Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

14
KERUSI di sebelah Mira ditarik oleh Deli sebaik sahaja dia sampai di kelas. Shafiq yang agak sedikit terkejut dengan tindakan Deli itu akhirnya beralah. Kebiasaannya, tempat di sebelah Mira adalah tempatnya. Enggan berdebat di pagi hari, Shafiq menarik kerusi di sebelah Faizah lantas melabuhkan punggungnya di situ.

            “Apa hal budak tu?” soal Syafiq sambil menyiku lengan Faizah yang sedang tekun membaca nota Biologinya. Faizah memang begitu. Pantang sahaja  ada masa terluang, pasti dia akan membaca. Hargai masa katanya.

            “Hurm?” soal Faizah sambil memalingkan wajahnya daripada buku memandang wajah Syafiq yang duduk di sebelahnya. Serius, dia tidak dengar apa yang dituturkan oleh Syafiq sebentar tadi.




            “Eii. Ni aku rasa nak sekeh kepala hang ni. Time che’ cakap hang tak nak dengar. Lepas tu mintak ulang,” bebel Syafiq.

            “Tu dia, loghat utara dah mai dah,” usik Faizah sambil ketawa menayangkan barisan giginya yang putih.

            Sepantas itu juga sebuah cubitan hinggap di lengan Faizah. Faizah menjerit kesakitan seraya cuba menepis tangan Syafiq yang masih melekat di lengannya.

            “Ok ok. Lepas la. Tak main-main dah,” pinta Faizah dalam nada merayu. Muka comelnya ditayang agar Syafiq melepaskan cubitan di lengannya itu.

            “Aaaaa… Lepas la. Sakit la wei,” rengek Faizah seperti anak kecil yang baru berusia lima tahun.

            “Tak de. Tak de. Kau tu memang suka macam tu kan. Merengek sana merengek sini,” gumam Syafiq. Masih tidak berpuas hati dengan Faizah.

“Maafkan hamba Hang Syafiq. Janganlah hamba disiksa sebegini rupa.” Faizah menuturkan dalam tawa kecil.

 “Lain kali time orang cakap, bagi slow sikit volume MP3 kau tu. Ini dengar MP3 tu melampau sangat volumenya. Sampai aku dekat sebelah ni pun boleh dengar sama,” Syafiq menambah lagi.

Cubitan di lengan Faizah dilepaskan. Sepantas itu, Faizah menggosok lengannya yang terasa panas.

Sakit!

“Ha, kau tanya apa tadi? Ulang la balik. Serius aku tak dengar Syafiq,” tutur Faizah sambil tangannya menutup buku Biologi di hadapannya itu.

“Maaf, tiada siaran ulangan,” jawab Syafiq bersahaja tanpa memandang wajah Faizah. ‘Biarkan dia rasa bersalah sikit dengan aku ni,’ desis hati Syafiq.

“Ala, mucuk mucuk manja aku ni. Nak merajuk pulak. Cerita la cepat.” Faizah masih cuba memujuk Syafiq untuk mengulangi pertanyaannya sebentar tadi. Rasa bersalah singgah di hatinya kerana tidak mendengar pertanyaan Syafiq itu.

Akhirnya Syafiq menarik nafas panjang dan sebuah keluhan dilepaskan. Pantas juga tangannya menarik tali earphone yang masih elok tersumbat di telinga Faizah.

“Nanti kau suruh aku buat siaran ulangan lagi,” ujar Syafiq sambil mengunjukkan earphone yang sudah berada di tangannya.

Memang benar kata-kata Syafiq. Jika tidak dibuka earphone itu, memang sah-sah Syafiq terpaksa mengulang pertanyaannya sekali lagi nanti. Jelas kedengaran lagu Dealova berkumandang daripada earphone miliknya itu. Memang kuat.

“Baiklah, hamba faham Hang Syafiq,” jawab Faizah dengan sebuah senyuman dibibirnya. ‘Sempat juga dia kenakan aku,’ ujarnya dalam hati.

“Soalan aku, kenapa dengan budak tu?” soal Syafiq dengan kening yang berkerut. Memikirkan kemungkinan jawapan yang ada untuk persoalan yang diajukannya kepada Faizah.

“Budak mana? Mana ada budak dalam kelas ni Hang Syafiq.”

Faizah menjawab selamba sambil berpura-pura memandang seluruh isi kelas mencari budak yang dimaksudkan oleh Syafiq.

“Ada yang nak kena penampar manja aku ni,” ujar Syafiq dalam nada geram.

Faizah sudah tergelak kecil. Lesung pipit di kedua-dua pipinya kini jelas kelihatan.

“Owh, budak tu ke?” jawab Faizah sambil menjuihkan bibirnya ke arah Deli.

“Ha la. Budak mana lagi,” ujar Syafiq acuh tidak acuh.

“Tu bukan budak la Hang Syafiq. Tu namanya bapak budak,” Faizah menjawab spontan lantas membuat Syafiq menghamburkan tawanya.

“Kan. Tu lah. Apa hal bapak budak tu duduk tempat aku?” soal Syafiq lagi.

Faizah sudah tersenyum kambing. Akalnya giat memikir jalan untuk mengenakan Syafiq.

“Owh. Aku tahu kenapa. Sebab kau tak ada letak cop mohor menyatakan yang tempat tu kau punya,” jawab Faizah. Ringkas dan padat jawapannya. Ya lah, sesiapa sahaja bebeas duduk di mana-mana di dalam kelas itu. Lainlah jika zaman sekolah dahulu. Tempat kita tidak akan berubah selama setahun di dalam kelas yang sama.

“Takkan aku nak kena tinggalkan punggung aku ni dekat sini kot,” ujar Syafiq serius.

“Kalau punggung kau tu jenis pasang siap, boleh la tanggalkan dan tinggalkan dekat situ,” ujar Faizah sambil mengarahkan pandangannya ke arah kerusi yang diduduki oleh Deli. Syafiq juga turut memandang ke arah yang sama.

“Nanti agak-agak kau nak buang air besar, ha, masa tu kau ambil la balik, pasang balik dekat badan kau tu,” tambah Faizah lagi sambil ketawa terkekeh-kekeh.

Syafiq menjegilkan matanya. Agak kasar di situ. Faizah sudah mula menyetan di pagi hari. Dia tidak boleh membiarkan dirinya yang macho dibuli oleh Faizah.

            “Mulut tak ada insurans punya budak. Kan aku dah pesan, mulut kita ni kena pakai insurans. Kalau tak nanti, ada yang makan pelempang manja aku ni,” ujar Syafiq berbaur amaran.

            “Kalau macam tu aku nak pakai insurans Allianz la untuk mulut aku ni,” tutur Faizah bersahaja.

Fikirannya teringat pula motto syarikat insurans ini iaitu "Allianz, with you from A to Z". Kalau macam tu, agak-agak nak kena pelempang je, mesti dia diselamatkan oleh syarikat insurans itu.

Faizah sudah tersengeh-sengeh seorang diri. Otaknya ini memang tidak boleh dilayan. Kalau sekali layan, ha macam ini lah jadinya. Segala benda tak logik akan keluar.

“Ha, sengih-sengih. Ada la tu benda tak logik dalam otak tu,” duga Syafiq. Sah si Faizah ni memang la suka berangan macam-macam.

Semakin lebar senyuman Faizah apabila mendengar ayat yang dituturkan oleh Syafiq itu. “As usual,” jawabnya ringkas.

            Syafiq hanya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat gelagat Faizah. Soalannya tadi hanya dibiarkan berlalu begitu sahaja. Sesungguhnya, dia juga tidak mahu mengusutkan fikirannya dengan hal-hal yang tidak penting. Lagi-lagi jika nama Deli tersenarai dalam hal itu.

************

SEJAK akhir-akhir ini, Faizah melihat hubungan Deli dan Mira semakin rapat. Bukan sebelum ini mereka tidak rapat. Tetapi, kebiasaannya Syafiq lebih rapat dengan Mira. Dan Deli pula lebih senang untuk bercakap dengannya.

            Dilihat Deli sedang tertawa sambil berbicara dengan Mira. ‘Alhamdulillah, setidak-tidaknya dia masih boleh ketawa,’ bisik hati Faizah.

            “Uit Puteri Gunung Ledang. Termenung nampak,” sapa Farhan seraya mematikan lamunan Faizah. Farhan melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang tersedia di sebelah Faizah itu.

            “Beri salam la der. Nasib baik aku tak ada sakit jantung. Kalau tak sia-sia je mati dekat sini,” gumam Faizah. Dirasakan dadanya berdebar laju dek kerana terperanjat disergah oleh Farhan sebentar tadi.

            “Assalammualaikum Puteri,” tutur Farhan bersahaja. Sebuah senyuman dihadiahkan buat Faizah.

            Sebenarnya, masuk kali ini, sudah tiga kali dia memberi salam kepada Faizah. Cuma gadis cantik di hadapannya ini tidak perasan akan kehadirannya lantaran dia sedang melayan perasaan.

Belacu kainlah belacu, Nasib cuma dijeling saja,” Farhan mula menyanyi perlahan. Faizah menoleh sekilas. Menanti bait-bait seterusnya daripada Farhan.

Melihat Faizah tidak beralih memandangnya, Farhan tersenyum. Berjaya juga dia mencuri perhatiaan gadis kesayangannya ini. Lantaran itu, dia menyambung bait berikutnya.

“Sutera kainlah sutera, Rebutan menjadi rebutan,” ujarnya sambil mengarahkan pandangan mata ke arah tempat yang di duduki oleh Mira dan Deli.

Faizah tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh Farhan melalui bait-bait lagu yang dinyanyikannya. Keningnya sedikit berkerut.

Farhan masih tersenyum. Disambung sedikit lagi nyanyiannya itu.

“Merindu nasiblah merindu, Bertepuk hai sebelah saja,” nyanyi Farhan lagi. Dan angin pun bertiup menerbangkan daun-daun yang ada di Taman Tenet itu.

 Bercinta nasiblah bercinta , Tidak kesampaian.” Nyanyiannya tamat di situ.  Sebuah senyuman dihadiahkan buat Faizah. Farhan tahu Faizah masih tidak tahu perkara yang sebenarnya. Dia juga tidak mahu membuka cerita. Dia cuma berharap Faizah tabah melalui dugaan yang di alaminya sekarang ini.

Pelajar yang lalu-lalang di situ masing-masing berbisik apabila memandang Farhan dan Faizah.

Sweetnya abang tu. Dia nyanyi untuk kakak tu lah,” ujar seorang siswi.

“Kau tak tahu ke. Abang tu lah yang nyanyi dekat dinner Diploma Sains hari tu. Aku dengar dia propose kakak tu masa nyanyi lagu yang dia buat sendiri tu,” tutur seorang siswi lagi.

Sweetnya diorang ni. Sama cantik sama padan,” ujar seorang lagi siswi.

Farhan mengangkat keningnya sambil memandang Faizah. Bangga juga dirinya apabila mereka memberi komen positif terhadap hubungannya dengan Faizah.

“Jangan nak perasan lebih-lebih ya,” Faizah sudah memberi amaran. Mula dah tu Farhan nak mengada-ngada.

Tawa farhan terhambur juga. Faizah memang tahu apa yang bermain dalam otaknya kini. Macam itulah baru digelar pasangan serasi.

“Mana ada lebih la sayang. Bangga sikit je,” tutur Farhan samba menyeka anak rambut yang jatuh di dahi ke belakang.

“Eii. Apa sayang-sayang ni,” ujar Faizah selamba. Daun-daun kering yang ada di atas rumput itu dikuis-kuis dengan kakinya.

“Kalau sayang kena la cakap sayang. Tak kan nak cakap benci pulak kan,” Farhan menuturkan ikhlas. Tangannya pantas menyelak halaman buku tutor Matematik. Ada yang belum dikerjakannya.

Ye lah. Tapi orang cakap, kalau sayang kat seseorang tu tak payah cakap sayang dekat dia. Nanti Allah kurangkan rasa sayang tu. Cakap dekat Allah supaya Allah tambahkan rasa sayang tu. Kerana Allah lebih mengetahui,” ujar Faizah. Hidup ni kena saling berpesan-pesan.

“Baiklah. Dah, meh tolong aku buat Math ni. Semalam aku tertidur lepas balik koko,” ujar Farhan seraya menulis jalan kira di buku tutorial Matematik itu.

Faizah menjeling sekilas halaman yang sedang di buka oleh Farhan itu. Dia juga membuka bukunya di halaman yang sama.

“Sebenarnya kan, aku pun tak siap lagi,” ujar Faizah dengan tawa kecilnya.

Farhan memandang Faizah dengan mata yang bulat. Buku Faizah ditarik dan memang benar halaman itu masih kosong tidak terisi dengan jawapan.

Hampeh betul. Dia pun tak buat juga rupanya,” ujar Farhan sambil tersenyum.

“Aku pun tertidur juga lepas habis koko tu,” tutur Faizah sambil memulakan pengiraan.

“Siapa suruh tiru aku tidur?” soal Farhan dengan mata yang tidak beralih ke soalan ke dua.

“Mata yang suruh,” ujar Faizah lembut. Tangannya ligat menekan kekunci di kalkulator.

Setelah beberapa detik mereka terdiam, mereka berpandangan antara satu sama lain. Dan akhirnya mereka tertawa.

“Fokus. Fokus,” ujar kedua-duanya dengan tawa yang masih bersisa dan meneruskan pengiraan mereka.

**********

SEPERTI yang dijanjikan, mereka berjumpa di lalauan gajah menuju ke Kompleks Kediaman Siswi. Setibanya Faizah dan Mira di situ, bayang Syafiq dan Ami sudah kelihatan.

            “Assalammualikum,” ujar Faizah dan Mira serentak.

            “Waalikummussalam,” jawab Syafiq dan Ami juga serentak.

            Keadaan petang itu sedikit riuh memandangkan pemain-pemain ragbi sedang mengadakan latihan di padang ragbi yang terletak bersebelahan dengan lalauan gajah itu.

            “Apa yang kau nak tanya dekat kitorang Faiz?” soal Syafiq memulakan bicara.

            Faizah dan Mira saling berpandangan. Sebenarnya mereka sepakat untuk menanyakan hal ini kepada Syafiq dan Ami. Mira mengangguk tanda menyuruh Faizah memberitahu Syafiq dan Ami tentang masalah yang dihadapi oleh mereka.

            “Sebenarnya kan, aku tak faham kenapa dengan Deli tu,” ujar Faizah perlahan. Suaranya tenggelam timbul menahan rasa sebak di hati.

            “Apa masalahnya?” soal Syafiq inginkan kepastian.

            “Dia macam sengaja cari pasal dengan aku sekarang. Duduk pun dah bukan dekat sebelah aku. Cakap dengan aku pun tak nak dah,” terang Faizah lagi. Air mata sudah bergenang di tubir matanya.

            “Sejak bila?” soal Ami pula inginkan kepastian.

            “Sejak habis dinner,” Mira menjawab bagi pihak Faizah. Jemari Faizah di pegang erat. Dia tahu Faizah sedikit terganggu dengan masalah yang dihadapinya kini.

            Syafiq dan Ami hanya tertawa. Ami memeluk tubuh. Syafiq pula bersandar di tiang laluan gajah itu.

            “Kan aku dah cakap Syafiq, dia tu suka dekat Faiz,” ujar Ami selamba.

            “Betullah la tu,” sambung Syafiq pula.

            Faizah dan Mira mengerutkan kening mereka. Sungguh. Cerita apa pula yang sedang di reka oleh Syafiq dan Ami ini.

            “Siapa suka siapa?” soal Faizah.

            “Deli suka kau lah,” pantas sahaja ayat itu meluncur keluar daripada mulut Syafiq.

            “Ha?” serentak Mira dan Faizah menjerit.

            “Sejak bila?” soal Mira.

            “Sejak mula-mula masuk lagi,” komen Ami.

            “Mana korang tahu?” giliran Faizah pula bertanya.

            “Lama dah,” ujar Syafiq dengan senyuman mengusik.

            Faizah sudah menarik muka masam. Boleh pula si Syafiq ni nak berlawak jenaka dengannya. Ingat sekarang ni tengah shooting Senario ke.

            “Kenapa tak beritahu aku?” soal Faizah lagi.

            “Sebab kau tak tanya,” jawab Ami dan Syafiq serentak. Dan kedua-dua mereka tertawa dihujung bicara.

            “Owh, kalau aku tak tanya, sampai bila-bila la korang tak beritahu aku?” soal faizah lagi. Mira di sebelah mengangguk-anggukkan kepalanya.

            “Saja nak tengok berapa jauh dia boleh pergi,” Ami menjawab selamba. Keningnya diangkat sewaktu Syafiq memandang ke arahnya.

            “Betul betul betul,” Syafiq mengiakan.

            Muka Faizah sudah merah menahan rasa geram. Mira juga begitu.

            “Kalau kau nak tahu, berdarah telinga kitorang ni dengar nama kau disebut tiap-tiap hari,” ujar Ami seolah-olah merungut.

            “Tahu tak apa. Pagi-pagi Faiz, tengah hari Faiz, petang Faiz, malam Faiz. Semua Faiz lah. Bosan aku mendengarnya,” tambah Syafiq.

            “Tu lah pasal. Balik kelas je mesti dia cakap, tadi Faiz pakai baju sama warna dengan aku,” ujar Ami sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

            “Tu belum lagi yang dia balik je cakap hari ni Faiz cakap dengan aku,” Syafiq beria-ia menceritakan keadaan yang sebenarnya.

            Faizah dan Mira masing-masing ternganga mendengar cerita Syafiq dan Ami. Gaya mereka bercerita memang cerita itu cerita benar. Bukan kisah dongeng yang mereka sengaja reka.

            “Sampai macam tu sekali?” Mira akhirnya memecah kesunyian.

            “Tu tak dasyat lagi,” ujar Ami sambil ketawa terbahak-bahak.

            “Ada yang lagi dasyat ke?” soal Mira lagi.

            “Yang dia tidur sambil sebut nama Faiz tu paling tak tahan lah kitorang dengar,” Syafiq memberitahu lanas mengundang tawa Ami.

            “Gila,” ujar Faizah sepatah.

            “Angau,” komen Ami juga sepatah.

            “Sengal,” ujar Mira sepatah.

            “Sewel,” Ami berkata separa menjerit dan akhirnya mereka berempat ketawa di situ.

            Begitulah kisahnya. Deli rupanya mencintai Faizah dalam diam sejak hari pertama mereka berada di kampus itu.

            “Kalau dia suka aku kenapa tak beritahu je?” soal Faizah.

            “Sebenarnya dia nak beritahu kau malam tu,” ujar Syafiq.

            “Malam bila?,” pantas Mira mencelah.

            “Malam dinner,” pantas juga Ami menjawab.

            “Dah tu kenapa tak beritahu?” soal Mira lagi bagi pihak Faizah. Kebetulan Faizah juga mahu menanyakan soalan yang sama.

“Sebab Hang Tuah kau tu dah propose kau dekat atas stage tu,” ujar Syafiq sambil tersengeh menayangkan barisan giginya yang putih dan teratur. Sebut sahaja malam dinner, pasti semuanya akan mengimbas kembali kejadian Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang malam itu.

Plus, kau pun terus terima je Hang Tuah tu dekat atas stage tu jugak,” Ami bertutur selamba.

Sebuah pukulan hinggap di bahunya.

“Awak ni Ami. Memang la suka nak buat Faiz ni angin satu badan,” ujar Mira dalam nada yang tidak senang.

“Kalau badan banyak angin, kena minum ENO. Bagi buang angin tu,” tutur Ami selamba. Bahunya diusap-usap. Sakit juga pukulan Mira yang hinggap di bahunya sebentar tadi.

“Ok, aku tak nak dengar cerita dia dah. Mira, awak pula tanya,” arah Faizah kepada Mira.

Mira menundukkan mukanya. Serba salah untuk mengajukan pertanyaan kepada Syafiq. Akhirnya dia bertanya juga.

“Yang awak kenapa dah lama tak tegur saya?” soal Mira kepada Syafiq.

Ami sudah duduk di tangga di laluan gajah itu. Lenguh kakinya berdiri lama.

“Bagi chance dekat Deli,” tenang sahaja Syafiq menjawab. Dia tahu pasti Mira akan bertanya akan hal ini.

“Kau sebenarnya suka dekat Mira ke tak?” soal Faizah pula.

“Aku lagi sayang kawan baik aku,” sekali lagi tenang sahaja Syafiq menjawab pertanyaan daripada Faizah pula.

“Habis kau tak sayang Mira?” soal Faizah lagi. Kalau tidak kenangkan Syafiq ini sahabat baiknya, mahu sahaja dia menumbuk wajah jejaka di hadapannya ini.

Mira sudah menundukkan mukanya. Air mata jatuh setitis di pipi.  Dia tidak tahu mengapa hatinya berasa sebak. Mungkin kerana dia juga mencintai Syafiq. Dan dia merasakan alasan Syafiq itu tidak releven sama sekali.

“Aku memang sayang Mira. Tapi aku juga sayang korang. Aku tak nak kita berpecah nanti sebab hal yang macam ni,” terang Syafiq.

Sebuah keluhan dilepaskan. Ami yang sedari tadi membisu menoleh memandang Syafiq yang riak wajahnya sudah keruh.

“Cinta tak bawa ke mana. Bagi aku, persahabatan lagi penting daripada cinta. Kita tak tahu sampai bila kita boleh mencintai sesama kita. Aku ada terbaca, orang kata cinta ini biasanya sampai sebulan pertama perkahwinan je. Selebihnya adalah pengorbanan dan kejujuran yang membolehkan sesebuah perhubungan itu bertahan,” ujar Ami pula. Cuba membuka mata Faizah dan Mira. Juga cuba memujuk Mira yang kelihatan bersedih.

“Telah di nyatakan dengan jelas oleh Allah dalam surah al-Zukhruf ayat enam puluh tujuh. Pada hari kiamat kelak orang yang bersahabat saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa," ujar Ami lagi.

“Semoga kita tergolong dalam orang-orang yang bertaqwa dengan memelihara persahabatan kita ini. Jangan dikaburi dengan cinta dunia semata-mata dan memandang enteng hal akhirat,” Syafiq menambah lagi.

Sedikit sebanyak, ayat itu menyentuh hati Mira. Pujukan yang halus berjaya meresap ke dalam hatinya.

 Faizah mengurut bahu Mira seraya menuturkan ayat ini, "Betul cakap Syafiq tu Mira, Dalam surah Al-Furqan ayat 27-29 pula ada disebutkan, pada hari itu orang yang zalim menggigit tangannya (jari) dengan penuh penyesalan sambil berkata alangkah baiknya kalau aku dahulu menurut ajaran Rasul Allah. Wahai alangkah baiknya kalau aku tidak menjadikan si anu sebagai sahabat karib. Ia telah menyesatkan aku dari mengingati pesanan (Allah) setelah peringatan itu datang. Memang syaitan akan melepaskan diri dari kejahatannya terhadap manusia.”

Mira menangguk perlahan tanda faham maksud yang tersirat di sebalik ayat itu.  Mujurlah sahabatnya ini saling mengingatkan antara satu sama lain. Sentiasa memberi peringatan kepadanya ketika dia leka.

Setelah suasana hati mereka agak tenang, Mira dan Faizah meminta diri untuk kembali ke Kompleks Kediaman Siswi.

Hari ini mereka belajar sesuatu yang baru dalam kamus hidup mereka iaitu erti cinta dan persahabatan yang sebenar.

************
©Hak Cipta Terpelihara : ~Isha Idiaz~
Share

3 comments:

Jimmy said...

ada sambungan lagi x?

ISHA IDIAZ said...

Jimmy > sudah ada sambungannya.. :-)

memey said...

best! betul . sahabat penting dari kwn . chill mira . mmg sakit terima jwpn cmtuh . pape ponss kak ishaaa , nak lagiiii :)