Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

 
Cerpen : Semanis Epal Merah
Oleh : Isha Idiaz
*****
Peraduan menulis cerpen oleh
sempena penerbitan novel Merah Cinta Epal karya Ridha Reewani terbitan Kaki Novel.

“Rasa cinta kita seperti manisnya epal merah.”
*****
EPAL merah itu digigit lagi dengan rakus. Kali ini rasa marahnya benar-benar dilepaskan pada sebiji epal merah itu. Cebisan epal yang masuk ke rongga mulutnya dikunyah kasar dan laju agar epal itu lebih lumat untuk memudahkan ia melalui esofagusnya.
Wajah Rania yang tergantung di dinding bilik direnung tajam. Pantas, pisau yang tadinya digunakan untuk mengupas kulit epal dicapai. Ringan sahaja tangannya melontarkan pisau itu dan pisau itu tepat mengenai hidung Rania. 
Helaan nafasnya yang semakin menggila cuba diredakan. Rayyan berjalan mundar-mandir. Cintanya hanya untuk Rania. Dan cinta Rania hanya untuk dirinya, Rayyan. Hanya Rayyan. Tidak boleh ada nama insan lain.
*****
“RANIA nak pergi mana tu?” soal Rayyan dari dalam biliknya sebaik sahaja melihat Rania bangun daripada kerusinya. Rania yang baru sahaja mahu melangkah berhenti seketika dan menjengukkan kepalanya ke dalam bilik Rayyan.  Bibirnya mengukir senyum.
            “Rania nak pergi jumpa Encik Hadi sekejap ambil fail,” ujar Rania dengan senyuman yang masih tidak lekang di bibirnya.
            Rayyan hanya mengangguk seolah-olah memberikan keizinan kepada Rania untuk berjumpa salah seorang pegawai eksekutif di dalam syarikatnya itu. Lantas, Rania meneruskan langkahnya menuju ke bilik Encik Hadi. Rayyan pula hanya melihat gadis tinggi lampai itu yang kelihatan anggun dengan baju kurung kuning cair berlalu pergi daripada biliknya.
            Sejak akhir-akhir ini rasa cemburunya meluap-luap apabila melihat keakraban Rania, kekasih hatinya itu dengan Encik Hadi. Walaupun Rania bukan jenis yang melayan, namun perwatakan Encik Hadi yang kaki perempuan itu menambah curiga dalam hatinya kepada Rania. Siapa tahu Rania akan berpaling hati daripadanya.
            Rayyan menumbuk meja sekuat hati. Kertas yang ada di atas mejanya ditolak kasar. Ada di antaranya yang terbang dan jatuh ke lantai. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia memberhentikan Encik Hadi daripada syarikatnya itu sekarang juga. Namun, kerana polisi syarikat, dia tidak boleh bertindak sesuka hati. Rayyan meraup mukanya beberapa kali. Badannya disandarkan ke kerusi. Sebuah keluhan berat dilepaskan. Dia masih memikirkan cara bagaimana untuk menjarakkan hubungan Encik Hadi dengan Rania.
*****
MALAM itu, sekali lagi Rayyan mengajak Rania keluar untuk menemaninya makan malam. Seperti biasa, Rania hanya menerima pelawaan Rayyan dan bersiap-siap untuk keluar. Lama juga mereka tidak keluar bersama sejak Rayyan sibuk dengan projek perumahan yang akan didirikan di Tampoi itu.
            “Hai, sayang dekat mana ni? Dah siap ke belum?” soal Rayyan bertubi-tubi sebaik sahaja Rania menjawab panggilannya.
            Rania tergelak kecil. Rayyan memang begitu. Suka benar menanyakan beberapa soalan dalam satu masa. Mujur dia sudah terbiasa begitu. Jadi, dia akan spontan menjawab satu-persatu pertanyaan Rayyan.
            “Rania ada dalam bilik. Dah siap dah ni. Rayyan dah ada dekat bawah ke?” ujar Rania seraya mengintai disebalik langsir bilik tidurnya. Kelihatan kereta Perdana V6 bewarna silver sudah parkir di hadapan pintu rumahnya. Susuk tubuh seorang lelaki yang sasa dengan sedikit janggut menghiasi dagunya dapat dilihat sedang bersandar di kereta itu.
            Rayyan dapat melihat langsir yang menutupi tingkap Rania terselak. Dia tahu pasti Rania sedang mengintainya daripada bilik. Rayyan tesenyum sendiri. Tangan yang tadinya memegang sesuatu disembunyikan di belakang badannya.
            “Ada dah. Turunlah. Ingat Rayyan tak nampaklah Rania tengok daripada celah langsir tu,” ujar Rayyan dengan tawa. Rania juga ketawa lalu memutuskan talian. Sandal bertumit tiga inci itu disarungkan ke kaki. Pantas, tangannya mencapai tombol pintu dan membukanya. Setelah memastikan pintu rumahnya berkunci, Rania bergerak ke arah pagar. Rayyan sudah menanti dengan senyuman.
            “Cantik,” komen Rayyan sepatah setelah Rania berdiri betul-betul di hadapannya.
            “Untuk buah hati Rayyan yang cantik malam ini,” ujar Rayyan seraya memberi sebuah jambangan bunga ros merah kepada Rania. Rania menerima jambangan bunga itu dengan senyuman yang mekar di bibirnya. Dicium bau bunga itu yang benar-benar wangi. Rayyan hanya melihat buah hatinya itu dengan perasaan senang.
            “Kalau Rania tak cantik, tak dapat bunga ke?” soal Rania sebaik sahaja pintu kereta ditutup. Rayyan hanya mencuri-curi memandang wajah Rania di sebelah. Jika Rania tidak cantik pun dia tetap akan memberikan bunga itu. Dia mencintai Rania bukan kerana kecantikkannya tetapi kerana dia cintakan gadis itu semenjak mereka di zaman sekolah lagi. Namun dia akui, kini, setelah mereka dewasa, Rania semakin cantik. Lagi-lagi malam ini. Dengan berpakaian dress labuh bewarna hitam berlabuci silver, Rania kelihatan sangat cantik. Rambutnya yang panjang itu disanggul kemas di kepala makin menambahkan kecantikan Rania.
            “Kalau Rania tak cantik pun, bukan sahaja bunga, tapi Rayyan akan bagi Rania hati Rayyan tau,” ujar Rayyan bersungguh-sungguh.
            Mendengar jawapan Rayyan tadi, Rania hanya mencebirkan bibirnya.
            “Yalah tu,” ujar Rania sekadar mengusik. Dia tahu Rayyan amat mencintainya. Jika tidak, masakan lelaki itu sanggup menggertak mana-mana sahaja lelaki yang cuba mendekati dirinya. Kadang-kadang Rania sendiri rimas dengan Rayyan. Kerana terlampau cintakan Rania, Rayyan agak mengongkong hidupnya. Lelaki itu terlalu cemburu. Hal itu yang amat dirisaukan oleh Rania. Dia takut satu hari nanti, Rayyan akan bertindak di luar kawalan.
            Kereta terus meluncur laju membawa Rania dan Rayyan ke tujuan mereka pada malam itu. Masing-masing diam melayan perasaan.
*****
ENCIK HADI memanggil Rania masuk ke biliknya sebaik sahaja dilihat kelibat gadis berusia 25 tahun itu melintasi biliknya. Dia memang sukakan Rania. Rania bukan sahaja cantik tetapi gadis itu sangat bersopan-santun.
            “Ya encik, kenapa encik panggil saya?” soal Rania dengan muka yang penuh tanda tanya. Pelik benar dia dengan Encik Hadi sekarang ini. Pantang nampak dirinya melintas di hadapan bilik, pasti Encik Hadi akan memanggilnya. Kadang-kadang, tidak ada perkara penting pun yang mahu disampaikan oleh Encik Hadi.
            Encik Hadi merenung tajam ke arah Rania. Perlahan-lahan dia menghampiri gadis itu. Lengan Rania dipegang kejap. Rania yang kaget pantas menepis tangan Encik Hadi.
            “Encik buat apa ni?” ujar Rania agak meninggi.
‘Lelaki ini sudah melampau,’ desis hati Rania.
Ini bukan kali pertama Encik Hadi cuba menyentuhnya. Masuk kali ini sudah tiga kali Encik Hadi memperlakukannya seperti itu.
Jeritan Rania tadi, walaupun tidak jelas buah butirnya, namun sempat ditangkap oleh pendengaran Rayyan. Pantas Rayyan berkejar ke arah bunyi suara itu. Dilihatnya Encik Hadi sedang memeluk Rania daripada belakang dan mencium pipi gadis itu.
Rania cuba melepaskan dirinya namun tidak berjaya. Pegangan Encik Hadi terlalu kuat. Mahu ditolak muka lelaki itu daripada terus mencumbui dirinya. Namun apalah dayanya apabila tangannya turut dipegang kuat.
Rayyan yang melihat adegan itu daripada belakang menyangka Rania merelakan Encik Hadi memeluknya. Terasa darah dipam keluar daripada jantungnya dengan laju. Amarahnya datang tiba-tiba. Tergamak Rania bermain kayu tiga dengannya. Namun dia tahu, tidak mungkin Rania ingin membuat perkara itu di hadapan matanya jika benar kekasih hatinya itu mahu menduakannya. Ini pasti gara-gara Hadi.
“Hadi!” Rayyan menjerit sekuat hatinya. Sebuah tumbukan yang padu dilepaskan ke muka lelaki itu.
            Berdarah mulut lelaki itu akibat tumbukan padu Rayyan tadi. Rania segera mendapatkan Rayyan dan bersembunyi di belakangnya. Pantas Rayyan menarik tangan Rania dan membawanya keluar daripada bilik Encik Hadi itu.
Antara mereka tiada bicara. Rania hanya mendiamkan diri kerana dia masih trauma dengan kejadian tadi. Perasaan cemburu pula sudah beraja di hati Rayyan. Dia tahu Rania tidak bersalah tetapi dia juga tidak dapat menerima apa yang dilihatnya tadi. Alangkah baiknya jika Rania tidak terlalu rapat dengan Encik Hadi.
*****
SEMINGGU telah berlalu setelah kejadian itu. Sejak hari itu, Rayyan tidak bertegur sapa dengan Rania. Dia hanya memanggil gadis itu jika dia memerlukan fail-fail syarikat. Mereka hanya bercakap atas urusan kerja. Seminggu itu juga, Rania tidak berani untuk bertanyakan apa-apa kepada Rayyan mahupun memujuk kekasihnya itu. Dia tahu Rayyan marah kepadanya. Dia masak benar dengan perangai Rayyan yang cemburu buta.
            “Rania ada apa-apa rancangan malam nanti?” soal Rayyan tiba-tiba. Wajah Rania sedikitpun tidak dilihatnya. Dia tekun menurunkan tandatangan di beberapa helai kertas di hadapannya itu.
            Rania mengangkat mukanya memandang Rayyan. Wajah itu kelihatan tenang. Tidak seperti hari-hari sebelumnya. Rania cuba mengukir senyum walaupun senyumannya itu agak tawar.
            “Tak ada. Kenapa?” Giliran Rania pula bertanya.
            Setelah selesai menandatangani dokumen tadi, Rayyan mengangkat wajahnya dan memandang tepat ke anak mata Rania. Sebuah senyuman diukirkan buat gadis itu.
            “Rania tak ingat ke hari ini hari apa?”
            Mendengar soalan itu, Rania terus tersenyum. Kali ini senyumannya benar-benar ikhlas. Bukan kerana terpaksa seperti tadi. Masakan dia lupa hari ini. Sembilan tahun yang lepas, hari ini merupakan hari di mana Rayyan meluahkan isi hatinya kepada Rania. Waktu itu, mereka masih di tingkatan empat. Siapa sangka cinta yang mereka bina dapat bertahan hingga ke hari ini.
            “Mana boleh Rania lupa,” ujar Rania lembut.
            “Rania datang rumah Rayyan malam ini boleh?”
            Rania hanya mengangguk menandakan dia menerima pelawaan kekasihnya itu. Mereka berdua tersenyum.
*****
BUAH epal merah yang dibeli daripada kedai itu dimasukkan ke dalam sebuah bakul rotan yang sederhana besar. Dapat jugalah dia memuatkan lapan biji buah epal merah yang rasanya memang dijamin manis itu.
Di antara lapan biji epal itu, hanya sebiji epal yang benar-benar istimewa. Dan epal itu sudah dipotong terlebih dahulu dan Rayyan telah mengukir epal itu membentuk sebuah hati. Di dalam epal berbentuk hati tadi, sebentuk cincin disembunyikan di bawah timbunan hati daripada epal yang lebih kecil. Rayyan tersenyum lagi. Dia berharap Rania akan menemui cincin itu semasa menikmati epal itu nanti. Malah, ada sesuatu yang lebih istimewa di dalam epal itu.
*****
BUNYI  loceng di pintu menyedarkan Rayyan daripada lamunannya. Serentak itu, dia berkejar ke muka pintu dan memulas tombol pintu itu. Sebaik sahaja pintu terbuka, dilihat Rania sungguh cantik dengan kurung putih yang diberikan olehnya suatu masa dahulu. Gadis itu tersenyum manis memandangnya. Rayyan menyuruh gadis itu masuk dan duduk di ruang tamu.
            Sementara menunggu Rayyan, sempat Rania meninjau-ninjau keadaan ruang tamu itu. Tersergam indah potret dirinya yang dilukis sendiri oleh Rayyan betul-betul di tengah ruang tamu itu. Rania tersenyum sendiri. Rayyan memang benar-benar mencintai dirinya.
            Rayyan kembali ke ruang tamu dengan sebakul epal merah dan sebuah dulang berisi sepinggan kek, dua biji gelas dan juga sebuah jar air. Pantas Rania menghampiri dan mengambil dulang tersebut daripada tangan Rayyan.
            “Patutnya Rania yang buat semua ni bukan Rayyan,” ujar Rania seraya menuangkan air di dalam dua biji gelas tadi.
            “Alah, sesekali. Bukan selalu Rayyan nak buat macam ni,” ujar Rayyan sambil tersenyum.
            Diam tidak diam sudah hampir tiga jam mereka duduk bercerita mengimbas kembali detik-detik yang mereka telah luangkan sepanjang masa mereka bersama. Ada kalanya ketika mereka bercerita kembali detik-detik itu mereka tertawa, ada kalanya mereka tersenyum dan ada kalanya air mata mereka bergenang di tubir mata masing-masing. Banyak benar memori yang tidak akan dilupakan oleh mereka berdua.
            Akhirnya, sebelum Rania pulang, Rayyan menyuruhnya menjamah epal yang telah diukirnya tadi. Tanpa rasa curiga, Rania mengambil ukiran epal berbentuk hati yang kecil-kecil tadi lalu memakannya. Epal merah itu memang sangat manis. Kerana terlalu sukakan epal, maka Rania terus menikmati epal tadi sehingga pada akhirnya dia menjumpai sebentuk cincin di dalam epal tadi.
            Rania agak terperanjat. Rayyan hanya tersenyum. Cincin tadi dikeluarkan daripada epal itu dan disarungkan ke jari manis Rania. Rania tidak mampu berkata-kata. Hatinya begitu tersentuh dengan kejutan yang dibuat oleh Rayyan ini.
            “Rayyan akan mencintai Rania sampai bila-bila,” bisik Rayyan ke telinga gadis itu.
            Rania diam tidak memberikan respon. Sungguh, dia terharu kini.
            “Rayyan akan mencintai Rania walaupun sesudah Rania mati,” ujar Rayyan lagi.
            Kali ini Rania mengangguk. Yakinlah dia Rayyan benar-benar mencintai dirinya. Rania merapatkan bibirnya ke telinga Rayyan lalu dia juga membisikkan sesuatu ke telinga lelaki itu.
            “Rania juga akan tetap cintakan Rayyan sampai bila-bila,” ujar Rania lembut.
            Selesai sahaja dia mengucapkan kata-kata itu, tiba-tiba Rania terasa tekaknya panas dan seperti terbakar. Rania cuba berkata-kata namun suaranya tidak keluar lagi.
            Melihat keadaan Rania begitu, tahulah Rayyan racun yang dibubuhnya di potongan epal berbentuk hati itu sudah mula menunjukkan reaksi ke tubuh Rania. Perlahan, kepala Rania dipangku di atas ribanya. Kepala gadis itu diusap penuh kasih. Air mata mula merembes keluar daripada tubir mata Rayyan apabila melihat Rania tercungap-cungap di atas ribanya. Rayyan mengucup penuh kasih dahi Rania. Dia membisikkan sesuatu ke telinga Rania.
            “Rayyan buat semua ini kerana Rayyan tak sanggup melihat Rania bersama orang lain. Biarlah cinta kita berakhir di sini Rania. Rayyan takkan sesekali mencintai insan lain selain daripada Rania,” ujar Rayyan lirih. Air matanya kini mengalir laju menuruni pipi.
            Mendengar ayat itu, air mata Rania turut merembes keluar. Beginikah pengakhiran cerita cinta mereka. Sembilan tahun mereka melalui susah senang bersama. Namun hari ini, Rayyan melakukan sesuatu di luar jangkaannya. Rayyan telah meracuninya.
            “Rania sayang, cinta kita semanis epal merah yang Rania makan tadi. Anggaplah apa yang sayang lalui sekarang ini sesuatu yang paling manis dalam episod cinta kita,” ujar Rayyan buat kali terakhir. Rayyan juga tahu racun daripada epal yang turut dimakannya tadi bersama Rania sudah mula menunjukkan reaksi terhadap tubuhnya.
            Mereka berpandangan dan menatap wajah masing-masing dengan linangan air mata. Inilah cerita cinta mereka. Cinta sampai mati. Cinta mereka memang manis untuk dikenang. Manisnya cerita cinta mereka seperti manisnya epal merah yang mereka nikmati bersama tadi. Rayyan melihat dada Rania semakin berombak. Buih-buih putih sudah mula keluar daripada mulut gadis itu. Kini dia hanya menunggu gilirannya untuk sama-sama pergi menemani Rania.
            “Rayyan cinta Rania sampai mati,” ujar Rayyan sebelum memejamkan matanya rapat-rapat.
*****
©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz
           
           

            
Share

14 comments:

RinsyaRyc said...

huhuhuhuuuhuhuhhuhuhuhuhuhu...................................................................................

Nangis jap..

Syaza Nadiah said...

Sedehnya . Last2 dua2 mati . Huhu . Anyway , best2 !

Syafi Najihah said...

OMG!
rayyan.. how could u do that?!!!
Grrrr...
kesian rania....
xpatut..xpatut..

sebabakutaktulisdiari said...

elemen kejutan di akhir cerita memang tak dijangka tapi tak mustahil dengan perwatakan watak yang terlalu cemburu buta...nice one..thumbs up..<3

ISHA IDIAZ said...

Rin : Nanges dia. Hehe. Meh2 akak lapkan meh air mata tu.. Tq baca syg~

Syaza : Tq sudi baca.. Hehe. Jangan sedih2 ya..

Inaz : Haha~ Rayyan kata cinta sampai mati~ :-)

Mine : Terima kasih sudi membaca. :-) InsyaAllah akan lebih kepada karya-karya sebegini di masa akan datang. DDKM pun rasanya mengejut akhirnya. Hehe. :-)

MissxYana said...

waa.. best..
ending yg mengejutkan..
dan plg menarik tarikh cerpen ini ditulis..hehe..befday yana tu..:D

Anonymous said...

cik penulis

cerita yang bagus cuma endingnya saja yang mencacatkan cerita...
Rayyan dan Rania itu beragama Islam ke? jika ugama lain tak kisah...

bunuh diri kerana cemburu,
dalam Islam itu adalah perkara yang haram... sekadar pandangan daripada pembaca...

ISHA IDIAZ said...

Yana : Terima kasih sudi membaca. Yup2 bday Yana~ Happy Birthday. :-)

Anon : Bagaimana nak cakap ya. Saya tak boleh nak memuaskan hati semua pihak. Jika anda rasa cerita yang saya tulis tidak sesuai dengan apa yang anda mahukan, saya rasa, wajarlah anda mencari penulis yang benar-benar menyampaikan penulisannya secara islamik. Saya punya cara saya sendiri untuk menulis. Saya bukan meletakkan jalan ceritanya secara suka-suka. Tetapi saya mahu pembaca saya sedar dan berfikir. Saya lebih suka anda semua membaca dan berfikir secara kritis dan kreatif. Dan saya rasa anda telah merealisasikan matlamat saya itu.

Anonymous said...

unpredictable ending..
i thought rayyan will propose rania but..
huhu... last2 dua-2 mati..

papepon, still the best kak isha...

:)

ISHA IDIAZ said...

Aida : Terima kasih sudi membaca dan memberikan komen. Ambillah pengajaran daripada cerpen singkat ini. Ramai yang buta mata dan hati ketika bercinta. Jangan jadi salah seorang daripadanya.. :-)

nea_124 said...

0.0 memang dramatis ending cter nie...trkejut saya baca

kuzie said...

wah ingatkan happy ending td ..huhuhu sedihnyaaaa..tp best..thumbs up kak isha..hehe

mynameisAINA said...

T^T
I thought it was happy and sweet ending but... They both died..
Best2!~

Huhuhuhu

Baini said...

Kak Sha nyer cerpen mmg best,sememang nyer kak sha ingin pembaca memikir..pengajaran yg sy dpt dr cerpen nie "jgn biarkan cinta dipengaruhi oleh cemburu yg melampau..kelak memakan diri" .. *jgn hanya tahu membaca saja,fikirlah maksud tersirat yg cuba disampaikan.. betulkan kak sha??