Cerpen : Tanpa Syawal, Wujudkah Raya?
Oleh : Isha Idiaz
*****
AKU
melihat lagi ke luar jendela. Kereta bersesak-sesak meninggalkan kota menuju ke
kampung halaman masing-masing untuk menyambut raya bersama keluarga. Walaupun
masih ada seminggu lagi sebelum semua umat Islam menyambut hari raya, keadaan
di Kuala Lumpur sudah agak lengang berbanding selalu. Dan dalam keadaan yang
agak tenang di pejabatku saat ini, fikiranku menerawang mengingati seseorang.
“Jauh termenung!” Satu suara
menjerkah aku betul-betul di telinga kananku. Tersentak aku dibuatnya. Mujur
pen yang kupegang kemas di tangan kananku tidak masuk ke dalam mulut pemilik
suara tadi. Kalau tidak, mahu cedera parah teman sekerjaku itu.
“Fuh!” Hanya itu sahaja yang keluar
daripada mulutku. Satu helaan nafas yang berat juga menyertai ayat yang
terpacul keluar daripada mulutku tadi.
Shiela sudah mengekek ketawa. Aku
membesarkan mataku tanda geram dengan kelakuannya tadi. Sebab itulah dalam
Islam ada yang namanya mengucapkan salam. Selain daripada mengucap salam dan
sejahtera kepada orang yang dikehendaki, salam juga dapat menyedarkan mana-mana
orang yang sedang berangan macam aku tadi supaya cepat-cepat kembali ke alam realiti
sebelum dikejutkan macam tadi. Mahu mati
keras aku dekat atas kerusi tu kalau aku ada sakit jantung.
“Kau tak boleh nak beri salam ke Cik
Shiela oiii,” ujarku sambil menghadiahkan sebuah cubitan di lengan Shiela.
Makin kuat Shiela mengekek sambil
mengaduh sakit.
“Alah, kau tu, bukan aku tak bagi
salam. Sepuluh kali aku bagi salam pun kau tak dengar kalau kau dah masuk dalam
mode melayan jiwa,” komen Shiela. Sempat
juga dia memerli aku.
“Tu bukan mode melayan jiwa. Tu mode
melayan tak dapat balik raya,” ujarku sedikit bungkam.
Shiela ketawa lagi. Dia berjalan ke
hadapan mejaku lalu mengambil tempat duduk di hadapanku. Shiela adalah seorang
gadis kecil molek yang berjaya mencuri perhatian mana-mana lelaki di dalam
pejabat ini bukan sahaja kerana rupa parasnya yang cantik tetapi sifatnya yang
keanak-anakan. Namun, gadis ini tidak pernah mahu menerima cinta daripada
sesiapa. Dan dia juga tidak tahu apa alasan Shiela untuk menolak cinta dalam
hidupnya.
“Kau nak aku ganti tempat kau raya
nanti?” soal Shiela bersungguh-sungguh.
Aku mengangkat keningku tanda kurang
mengerti pertanyaan Shiela tadi atau lebih tepat aku blur dengan soalan Shiela tadi. Mana ada orang nak kerja pagi raya.
Aku ni kerja pun sebab terpaksa sebab aku seorang je lagi yang single dalam
pejabat ni selain daripada Shiela.
“Aku boleh je ganti tempat kau kalau kau nak balik kampung,” ujar Shiela
dengan senyuman yang agak kelat di bibir.
“Kau tak nak balik kampung?” soalku
cepat-cepat apabila mendengar ayat yang keluar daripada mulut Shiela tadi.
“Syawal bagi aku ni tak ada apa-apa
dah,” ujar Shiela lirih. Tiba-tiba kolam matanya digenangi air jernih.
Bertakung agak lama di situ sebelum jatuh apabila Shiela menoleh ke arah tingkap
pejabatku lalu menyeka air itu.
Aku panik seketika. Apa kesnya
sampai Shiela menangis pula ni. Dia bergaduh ke dengan keluarga dia sampai tak
nak balik kampung? Dia kena paksa kahwin ke? Dan banyak lagi soalan yang
menerjah fikiran aku. Segera aku bangun dan menapak menghampiri Shiela.
Semakin aku usap bahu itu, semakin
kuat pula tangisan Shiela. Terhenjut-henjut bahu kecil itu menahan tangisan.
Aku yang tidak tahu apa-apa turut merasakan kesedihan itu sehingga air mataku
turut merembes keluar.
“Kau kenapa sebenarnya?” soalku
lembut apabila tangisan Shiela mulai reda. Kuhulurkan helaian tisu yang entah
ke berapa puluh kepadanya. Shiela menyambut tisu itu lalu mengelap air matanya
yang masih mengalir keluar.
“Aku tak pernah ceritakan hal ini
kepada sesiapa. Tapi hari ini aku nak cerita pada kau…” Ayat Shiela tergantung
di situ.
“Cerita pasal apa?” Soalku
seolah-olah tidak sabar ingin mengetahui kisah di sebalik air mata Shiela tadi.
“Syawal…” ujar Shiela lirih. Dan air
matanya menitis lagi.
*****
PAGI
itu Shiela sudah bangkit daripada tidur seawal jam empat pagi. Hari ini hari
terakhir dia bekerja sebelum pulang ke kampung untuk menyambut hari raya
bersama keluarga.
Shiela menyanyi kecil sambil mengemaskan
pakaian ke dalam beg. dan yang istimewanya bukan lagu raya yang dinyanyikan oleh
Shiela tetapi lagu Kompang Dipalu nyanyian Waheeda dan Ezad yang menjadi
pilihannya. Raya kali ini membawa seribu erti buat Shiela. Dia bukan sahaja
pulang ke kampung untuk menyambut lebaran bersama keluarga, tetapi dia juga
mahu menyambut Syawal.
Ya Syawal, tunangannya. Jejaka yang
dikenali oleh Shiela sejak di tingkatan tiga lagi. Mereka bukan sahaja satu
sekolah, malah mereka sahabat baik sehingga sekarang. Siapa sangka hubungan
mereka semakin akrab apabila mereka menginjak dewasa. Lebaran tahun ini, Syawal
akan pulang ke Malaysia setelah empat tahun melanjutkan pengajian dalam bidang
kejuruteraan di Jepun.
Bunyi telefon bimbit membawa langkah
kaki Shiela ke arah meja soleknya. Cepat-cepat dia mencapai telefon bimbit itu
lalu melihat pesanan yang tertera di skrin. Perlahan-lahan dia menyeka air
matanya yang mengalir keluar.
*****
SEPANJANG
hari itu, Shiela tidak fokus pada kerjanya. Melihat telefon bimbitnya di atas
meja cukup untuk membuat dia terseksa. Itu belum lagi dia melihat foto yang
dikirim oleh Syawal kepadanya subuh tadi.
“Damn!”
Bentak Shiela kasar sebelum melepaskan tumbukan ke atas mejanya. Fail yang
berada di atas meja ditepis kuat sehingga ada beberapa di antaranya yang jatuh
ke atas lantai.
Tersentak teman-teman di meja
sebelah melihat tingkah laku Shiela yang sedikit berbeza hari itu. Tidak pernah
mereka melihat Shiela begitu.
Belum lagi kemarahannya reda, sebuah
panggilan masuk ke telefon bimbit Shiela. Shiela merengus keras sebelum
mengangkat panggilan itu. Mendengar sahaja suara di corong talian, Shiela
bingkas bangun dan menolak kasar kerusinya ke belakang.
“Hey
listen! I boleh hidup tanpa you lah Syawal!” Jeritnya lantang.
Tegang urat leher Shiela apabila
suara yang keluar daripada mulutnya naik satu oktaf. Mukanya sudah merah padam
menahan marah.
“Pergi matilah dengan girlfriend baru you tu!”
Dada Shiela turun naik. Semakin lama
talian itu bersambung, semakin kuat rasa marahnya pada Syawal gara-gara
sekeping foto kiriman Syawal pagi tadi.
“I
tunang you?” ujar Shiela dengan
nada mengejek.
“Oh, sekarang baru ingat I tunang you. Funny you! Lelaki
macam you ni memang tak reti nak
hargai perasan perempuan macam I. Said it enough dengan cerita rekaan you tu. You tak payah nak berdalih dah dengan I bila dah terkantoi macam ni.
Just die Syawal!”
Dan
talian diputuskan.
*****
PEDAL minyak
ditekan laju apabila jalan di hadapan mata lengang. Perjalanannya lancar
daripada pejabat tadi sehingga sekarang. Mujur juga begitu. Jika tidak, pasti
bertambah-tambah rasa marahnya akibat tempias pertelingkahannya dengan Syawal.
Teringat sahaja nama Syawal, air
mata Shiela gugur juga akhirnya. Mana ada perempuan yang tidak sedih apabila
lelaki yang dicintainya menduakan mereka.
Foto Syawal bersama seorang wanita
yang tidak dikenali oleh Shiela benar-benar merentap tangkai hatinya. Lagi pula
di dalam foto itu, wanita yang tidak dikenali itu sedang tertawa manja dan
sedang menyuapkan sushi ke dalam mulut Syawal.
Bukannya lama lagi. Tak sampai dua
puluh empat jam pun lagi Shiela dan Syawal akan diijabkabulkan. Yang
sebetulnya, mereka akan dinikahkan oleh bapa Shiela pada malam raya pertama.
Namun keadaan sudah menjadi separah ini. Shiela juga belum memaklumkan hal ini
kepada keluarga kedua-dua belah pihak. Shiela cuma berharap hatinya akan
kembali sejuk apabila melihat wajah Syawal pada pagi Hari Raya Pertama nanti
dan upacara pernikahan mereka akan berlangsung seperti yang direncanakan.
*****
ENTAH
bila kereta Proton Waja yang dipandunya telah masuk ke perkarangan rumah, dia
juga tidak sedar. Nampak sangat hati dan fikirannya tidak stabil.
Dapat dilihat ibunya berlari-lari
anak menuruni tangga menyambut kepulangannya. Cepat-cepat Shiela mematikan
enjin kereta. Pantas juga pintu keretanya dibuka.
Shiela menjejakkan kakinya ke tanah
seraya mencapai tangan Puan Khatijah dan dikucup mesra tangan tua itu. Puan
Khatijah menarik Shiela ke dalam pelukannya. Melepaskan rasa hiba yang sarat di
hati. Shiela yang bercampur-baur perasaannya ketika itu terus membiarkan
empangan matanya pecah di bahu Puan Khatijah. Serasa mahu sahaja diceritakan
perihal Syawal kepada ibunya namun niatnya dimatikan apabila telinganya
menangkap kata-kata yang keluar daripada mulut Puan Khatijah.
“Sabarlah nak,” lirih suara Puan
Khatijah mengucapkan ayat itu. Pelukan direnggangkan sedikit daripada Shiela.
Shiela terping-pinga seketika.
Adakah keluarganya sudah mengetahui mengenai kejadian pagi tadi?
*****
SEMUA
mata memandang tepat ke arahnya sewaktu kakinya melangkah masuk ke rumah itu.
Suasana di rumahnya malam itu seolah-olah ada kematian yang berlaku. Sunyi
sepi. Walhal malam itu seharusnya suasana di rumahnya riuh dengan suara sanak
saudara yang sibuk membuat persiapan menyambut hari raya dan juga majlis
pernikahannya.
Shiela memandang ibunya. Ibunya
hanya mengangguk lemah. Tangan Shiela digenggam erat. Puan Khatijah menuntun tangan
Shiela dan membawanya ke ruang tamu rumahnya.
Shiela dapat melihat sekujur tubuh
terbaring di atas lantai yang beralaskan tikar mengkuang dan dibaluti dengan
kain putih. Dadanya berdebar kencang. Shiela memandang wajah Puan Khatijah.
Puan Khatijah membawa Shiela rapat ke arah sekujur tubuh itu.
“Mak jangan buat lawak malam-malam
raya ni mak,” ujar Shiela tergagap-gagap.
Deras air mata menuruni pipi Puan
Khatijah saat itu.
“Tengoklah Syawal buat kali terakhir
nak,” ujar Puan Khatijah antara dengar dan tidak.
Terasa dunia gelap saat itu. Shiela terduduk
di sebelah sekujur tubuh itu. Mulutnya terkunci untuk bertanya soalan
selanjutnya. Tangannya terketar-ketar membuka kain putih yang menutupi sekujur
tubuh tadi.
Melihat sahaja pemilik wajah sekujur
tubuh tadi, Shiela kaku. Direnung wajah itu dalam-dalam. Wajah itu tidak pernah
berubah sejak dia mengenali lelaki itu di tingkatan tiga. Wajahnya masih sama
seperti saat lelaki itu meninggalkannya di lapangan terbang empat tahun lalu.
Dan wajah lelaki itu masih sama seperti foto kirimannya pagi tadi.
Shiela tersenyum sebelum dia bangun
meninggalkan sekujur tubuh itu di situ. Puan Khatijah dan tetamu yang lain
pelik dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Shiela namun semuanya hanya
membiarkan Shiela.
*****
JENAZAH
Syawal di usung keluar rumah untuk dibawa ke tanah perkuburan. Shiela hanya
melihat jenazah itu dari jendela bilik pengantinnya.
‘You
cakap you akan jumpa juga dengan I tak kira dalam keadaan apa sekalipun even you mati. Tapi I tak sangka you akan
jumpa I dalam keadaan macam ni Syawal.
Kenapa you tak beritahu you dah sampai sejak kelmarin lagi.
Kenapa you tak pandu kereta hati-hati.’
Setelah semalaman air mata itu
ditahan, akhirnya, ia jatuh juga ke pipi.
“Kak, maafkan Ina sebab tak pernah
kenalkan diri Ina pada akak sebelum ni. Ina dua pupu Abang Syam,” tegur suatu
suara di Shiela.
Shiela menoleh. Wanita itu adalah
wanita yang sama di dalam foto yang diterima oleh Shiela awal pagi tadi
daripada Syawal. Air mata merembes laju daripada tadi. Shiela tidak bisa
berkata apa-apa lagi.
*****
“ TANPA Syawal, aku bukan sahaja rasa tak
boleh nak teruskan hidup macam dulu. Tapi setiap kali hari raya tiba, aku rasa
tak boleh nak beraya dah,” ujar Shiela dalam tangisan.
Aku mengurut-ngurut lembut belakang
tangan gadis itu. Mendengar ceritanya tadi membuat aku sama-sama mengalirkan
air mata dengannya. Baru kini aku faham kenapa Shiela mahu menggantikan tempat
aku untuk bekerja pada hari raya pertama.
“Sabarlah Shiela. Itu semua dugaan
untuk kau,” ujarku memujuk Shiela. Shiela hanya mengangguk lemah.
“So
kau nak balik kampung tak ni?” soal Shiela dalam nada ceria serta-merta.
Terkejut juga aku dibuatnya.
“Nak ke tidak?” Jerkahnya sekali
lagi.
Cepat-cepat aku menganggukkan
kepala. Dan seketika kemudian aku rasa bersalah. Ini dah macam kes aku
mengambil kesempatan pulak pada Shiela.
“Dah tak payah nak tayang muka
bersalah dekat aku. Cepat balik. Keluarga kau mesti dah tunggu kau dekat rumah
tu,” ujar Shiela seolah-olah faham apa yang bermain di fikiranku.
Pantas aku tersenyum dan mengemas
barang-barangku. Sebelum keluar daripada pejabat, aku menjengukkan kepala
semula. Shiela memandang pelik ke arahku.
“Apa dia?” soal Shiela dengan nada
naik satu oktaf.
“Tahun ni aku bagi kau Syawal yang
baru dekat kau Shiela. Hari ni ada budak baru masuk dekat bahagian account. Nama dia Syawal Bin Samsuri.”
Dan aku melihat seorang lelaki yang
tampan berkemeja dengan tali leher berjalan menghampiri Shiela. Belum sempat
Shiela berkata apa-apa, aku menyambung bicara.
“Tak percaya? Tu, dia ada dekat
sebelah kau,” ujarku sebelum menghilangkan diri di sebalik daun pintu.
*****
“CIK SHIELA?”
soal lelaki berkemeja dan bertali leher itu.
Shiela hanya menganggukkan kepalanya
laju.
“Saya Syawal bin Samsuri daripada
bahagian account. Cik Fira suruh saya
berjumpa dengan Cik Shiela sebelum dia balik tadi. Katanya Cik Shiela ada
perkara penting yang mahu dibincangkan mengenai akaun syarikat ni dengan saya.”
Shiela hanya mengangguk dan berdehem
beberapa kali sebelum kembali meneruskan kata-katanya.
“Ya, Encik…”
“Syawal.”
“Ya, Encik Syawal boleh ikut saya ke
pejabat Cik Fira sekarang,” ujar Shiela seraya mengorak langkah ke bilik Fira.
Tergeliat juga lidahnya mahu menyebut nama yang satu itu.
‘Fira, siap kau bila balik nanti!’
jeritnya dalam hati.
*****
©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz
5 comments:
nak sambungannnnnnnn
nape bercampur POV?
Anon 1 : Tiada sambungan. Hehe. :-)
Kak Rehan : Memang saja buat campur. Try buat 2 POV dalam satu cerita. :-)
Tengah gugel pasal nikah pada raya prtama untuk letak kat cerpen, terus jumpa cerita ni. Hmmm kalau ada smbungn mesti best
Tengah gugel pasal nikah pada raya prtama untuk letak kat cerpen, terus jumpa cerita ni. Hmmm kalau ada smbungn mesti best
Post a Comment