Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

                                                   
20
*****

SEMUA mata memandang ke arah Mira yang semakin menghampiri meja hujung di Taman Tenet itu. Menanti gadis itu dengan sabar.

            Sebaik sahaja Mira melabuhkan punggungnya di kerusi itu, empat pasang mata memandang gadis itu dengan serius. Salam yang diberikan oleh Mira dijawab tenang oleh keempat-empat jejaka tadi.

            “Apa pandang saya macam nak telan ni?” soal Mira gugup sambil memandang wajah Farhan, Shafik, Deli dan Ami silih berganti. Kecut perutnya apabila mereka memandangnya dengan renungan yang tajam. Boleh tembus sampai ke jantung. Lagi-lagi pandangan daripada Farhan. Macam nak membunuh sahaja pandangannya.


            Diam. Masing-masing tidak menjawab pertanyaan Mira tadi. Tiada siapa yang mahu menceriakan keadaan. Hanya keadaan Faizah yang menjadi fokus mereka sekarang ini.

            Farhan berdehem kecil sebelum memulakan bicara. Badannya disandarkan ke kerusi. Tangannya memeluk tubuh yang dirasakan dingin dihembus bayu malam. Yang lain masih diam. Menanti bicara daripada Farhan.

            “Kenapa dengan Faiz?” Akhirnya Farhan menyatakan kegusaran yang melanda hatinya sejak melihat keadaan Faizah petang tadi. Shafik, Deli dan Ami masing-masing memandang tepat muka Mira. Menanti jawapan daripada gadis itu. Hanya gadis itu yang tahu mengapa Faizah jadi begitu.

            Mira membetulkan letak tudungnya. Memandangkan semua orang serius, dia juga harus memikirkan dulu apa yang harus diucapkannya. Jika tidak, mahu ada yang melenting nanti. Badannya ditegakkan memandang keempat-empat jejaka yang duduk di hadapannya kini. Situasi sekarang ini bagaikan dia sedang mengikuti perbicaraan di dalam mahkamah.

            “Frustrated.” Ringkas sahaja jawapan Mira namun mengandungi makna yang mendalam.

Shafik sudah mengangkat kening. Mungkin mereka perlu mendengar penjelasan yang lebih lanjut daripada Mira. Kening Farhan juga sudah bertaut apabila mendengar ayat sepatah yang keluar daripada mulut Mira itu. Deli dan Ami masing-masing menunjukkan muka blur. Serius. Ini bukan masalah yang boleh diselesaikan dengan menyebut sepatah perkataan.

“Dia dengar kau dah tunang.” Mira berkata lagi. Kali ini pandangannya tepat memandang wajah Farhan yang duduk betul-betul di hadapannya. Mungkin pandangannya sedikit terhalang dengan tiang pondok itu. Namun, wajah Farhan jelas kelihatan bersalah di matanya.

“Betul?” Mira menujukan soalan itu untuk Farhan. Tanpa berdalih dan tanpa berselindung. Dia juga harus tahu kebenaran mengenai berita yang dia dengar hari itu. Jika bukan kerana dia yang memberitahu  berita itu kepada Faizah, pasti keadaan Faizah tidak seperti ini sekarang.

Ya, sekarang Farhan telah menjadi pesalah utama. Semua mata bertumpu ke arahnya. Dengan satu soalan sahaja daripada Mira, Farhan telah menjadi pesalah besar yang bila-bila masa sahaja akan dikenakan hukuman. Hukuman apa? Mereka juga belum pasti.

Farhan menundukkan mukanya. Tangan yang tadi berpeluk tubuh sudah diletakkan di atas meja. Tangan kanannya menggenggam erat tangan yang sebelah lagi. Cuba mencari kekuatan untuk menjawab soalan yang dilemparkan oleh Mira tadi.

Sebuah keluhan berat dilepaskan. Tangannya diusapkan ke muka beberapa kali. Shafik, Deli dan Ami masing-masing berpandangan sesama sendiri apabila mata mereka tertancap pada sebentuk cincin yang tersarung kemas di jari manis kiri Farhan.

Pantas, Shafik yang kebetulan duduk di sebelah Farhan memegang tangan kiri Farhan dan melihat betul-betul cincin itu. Farhan yang terperanjat dengan tindakan Shafik tadi cepat-cepat menarik kembali tangannya dan menyembunyikan tangan itu di saku seluar jeans yang dipakainya.

“Betul kau dah tunang Farhan?” soal Shafik. Matanya mencerun memandang Farhan. Benarkah berita yang Mira katakan sebentar tadi.

Deli sudah menumbuk meja. Emosinya sudah bercampur-baur. Rasa mahu ditumbuk sahaja muka Farhan sekarang ini. Mujur Ami berjaya mengawalnya. Memegang erat tangannya dan mengurut-ngurut belakangnya. Menyuruhnya bersabar.

“Aku tinggalkan dia untuk kau Farhan.” Deli menuturkan dalam nada kesal. Kepalanya digeleng-gelengkan beberapa kali. Kesal dengan tindakan Farhan yang sengaja mengada-adakan cerita. Rambut yang terjurai ke dahi dikuak ke belakang.

Sebelum ada penyepak pula yang naik, baik dia berterus-terang.

“Aku tak bertunang pun.” Tenang Farhan menuturkan.

Nafas ditarik dalam-dalam. Memberi bekalan oksigen yang cukup untuk otaknya memikirkan ayat-ayat yang harus diucapkan seterusnya.

“Dah tu?” Ami yang sedari tadi diam akhirnya mencelah. Kali ini pandangannya sudah mencerun memandang wajah Farhan yang kelihatan kusut.

“Mak aku tak bagi aku bercinta masa belajar,” jujur jawapan yang diucapkan oleh Farhan. Suaranya tersekat-sekat. Rasa sendu menyelubungi hatinya.

Deli melepaskan keluhan. Perkara kecil kenapa diperbesarkan hingga mengundang sakit kepada orang lain? Bukankah lebih baik jika Farhan berbincang bersama Faizah.

“Kenapa tak bincang elok-elok dengan Faiz?” Deli meluahkan isi hatinya. “Kau tau tak banyak mana Faiz cintakan kau Farhan?” Sungguh, dia tidak dapat menahan lagi kemarahannya terhadap Farhan. Bertubi-tubi soalan dilemparkan untuk Farhan. Sekepal penumbuk dilepaskan lagi ke atas meja itu. Geram.

“Kau segala-galanya untuk  dia Farhan,” ujar Mira sayu. Air mata yang tiba-tiba mengalir keluar daripada tubir mata di seka dengan hujung baju.

“Aku tak nak dia terus berharap.”

Kali ini suara Farhan antara kedengaran dengan tidak. Matanya melirik ke arah Deli yang duduk di sebelah kanannya.

“Aku tak nak dia kecewa Deli. Kecewa macam yang aku rasa sekarang,” tambahnya lagi.

Shafik mengangguk tanda faham situasi Farhan.

“Tapi kau kenalah beritahu dia betul-betul. Bawa berbincang dengan dia. Jangan biarkan dia dalam persoalan yang tak terjawab macam tu Farhan,” usul Ami memberikan pendapatnya.

Kali ini, Farhan tunduk. Dia memang bersalah.

“Mak Faiz pun tak bagi dia bercinta semasa belajar.” Sekali lagi suara Farhan memecahkan suasana sepi di Taman Tenet itu.

Semua yang ada di situ melepaskan keluhan. Memang sukar jika ada masalah begini. Yang pasti, masalah ini harus diselesaikan satu persatu. Mereka tidak sanggup melihat Faizah dalam keadaan begitu.

“Esok kau kena beritahu Faiz juga perkara yang sebenar,” gesa Deli. Kata-katanya berupa sebuah arahan.

            Shafik, Ami dan Mira masing-masing mengangguk tanda setuju dengan cadangan Deli itu.

            “Lunch time esok dekat sini.” Shafik menetapkan masa dan tempat pertemuan.

            Setelah semua bersetuju, mereka akhirnya beredar daripada Taman Tenet itu. Suasana kembali tenang. Tidak setegang tadi. Shafik memaut bahu Farhan dan menepuk bahu sahabat baiknya itu. Dia tahu Farhan pasti kecewa dan sedih saat ini.

            Mira juga dapat melihat wajah Farhan yang sugul dalam samar cahaya lampu neon yang menghiasi sepanjang jalan menuju ke Kolej Siswi itu. Mereka berempat menghantarnya hingga ke pintu pagar Kolej kerana waktu menunjukkan hampir jam sepuluh malam waktu itu.

            Setelah mengucapkan salam, Mira memasuki Kolej Siswi dan membiarkan empat orang jejaka itu membawa langkah mereka yang dia sendiri tidak tahu ke mana. Mungkin mereka tidak terus pulang ke Kolej Siswa. Mungkin. Apa yang pasti, dia sudah tahu kenyataan yang pasti akan membuat mereka dapat melihat kembali secarit senyuman di bibir Faizah pada hari esok.

*****

SETELAH tiba di bilik, pantas Shafik merebahkan badannya ke atas katil. Walaupun tilam di katil ini tidak seempuk tilam di rumahnya, dia bersyukur, dia masih punya tilam untuk merehatkan badannya yang rasa tidak enak sejak petang tadi.

            Farhan menyandarkan badannya ke dinding setelah dia panjat ke katilnya di tingkat atas. Matanya tidak boleh lelap walaupun badannya terasa letih. Lalu dicapai gitar yang tersandar kemas di hujung katilnya. Cuba memainkan irama-irama yang mungkin bisa membuat hatinya yang gundah itu kembali tenang.

            Tali gitar dipetik satu-persatu mencipta melodi cinta yang tidak tahu ke mana arahnya. Tidak banyak berfikir, jari-jari Farhan masih terus menari di atas gitar kesayangannya itu. Memainkan melodi itu sesuai dengan irama hatinya.

             Shafik dan Deli yang menjadi pendengar setia sejak tadi hanya merenung wajah Farhan yang nampak sedih itu. Melodi tanpa suara yang dimainkan oleh Farhan itu menggambarkan segala-galanya yang bermain di minda dan hatinya. Bunyinya yang sayu bagai merayu-rayu orang yang mendengar melodi itu turut sama berduka bersamanya.

            Dan entah bila mereka semua masuk ke alam mimpi setelah semuanya melayan perasaan sendiri malam itu. Walaupun tiada kata antara mereka, mereka tahu segala-galanya. Biarlah hanya hati mereka yang berbicara.

*****

FAIZAH memandang siswa siswi yang berjalan membawa haluan masing-masing. Ada yang seorang, ada yang berdua, ada juga yang berjalan secara berkumpulan. Dia juga tidak tahu kenapa Mira mengajaknya duduk di tengah-tengah Taman Tenet ini di tengah hari yang agak panas ini. Buang tabiat agaknya Mira ni.

            “Kita nak buat apa dekat sini Mira?” soal Faizah sambil matanya dikecilkan bagi menahan panahan cahaya matahari yang galak menyinari bumi.

            “Saya nak jumpa kawan saya sekejap,” ujar Mira cuba berselindung. Jika dia mengatakan Farhan mahu berjumpa dengan Faiz, pasti gadis itu akan menolak awal-awal ajakannya ini.

            “Azie ke?” soal Faizah inginkan kepastian.

            Mira hanya mengangguk-anggukan kepalanya. Sambil itu tangannya ligat menaip pesanan ringkas di telefon bimbitnya lalu dihantar kepada Farhan.

            Mana kau orang ni? Cepatlah datang.

            Sebaik sahaja menerima pesanan ringkas daripada Mira, Farhan, Shafik, Deli dan Ami segera bergegas ke Taman Tenet itu. Tempat yang dijanjikan semalam untuk bertemu dengan Faizah bagi menyelesaikan masalah Farhan bersamanya.

            Dari jauh, Faizah dapat melihat kelibat Farhan. Matanya digosok beberapa kali. Mungkin matanya yang silap melihat. Setelah digosok juga matanya masih melihat Farhan. Tidak mahu menatap wajah Farhan, Faizah bingkas bangun daripada kerusinya.

            Melihat Faizah yang sudah berdiri, pantas juga keempat-empat jejaka itu berkejar ke pondok yang di duduki oleh Faizah. Mira pula sempat menarik lengan Faizah dan menghalangnya daripada terus pergi.

            “Awak kata awak nak jumpa Azie…” Lirih kedengaran suara Faizah. Sedaya upaya dia cuba melepaskan tangannya daripada pegangan Mira namun tidak berhasil.

Air mata sudah merembes keluar. Hatinya kecewa apabila memandang wajah Farhan sebentar tadi. “Kenapa awak tipu saya Mira…” Sekali lagi Faizah berbicara. Meluahkan rasa kesalnya pada Mira yang telah menipunya sebentar tadi.

“Sampai bila awak nak melarikan diri Faiz. Baik awak dengar sendiri daripada mulut Farhan daripada awak dengar daripada mulut orang lain.”

Panjang lebar Mira cuba menerangkan keadaan yang sebenarnya kepada Faizah. Namun gadis itu masih tidak mahu untuk bertemu dengan Farhan.

Keadaan menjadi lebih tidak terkawal apabila Faizah mula menangis teresak-esak di situ sambil berusaha melepaskan tangannya daripada terus dipegang oleh Mira.

Melihat Faizah begitu, hati Farhan bagai dihiris-hiris. Baru dia sedar begitu dalam sekali luka yang diciptakan olehnya di hati Faizah, gadis yang bertakhta dalam hatinya itu.

Akhirnya Farhan datang menghampiri. Berdiri betul-betul di belakang Faizah. Memaut perlahan bahu gadis itu. Bahu gadis yang benar-benar dicintainya. Mira melepaskan tangan Faizah setelah yakin gadis itu tidak akan melarikan diri.

Terhenjut-henjut bahu Faizah menahan tangisan. Rasa sebak merajai hatinya kini. Dia tahu Farhan sedang berdiri di belakangnya. Farhan merapatkan bibirnya ke telinga Faizah setelah dia benar-benar bersedia.

“Aku tak tunang lagi. Aku sayang kau Faiz.” Ayat itu dibisikkan perlahan ke telinga Faizah.

Mendengar ayat itu, Faizah menutupkan matanya. Mendengar pengakuan Farhan tadi berarti dia sudah tahu kebenaran berita yang disampaikan oleh Mira tempoh hari. Air mata mengalir semakin deras.

“Kita berjaya walaupun kita bersama. Masih ingat ayat ni?” bisik Farhan lagi sambil mengarahkan badan Faizah untuk menghadapnya.

Seperti kanak-kanak kecil yang mengerti kata-kata bapanya, Faizah mengangguk-anggukkan kepalanya. Ya, dia masih ingat ayat itu.

“Aku buat semua ni bukan sebab aku tak sayang kau.”

Farhan memandang tepat wajah gadis kesayangannya yang kelihatan pucat itu. Bibir yang dulu mekar apabila tersenyum kini bewarna kebiru-biruan. Sedih hatinya melihat Faizah dalam keadaan begitu.

“Aku sayang kau lebih daripada segalanya Nur Faizah.”

Akhirnya kata-kata itu terluah juga daripada sudut hatinya yang paling dalam kepada Faizah.

Tangisan Faizah sudah reda namun air matanya masih tidak berhenti mengalir.

“Kalau tunang kenapa tak beritahu aku?” Soal Faizah dengan suara tersekat-sekat.

Farhan sudah tersenyum. Akhirnya keluar juga suara gadis itu.

“Siapa suruh percaya cakap orang? Kenapa tak tanya aku dulu betul ke tidak?” soal Farhan pula. Farhan menunjukkan wajah garang.

Melihat wajah Farhan itu membuat hatinya panas. Teringat ketika Farhan menengkingnya tempoh hari. Namun, jauh di sudut hatinya, dia tahu Farhan bergurau dengannya. Kerana tidak mahu kalah, Faizah juga cuba memancing kemarahan Farhan.

“Siapa yang buat cerita? Mana cincin tu? Mana?” soal Faizah bertubi-tubi. Pantas dia memegang lengan Farhan yang dilapisi oleh kemeja lengan panjang warna biru lembut. Warna kegemarannya. Dilihat di jari manis kiri Farhan, masih kemas tersarung cincin yang dilihat tempoh hari.

            Shafik, Deli dan Ami yang memerhati sejak tadi masing-masing menepuk dahi. Yang pergi pakai cincin tu lagi kenapalah Farhan oii. Tu namanya menempah bala.

            Mulut Faizah terkunci. Bibir yang tadinya sudah mahu mengukir senyum kini kaku. Tak tunang tapi pakai cincin. Cincin apa? Cincin nikah?

            Tidak mahu menerima kata hatinya, Faizah menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Ha, mulalah tu fikir benda bukan-bukan.” Tegur Farhan.

Seperti tahu apa yang bermain di fikiran Faizah, akhirnya Farhan bersuara. “Tu bukan cincin nikah la adik manis. Tu cincin nak beritahu dekat budak-budak ni, mamat handsome ni dah berpunya,” ujar Farhan selamba.

Mamat handsome ni cuma sayang adik manis yang berdiri depan dia ni je. Dia tak nak dah sayang orang lain,” tambahnya lagi.

Shafik, Deli dan Ami masing-masing tergelak besar mendengar kenyataan yang keluar daripada mulut Farhan sebentar tadi.

“Perasan orang suka dekat dia.” Faizah menggumam rendah.

Kali ini Mira pula tertawa. Tu namanya counter attack. Eloklah tu. Seorang suka menyakat. Seorang lagi suka melawan. Memang padan si Faiz ni dengan Farhan.

“Dah tu kalau tak suka kenapa jadi macam ni?” soal Farhan sambil menatap penuh kasih wajah Faizah. Tangannya memegang lembut pipi Faizah yang dilapisi oleh tudung.

“Ni sebab dah lama tak makan cokelat,” jawab Faizah spontan. Geram. Suka buli orang Farhan ni.

Farhan mengenyitkan mata kepada Shafik. Shafik menyerahkan sebuah bungkusan kepada Farhan.

“Owh, sebab dah lama tak makan cokelat ya. Nah cokelat. Sekarang juga kena habiskan semua,” ujar Farhan seraya menyerahkan bungkusan itu kepada Faizah.

Reseptor hidung menghantar impulse ke otak untuk diintepretasikan bau yang dapat dihidu daripada bungkusan itu. Bau coklat. Pantas Faizah membuka bungkusan itu. Hatinya melonjak gembira apabila melihat berbagai-bagai jenis coklat ada di dalam bungkusan itu. Tapi…

“Takkan nak kena habiskan semua ni sekarang?”

Kening Faizah sudah bertaut. Gila. Banyak ni. Satu plastik besar penuh coklat.

“Habis tu takkan awak nak makan seorang. Tu Mira, Deli, Shafik dengan Ami tu takkan bagi tengok je. Bagilah sikit dekat dia orang.” Ujar Farhan dalam tawa.

“Buruk siku. Dah bagi orang minta balik,” jawab Faizah selamba. Menarik muka masam. Pura-pura merajuk dengan lelaki yang setulus hati disayanginya.

Jawapan Faizah tadi membuat semua orang tertawa. Mira, Deli, Shafik dan Ami sudah boleh menarik nafas lega. Akhirnya, Faizah sudah kembali seperti sedia kala.

Kini, mereka berenam sudah duduk di kerusi. Berlindung di bawah pondok itu daripada sinar matahari yang terik sambil menikmati coklat sebagai snek di waktu tengah hari.

*****

“NAH,”  ujar Farhan sepatah sebelum mereka pulang setelah tamat kuliah hari itu. Sebuah bungkusan berbentuk segi empat tepat siap dibalut sampul hadiah bewarna pelangi diletakkan di telapak tangan Faizah.

            Faizah merenung bungkusan yang ada di tangannya itu.

            “Apa ni?” soalnya ringkas. Wajah Farhan ditatapnya. Menanti jawapan.

            Farhan tersenyum memandang gadis yang berdiri di hadapannya ini. Memang cantik. Walaupun wajahnya masih pucat, namun wajah itu tidak seperti yang dilihat semalam.

            “Nanti balik baru tengok,” ujar Farhan.

            Faizah mengangguk tanda faham. Bungkusan tadi dimasukkan ke dalam begnya.

            “Jom, Farhan teman sampai Kolej.”

            Walaupun agak terperanjat dengan kata-kata yang diucapkan oleh Farhan sebentar tadi, namun Faizah membiarkan sahaja. Farhan? Sejak bila dia membahasakan dirinya Farhan?

            Mereka jalan beriringan menikmati angin petang sepanjang jalan menuju ke Kolej Kediaman Siswi. Sesekali memandang dada langit yang biru. Maha Suci Allah yang telah menciptakan langit dan bumi sedemikian rupa.

            Setelah lima belas minit, akhirnya, mereka sampai di hadapan pintu Kolej.

            “Balik ni jangan lupa solat.” Farhan mengingatkan.

            Faizah mengangguk.

            “Jangan lupa makan. Ajak Mira kalau nak turun makan.” Ujar Farhan lagi.

            Faizah mengangguk lagi.

            “Nanti malam Farhan telefon.”

            Faizah mengangguk lalu tersenyum. Terserlah lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.

            “Boleh tak kalau Faizah tak angkat?”  Soalnya selamba.

            Farhan sudah mahu mencubit lengan gadis itu namun sempat Faizah mengelak. Dan mereka sama-sama ketawa.

            “Jangan lupa pergi Uwais,” ujar Faizah. “Lama tak dengar Farhan azan,” tambahnya lagi.

            Farhan tersenyum. Memang lama dia tidak melaungkan azan di Uwais Al-Qarni.

            “InsyaAllah,” ujarnya sepatah.

            Faizah tersenyum lagi apabila mendengar jawapan Farhan itu.

            “Faizah masuk, Farhan nak balik bilik ni,” arah Farhan.

            Faizah mengangguk lantas meninggalkan Farhan setelah mengucapkan salam. Farhan beredar setelah dia pasti Faizah telah naik ke blok kediamannya.

*****

BUNGKUSAN yang diterima daripada Farhan petang tadi dikeluarkan daripada beg dan diletakkan di atas meja belajarnya. Perlahan Faizah menarik kerusi belajarnya lalu melabuhkan punggungnya di situ. Baru dia dapat melihat bungkusan itu setelah selesai menunaikan solat Asar sebentar tadi.

            Bungkusan berbentuk empat segi tepat itu dicapai. Teliti Faizah membuka bungkusan berbalut sampul bewarna pelangi itu. Sebuah kotak bewarna biru cair dengan tulisan I Love You menjadi santapan mata sekarang ini setelah sampul itu berjaya dibuka.

            Kotak itu dibuka dengan cermat. Di dalamnya penuh dengan kertas bewarna-warni yang digulung kecil-kecil dan diikat dengan reben pelbagai warna seperti skrol ijazah.

            Faizah tersenyum. Entah bila masanya Farhan membuat kerja-kerja begini. Kreatif juga mamat seorang itu.

            Di bawah timbunan skrol-skrol kecil tadi, Faizah terjumpa sesuatu. Di keluarkan objek itu. Sebentuk cincin. Cincin sama seperti yang dilihat di jari Farhan tengah hari tadi.

            Serentak itu telefon bimbitnya bergetar menandakan ada pesanan yang masuk. Faizah mencapai telefon bimbitnya lalu membaca ayat yang tertera di skrin itu.

Tu bukan cincin nikah kita. Tu cincin nak beritahu dekat budak-budak ni, cik adik manis tu dah berpunya. Pakai tau. Sayang Faizah. J

Faizah tertawa setelah membaca pesanan itu. Belum sempat dia membalas pesanan itu, sebuah lagi pesanan baru diterima. Daripada Farhan juga.

            Farhan ni tak romantik, tapi cuba bukak buku Matematik tadi mukasurat 156. Manalah tahu kalau ada apa-apa. Sayang Faizah lagi. J

            Kali ini, pantas Faizah mengeluarkan buku Matematiknya daripada beg. Pantas juga jari-jemairnya menyelak helaian buku tersebut mencari halaman 156. Ya, memang ada sesuatu di situ. Sepucuk surat dengan sampul bewarna biru lembut.

            Faizah membuka sampul itu dan membaca isi yang terkandung dalam surat itu.

            Buat insan yang Farhan sayang selalu,

            Mungkin takdir punya kisah berbeza buat kita, tetapi selagi kita bersama, Farhan akan sentiasa menyayangi Faizah. Jika memang kita ditakdirkan berpisah pada akhirnya, sekurang-kurangnya kita punya memori manis untuk dikenang.

Jadilah wanita solehah wahai bungaku. Walaupun Farhan juga masih belum sempurna, tetapi sama-samalah kita cuba mengecap bahagia atas redhaNya. Cintailah diriNya lebih daripada kamu mencintai Farhan.

Setitis air mata kamu bisa membuat hatiku hancur. Maka, janganlah kau pernah menangis kerana aku. Menangislah kerana Allah. Ingatlah, dalam apa jua keadaan, ketika kita tidak punya harapan, Allah masih setia melindungi kita hambanya yang lemah.

            Aku memilih kamu bukan kerana kesempurnaanmu. Tetapi aku memilihmu kerana kekurangan yang ada padamu. Kerana kekurangan yang ada padamu itu yang melengkapi hidupku.

            Sayang Faizah selalu. J

            Setitis manik jernih jatuh jua ke pipi setelah membaca surat itu. Walaupun ringkas, namun cukup terkesan di hatinya.

Kedengaran laungan azan daripada Uwais Al-Qarni menandakan sudah masuk waktu Maghrib. Suara itu sangat dikenalinya. Suara itu milik kekasih hatinya. Mendayu-dayu melaungkan azan Maghrib.

Pantas, surat tadi dilipat dan dimasukkan kembali ke dalam sampul dan di simpan di laci meja. Faizah bergegas mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat Maghrib.

Dalam doanya setelah solat, Faizah memohon agar Allah mempermudahkan segala urusan mereka dan tabahkan hati mereka untuk meniti hari-hari yang akan datang.

*****
© Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

*****

P/S : Ini mungkin update terakhir di blog ini. Semoga anda sentiasa akan mengingati saya dengan nama Isha Idiaz. :-)

*****



Share

4 comments:

psy_lunatic89! said...

kak isha, rsenye ade 1 kesalahan minor yg dpt d kesan, mcm kt perenggan 7, ptutnye, mira kan?? bukan faizah.. anyway, best sgt episod e-novel ni...
truskan berkarya... (^_^)v

*ni dh ending ke??? knape ckp ni post terakhir kt blog???

ISHA IDIAZ said...

psy_lunatic89 : tq sbb gtau perenggan tujuh 7. x semak lg. tq sudi bce. :-)

Anonymous said...

dear writer...
sorry but i need to say, remaja suka bc novel, saya pun.n novel akan bg impak pada remaja.
its good, u have talent to write...
but, xdapat bersama s couple kwn2 boleh mengeluh?? ni jd terbalik, bukan amar ma'ruf nahi mungkar, tp jadi amar mungkar nahi ma'ruf
really sorry to say, u got talent that Allah give, why not using that talent with the right way..
pepun, all da best in ur writing

Idha Chunhyang said...

setiap bab sy suka, tp bab ini begitu banyak memberi makna, terutama isi surat Farhan buat Faiz 'Aku memilih kamu bukan karena kesempurnaanmu. tetapi aku memilihmu karena kekurangan yg ada padamu. karena kekurangan yg ada padamu itu yg melengkapi hidupku.'

sy sedih sekali isha :(, sbb ini update yg terakhir d blog ini...
tp sy berharap karya2 Isha masih berlanjut.

Isha terus berkarya ya !!! Isha pandai n' hobby menulis serta menciptakan puisi dan lagu2 yg indah... sedangkan Idha Hobby membaca n' senang membaca karya2 Isha... :)