Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

BAB 1

“K
ENAPA awak curang dengan saya?” soal Nina pertama kali sewaktu talian sudah bersambung. Suara tangisnya semakin tidak dapat ditahan. Ya, Nina memang sangat kecewa waktu itu. Kecewa dengan seorang yang dia gelar kekasih selama ini. Nina sangkakan hubungan mereka akan pergi jauh. Sama seperti impian yang mereka lakarkan sewaktu Nizam berada dekat dengannya.

            “Maafkan saya awak,” hanya itu perkataan yang keluar daripada mulut Nizam. Suaranya yang dahulu menjadi pujaan Nina
kini apabila Nina mendengarnya umpama dentuman guruh yang bisa membingitkan telinga.

            “Maaf awak cakap? Maaf untuk apa Nizam?” Sengaja Nina menanyakan soalan itu kepada Nizam. Walaupun tangisnya masih belum reda, namun nada suaranya ketika itu memang cukup sinis. Senangnya Nizam meminta maaf. Dengan meminta maaf, apa dia fikir segalanya sudah selesai? Jika begitu, manusia boleh membuat kesalahan apa pun. Selepas itu minta maaf. Dan segalanya sudah dikira langsai. Hukum apa itu? Hukum ciptaan manusia? Persetankan semuanya.

            Nizam mengeluh perlahan. Ini memang salahnya. Dia akui itu. Tetapi perkara ini sudahpun berlaku. Belum sempat dia berterus-terang, Nina sudah mengetahuinya terlebih dahulu. Silapnya juga kerana tidak memberitahu Nina akan hal itu sebelum gadis itu berangkat meninggalkan bumi Malaysia tiga belas hari yang lalu.

            “Maaf kerana saya telah melukakan hati awak,” ujar Nizam perlahan. Sungguh, hatinya sebak. Hubungannya dengan Nina bukan setakat satu atau dua bulan. Namun, bukan juga dia meminta hatinya berpaling untuk mencari kekasih lain dan menduakan Nina.

            Air mata yang mengalir di pipi tidak larat lagi mahu diseka. Nina hanya membiarkan manik-manik jernih itu mengalir laju. Yang peliknya, air matanya ini tidak kering-kering pula walaupun hampir semalaman dia menangis apabila mendapat tahu Nizam menduakannya.

            “Dengan kata maaf awak tu, awak fikir luka di hati saya ni boleh sembuh?” soal Nina lagi dengan nada sinis. Sungguh, inilah pertama kali Nina berbicara kasar begitu dengan Nizam. Sebelum ini, sepanjang tiga tahun usia perkenalan mereka, Nina tidak pernah berbicara kasar kepada Nizam. Mereka juga tidak pernah bergaduh walaupun sekali.

            Mendengar ayat itu, Nizam sudah tidak tahu apa lagi yang harus diucapkannya untuk memujuk Nina. Dia tahu, luka yang dicipta olehnya di hati Nina tidak akan sembuh dalam masa yang singkat. Dia juga tahu yang Nina amat mencintai dirinya. Jika tidak, masakan gadis yang berkulit cerah itu sanggup meninggalkan gelaran ‘playgirl’ yang disandangnya selama beberapa tahun hanya kerana dirinya yang tiada apa-apa. 

            “Mungkin akan ambil masa yang lama untuk sembuh. Tapi saya pasti awak akan sembuh kerana awak seorang yang kuat,” kata-kata itu menampar gegendang telinga Nina dan sekaligus membuat gadis tertawa di hujung talian.

            ‘Kalaulah awak tahu, saya sekarang ini tidak kuat Nizam,’ keluh Nina dalam hati. Dia bertekad, dia tidak akan sesekali menunjukkan kelemahannya kepada lelaki bernama Nizam ini. Lelaki ini yang telah menciptakan luka paling dalam di hatinya. Jika luka itu bisa dilihat, maka akan terpampanglah hatinya yang sudah nekrosis akibat perbuatan Nizam itu. Saat melihat keadaan itu, dia pasti Nizam akan rasa bersalah sepanjang hidupnya kerana telah melukai hati perempuannya ini.

            “Selama mana? Selama masa yang awak gunakan untuk bermain kayu tiga di belakang saya?” Nah, sekali lagi pertanyaan berbaur sinis itu dilemparkan kepada Nizam yang sememangnya sudah sebakul rasa bersalahnya.

            Jika diikutkan perhitungan masa, hampir empat bulan dia sudah menduakan Nina tanpa pengetahuan gadis itu. Nina, seorang gadis yang mudah sahaja ditipu setelah dia bukan lagi Nina yang dulu. Nina yang menyandang gelaran ‘playgirl’ itu.  Nina yang sekarang tidak pernah menaruh apa-apa perasaan syak wasangka kepadanya. Nina yang sekarang adalah seorang gadis yang tidak pernah mempersoalkan kesetiaan dirinya kepadanya. Nina yang sekarang adalah seorang gadis yang benar-benar luar biasa. Namun, entah di mana silapnya, dia telah merosakkan cerita cinta mereka. Kerana dirasakan Nina terlalu baik kepadanya, maka dia bosan dan mula membuat onar sehinggalah dia terperangkap dalam cinta Zulaikha. Cinta Zulaikha, seorang teman sekolahnya telah membuat hatinya berpaling daripada Nina.

            “Bertahanlah,” ujar Nizam sepatah setelah lama dia membiarkan keadaan sepi tanpa bicara. Sebenarnya, hati lelakinya goyah sejak tadi apabila mendengar tangisan gadis itu. Benarlah kata orang, senjata perempuan adalah air mata mereka. Sekeras manapun hati lelaki, pasti akan cair apabila mendengar tangisan seorang perempuan.

            “Saya benci awak sampai bila-bila,” ujar Nina sebelum mematikan talian. Sebenarnya, dia tidak tahu apa lagi yang harus diucapkannya kepada Nizam. Lelaki itu tidak mungkin akan kembali kepadanya lagi. Mungkin untuk menoleh kembali menatap wajahnya pun, lelaki itu tidak sudi. Sungguh kuat penangan cinta gadis bernama Zulaikha di hati Nizam sehinggakan lelaki itu sanggup membuat keputusan meninggalkannya.

            Nina tidak kesal mereka berpisah saat bercinta. Orang yang sudah mendirikan masjid, jika tidak kukuh tapaknya, masjid yang dibina juga akan runtuh. Satu sahaja yang dikesalkan oleh Nina. Mengapa Nizam tidak pernah berterus-terang dengannya mengenai hal ini? Empat bulan bukan suatu jangka masa yang singkat. Dalam empat bulan itu, berapa banyak memori yang telah dia ciptakan bersama Nizam untuk dijadikan bekal sebelum dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajarannya ke luar negara dan terpaksa meninggalkan Nizam bersendirian di Malaysia.

            Sebelum kakinya melangkah ke balai  pelepasan tiga belas hari yang lepas, hatinya masih dihimpit rasa bersalah. Bersalah kerana dia terpaksa berjauhan dengan lelaki itu. Makanya, dia turut bersedih waktu itu. Percuma sahaja dia membuang-buang air matanya untuk lelaki bernama Nizam waktu itu sedangkan lelaki itu mungkin bersorak ketika kakinya melangkah ke balai perlepasan. Meraikan kebebasannya daripada dirantai oleh cinta Nina.

Nina merebahkan diri di atas katil. Gambar Nizam yang dilekatkan di dinding dipandang sayu. Air matanya tumpah lagi membasahi sarung bantalnya. Memorinya dengan Nizam bukannya satu. Jika mahu diceritakan semua memorinya bersama Nizam, bolehlah kiranya dibukukan menjadi Hikayat 1001 Malam. Sakit hati memandang wajah itu, cepat-cepat Nina memalingkan badannya ke sisi kanan. Entah kenapa Nina merasakan orang sekelilingnya sedang mentertawakannya saat itu. Selimut ditarik hingga ke kepala. Seolah-olah bersembunyi daripada pandangan dunia. Nafasnya lebih tenang dibandingkan daripada tadi. Nina kini lebih tenang dalam dunia ciptaannya.

Dia tidak mahu keluar daripada dunia ciptaannya ini. Dia mahu hidup dengan kenangannya bersama Nizam. Dia mahu mengimbas kembali satu-persatu memorinya dengan lelaki itu. Dia tidak pernah tahu jika itu adalah harga yang harus dibayarnya untuk mencintai lelaki itu setulus hatinya. Jika dia tahu berkenalan dengan lelaki itu bisa membuatnya sakit seperti ini, dia lebih rela menyandang gelaran ‘playgirl’ itu seumur hidupnya. Sekurang-kurangnya, dengan gelaran itu, dia tidak pernah terluka.

Ya, menyebut tentang gelaran itu, mungkin inilah balasan yang harus diterimnya kerana telah mempermainkan hati lelaki-lelaki di luar sana sebelum ini. Namun, jika mahu dirinya dipersalahkan seratus peratus pun tidak adil. Bukan dia tidak pernah memberitahu lelaki-lelaki itu dia seorang ‘playgirl’. Namun lelaki-lelaki itu yang terus mengejarnya. Dia pula, yang tidak punya apa-apa perasaan pun kepada lelaki itu, hanya mendengar apa sahaja luahan hati mereka. Baginya, lelaki-lelaki itu hanya seorang teman. Mereka hanya memerlukan teman bicara untuk meluahkan masalah mereka. Kerana itu, Nina tidak kisah. Hubungan dia bersama lelaki-lelaki itu tidak ke mana. Biarlah apa orang mahu katakana mengenai dirinya. Hanya dia yang kenal siapa dirinya. Sedikitpun hatinya tidak terusik dengan kata-kata manis lelaki-lelaki itu.

Kata-kata manis yang tersemat dalam hatinya hanya datang daripada seorang lelaki. Nizam. Entah mengapa setiap tutur bicara lelaki itu betul-betul menyentuh tangkai hatinya. Setiap ucapan yang lahir daripada lelaki itu tidak pernah dipersoalkan olehnya. Dan sebagai balasannya, nah sekarang ini setelah dia kehilangan lelaki itu, dia rasakan hidupnya begitu kosong. Jika ditakdirkan dia harus hidup berbekalkan memori bersama Nizam, dia redha. Kerana untuk memadamkan nama lelaki itu yang terukir indah dalam hatinya, dia pasti ianya memerlukan masa yang lama.

‘Nizam, lelaki itu, aku tidak akan sesekali melupakannya,’ bisik Nina dalam hati.

           
           
           
           

           
            
Share

3 comments:

Unknown said...

is folo belog ni dari blog abg ben (^___^)

Wanie said...

Mna nk dpt novel ni

Anonymous said...

Mane NK dapat novel ni?