Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia


Cerpen : Tanpa Syawal, Wujudkah Raya?
Oleh : Isha Idiaz

*****

AKU melihat lagi ke luar jendela. Kereta bersesak-sesak meninggalkan kota menuju ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut raya bersama keluarga. Walaupun masih ada seminggu lagi sebelum semua umat Islam menyambut hari raya, keadaan di Kuala Lumpur sudah agak lengang berbanding selalu. Dan dalam keadaan yang agak tenang di pejabatku saat ini, fikiranku menerawang mengingati seseorang.


            “Jauh termenung!” Satu suara menjerkah aku betul-betul di telinga kananku. Tersentak aku dibuatnya. Mujur pen yang kupegang kemas di tangan kananku tidak masuk ke dalam mulut pemilik suara tadi. Kalau tidak, mahu cedera parah teman sekerjaku itu.

            “Fuh!” Hanya itu sahaja yang keluar daripada mulutku. Satu helaan nafas yang berat juga menyertai ayat yang terpacul keluar daripada mulutku tadi.

            Shiela sudah mengekek ketawa. Aku membesarkan mataku tanda geram dengan kelakuannya tadi. Sebab itulah dalam Islam ada yang namanya mengucapkan salam. Selain daripada mengucap salam dan sejahtera kepada orang yang dikehendaki, salam juga dapat menyedarkan mana-mana orang yang sedang berangan macam aku tadi supaya cepat-cepat kembali ke alam realiti  sebelum dikejutkan macam tadi. Mahu mati keras aku dekat atas kerusi tu kalau aku ada sakit jantung.

            “Kau tak boleh nak beri salam ke Cik Shiela oiii,” ujarku sambil menghadiahkan sebuah cubitan di lengan Shiela.

            Makin kuat Shiela mengekek sambil mengaduh sakit.

            “Alah, kau tu, bukan aku tak bagi salam. Sepuluh kali aku bagi salam pun kau tak dengar kalau kau dah masuk dalam mode melayan jiwa,” komen Shiela. Sempat juga dia memerli aku.

            “Tu bukan mode melayan jiwa. Tu mode melayan tak dapat balik raya,” ujarku sedikit bungkam.

            Shiela ketawa lagi. Dia berjalan ke hadapan mejaku lalu mengambil tempat duduk di hadapanku. Shiela adalah seorang gadis kecil molek yang berjaya mencuri perhatian mana-mana lelaki di dalam pejabat ini bukan sahaja kerana rupa parasnya yang cantik tetapi sifatnya yang keanak-anakan. Namun, gadis ini tidak pernah mahu menerima cinta daripada sesiapa. Dan dia juga tidak tahu apa alasan Shiela untuk menolak cinta dalam hidupnya.

            “Kau nak aku ganti tempat kau raya nanti?” soal Shiela bersungguh-sungguh.

            Aku mengangkat keningku tanda kurang mengerti pertanyaan Shiela tadi atau lebih tepat aku blur dengan soalan Shiela tadi. Mana ada orang nak kerja pagi raya. Aku ni kerja pun sebab terpaksa sebab aku seorang je lagi yang single dalam pejabat ni selain daripada Shiela.

            “Aku boleh je ganti tempat kau kalau kau nak balik kampung,” ujar Shiela dengan senyuman yang agak kelat di bibir.

            “Kau tak nak balik kampung?” soalku cepat-cepat apabila mendengar ayat yang keluar daripada mulut Shiela tadi.

            “Syawal bagi aku ni tak ada apa-apa dah,” ujar Shiela lirih. Tiba-tiba kolam matanya digenangi air jernih. Bertakung agak lama di situ sebelum jatuh apabila Shiela menoleh ke arah tingkap pejabatku lalu menyeka air itu.

            Aku panik seketika. Apa kesnya sampai Shiela menangis pula ni. Dia bergaduh ke dengan keluarga dia sampai tak nak balik kampung? Dia kena paksa kahwin ke? Dan banyak lagi soalan yang menerjah fikiran aku. Segera aku bangun dan menapak menghampiri Shiela.

            Semakin aku usap bahu itu, semakin kuat pula tangisan Shiela. Terhenjut-henjut bahu kecil itu menahan tangisan. Aku yang tidak tahu apa-apa turut merasakan kesedihan itu sehingga air mataku turut merembes keluar.

            “Kau kenapa sebenarnya?” soalku lembut apabila tangisan Shiela mulai reda. Kuhulurkan helaian tisu yang entah ke berapa puluh kepadanya. Shiela menyambut tisu itu lalu mengelap air matanya yang masih mengalir keluar.

            “Aku tak pernah ceritakan hal ini kepada sesiapa. Tapi hari ini aku nak cerita pada kau…” Ayat Shiela tergantung di situ.

            “Cerita pasal apa?” Soalku seolah-olah tidak sabar ingin mengetahui kisah di sebalik air mata Shiela tadi.

            “Syawal…” ujar Shiela lirih. Dan air matanya menitis lagi.

*****

PAGI itu Shiela sudah bangkit daripada tidur seawal jam empat pagi. Hari ini hari terakhir dia bekerja sebelum pulang ke kampung untuk menyambut hari raya bersama keluarga.

            Shiela menyanyi kecil sambil mengemaskan pakaian ke dalam beg. dan yang istimewanya bukan lagu raya yang dinyanyikan oleh Shiela tetapi lagu Kompang Dipalu nyanyian Waheeda dan Ezad yang menjadi pilihannya. Raya kali ini membawa seribu erti buat Shiela. Dia bukan sahaja pulang ke kampung untuk menyambut lebaran bersama keluarga, tetapi dia juga mahu menyambut Syawal.

            Ya Syawal, tunangannya. Jejaka yang dikenali oleh Shiela sejak di tingkatan tiga lagi. Mereka bukan sahaja satu sekolah, malah mereka sahabat baik sehingga sekarang. Siapa sangka hubungan mereka semakin akrab apabila mereka menginjak dewasa. Lebaran tahun ini, Syawal akan pulang ke Malaysia setelah empat tahun melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Jepun.

            Bunyi telefon bimbit membawa langkah kaki Shiela ke arah meja soleknya. Cepat-cepat dia mencapai telefon bimbit itu lalu melihat pesanan yang tertera di skrin. Perlahan-lahan dia menyeka air matanya yang mengalir keluar.

*****

SEPANJANG hari itu, Shiela tidak fokus pada kerjanya. Melihat telefon bimbitnya di atas meja cukup untuk membuat dia terseksa. Itu belum lagi dia melihat foto yang dikirim oleh Syawal kepadanya subuh tadi.

            “Damn!” Bentak Shiela kasar sebelum melepaskan tumbukan ke atas mejanya. Fail yang berada di atas meja ditepis kuat sehingga ada beberapa di antaranya yang jatuh ke atas lantai.

            Tersentak teman-teman di meja sebelah melihat tingkah laku Shiela yang sedikit berbeza hari itu. Tidak pernah mereka melihat Shiela begitu.

            Belum lagi kemarahannya reda, sebuah panggilan masuk ke telefon bimbit Shiela. Shiela merengus keras sebelum mengangkat panggilan itu. Mendengar sahaja suara di corong talian, Shiela bingkas bangun dan menolak kasar kerusinya ke belakang.

            “Hey listen! I boleh hidup tanpa you lah Syawal!” Jeritnya lantang.

            Tegang urat leher Shiela apabila suara yang keluar daripada mulutnya naik satu oktaf. Mukanya sudah merah padam menahan marah.

            “Pergi matilah dengan girlfriend baru you tu!”

            Dada Shiela turun naik. Semakin lama talian itu bersambung, semakin kuat rasa marahnya pada Syawal gara-gara sekeping foto kiriman Syawal pagi tadi.

            “I tunang you?” ujar Shiela dengan nada mengejek.

            “Oh, sekarang baru ingat I tunang you. Funny you! Lelaki macam you ni memang tak reti nak hargai perasan perempuan macam I. Said it enough dengan cerita rekaan you tu. You tak payah nak berdalih dah dengan I bila dah terkantoi macam ni. Just die Syawal!”

Dan talian diputuskan.

*****

PEDAL minyak ditekan laju apabila jalan di hadapan mata lengang. Perjalanannya lancar daripada pejabat tadi sehingga sekarang. Mujur juga begitu. Jika tidak, pasti bertambah-tambah rasa marahnya akibat tempias pertelingkahannya dengan Syawal.

            Teringat sahaja nama Syawal, air mata Shiela gugur juga akhirnya. Mana ada perempuan yang tidak sedih apabila lelaki yang dicintainya menduakan mereka.

            Foto Syawal bersama seorang wanita yang tidak dikenali oleh Shiela benar-benar merentap tangkai hatinya. Lagi pula di dalam foto itu, wanita yang tidak dikenali itu sedang tertawa manja dan sedang menyuapkan sushi ke dalam mulut Syawal.

            Bukannya lama lagi. Tak sampai dua puluh empat jam pun lagi Shiela dan Syawal akan diijabkabulkan. Yang sebetulnya, mereka akan dinikahkan oleh bapa Shiela pada malam raya pertama. Namun keadaan sudah menjadi separah ini. Shiela juga belum memaklumkan hal ini kepada keluarga kedua-dua belah pihak. Shiela cuma berharap hatinya akan kembali sejuk apabila melihat wajah Syawal pada pagi Hari Raya Pertama nanti dan upacara pernikahan mereka akan berlangsung seperti yang direncanakan.

*****

ENTAH bila kereta Proton Waja yang dipandunya telah masuk ke perkarangan rumah, dia juga tidak sedar. Nampak sangat hati dan fikirannya tidak stabil.

            Dapat dilihat ibunya berlari-lari anak menuruni tangga menyambut kepulangannya. Cepat-cepat Shiela mematikan enjin kereta. Pantas juga pintu keretanya dibuka.

            Shiela menjejakkan kakinya ke tanah seraya mencapai tangan Puan Khatijah dan dikucup mesra tangan tua itu. Puan Khatijah menarik Shiela ke dalam pelukannya. Melepaskan rasa hiba yang sarat di hati. Shiela yang bercampur-baur perasaannya ketika itu terus membiarkan empangan matanya pecah di bahu Puan Khatijah. Serasa mahu sahaja diceritakan perihal Syawal kepada ibunya namun niatnya dimatikan apabila telinganya menangkap kata-kata yang keluar daripada mulut Puan Khatijah.

            “Sabarlah nak,” lirih suara Puan Khatijah mengucapkan ayat itu. Pelukan direnggangkan sedikit daripada Shiela.

            Shiela terping-pinga seketika. Adakah keluarganya sudah mengetahui mengenai kejadian pagi tadi?

*****

SEMUA mata memandang tepat ke arahnya sewaktu kakinya melangkah masuk ke rumah itu. Suasana di rumahnya malam itu seolah-olah ada kematian yang berlaku. Sunyi sepi. Walhal malam itu seharusnya suasana di rumahnya riuh dengan suara sanak saudara yang sibuk membuat persiapan menyambut hari raya dan juga majlis pernikahannya.

            Shiela memandang ibunya. Ibunya hanya mengangguk lemah. Tangan Shiela digenggam erat. Puan Khatijah menuntun tangan Shiela dan membawanya ke ruang tamu rumahnya.

            Shiela dapat melihat sekujur tubuh terbaring di atas lantai yang beralaskan tikar mengkuang dan dibaluti dengan kain putih. Dadanya berdebar kencang. Shiela memandang wajah Puan Khatijah. Puan Khatijah membawa Shiela rapat ke arah sekujur tubuh itu.

            “Mak jangan buat lawak malam-malam raya ni mak,” ujar Shiela tergagap-gagap.

            Deras air mata menuruni pipi Puan Khatijah saat itu.

            “Tengoklah Syawal buat kali terakhir nak,” ujar Puan Khatijah antara dengar dan tidak.

            Terasa dunia gelap saat itu. Shiela terduduk di sebelah sekujur tubuh itu. Mulutnya terkunci untuk bertanya soalan selanjutnya. Tangannya terketar-ketar membuka kain putih yang menutupi sekujur tubuh tadi.

            Melihat sahaja pemilik wajah sekujur tubuh tadi, Shiela kaku. Direnung wajah itu dalam-dalam. Wajah itu tidak pernah berubah sejak dia mengenali lelaki itu di tingkatan tiga. Wajahnya masih sama seperti saat lelaki itu meninggalkannya di lapangan terbang empat tahun lalu. Dan wajah lelaki itu masih sama seperti foto kirimannya pagi tadi.

            Shiela tersenyum sebelum dia bangun meninggalkan sekujur tubuh itu di situ. Puan Khatijah dan tetamu yang lain pelik dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Shiela namun semuanya hanya membiarkan Shiela.           

*****

JENAZAH Syawal di usung keluar rumah untuk dibawa ke tanah perkuburan. Shiela hanya melihat jenazah itu dari jendela bilik pengantinnya.

            ‘You cakap you akan jumpa juga dengan I tak kira dalam keadaan apa sekalipun even you mati. Tapi I tak sangka you akan jumpa I dalam keadaan macam ni Syawal. Kenapa you tak beritahu you dah sampai sejak kelmarin lagi. Kenapa you tak pandu  kereta hati-hati.’

            Setelah semalaman air mata itu ditahan, akhirnya, ia jatuh juga ke pipi.

            “Kak, maafkan Ina sebab tak pernah kenalkan diri Ina pada akak sebelum ni. Ina dua pupu Abang Syam,” tegur suatu suara di Shiela.

            Shiela menoleh. Wanita itu adalah wanita yang sama di dalam foto yang diterima oleh Shiela awal pagi tadi daripada Syawal. Air mata merembes laju daripada tadi. Shiela tidak bisa berkata apa-apa lagi.

*****

TANPA Syawal, aku bukan sahaja rasa tak boleh nak teruskan hidup macam dulu. Tapi setiap kali hari raya tiba, aku rasa tak boleh nak beraya dah,” ujar Shiela dalam tangisan.

            Aku mengurut-ngurut lembut belakang tangan gadis itu. Mendengar ceritanya tadi membuat aku sama-sama mengalirkan air mata dengannya. Baru kini aku faham kenapa Shiela mahu menggantikan tempat aku untuk bekerja pada hari raya pertama.

            “Sabarlah Shiela. Itu semua dugaan untuk kau,” ujarku memujuk Shiela. Shiela hanya mengangguk lemah.

            “So kau nak balik kampung tak ni?” soal Shiela dalam nada ceria serta-merta. Terkejut juga aku dibuatnya.

            “Nak ke tidak?” Jerkahnya sekali lagi.

            Cepat-cepat aku menganggukkan kepala. Dan seketika kemudian aku rasa bersalah. Ini dah macam kes aku mengambil kesempatan pulak pada Shiela.

            “Dah tak payah nak tayang muka bersalah dekat aku. Cepat balik. Keluarga kau mesti dah tunggu kau dekat rumah tu,” ujar Shiela seolah-olah faham apa yang bermain di fikiranku.

            Pantas aku tersenyum dan mengemas barang-barangku. Sebelum keluar daripada pejabat, aku menjengukkan kepala semula. Shiela memandang pelik ke arahku.

            “Apa dia?” soal Shiela dengan nada naik satu oktaf.

            “Tahun ni aku bagi kau Syawal yang baru dekat kau Shiela. Hari ni ada budak baru masuk dekat bahagian account. Nama dia Syawal Bin Samsuri.”

            Dan aku melihat seorang lelaki yang tampan berkemeja dengan tali leher berjalan menghampiri Shiela. Belum sempat Shiela berkata apa-apa, aku menyambung bicara.

            “Tak percaya? Tu, dia ada dekat sebelah kau,” ujarku sebelum menghilangkan diri di sebalik daun pintu.

*****

“CIK SHIELA?” soal lelaki berkemeja dan bertali leher itu.

            Shiela hanya menganggukkan kepalanya laju.

            “Saya Syawal bin Samsuri daripada bahagian account. Cik Fira suruh saya berjumpa dengan Cik Shiela sebelum dia balik tadi. Katanya Cik Shiela ada perkara penting yang mahu dibincangkan mengenai akaun syarikat ni dengan saya.”

            Shiela hanya mengangguk dan berdehem beberapa kali sebelum kembali meneruskan kata-katanya.

            “Ya, Encik…”

            “Syawal.”

            “Ya, Encik Syawal boleh ikut saya ke pejabat Cik Fira sekarang,” ujar Shiela seraya mengorak langkah ke bilik Fira. Tergeliat juga lidahnya mahu menyebut nama yang satu itu.

            ‘Fira, siap kau bila balik nanti!’ jeritnya dalam hati.

                                                                        *****
©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz          
Share

5 comments:

Anonymous said...

nak sambungannnnnnnn

Rehan Makhtar said...

nape bercampur POV?

ISHA IDIAZ said...

Anon 1 : Tiada sambungan. Hehe. :-)

Kak Rehan : Memang saja buat campur. Try buat 2 POV dalam satu cerita. :-)

Waisya Carissa said...

Tengah gugel pasal nikah pada raya prtama untuk letak kat cerpen, terus jumpa cerita ni. Hmmm kalau ada smbungn mesti best

Waisya Carissa said...

Tengah gugel pasal nikah pada raya prtama untuk letak kat cerpen, terus jumpa cerita ni. Hmmm kalau ada smbungn mesti best