Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia



Cerpen : Kau Hacked Hati Aku
Oleh : Isha Idiaz


Anakdot
Kadang-kadang jodoh itu datang tiba-tiba. Yang kita tidak tahu bila dia datang dan siapa pemilik sebenar separuh lagi hati kita. Cerpen ini saya tulis secara sederhana dan dengan menggunakan bahasa yang mudah. Kau Hacked Hati Aku adalah sebuah cerpen yang saya tulis dengan hati dan pengalaman. Setiap orang punya cerita cinta pertama yang berbeza. Ini cerita cinta pertama Zarina. Anda bagaimana? Cintailah dan mencintailah, selagi ia tidak melebihi cinta kita kepada Yang Maha Esa. Enjoy reading!
 

*****

“ASSALAMMUALAIKUM,” tegur satu suara di belakang Zarina. Zarina yang sedang sibuk memilih kain menoleh. Melihat rupa paras yang sangat dikenalinya itu membuatkan Zarina tergamam di situ.
            “Wa.. Waalaikummussalam,” ucapnya tergagap-gagap. Betullah kata orang, kalau jodoh tak ke mana. Dunia yang besar pun rasa macam kecil saat ini.
            “Buat apa dekat sini?” soal lelaki itu.
            Zarina memandang kain yang dipegang di tangan. Dia mengunjukkan kain itu kepada Ustaz Zamri. “Err… Tengah pilih kain,” ujar Zarina teragak-agak.
            Ustaz Zamri mengangguk. “Besar dah awak sekarang,” ujar Ustaz Zamri.
            Zarina mengangguk laju. Memang dia sudah besar sekarang. Waktu dulu semasa dia pertama kali bertemu dengan ustaz ini umurnya baru tiga belas tahun. Sekarang umurnya sudah dua puluh lima tahun.
            “Tapi ustaz masih kenal saya,” ujar Zarina. Kepalanya ditundukkan. Kaki menguis-nguis lantai. Entah kenapa rasanya dia macam nak jadi budak umur tiga belas tahun sekarang ni hadapan Ustaz Zamri.
            “InsyaAllah saya tak pernah lupa awak Zarina,” ujar Ustaz Zamri lembut. Suaranya masih seperti dahulu. Lembut apabila menampar gegendang telinga. Dia tidak tahu jika orang lain juga merasa perkara yang sama. Tu belum lagi bila Ustaz Zamri mengalunkan ayat Al-Quran.
            Zarina tersenyum sendiri. Banyak betul angan-angannya. Maklumlah, sudah lama dia tak berjumpa dengan ustaznya ini. Perasan Ustaz Zamri memerhatikannya, cepat-cepat Zarina mencari topik perbualan.
            “Ustaz buat apa dekat sini?” Soalan itu tiba-tiba keluar dari mulutnya.
            “Cari awak.” Jawapan yang singkat, namun membuatkan hati Zarina berdebar tiba-tiba. Isyy. Ustaz sekarang pandai dah bagi jawapan spontan.

Dua belas tahun lalu…
“EH kau ada dengar tak hari ini kita dapat cikgu baru?” soal Nadia sebaik sahaja dia beratur di dalam barisan. Memandangkan dia, Nadia dan Musyarafah merupakan ahli lembaga tertinggi pengawas sekolah, maka mereka beratur di barisan paling belakang. Kononnya mereka mengawas murid-murid yang lain. Padahal mereka yang buat dajal.
            “Cikgu baru? Ustaz? Ustazah?” Soalan yang bertubi-tubi diberikan kepada Nadia kembali.
            Haila. Kau orang ni memang tak tahu gossip dekat sekolah ni ke?” Nadia sudah membebel di pagi hari. Hal sekolah ni, memang eloklah tanya Nadia. Semua dia tahu. Gossip hatta sekecil kuman pun dia tahu.
            Serentak itu, tiga orang lelaki lengkap berbaju melayu dan bersamping serta bersongkok melintas di hadapan mereka. Ketiga-tiganya menghadiahkan mereka sekuntum senyuman.
            Bibir Nadia kini sudah panjang tiga depa ke depan. “Yang tulah yang aku cakap tu,” ujar Nadia heboh. Tak cukup bibir, tangannya pula mengambil peranan menunjuk-nunjuk ke arah tiga lelaki tadi.
            “Aku dengar, Ustaz kau kena pergi kursus seminggu, jadi mungkin salah seorang daripada tiga ustaz baru tu akan masuk kelas kau,” ujar Musyarafah pula.
            “Aku confirm dah dapat dua orang sebab ustaz aku pergi kursus tu juga. Ustazah aku pula nak bersalin dah,” tambah Nadia.
            Zarina hanya diam. Memerhatikan ketiga-tiga ustaz tadi yang dah pun keluar daripada bilik guru besar dan berada di tapak perhimpunan.
            “Aku tak suka yang hijau tu. Jangan dia yang ganti ustaz aku sudahlah,” ujar Zarina rendah. Lelaki itu dipandang dari atas hingga ke bawah. Baju melayu hijau membuatkan lelaki itu kelihatan sangat lembut dari luarannya.
            Entah bila pula, lelaki berbaju hijau itu sudah memegang mikrofon dan berada betul-betul bertentangan dengannya.
            “Assalammualaikum. Nama saya Zamri. Saya guru pelatih di sini bermula hari ini hingga tiga bulan akan datang. Saya akan mengajar subjek Tauhid, Jenayah dan Faraidh.”
            Serentak itu, Nadia dan Musyarafah sudah ketawa dan menepuk-nepuk bahunya. Walaupun dia agak blur tapi dia tahu sesuatu bakal berlaku antara dia dan lelaki berbaju melayu hijau itu.
            “Memang nasib kaulah. Mulut kau masin kot Zarina. Ustaz Fadli tu dah memang ajar kau ketiga-tiga subjek tu. Jadi secara sahnya, memang ustaz hijau tu yang akan ganti tempat Ustaz Fadli,” ujar Nadia. Kata-kata Nadia tadi disambut dengan gelak tawa Musyarafah.
            “Tak apa. Aku tak kisah pun. Dahlah hijau. Macam kambing je,” ujar Zarina agak kuat. Cepat Musyarafah menekup mulutnya. Entah dari mana dia hubungkan hijau dengan kambing. Mungkin sinonimnya warna hijau dengan rumput yang suka diragut oleh kambing. Mungkin.

 “USTAZ, tak payahlah pergi kursus tu, saya janji, saya tak akan lukis gambar ustaz lagi dalam buku tauhid saya. Please ustaz, please,” rayu Zarina kepada ustaznya. Ustaz Fadli menggelengkan kepalanya beberapa kali. Apa punya spesies anak muridnya yang seorang ini juga dia tidak tahu. Meroyan agaknya. Dari pagi tadi tak habis-habis merayu dirinya sejak dia memberitahu dia tidak akan masuk mengajar tiga minggu kerana akan pergi kursus yang diarahkan oleh Jabatan Agama.
            “Isy. Apa masalah awak ni Zarina? Kalau saya yang ajar pun bukan awak nak dengar, awak sibuk lukis dalam buku tu. Dengan muka saya pun awak lukis sekali,” ujar Ustaz Fadli mengingatkan Zarina akan kesalahannya pada Ustaz Fadli seminggu lalu. Suara Ustaz Fadli tegas seperti selalu.
            “Ala ustaz, hari tu saya lukis muka ustaz sebab dah banyak kali ustaz ajar benda tu. Saya bosan dah. Dua minggu kot ustaz ajar benda yang sama,” rungut Zarina.
            Ustaz Fadli tetap meneruskan kerja-kerja menanda buku latihan. Dia harus menyelesaikan penandaan sebelum dia pergi kursus. Zarina bukan boleh dilayan sangat. Makin dilayan makin merengek nanti. Macam anak kecil.
            Melihat Ustaz Fadli tidak melayannya, Zarina berdiri sambil berpeluk tubuh di sebelah meja Ustaz Fadli.
            “Baik, ustaz pergilah kursus tu. Tapi, dengan satu syarat.” Tegas Zarina menuturkan. Ustaz Fadli berhenti menanda. Pen merah diletakkan di atas meja. Wajah Zarina yang serius dipandang. Bertaut kening ustaz itu memandang Zarina, menunggu gadis itu mengutarakan syaratnya.
            “Syaratnya, saya tak nak kambing tu yang ganti ustaz,” dia sebut ayat tersebut satu-persatu supaya ustaznya ini dapat menangkap maksud kata-katanya.
            Sebaik sahaja mendengar kata-kata Zarina tadi, kening Ustaz Fadli semakin berkerut. Kambing mana pula yang dimaksudkan oleh Zarina ni? Ada pula kambing yang boleh mengganti tempatnya mengajar subjek Tauhid, Jenayah dan Faraid dalam kelas ini? Namun, belum sempat Ustaz Fadli berkata-kata, ketukan di pintu mencuri perhatian mereka berdua.
            “Oh damn! Kenapa si kambing ni datang dekat sini?” Zarina mengeluh sambil melepaskan tumbukan perlahan di atas meja ustaznya. Serentak itu Ustaz Fadli menoleh kembali ke arah ustaz baru tersebut.
            “Awak cakap apa tadi Zarina?” soal Ustaz Fadli.
            Zarina memuncungkan bibirnya ke arah ustaz baru yang digelarnya kambing yang semakin menghampiri ke arah mereka. Ustaz Fadli hanya menggelengkan kepala. Zarina memang nakal berbanding anak murid yang lain di dalam kelas ini.
            “Assalammualaikum ustaz,” ujar ustaz baru itu.
            “Waalaikummussalam,” sahut Ustaz Fadli.
            Memandangkan Zarina masih tidak berganjak dari situ, Ustaz Fadli menyuruhnya mengambil sebuah kerusi untuk ustaz baru tersebut. Zarina pandang ustaz baru itu atas bawah macam ustaz itu pesalah utama di hadapan matanya.
Sebelum Zarina berlalu mengambil kerusi, sempat dia memijak kasut ustaz baru itu dan mentertawakan ustaz itu apabila dilihat ustaz muda itu seolah-olah menahan rasa sakit.
‘Kambing mana kuat. Lainlah kalau gajah,’ desis hatinya.
“Tahu pun sakit, tu baru sakit, cubalah duduk lama lagi dalam kelas ni, silap-silap keluar tinggal tulang je,” ujar Zarina rendah namun  kata-katanya masih dapat ditangkap oleh Ustaz Fadli dan ustaz baru itu.

HARI ini hari pertama Ustaz Zamri mula mengajar di sekolah ini. Dia diberikan amanah untuk mengajar subjek Tauhid, Jenayah dan Faraid di beberapa buah kelas. Dan cabaran paling utama dirasakan sekarang ini adalah dia terpaksa mengajar di kelas murid yang menginjak kakinya semalam.
            Ustaz Zamri menarik nafas dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Letak songkok di kepala dibetulkan. Senyuman diukir di bibir. Dia melangkah dengan kekuatan yang ada. Semoga Allah melembutkan hati anak muridnya yang satu itu.
            “Assalammualaikum,” ujar ustaz Zamri sewaktu melangkah masuk ke dalam kelas yang hingar bingar waktu itu. Seisi kelas langsung berdiri tegak dan menjawab salamnya. Dan dalam puluhan muridnya yang berdiri itu, ustaz Zamri dapat melihat seseorang yang masih selamba duduk di kerusi sambil menikmati keropok lekor. Melihat gerangan empunya badan, ustaz Zamri terus tersenyum. Dia sudah agak murid yang satu ini pasti akan memperlakukannya sebegitu rupa. Sabar. Sabar sebahagian daripada iman.
            “Baiklah. Awak semua boleh duduk,” ujar Ustaz Zamri lembut. Fokus semua pelajar hanya pada Ustaz Zamri. Zarina terdengar ada beberapa suara di dalam kelas itu memuji betapa tampannya ustaz baru itu. Ada yang bilang, suaranya merdu, menusuk kalbu. Zarina hanya mencebirkan bibir apabila mendengar pujian rakan-rakannya untuk ustaz itu.
            Zarina mengangkat sedikit wajahnya dan curi-curi memandang ustaz itu. Tatkala dia memandang senyuman ustaz itu, jantungnya berdebar laju. Sungguh, dia tidak tipu. Cepat-cepat dia alihkan pandangan. Mendegar suara ustaz itu bercerita, telinganya seolah mendengar suara merdu bak buluh perindu yang tidak pernah didengarnya selama ini. Cepat-cepat Zarina menepuk pipinya beberapa kali.
            “Tenang Zarina, tenang,” ujar Zarina kepada dirinya sendiri.
            “Jadi, kamu semua dah dengar serba sedikit tentang diri saya. Sekarang, giliran kamu untuk perkenalkan diri kepada saya. Kita mula dari barisan paling hadapan dari hujung kanan saya,” ujar Ustaz Zamri lembut.
            Dan giliran Zarina untuk memperkenalkan diri semakin hampir. Hatinya tidak tenang. Bagai cacing yang kepanasan. Mahu sahaja dia lari daripada kelas ini atau sembunyi di bawah meja agar dia tidak perlu memperkenalkan dirinya kepada ustaz muda ini.
            “Ya, awak yang seterusnya,” ujar ustaz itu lembut menampar gegendang telinganya. Zarina angkat muka. Sah, gilirannya sudah tiba. Apa ke cepat sangat sampai gilirannya? Tak sempat dia nak lari. Apa lagi nak sembunyi bawah meja. Zarina bangun lambat-lambat. Bibir mengukir senyuman kelat.
            “Na- nama saya Zarina,” ujar Zarina tergagap-gagap. Dia lihat ustaz itu tersenyum kepadanya. Dan bibirnya turut mengukir senyuman yang sama.
            Melihat Zarina diam, ustaz Zamri mengambil peluang untuk bertanya.
            “Kenapa awak tak suka saya?” soal ustaz Zamri lembut.
            Seisi kelas memfokuskan pandangan kepada Zarina. Pandangan mereka seolah-olah mengatakan gila-Zarina-tak-suka-ustaz-ni--Handsome-kot. Zarina pula terkulat-kulat mahu menjawab pertanyaan yang tidak di duga itu.
            Zarina jungkit bahu. Takkan dia mahu cakap pada semua dia tak suka ustaz ni sebab ustaz ni suka pakai baju hijau dan dia tengok ustaz ni dah macam kambing dah. Nak juga dia tanya ustaz ni tak ada baju warna lain ke selain hijau. Ataupun ustaz memang ada satu baju je nak buat pakai pergi mengajar ni dan bila duduk rumah ustaz pakai baju sleeveless? Sleeveless? Zarina gelak sendiri. Nampak sangat otak dia dah merapu.
            “Seterusnya,” ujar ustaz itu dan masih mengukir senyum sewaktu mata mereka bertemu. Senyuman mengejek buat Zarina barangkali. Semacam meraikan skor apabila berjaya mematikan servis pihak lawan dalam pertandingan badminton.
            Hatinya menyumpah seranah ustaz itu. Sengaja cari masalah ustaz ni. Dia sudah baik punya berlakon, senyum segala bagai nak jadi murid paling baik kononnya. Sekali boleh pula ustaz tu tanya dia kenapa dia tak suka pada ustaz.
            ‘Ada ubi ada batas, ada keropok lekor ada kuah, hari ini aku diam tak balas, tunggu esok lusa kau mesti blah,’ gumam Zarina dalam hati.
            Zarina mengunyah kembali keropok lekor yang belum sempat dihabiskan tadi. Earphone disumbat ke liang telinga. Memang malas dah nak mendengar kata-kata ustaz muda itu. Dia lagi suka menghadap novel Lagenda Budak Setan tulisan Ahadiat Akashah daripada menghadap muka ustaz itu.
            ‘Siapa suruh kau cari pasal dengan aku,’ bisik hatinya.

BUNYI loceng menyedarkan Zarina, sesi persekolahan sudah tamat. Cepat-cepat dia menutup novel dan memasukkan ke dalam beg. Beg tadi disilang pada badan dan cepat juga kaki Zarina melangkah keluar daripada kelas. Dia harus bertemu Nadia dan Musyarafah untuk memberitahu berita ustaz muda itu membuli dirinya.
            Seperti biasa, dua orang rakannya itu sudah menunggu di tepi tangga. Lega rasa hatinya apabila wajah Nadia dan Musyarafah ada depan mata. Sakit juga matanya memandang wajah ustaz muda itu sepanjang waktu persekolahan tadi.
            “Hah, amacam? Aku tengok dia masuk kelas kau tadi,” kepoh Nadia berbicara. Musyarafah mengangguk laju nak tahu cerita juga.
            Zarina jungkit bahu. Kambing tu kambing liar. Dia bukan kambing jinak macam yang kau orang sangkakan.
            “Aku declare perang dengan dia,” ujar Zarina tegas.
            Buntang mata Nadia dan Musyarafah memandang Zarina. Serius? Ini kira kes terhangat ni. Mana kau nak tengok kes macam ni melainkan Zarina yang buat hal dalam sekolah ni. Siapa tak tahu kalau Zarina dah meletup, dengan guru besar sekali pun tak boleh nak buat apa. Ustaz baru tu memang cari masalah.
            “Dia buat apa dekat kau sampai kau declare perang dengan dia ni?” Musyarafah beria-ia ingin tahu.
            “Ada ke dia tanya aku kenapa aku tak suka dia depan kelas,” ujar Zarina dengan perasaan jengkel. Teringat kembali muka bahagia ustaznya waktu dia tidak dapat menjawab pertanyaan itu.
            “Dah tu kau jawab apa?”
            “Aku diam jelah. Nak jawab apa? Dah orang dekat planet bumi ni semua tergilakan-gilakan dia. Aku seorang je macam turun dari planet Pluto.”
            Nadia dan Musyrafah tepuk dahi. Zarina ni pun satu. Jawab jelah apa pun. Cakap je sebab ustaz makan belacan, saya makan keju, jadi belacan dengan keju tak boleh bersatu pun kira okeylah kan. Bila biar tergantung macam tu, makin naiklah demand ustaz baru tu.
            “Hah, apasal? Kau orang pun nak join sama makhluk planet bumi tu?” soal Zarina sambil memuncungkan mulutnya ke arah beberapa orang pelajar perempuan yang mengekori Ustaz Zamri dari belakang.
            Nadia dan Musyarafah berpandangan sesama sendiri dan kedua-duanya bersuara. “Tapi, kita memang duduk dekat planet bumi sekarang ni Zarina.”
            Zarina menoleh. Lantaklah planet Bumi ke planet Pluto. Yang penting, dia rasa orang dekat planet bumi ni kejam pada dirinya. Tu je yang dia tahu.

HARI yang dinanti-nantikan sudah tiba. Kem kepimpinan pengawas sudah bermula. Seperti selalu, kem ini akan disertai oleh semua pengawas sekolah. Pagi-pagi hari lagi Zarina sudah sampai di sekolah. Dan seperti biasa, memang dia orang pertama yang sampai di sekolah ini. Dan dia juga yang tukang buka pintu pagar sekolah. Kunci pagar sekolah ini memang ada satu dia pegang.
            Zarina ambil port pada bangku paling hujung di dalam dewan itu. Dia duduk di situ setelah semua pintu di dewan itu sudah dibuka. MP3 dikeluarkan daripada beg. Earphone disumbat dalam liang telinga. Lagu Sorry Seems To Be The Hardest Word nyanyian kumpulan Blue bermain lembut di telinga. Zarina bersandar pada kerusi. Matanya ditutup. Menghayati setiap bait kata-kata dalam lagu itu. Kakinya dihentakkan mengikut rentak lagu yang terus berputar di MP3 itu.
            What have I got to do to make you love me
What have I got to do to make you care
What do I do when lightning strikes me
And I wake to find that you're not there
            Mulut Zarina terkumat-kamit menyanyi kecil bersama penyanyi asal lagu itu. Dia begitu menghayati lagu itu sehingga kedatangan Ustaz Zamri tidak di sedarinya. Dia hanya sedar apabila dia mendengar suara seseorang menyanyikan rangkap kedua lagu itu.
            What do I do to make you want me
What have I got to do to be heard
What do I say when it's all over
And sorry seems to be the hardest word
            Cepat-cepat Zarina menoleh ke arah suara yang didengarnya. Jangan cakap sekolah ni ada hantu. Earphone dilepaskan dari telinga. Dan dia kini tercegat di hadapan Ustaz Zamri.
            Sorry?” ujar ustaz baru itu di hadapannya.
            Apa? Ustaz ni cakap apa dekat aku? Sorry? Aku kot salah dengar. Zarina tersengeh sambil tepuk kepala. Kemudian dia duduk kembali. Earphone mahu disumbat lagi ke telinga. Belum sempat dia menyumbat masuk earphone tadi, Ustaz Zamri lebih dulu menarik earphone itu.
            Zarina tarik kembali. Ustaz Zamri tidak melepaskan. Zarina sudah berdiri kembali. Matanya bulat memandang ustaz muda itu. Tajam dia merenung ustaz itu. Pagi-pagi dah cari masalah dengannya. Dia kacau ustaz tu pun tidak.
            Sorry?” ujar ustaz itu sekali lagi.
            Zarina rasa dahinya. Tak panas. Dia tak demam. Sah dia tak meracau. Ustaz baru ni memang sedang minta maaf darinya. Tapi untuk apa?
            “Saya minta maaf sebab saya buat awak malu dalam kelas hari itu,” ujar Ustaz Zamri memulakan muqaddimah.
            Dia lihat mata Ustaz Zamri redup memandang ke arahnya. Ada rasa bersalah di wajah itu. Ada rasa kesal.
Zarina puas hati. Dia angguk dua kali, memandang ke arah earphonenya yang masih ditangan Ustaz Zamri. Perlahan Ustaz Zamri melepaskan earphone itu. Zarina angkat muka. Wajah Ustaz Zamri dipandang cermat. Kacak. Hatinya berdegup laju.
Itu belum masuk part Ustaz Zamri curi-curi pandang dia sewaktu upacara pembukaan berlangsung. Belum masuk part dia rasa hati dia macam lebur setiap kali pandang Ustaz Zamri senyum.
“Aku rasa aku nak jadi orang planet Bumi balik,” ujar Zarina dengan senyuman kepada Nadia dan Musyarafah sewaktu dia terpandang Ustaz Zamri memberikan ceramah di hadapan.

GILA. Itu perkataan pertama yang keluar daripada mulut Nadia dan Musyarafah sewaktu dia cakap dia nak jadi orang planet Bumi balik. Zarina hanya tersenyum sendiri apabila kedua temannya itu memberikan ceramah free pada dirinya.
            “Kau suka dia ke?” soal Nadia serius.
            Zarina jungkit bahu. Dia sendiri tidak tahu. Yang dia tahu, kalau dia ganti tempat pelakon iklan Fair and Lovely yang langgar buku tu, dia rasa dia macam nak terbang ke awan kalau pelakon lelakinya ustaz Zamri. 
            “Dah tu? Kenapa tiba-tiba kau nak jadi orang Bumi? Kan kau orang Pluto,” Musyarafah pula bertanya.
            “Sebab aku rasa dekat atas Bumi ni banyak cinta. Kat Pluto tu tandus. Tak ada apa-apa,” ujar Zarina penuh yakin.
            Nadia dan Musyarafah menggelengkan kepala. Sah si Zarina ni dah jatuh cinta.
            “Kau orang berdua janji pakai baju sama warna ke?” soal Nadia tiba-tiba. Dia lihat Ustaz Zamri pakai kemeja T warna biru. Zarina juga pakai kemeja T warna sama.
            Zarina tengok baju sendiri. Eheh. Dia tersenyum malu. Kalau dah jodoh kan. Tak janji pun macam berjanji. Dan tiba-tiba ustaz Zamri sudah berdiri disebelahnya.
            Kata ustaz, “Awak tiru saya ya.” Dan mulutnya macam kena gam tak tahu nak jawab apa. Dia cuma senyum. Nak cakap, ustaz yang tiru saya.

“ZARINA, saya minta maaf kalau sepanjang saya di sini, saya banyak melukakan hati awak,” ujar ustaz Zamri.
            Zarina pandang wajah itu lama. Dia tahu hari ini hari terakhir ustaz Zamri di sekolahnya. Genap sudah tiga bulan tempoh latihan Ustaz Zamri di situ. Wajah itu terlihat sugul.
            Zarina kuis pasir di kaki. Dia turut merasakan kesedihan itu. Dia tundukkan wajah pandang tanah planet Bumi.
            “Awak jangan nakal-nakal dekat sini,” tambah ustaz Zamri lagi.
            Zarina angguk. Dia tahu dia memang nakal. Malah dia banyak menyusahkan ustaz baru itu sejak hari pertama ustaz itu melangkahkan kaki ke sekolahnya.
            “Tunggu saya,” ujar ustaz Zamri. Ayat itu membuat Zarina angkat muka memandang wajah ustaz Zamri.
            Maksudnya apa? Tunggu ustaz untuk apa? Namun dia tidak berani bertanya. Dia nampak ustaznya mengesat air mata yang entah bila mengalir. Sebuah sampul surat diserahkan kepada Zarina dan ustaz Zamri hilang dari pandangannya.

ZARINA buka kembali sampul surat yang dia simpan dua belas tahun yang lalu. Kertas putih sudah agak kekuningan. Dia  baca satu-persatu ayat yang tertulis atas kertas itu.
            Siapa kita untuk menolak, jika jodoh itu dari Allah.
Tunggu saya.
Hingga sampai waktunya.
Zarina teringat pertemuannya dengan Ustaz Zamri pagi tadi.
            “Ustaz buat apa dekat sini?”
            “Cari awak.”
Jawapan yang singkat, namun membuatkan hati Zarina berdebar tiba-tiba. Serentak itu dia menerima sebuah pesanan ringkas. Dan pesanan itu diterima dari Ustaz Zamri. Zarina senyum sendiri.
Siapa kita untuk menolak, jika jodoh itu dari Allah.

©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz




Share

2 comments:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, resepi dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Unknown said...

So sweet 😍