faridah sambil memandang kedua-dua bakal menantunya.

Farisha dan Fariza mengangguk perlahan. Di bibir mereka terukir sebuah senyuman.

“Kamu tak takut poligami?” soal Encik Farid pula.

Farisha senyum. Duduknya diperbetul. “Poligami tu lebih kurang macam origami je pakcik. Buat origami ni kadang-kadang kita dah lipat-lipat tapi tak jadi bentuk yang kita nak. Perkahwinan pun macam tu juga. Kadang-kadang kita kahwin sebab kita rasa orang tu boleh sempurnakan hidup kita. Tapi lepas kahwin baru kita tahu kekurangan yang ada pada diri dia,” ujar Farisha tenang dan bersungguh-sungguh.

“Poligami ni sama macam kita ambil kertas lain dan buat balik origami yang kita salah buat tu. Dari situ kita belajar, bentuk yang baru kita buat tu juga tidak akan sempurna. Origami yang lama tu, walaupun tak jadi, tapi setidaknya adalah juga bentuknya,” tambah Fariza pula.

Puan Faridah dan Encik Farid bertukar pandangan. Dia tidak tahu Farisha dan Fariza sepositif ini untuk dimadukan oleh anak sulung mereka, Fahmi. Fahmi hanya tersenyum mendengar kata-kata yang disampaikan oleh Farisha dan Fariza.

Poligami macam origami.

            “Mohamad Fahmi bin Mohamad Farid,” ujar Tok Kadi sekali lagi di hadapan Fahmi sekaligus mematikan lamunannya.

            Terdengar suara sumbang di kalangan tetamu yang hadir di upacara pernikahannya itu. Masing-masing berbisik sesama sendiri. Dia tahu inilah risiko atas keputusan yang dia buat hari ini. Namun, dia juga tidak tega mengecewakan Fariza.

            “Ya saya,” ujar Fahmi.

            “Aku nikahkan dikau dengan Nur Fariza binti Alias dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai,” ujar Tok Kadi sambil menggoncang tangan Fahmi.

            “Aku terima nikahnya Nur Fariza binti Alias dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai,” ujar Fahmi sekali nafas.  Sekali lagi doa dibaca mengucapkan syukur kerana majlis pernikahan Fahmi yang kedua juga berjalan lancar. Wajah Fariza yang kelihatan tenang daripada selalu itu ditatap lama oleh Fahmi.

‘Terima kasih Allah kerana telah melembutkan hati Fariza untuk menerima keputusanku ini. Lembutkanlah hatinya Ya Allah untuk menerima Farisha seperti mana aku menerima dirinya,’ bisik hati kecil Fahmi lagi.

Dahi Farisha dan Fariza dikucup perlahan. Perlahan juga tangan Fahmi mengusap lembut ubun-ubun kedua-dua isterinya.

Jalannya cinta nodai hati
Aku dicinta jalinan tiada pasti
Dan aku tak harus terkalahkan
Dan diriku terabaikan
Kuikuti cahaya hati

Ya, ini adalah pilihan yang Fahmi buat mengikut jalan hatinya. Apabila Farisha dan Fariza masing-masing menunggu kata putus daripada dirinya, dia memberikan mereka berdua pilihan. Untuk berkorban atau ambil jalan terus. Di akhir sebuah penantian, mereka memilih untuk berkorban dan dia juga memilih jalan tengah dengan menikahi kedua-duanya.

©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz


Share

2 comments:

Unknown said...

Sy mengucap pnjng lepas bc cerita ni...totally speechless...
How did u feel when u wrote this story, dik?

Unknown said...

Boleh eh lelaki nikah dua kali dalam masa sehari?