Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia


 10
SATU khemah dihuni oleh sepuluh orang pelajar. Maka bersempit-sempitlah mereka tidur di dalam khemah yang sepatutnya dihuni oleh enam orang sahaja.
            Faizah membetulkan posisi baringnya. Dia berbaring mengiring ke kiri dan mukanya dihadapkan ke dinding khemah. Hujan renyai-renyai sedari petang tadi kini mula turun dengan lebat. Memandangkan matanya masih belum mengantuk, Faizah leka memandang bayang-bayang titis hujan yang turun jatuh di khemahnya.
            Hujan lebat yang turun membasahi bumi ini selebat air mata Faizah yang deras mengalir saat ini. Ingatannya berbalik pada kejadian petang tadi. Tangannya menekup mulutnya agar suara tangisnya tidak didengari oleh teman sekhemah yang lain.
            “Arghhhhh! Arghhhhhh!” Suara mengerang itu didengari oleh Faizah. Semakin lama, suara itu semakin kuat.
Faizah menoleh ke sebelah kanan. Dilihat seorang daripada ahli khemahnya sedang menekan-nekan perut. Kakinya merengkok. ‘Sejuk barangkali,’ fikir Faizah. Namun gadis itu masih mengerang. Tidak senang hati, Faizah bangun dan merangkak melintasi teman-teman yang lain bagi menghampiri gadis itu.
“Arghhhh!”  Kali ini gadis itu mengerang sambil menangis. Faizah yang panik memegang bahu temannya daripada kursus perladangan itu. “Kenapa ni? Awak sakit ke?” Gadis yang dikenali dengan nama Wani itu sekadar mengangguk. Air matanya semakin menjurai-jurai keluar membasahi pipi.
Muka Faizah sudah gelisah. Dikerling jam tangan yang dipakainya. Baru jam sebelas malam. Khemah komander yang bertugas terletak agak jauh daripada khemah mereka. Faizah berfikir dua tiga kali hendak meredah keluar daripada khemahnya memanggil komander. Takut juga jika babi hutan sedang berlegar-legar di luar sana.
 “Dah makan ubat? Sapu minyak tak perut tu?” Soal Faizah bertubi-tubi kepada Wani. Gadis itu hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Namun tangisannya semakin lama semakin kuat dan mengganggu lapan orang ahli khemah yang lain yang sudah mengosek-ngosekkan kaki mereka tanda mereka terganggu dengan tangisan Wani.
Panik dengan raungan Wani, akhirnya, Faizah tekad. Zip pintu khemah dibuka. Faizah keluar daripada khemah dan menyarungkan selipar ke kakinya. Pantas juga kakinya menghala ke khemah komander meredah hujan yang semakin lebat. Hanya bertemankan samar-samar cahaya bulan, Faizah berusaha menyusuri jalan untuk ke khemah komander.
Belum jauh daripada khemahnya, secara tiba-tiba tangan Faizah di pegang oleh seseorang. Faizah hampir tersungkur. Namun tubuh sasa itu pantas menyambut Faizah. Muka Faizah terbenam di dadanya yang bidang. Tangannya memegang belakang badan Faizah.
Faizah yang terkejut dengan keadaan itu hanya membatukan dirinya. Badannya sudah menggigil ketakutan. Peluh dingin membasahi dahinya. ‘Ya Allah, selamatkanlah hambamu ini,’ bisiknya dalam hati. Matanya dipejam rapat. Takut untuk melihat makhluk yang ada di depannya ini. Entahkan manusia entahkan makhluk lain.
 “Faz nak pergi mana dalam hujan-hujan ni sayang?” makhluk itu bersuara setelah keadaan sepi sejenak.
Mendengar suara lunak itu, pantas Faizah membuka matanya. Suara itu dikenalinya. Suara Iskandar. Dia berada di dalam dakapan Iskandar saat ini. Pantas Faizah menolak tubuh sasa milik Iskandar.
“Kawan Faz sakit dalam khemah. Tak tahu kenapa. Faz nak panggil komander,” Faizah menuturkan laju.
Iskandar dapat melihat wajah Faizah yang masih dalam ketakutan dalam titis-titis hujan yang semakin lebat itu. “Astaghfirullah,” hanya itu ucapan yang terkeluar daripada mulut Iskandar setelah sepasang matanya menatap sekujur tubuh Faizah yang sedang berdiri di hadapannya kini. Goyah imannya apabila dilihat kemeja T PBSM yang bewarna putih dan agak jarang itu sudah melekat di tubuh Faizah lalu menampakkan susuk tubuhnya. Rambut Faizah yang ikal itu kini basah.
Faizah yang baru perasan dia tidak bertudung pantas memalingkan badannya daripada pandangan Iskandar. ‘Faiz, apa pasal kau boleh lupa sauk tudung tu tadi. Ni namanya bala Faiz oii. Bala. Tak pasal-pasal abang Is tu dapat tengok free show. Kau pun dapat dosa free je ni,’ Faizah mengutuk dirinya sendiri di dalam hati. Tangannya kini di bawa ke dada lalu Faizah memeluk tubuhnya.
Iskandar menghampiri Faizah daripada belakang. Baju sejuk yang tersarung di badannya dibuka lalu disarungkan ke badan Faizah. Pantas juga tangan Iskandar memegang rambut Faizah yang masih basah itu. Bau syampu Sun Silk menusuk hidungnya. Hud yang tersedia di baju sejuk itu di tarik untuk menutup rambut Faizah yang masih terdedah. Faizah hanya membatukan dirinya waktu itu. Malunya tidak tertangggung.
“Khemah Faz dekat mana? Jom abang tengok kawan Faz tu,” perlahan Iskandar menuturkan sambil matanya menatap wajah Faizah.
“Tu,” ujar Faizah lalu menudingkan jari telunjuknya ke arah khemah yang dimaksudkan olehnya. Iskandar mendahului menuju ke khemah. Faizah sekadar mengekori daripada belakang.
Setelah berdiri betul-betul dihadapan khemah, Faizah dan Iskandar berpandangan antara satu sama lain apabila suara Wani mengerang kesakitan daripada dalam.
“Semua tengah tidur. Faz masuk dulu suruh diorang pakai tudung. Nanti dah siap Faz panggil abang,” ujar Faizah kepada Iskandar. Iskandar mengangguk. Belum sempat Faizah melangkah, sekali lagi Iskandar memegang tangan Faizah. Faizah menoleh minta penjelasan.
“Faz jangan lupa pakai tudung sekali ya,” ujar Iskandar lalu menghadiahkan sekuntum senyuman buat Faizah.
Faizah menarik muka masam. Tidak disangka Iskandar masih mahu mempermain-mainkan dirinya pada waktu-waktu kritikal seperti ini. Akhirnya Faizah berlalu masuk ke dalam khemah dan mengejut ahli lain lalu menyuruh mereka memakai tudung. Iskandar sabar menanti di luar khemah.
Sehelai tuala di capai oleh Faizah di dalam beg belakangnya lalu tuala itu di letakkan di atas kepala Wani yang sememangnya tidak bertudung agar tidak dibasahi hujan nanti. Setelah semuanya bersedia, Faizah membuka khemah. Ahli khemah yang lain keluar untuk memberi laluan kepada komander Iskandar dan Faizah mengusung keluar Wani yang dalam kesakitan.
Dengan kudrat yang ada sebagai lelaki, Iskandar menggendong gadis yang bertubuh agak gempal itu ke khemah komander untuk tindakan lanjut. Faizah hanya mengekorinya daripada belakang. Setelah sampai di khemah komander, komander siswi yang lain segera memberi ubat tahan sakit kepada Wani sementara komander Rid  menghubungi jurulatih untuk mengejarkan Wani ke Hospital Jengka kerana di takuti sakitnya tidak reda.
Iskandar menghantar Faizah pulang kembali ke khemahnya setelah Wani dibawa pergi oleh jurulatih.
“Faz...” Suara Iskandar kedengaran begitu romantis. Berdiri bulu roma Faizah apabila dipanggil begitu oleh Iskandar.
“Hmm...” hanya itu yang terkeluar daripada mulut Faizah. Dadanya berdegup pantas. Kakinya masih mengorak langkah perlahan-lahan.
“Abang minta maaf pasal petang tadi ya,” perlahan Iskandar menuturkan. Matanya melirik ke wajah Faizah yang berjalan di sampingnya.
Forgiven. But not forgotten,” ringkas, tepat dan padat jawapan Faizah. Bukan mudah baginya melupakan peristiwa yang terjadi petang tadi. Jika mudah, tidaklah dia bermandi air mata sebentar tadi.
Iskandar tidak meneruskan langkahnya. Langkah Faizah juga terhenti. Faizah memalingkan badannya ke belakang memandang Iskandar.
“Kenapa?” soal Faizah sambil mengangkat keningnya tanda pelik.
“Tak ada apa-apa. Sayang juga Faz dekat abang,” tutur Iskandar dengan ketawa kecil.
Faizah menggeleng-gelengkan kepalanya. “Kasut nak?” Faizah seolah-olah mengugut. Iskandar tertawa mendengar ugutan Faizah itu. Perjalanan mereka diteruskan sehingga ke khemah Faizah.
***************
JAM sudah menunjukkan pukul satu pagi. Faizah berbaring semula di tempatnya. Dia kesejukan kerana pakaiannya tidak ditukar. Faizah masih memakai baju yang telah basah lencun tadi. Bukan dia tidak mahu menukar pakaiannya, namun ruang yang terlalu sempit di dalam khemah itu membantutkan hasratnya untuk menukar pakaian.
            Mujur baju sejuk yang diberi oleh Iskandar tadi masih tersarung kemas di badannya. Setidak-tidaknya tidaklah dia merasa begitu dingin. Faizah memeluk tubuhnya. Kakinya dibengkokkan sedikit agar dia sedikit hangat.
            Mengenang kejadian tadi, Faizah tersenyum sendiri. Walaupun kejadian tadi hanya dilihat oleh Iskandar, namun perasaan malu terus merajai dirinya. ‘Free show’ Kata-kata itu bermain-main di fikirannya. Pantas Faizah mencapai tuala kecilnya lalu ditutup mukanya seolah-olah rasa malu itu boleh disembunyikan.
            Di khemah komander, Iskandar berbaring memandang bumbung khemah. Fikirannya menayangkan semula kejadian tadi. Umpama sedutan episod sesebuah drama, wajah Faizah yang menerajui drama itu datang silih berganti. Sekejap tergambar wajah Faizah yang dalam ketakutan. Sekejap lagi, susuk tubuh Faizah kelihatan jelas dalam titis-titis hujan. Sebentar kemudian, air hujan yang membasahi rambut Faizah yang menutupi sebahagian matanya jatuh menitis di pipinya. Dan akhirnya muncul wajah Faizah yang kemerah-merahan apabila dia menyarungkan baju sejuk itu di badan wanita kesayangannya itu.
            Keadaan yang dingin menimbulkan rasa yang lain bagi Iskandar. Masih terasa degupan jantung Faizah yang maha hebat lajunya sewaktu Faizah dalam dakapannya. Permainan otaknya semakin mengganas. Badannya dirasakan semakin hangat walaupun cuaca di luar dingin. Akhirnya Iskandar duduk. Dia beristighfar beberapa kali. Tangannya meraup muka beberapa kali.
            Komander Ali yang sedar perlakuan Iskandar sedikit pelik itu akhirnya menegur. “Kau kenapa Is? Mimpi ngeri?”
            Iskandar yang tidak sedar dirinya diperhati sejak tadi terperanjat apabila ditegur begitu. Setelah di lihat mata Ali terbuka memandangnya, akhirnya Iskandar melepaskan keluhan berat.
            “Sangat ngeri,” ujarnya dengan senyuman hambar kepada Ali. Iskandar memeluk kakinya dan merenung bayang-bayang titis-titis hujan daripada dalam khemah.
            “Kenapa?” Ali bertanya sepatah. Pelik benar kelakuan teman sebiliknya ini. Tangannya menupang kepala sementara menanti jawapan daripada Iskandar.
            “Aku nampak Puteri Gunung Ledang tadi. Cantik,” selamba sahaja Iskandar menuturkan. Di tubir matanya sudah terbayang wajah Faizah. Senyuman sudah mekar dibibir merah miliknya.
            “Merepek kau ni. Kita bukannya dekat Gunung Ledang. Puteri Kem Gading kot yang kau nampak tu,” ujar Ali. Kemudian Ali sudah terkekeh-kekeh ketawa.
            “Puteri Kem Gading pun boleh jugak la Ali. Sebab aku jumpa dia basah dalam hujan depan khemah tu. Lepas tu aku peluk dia,” Iskandar masih cuba memancing Ali dengan ceritanya.
Iskandar menyanyi-nyanyi kecil. “Masih gelap warna embun.” Zip khemah mereka dibuka.
 “Masih deras turun hujan.” Tangannya dikeluarkan daripada khemah menadah titis-titis air hujan. 
“Masih ada desau angin malam, angin malam.” Lembut sahaja udara sejuk masuk ke dalam khemah mereka seolah-olah faham bait-bait lirik yang dinyanyikan oleh Iskandar itu.
“Masih ingin aku memeluk dirimu lagi, Masih ingin menyayangmu lagi..” Iskandar berlakon seolah-olah memeluk seseorang di hadapannya lalu menutupkan matanya.
Setelah agak lama, matanya dibuka. Ali yang dari tadi memerhati terkesima memandang Iskandar. Akhirnya, Iskandar mengenyitkan matanya kepada Ali.
             “Biar betul kau ni Is?” Ali sudah duduk menghadap Iskandar. Matanya besar memandang Iskandar. Tidak sabar menunggu cerita selanjutnya.
             “Betul. Tapi dalam mimpi la,” selamba sahaja Iskandar menjawab. Ali yang sedar dirinya dipermain-mainkan menarik muncungnya panjang sedepa. Melihat Ali yang sudah mula menunjukkan tanda protes, akhirnya Iskandar tertawa.
            “Muncung kau tu Ali dah mengalahkan muncung itik kau tau tak?” Setelah keadaan sepi seketika, akhirnya ketawa Ali dan Iskandar terhambur jua.
**************
FARHAN merenung ke luar tingkap. Hujan lebat pagi ini telah membasahi bumi Jengka yang sekian lama tidak hujan. Dia risau akan keadaan Faizah yang sedang mengikuti perkhemahan PBSM.
Esok pagi dia juga akan ke Kem Gading untuk perkhemahan bagi pelajar semester satu Diploma Sains. Namun Faizah dan siswa siswi Diploma Sains lain yang mendaftarkan PBSM sebagai mata kuliah ko-kurikulum telah mendapat pengecualian untuk tidak mengikuti kem ini memandangkan dia diwajibkan menghadiri kem PBSM sebagai syarat untuk lulus ko-kurikulum. Ini kali pertama Faizah berjauhan daripadanya. Hatinya risau bukan kepalang.
“Kau ni macam ayam berak kapur je aku tengok Farhan,” tegur Afiq setelah dilihat hampir sejam Farhan duduk termenung di meja belajarnya sambil merenung ke luar tingkap. Afiq menghampiri Farhan dengan secawan mug di tangan.
Bau air milo menusuk hidung Farhan. Hujan-hujan begini memang sedap jika dapat minum air panas. Farhan menoleh ke arah Afiq yang sudah duduk di kerusi sebelahnya. Akhirnya dia berbicara, “Aku risau la Afiq. Faiz tu. Dia kan kat Gading. Hujan-hujan macam ni.”
Afiq hanya tersenyum. Mug yang berisi milo panas tadi di tolak ke meja Farhan. Farhan memerhati asap yang berkepul-kepul keluar daripada mug itu. “Minum la, aku buatkan untuk kau,” ujar Afiq.
Farhan menyua mug yang diberikan oleh Afiq tadi ke mulut. Seteguk air milo dihirup perlahan. Terasa air panas itu berjalan melalui trachea, esofogus dan usus-ususnya.
“Apa yang kau nak risaukan. Kan Faiz tu rapat dengan komander PBSM tu. Siapa nama komander yang tak habis-habis usha dia tu?” Afiq mengerut-ngerutkan keningnya cuba mengingati nama komander yang rapat dengan Faizah.
Farhan melepaskan keluhan berat. Pandangan dihalakan kembali ke luar tingkap. “Iskandar. Sebab dia ada tu lah aku risau. Kalau dia tak ada aku tak risau,” jujur dia memberitahu Afiq.
“Ha, Iskandar tu. Dia tu pun senior kita. Yang kau nak risau tu kenapa? Ok la tu ada Iskandar tu. Boleh juga dia tengok-tengokkan si Faiz tu,” Afiq menyatakan pendapatnya.
“Sebab dia tu pernah melamar si Faiz tu la yang aku risau.” Setelah sekian lama Farhan menyimpan cerita ini seorang diri, akhirnya diberitahu juga kepada Afiq.
Mata Afiq bulat memandang Farhan. Otaknya masih belum dapat mencerna berita yang baru  diterimanya ini. “What? Lamar? Hey hey. Cool la Farhan. Kalau ya pun kau risau dekat Faiz tu, tak kan sampai kau nak buat cerita si Iskandar tu propose dia pula,” uja Afiq sambil ketawa kecil.
It’s not a joke la Afiq. Aku tengok sendiri si Iskandar tu propose Faiz dekat restoran seafood tu,” Farhan meneguk sekali lagi air milo di dalam mug itu.
Kali ini mulut Afiq ternganga besar. Matanya bulat memandang Farhan. Kalau tidak ada tulang rusuknya ini, pasti jantungnya sudah terkeluar daripada badan dek terperanjat mendengar berita yang disampaikan oleh Farhan sebentar tadi.
Ami yang sedari tadi leka bermain game sambil meniarap di atas katilnya menekan butang pause. Pantas dia duduk bersila di atas katil lantas memandang muka Farhan menunggu cerita selanjutnya. “Serious la?” soalnya setelah keadaan bilik mereka sunyi seketika.
“Pernah ke aku main-main kalau soal Faiz?” Farhan bertanya kembali kepada teman sebiliknya itu sambil memandang wajah Afiq dan Ami silih berganti. Kedua-duanya menggeleng serentak.
Melihat kedua-dua temannya menggeleng-gelengkan kepala mereka, akhirnya Farhan menyambung bicara. “Dah tu?”
“Speechless,” Afiq dan Ami menjawab serentak.
**************
SEMUA komander sudah berkumpul. Kini, jam menunjukkan pukul tiga pagi. Pagi ini mereka akan membawa peserta kem melalui ujian sebagai seorang junior.     Siren dibunyikan berulang-ulang kali bagi mengejut semua peserta kem.
            Faizah yang mendengar bunyi siren itu sayup-sayup cuba membuka matanya. Namun matanya begitu berat. Mira yang sudah terjaga, mengejut Faizah. Mira terperanjat apabila dirasakan tangan Faizah sangat panas. Pantas diraba dahi Faizah. Panas juga.
            Mira panik. Kepala Faizah dipangku di pehanya. Tangannya mengusap lembut rambut Faizah. Faizah masih tidak membuka matanya. “Faizah, awak kenapa ni? Kenapa panas sangat ni,” Mira menggoyang-goyang bahu Faizah.
            Faizah membuka matanya perlahan-lahan. “Hmm. Dah kena kumpul ke?”  Suaranya lemah.
            “Nak saya panggil abang Is ke?” Mira inginkan kepastian. Dilihat badan Faizah menggigil.
            “Ta-Tak Pa-Payah,” jawab Faizah tergagap-gagap. Tangannya yang terketar-ketar kesejukan cuba memegang tangan Mira.
            “Kita dah kena kumpul dekat luar ni,” terang Mira. Pintu khemah diselak melihat pelajar yang sudah mula berkumpul.
            Iskandar tercari-cari bayang Faizah setelah semua pelajar berkumpul di hadapan khemah komander. Setelah dilihat Faizah tidak ada disitu, Iskandar bergegas menuju ke khemah Faizah. Iskandar mundar-mandir di luar khemah. Akhirnya Iskandar memberi salam. “Assalammualaikum, Faz ada dekat dalam?”
            Mira yang mendengar suara Iskandar pantas memakaikan tudung di kepala Faizah dan mengalas beg di bawah kepala Faizah. “Waalaikummussalam abang,” jawab Mira setelah membuka pintu khemah sambil menjengukkan kepalanya ke luar.
            Lega sedikit perasaan Iskandar. “Faz ada?” soal Iskandar.
            Mira memalingkan muka ke belakang memandang Faizah. “Ada. Demam rasanya. Menggigil tu,” terang Mira.
            “Boleh abang masuk?” soal Iskandar. Jelas kerisauan di wajahnya. Mira mengundur ke belakang memberi laluan kepada Iskandar melihat keadaan Faizah.
            Pantas sahaja Iskandar meletakkan tangannya di dahi Faizah. ‘Panas,’ bisiknya dalam hati. “Faz ada bawa panadol tak?” soal Iskandar kepada Faizah. Matanya tidak lepas daripada memandang wajah Faizah. Faizah menganggukkan kepalanya.
            “Mira...” panggil Faizah sambil menudingkan jarinya ke arah beg yang dibawanya.
            Pantas Mira membuka beg Faizah dan mengeluarkan ubat-ubatnya. Dicari panadol dalam beg ubat Faizah. Mira menghulurkan panadol itu kepada Iskandar. Iskandar mengambil panadol itu lalu dibuka satu bahagian pil dan memegangnya di tapak tangan.
            “Air masak ada Mira?” soal Iskandar. Mira mengangguk. Sebotol air mineral milik Faizah diberikan kepada Iskandar. Iskandar memangku kepala Faizah lalu memasukkan sebiji panadol ke dalam mulutnya. Botol air mineral tadi disua ke mulut Faizah. Faizah meneguk air beberapa kali lantas menelan panadol tersebut.
            “Faiz kena pergi juga ke abang pagi ni?” soal Mira inginkan kepastian.
            “Kena. Tak apa. Mira jangan risau. Nanti abang jaga Faizah. Mira keluar dulu,” arah Iskandar.
            “Ok abang,” jawab Mira lantas keluar setelah tangannya mencapai kain yang diletakkan di atas begnya. Belum lagi dia melangkah pergi, Iskandar memanggil kembali namanya. Mira menoleh kembali ke dalam khemah.
            “Mira, kalau abang Rid tanya kenapa lambat, cakap abang yang tahan Mira,” Iskandar memberitahu. Mira mengangguk tanda faham dan berlalu pergi.
            Iskandar membantu Faizah unuk bangun dan memakaikan kasut. Setelah itu, dibantu Faizah untuk berdiri. Setelah dilihat Faizah agak stabil, Iskandar melepaskan tangannya. Faizah menapak perlahan menuju ke tapak berkumpul. Sebaik sahaja tiba, dilihat semua peserta kem sudah mengikat kain yang dibawa di kepala bagi menutup mata mereka.
            Faizah memandang Iskandar lalu menyerahkan kain yang dibawanya. Iskandar mengangguk. Diambil kain itu dan diikat di kepala Faizah.
            “Jangan risau, abang teman,” ujar Iskandar. Faizah mengangguk lemah. Badannya tidak terdaya. Seram sejuk badannya.
            Perjalanan dimulakan merentas hutan. Mereka berjalan dalam kumpulan sambil memegang tangan. Faizah orang ketiga dalam barisan kumpulannya. Iskandar berjalan di samping Faizah. Memandangkan mereka tidak dapat melihat keadaan persekitaran, mereka hanya berjalan berpandukan arahan yang diberikan oleh komander.
            Iskandar melihat sebuah lubang besar dihadapan. Dijerit memberi arahan kepada kumpulan Faizah yang melintasi jalan itu.
            “Lubang besar dekat depan kumpulan lima. Langkah besar dua kali,” arah Iskandar.
            Menurut arahan yang diberikan oleh Iskandar, semua ahli kumpulan Faizah melangkah besar-besar. Tiba giliran Faizah untuk melangkah, Iskandar memegang tangannya dan menyuruh Faizah melangkah. Dahan pokok yang menghalang jalan Faizah itu dipegang oleh Iskandar agar kepala Faizah tidak terhantuk.
            Kedengaran suara peserta kem menjerit dihadapan. Kedengaran juga bunyi kocak air dan suara komander menjerit memberi arahan. Seram juga Faizah mendengarnya.
            “Depan tu ada paya. Faz kena masuk dalam paya. Faz ok tak?” soal Iskandar seraya memandang Faizah. Dia tidak yakin Faizah mampu masuk ke dalam paya itu.
            Faizah mengangguk. Dia tidak mahu terlalu bergantung kepada Iskandar. Dia juga tidak mahu komander lain berfikir dia mengambil kesempatan dengan kehadiran komander Iskandar.
            Mereka berpimpin tangan meredah paya. Tiba ditengah paya, Faizah hampir tenggelam. Air paya itu sudah separas hidungnya. Di dalam air, kakinya sudah tidak boleh bergerak kerana selut tebal melekat di kasut yang dipakainya.
            “Abang,” panggil Faizah panik setelah dia tidak boleh bergerak dan ahli kumpulan di depannya sudah melepaskan tangan.
            “Kenapa Faz?” soal Iskandar. Iskandar datang mendekati.
            “Faz tak boleh gerak abang. Kaki tak boleh angkat. Group Faz dah terlepas tangan ni,” ujar Faizah cemas.
            Iskandar tunduk ke bawah dan mencelupkan tangannya ke dalam paya itu mencari kaki Faizah. Di bantu Faizah untuk mengalihkan kakinya daripada kawasan itu. Setelah semua ahli kumpulan Faizah berjaya keluar daripada paya itu, Iskandar menyambungkan semula pegangan tangan mereka kepada ahli kumpulan yang terpisah tadi.
            Kini mereka ke checkpoint seterusnya. Di checkpoint ini, setiap ahli kumpulan  akan diasingkan secara individu. Tangan Faizah sudah dilepaskan daripada ahli kumpulannya yang lain.
            “Awak nak dekat mana? Dekat hujung hutan?” sergah satu suara sambil menarik Faizah untuk dibawa ke suatu tempat.
            Faizah hanya diam. Dia tahu suara itu milik Komander Rid. Langkah kakinya hanya mengikuti arah yang dibawa oleh Komander Rid memandangkan dia tidak dapat melihat apa-apa.
            Melihat keadaan disitu agak selamat dan sunyi, Komander Rid meninggalkan Faizah di situ. Faizah diarah untuk duduk. Malas mahu melayan, Faizah duduk di atas tanah yang dia sendiri tidak tahu di mana. 
            Alang-alang tidak dapat melihat, Faizah menutup matanya. Rasa mengantuknya mula datang. Mungkin kerana efek samping dia menelan sebiji panadol tadi. Akhirnya Faizah terlelap di situ tanpa menghiraukan suara-suara komander menjerit memberi arahan yang masih kedengaran di telinganya.
            “Buka mata semua!! Babi!! Lari!!” Komander Rid memberi arahan kepada semua peserta kem. Keadaan menjadi huru-hara apabila semua peserta kem membuka kain yang menutupi mata mereka. Semua menjerit-jerit berlari tanpa arah bagi menyelamatkan diri.
            Faizah yang tertidur hanya statik ditempatnya. Telinganya mendengar jerit pekik manusia. Namun dia tidak terdaya untuk membuka matanya.
            “Semua cari kumpulan masing-masing dan kira ahli cukup ke tidak,” arah Komander Rid.
            Iskandar bergegas menuju ke arah kumpulan lima. Di cari Faizah. Dadanya berdegup kencang apabila dilihat Faizah tidak ada di situ. Pantas Iskandar berlari mencari Rid. Matanya liar mencari kelibat Rid.  Setelah dilihat Rid berdiri dihadapan, Iskandar menolak bahu Rid sekuat hatinya.
            “Mana kau letak budak tu?” soal Iskandar dengan suara tinggi. Dia tahu pasti Rid meletak Faizah jauh daripada peserta lain.
            “Hujung hutan,” jawab Rid selamba dengan senyuman mengejek. “Dia yang minta nak duduk hujung hutan tu,” tambah Rid lagi.
            Iskandar yang geram mendengar jawapan Rid tadi pantas mengepal tangannya. “Kurang ajar,” bentak Iskandar seraya melepaskan tumbukan itu tepat ke muka Rid. Rid yang tidak sangka dengan tindakan spontan Iskandar itu hanya menggosok-gosok pipinya yang terasa kebas.
            Pantas Iskandar berlari mencari Faizah. Dijerit memanggil nama itu. Ali turut membantu Iskandar mencari Faizah. Hampir longlai kakinya apabila dilihat Faizah hanya kaku duduk ditempatnya sambil memeluk lututnya.
            Iskandar datang menghampiri lalu memegang bahu Faizah. Namun tiada respon ditunjukkan oleh Faizah. Apabila ditolak bahu Faizah, Faizah rebah ke bumi. Berderau darah Iskandar. Pantas di pangku kepala Faizah dan ditepuk-tepuk pipi gebu Faizah. Masih tidak sedar.
            “Dukung dia bawa keluar dulu Is. Bahaya dekat sini,” Ali mengusulkan. Iskandar mengangguk lalu menggendong Faizah dan membawanya kembali ke kem. Faizah di baringkan di dalam khemahnya yang dikongsi bersama Ali. Pintu khemah dibiarkan terbuka. Ali menemani Iskandar.
            Iskandar menyelimuti Faizah dengan tualanya yang masih belum digunakan. Sehelai tuala kecil yang telah dibasahkan diletakkan di kepala Faizah. Dilihat wajah Faizah pucat. Mira telah dimaklumkan Faizah dijaga oleh Iskandar setelah Ali diutus untuk memberitahunya tentang keadaan Faizah.
Sepanjang malam itu Iskandar menjaga Faizah. Diharap esok Faizah akan kembali sihat untuk menduduki ujian praktikal untuk membolehkannya lulus mata kuliah ko-kurikulum ini.
*************
FAIZAH hanya terjaga daripada tidurnya apabila bahang cahaya matahari terkena pipinya. Matanya juga silau dek panahan cahaya matahari yang agak terik. Akhirnya Faizah membuka matanya. Matanya digosok-gosok perlahan. Dilihat Iskandar disebelahnya terlelap.
            Faizah bingkas duduk. Dilihat badannya dibaluti oleh tuala. Tudungnya masih tersarung kemas dikepala. Entah apa yang terjadi malam tadi juga dia tidak ingat. Faizah menepuk bahu Iskandar perlahan.
            “Abang..” ujar Faizah perlahan. Di sudut khemah, Faizah terlihat komander Ali yang sedang tidur.
            Iskandar mendengar sayup-sayup namanya dipanggil. Akhirnya matanya dibuka. Dilihat Faizah sudah terjaga.
            “Faz dah ok?” soalnya perlahan sambil tangannya meraup mukanya beberapa kali untuk menghilangkan rasa mengantuk.
            “Ok rasanya. Faz keluar dulu ya abang. Terima kasih,” tutur Faizah sambil melipat tuala yang membaluti tubuhnya.
            “Tu tanggungjawab abang Faz. Tak payah cakap terima kasih. Faz jangan mandi dulu ya. Lap-lap badan tu je dah cukup,” ujar Iskandar sambil melihat Faz menyarungkan kasutnya di hadapan khemah.
            “Baiklah,” Faizah menjawab dan berlalu pergi kembali ke khemahnya. Sebentar lagi dia harus mengikuti ujian praktikal. Dia harus segera bersiap-siap.
**************
SETELAH diuji dengan cara menyelamatkan mangsa yang patah dan memberi bantuan CPR, akhirnya ujian praktikal untuk kumpulan Faizah selesai. Hampir jam dua petang, baru kesemua kumpulan selesai ujian praktikal. Upacara penutupan di sudahi dengan nyanyian lagu negaraku dan lagu PBSM, dan secara rasminya, kem ko-kurikulum untuk pelajar semester satu telah tamat.
            “Tak sangka dah habis,” ujar Mira sewaktu mereka berjalan pulang kembali ke Kompleks Kediaman Siswi. Faizah menghadiahkan sekuntum senyuman kepada Mira. Nafas lega dihelakan.
            Sewaktu melintasi simpang yang menghala ke tasik dibelakang Kolej Siswa itu, mereka terserempak dengan siswa siswi Diploma Sains yang juga baru pulang daripada kem. Mata Faizah tertancap pada suatu susuk tubuh yang dikenalinya. Farhan.
            Langkah kaki masih dalam kelajuan yang sama. Mira yang baru melihat Farhan, Afiq dan Ami yang berjalan bersama-sama menegur mereka.
            “Hoi Afiq!” jerit Mira. Afiq menoleh ke belakang. Begitu juga dengan Farhan dan Ami. Masing-masing menoleh ke belakang dan menghentikan langkah.
            “Kau baru balik juga ke Faiz?” soal Farhan apabila melihat Faizah hanya mendiamkan diri. Ini kali pertama dia menegur Faizah setelah  peristiwa yang berlaku tempoh hari. Dilihat wajah Faizah pucat lesi.
            “Baru je dapat lepas ni,” jawab Faizah tanpa memandang muka Farhan. ‘Sudah gaharu, cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Pang sekali baru tau,’ bisik hati Faizah.
            “Puteri Gunung Ledang aku ni tak sihat ke Mira?” soal Farhan dalam nada bergurau inginkan kepastian.
            “Demam tu. Kau jangan kacau kalau tak nak makan kasut,” terang Faizah sambil terkekeh-kekeh ketawa. Akhirnya Faizah juga tertawa. Tidak disangka Mira akan memberikan jawapan sebegitu kepada Farhan.
            Melihat senyuman Faizah, akhirnya mereka berlima ketawa serentak. Faizah sudah kembali normal. ‘Moga persahabatan mereka tidak diuji lagi selepas ini,’ doa Faizah dan Farhan dalam hati.
            “Tak rindu aku ke?” soal Farhan kepada Faizah setelah mereka tiba di pintu pagar Kompleks Kediaman Siswi. Farhan sudah menayang muka gatal kepada Faizah. Lama dia tidak mengusik Faizah.
            “Say yes please,” rengek Farhan lagi.
            “Kasut nak?” Faizah menyoal kembali berbaur ugutan. Tangannya sudah mahu mencapai kasutnya.
            “Ohho! Ganas ea. Tak padan dengan demam,” ujar Farhan sambil ketawa terbahak-bahak. Mira, Afiq dan Ami juga sama-sama ketawa.
            Akhirnya Faizah dan Mira meminta diri kerana mereka keletihan. Farhan, Afiq dan Ami berlalu pergi setelah bayang Faizah dan Mira tidak kelihatan lagi. Mereka juga sangat letih dan harus mendapatkan rehat yang cukup. Sungguhpun penat, mereka gembira kerana hari ini hubungan mereka kembali seperti biasa.
*************
©Hak Cipta Terpelihara : ~Isha Idiaz~ 
           

Share

2 comments:

Aida Sherry said...

x tahu nak pilih sape?????

Farhan @ Iskandar... dua2 baik n serasi bersama Faizah.... aduh... pening kepala ni...

ISHA IDIAZ said...

hehe kak aida.. pilih 1 je kak~ xblh pilih 2 2..