Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

ZANNA memandang wajah Alynn yang duduk di hadapannya. Wajah gadis itu sembab. Mungkin gadis itu menangis lagi malam tadi. Zanna melepaskan sebuah keluhan. Dia tidak tahu sampai bila gadis ini mampu bertahan. Alynn memberikan sebuah senyuman kepada Zanna.

“Kenapa akak pandang Alynn macam tu?” soal Alynn yang dari tadi melihat Zanna memandangnya tanpa berkedip.

Zanna menggeleng perlahan. Sebuah lagi keluhan dilepaskan. “Alynn, sampai bila…”

“Alynn dah buat keputusan kak,” ujar Alynn memotong kata-kata Zanna.

Bulat mata Zanna memandang Alynn. Kali ini dia lihat mata Alynn sudah berkaca. Perlahan tangan Alynn diusap dan digenggam erat dalam genggaman tangannya.

“Alynn dah fikir masak-masak?” soal Zanna inginkan kepastian.

Alynn angguk. Matanya dipejamkan rapat. Setitis air mata jatuh juga ke pipi.

“Sabarlah dik. Kalau ada jodoh tak ke mana,” pujuk Zanna.

Alynn menggeleng. Dia sudah penat. Lima tahun bukan masa yang singkat. Malah dia sendiri tidak tahu kalau dia mampu bertahan selama lima tahun ini hanya kerana seorang lelaki bernama Azwan. Namun, kali ini, buat pertama kali, Alynn rasa dia sudah penat dengan cinta Azwan. Dia sudah penat menanti. Dia sudah penat bersabar.

“Alynn dah penat kak,” luah Alynn sambil mengesat air matanya.

“Akak faham dik. Tapi akak tak rasa Azwan ada orang lain selain daripada adik. Di rumah, nama adik yang selalu disebut-sebut,” terang Zanna bagai memberikan sebuah harapan lagi kepada Alynn.

“Tapi depan Alynn dia tak pernah cakap apa-apa. Alynn pernah cakap dengan akak, kalau Azwan tak terima Alynn sampai ke akhir pun, Alynn tetap akan berkorban hingga akhir kan? Alynn akan lupakan Azwan mulai hari ini kak. Alynn akan pergi jauh dari hidup Azwan,” ujar Alynn seraya mengucapkan salam dan meninggalkan Zanna dalam seribu pertanyaan.


NOMBOR telefon Alynn didail sekali lagi. Azwan mundar-mandir sementara menunggu talian bersambung.

“Nombor yang anda dail tidak ada dalam perkhidmatan kami.”

Azwan melempar telefon bimbitnya ke atas meja. Sudah lima kali dia cuba menghubungi Alynn, namun hanya suara operator yang kedengaran. Azwan berjalan ke tingkap kaca di pejabatnya. Tangannya memegang kisi-kisi tingkap sambil memandang bangunan yang jauh lebih rendah daripada bangunan pejabatnya ini. Cuba meredakan perasaan yang bercampur-baur di dalam hatinya.

Teringat sesuatu, Azwan kembali ke mejanya dan mencari sesuatu di dalam setiap laci mejanya. Sekeping gambar dikeluarkan daripada buku kecil miliknya. Gambar itu ditatap lama. Seorang gadis berwajah bulat dengan tudung bewarna coklat tersenyum manis di dalam gambar itu. Azwan tersenyum sendiri. Dia tahu dia banyak melukakan hati gadis itu. Gambar itu dibawa ke dadanya. Setitis air mata jatuh ke pipi.

‘Alynn, awak pergi mana?’

Telefon yang berdering mematikan lamunan Azwan. Cepat-cepat dia menekan butang menerima panggilan tersebut tanpa melihat nama pemanggil.

“Alynn?” duga Azwan.

“Azwan, akak ni.”

Dijauhkan sedikit telefon daripada telinga dan tertera jelas nama Zanna di skrin telefonnya. Hampa. Azwan melepaskan keluhan. Dia mengira Alynn yang menelefonnya.

“Kenapa kak?” soalnya acuh tidak acuh.

“Alynn jumpa akak semalam,” ujar Zanna tenang.

Mendengar nama Alynn, Azwan memasang harapan tinggi. Dia berharap Kak Zanna tahu di mana Alynn berada sekarang.

“Alynn… Dia dekat mana sekarang kak?”soal Azwan ingin tahu. Puas dia berfikir kemungkinan Alynn ke mana sahaja. Namun semakin dia fikir, semakin otaknya buntu. Dia perlukan pertolongan Kak Zanna.

Kali ini Kak Zanna pula hanya melepaskan keluhan di hujung talian.

“Dia dah pergi Wan,” ujar Zanna.

“Pergi? Pergi mana?” cemas kedengaran suara Azwan di hujung talian.

“Akak pun tak tahu. Tapi Alynn cakap dia akan pergi jauh daripada hidup Wan,” terang Zanna.

Jawapan Kak Zanna tadi menghancur luluhkan hati Azwan yang baru memasang harapan untuk mengetahui di mana keberadaan Alynn. Alynn betul-betul marahkan dirinya. Bukan marah, merajuk barangkali.


AZWAN tersenyum memandang Alynn. Gadis itu biasa-biasa sahaja di matanya. Tiada apa yang istimewa. Namun dia tidak tahu kenapa dia sukar mengalihkan matanya daripada menatap wajah gadis itu setiap hari.

Alynn menoleh memandang ke arah Azwan. Azwan memandang ke arah mamak yang sedang galak menebar roti canai yang dipesan oleh pengunjung Restoran Alif itu. Restoran mamak muslim ini penuh dari dalam sampai ke luar terutamanya hujung minggu. Mungkin penangan kari mamak yang umphh dibuat cicah dengan roti canai itu yang buat ramai orang datang ke sini. Konsentrasi Azwan memerhatikan Alynn terganggu apabila petugas di restoran itu datang ke mejanya.

“Encik boleh pindah meja tak sharing dengan itu perempuan sana?” soal petugas restoran tersebut.

“Saya? Duduk mana?”soal Azwan inginkan kepastian.

“Sana. Itu sana ada satu perempuan cantik duduk. Dia juga sendiri macam Encik,” terang petugas restoran.

Azwan memandang pelik wajah petugas restoran. Rasanya setiap minggu dia datang restoran ni, tak ada pulak kena tukar-tukar tempat duduk. Tapi hari ini, mamak ni mintak dia tukar tempat duduk. Dan tempat duduk tu pula adalah meja Alynn.

“Ini hari restoran banyak penuh. Itu family ada anak kecik. Tada muat duduk sana,” ujar petugas sambil menunjukkan meja kosong yang menempatkan dua buah kerusi sedangkan keluarga yang datang itu punya dua anak.

Azwan angguk dan berlalu meninggalkan mejanya dan mengarah ke meja Alynn. “Terima kasih banyak encik!” laung petugas tadi sambil menerima pesanan daripada keluarga yang baru menempati meja Azwan tadi.

Alynn sudah serba tidak kena. Azwan merapati mejanya lalu menarik kerusi di hadapannya dan langsung duduk. Kancing lengan baju dibuka dan lengan bajunya dilipat hingga siku.

“Mamak tu suruh saya duduk sini,” terang Azwan tanpa di minta. Alynn mengangguk tanda faham.

“Sendiri?” soal Azwan. Dia rasa nak hantuk kepalanya atas meja apabila soalan bodoh itu terkeluar daripada mulutnya.

Alynn tergelak kecil. Lucu dengan pertanyaan Azwan tadi.

“Tadi sendiri. Tapi sekarang dah berdua,” ujar Alynn sambil merenung meja. Tidak berani dia mengangkat muka memandang lelaki di hadapannya ini.

“Pandai,” ujar Azwan memuji. Sebenarnya sekadar menutup rasa malu yang bertandang di hatinya. Tulah, gelojoh sangat nak bercakap dengan orang yang dia tak kenal.

“Saya Azwan,” ujar Azwan memperkenalkan diri.

“Alynn,” ujar Alynn rendah.

“Nama betul?” soal Azwan spontan. Maklumlah sekarang banyak orang nak pasang sparepart dua tiga. Jadi setiap kali kenal dengan orang baru mereka tukar nama.

“Tak. Nama tipu,” ujar Alynn selamba sekaligus mencetuskan tawa antara mereka.

“Awak suka bergurau ea?” soal Azwan lagi sambil menikmati roti canai yang masih panas. Diambil secubit roti canai telur itu dan dicicah ke dalam piring berisi kuah dhal lalu dimasukkan ke dalam mulut.

“Tak,” sepatah jawapan yang keluar dari mulut Alynn. Air teh tarik disedut perlahan bagi membasahkan tekak yang terasa kering.

“Jangan cakap awak suka makan roti canai,” duga Azwan sekaligus membuat Alynn ketawa. Mujur air yang disedut tadi sudah melewati epiglottis. Kalau tidak, merasalah Azwan kena semburan air teh tarik pagi-pagi ni.

“Mana awak tahu saya nak cakap macam tu?” soal Alynn buat pertama kali.

“Sebab saya tahu awak suka buat lawak,” ujar Azwan.

“Awak tak kenal saya,” komen Alynn.

“Apa kata saya belajar untuk kenal awak dari sekarang?” Azwan sengaja mencari peluang di situ.

Alynn jungkit bahu. Masih mencubit sedikit roti canai dan mengunyah perlahan roti tersebut. Sunnah nabi, kalau makan kunyah 40 kali.

“Kalau saya tak nak?” Alynn cuba memprovokasi.

“Tak kenal maka tak cinta.” Ringkas namun sangat berarti kata-kata yang baru sahaja diucapkan oleh Azwan.

“No comment.” Jawapan nak selamatkan diri daripada Alynn. Cinta? Ingat senang macam tu je ke? Orang yang dah kahwin berpuluh tahun tu kenapa boleh bercerai? Tak mungkin mereka tak kenal sedangkan dah hidup sebumbung.

“AWAK sibuk?” soal Alynn apabila daripada tadi Azwan hanya mendiamkan diri. Kredit telefon ni berjalan beb. Kalau dia merangkak, Alynn tak kisah sangat.

“Sibuk sikit. Saya tengah buat design ni. Esok client nak,” ujar Azwan acuh tak acuh. Mata masih tak lepas memandang komputer. Tangannya juga masih laju menekan tetikus. Sewaktu Alynn telefon tadi, dia sudah siap-siap memasang handsfree.

“Owh. Tak apalah kalau macam tu. Awak buatlah kerja awak,” ujar Alynn.

“Okey,” ujar Azwan seraya memutuskan talian dan kembali fokus menghadap komputer. Laju tangannya menekan sana sini di papan kekunci.

“Saya rindukan awak,” ujar Alynn walaupun tahu talian sudah terputus. Gambarnya bersama Azwan yang diletakkan di hujung mejanya ditarik perlahan.

“Tak kenal maka tak cinta. Saya tahu awak sibuk, tapi takkanlah nak cakap dengan saya lima minit pun tak boleh,” ujar Alynn pada Azwan di dalam gambar.

Badannya direbahkan ke atas katil. Air mata mula mengalir. Empat tahun hidupnya begini. Azwan sibuk dengan kerjanya yang tak pernah berhenti. Malah boleh dihitung dengan jari berapa kali sahaja mereka keluar bersama. Boleh juga dihitung dengan jari berapa kali Azwan menelefonnya. Jika bukan kerana soal kerja, Azwan tidak mungkin akan menelefonnya. Memori bersama Azwan kembali bermain di ingatan.

“Alynn awak boleh online sekejap tak?”

“Kenapa?”

“Tengok design yang saya buat untuk client tu. Okey tak?”

“Awak telefon saya untuk cakap pasal ni je?”

“Nanti dah tengok beritahu saya okey. Thank you Alynn.”

Dan talian diputuskan. Alynn tidak pernah bekecil hati. Apalagi berdendam. Dia tahu Azwan bekerja bersungguh-sungguh kerana mahu hidup mereka terjamin di masa akan datang.


“KAHWIN?” soal Azwan buat kesekian kalinya.

Alynn mengangguk. Rasanya setiap kali topik ini dibincangkan, Azwan seakan-akan mengelak. Apakah kerana Azwan tidak mencintai dirinya? Atau dia sahaja yang fikir yang bukan-bukan.

“Sampai bila awak nak kita macam ni?” soal Alynn inginkan kepastian.

Tali leher dilonggarkan. Azwan rasa macam lehernya dijerut setiap kali Alynn membicarakan tentang hal ini.

“Saya tak bersedia lagi. Masih banyak lagi benda saya nak buat Alynn,” tenang Azwan menuturkan ayat itu.

Alynn cuba bersabar. Badannya disandarkan ke kerusi. Menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan.

“Tapi sampai bila Wan? Sampai saya dah mati? Sampai saya dah tak ada dekat dunia ni lagi?” soal Alynn bertubi-tubi. Usahanya untuk bersabar sebentar tadi nampaknya tidak berhasil. Dia seolah-olah meluahkan rasa tidak puas hatinya pada Azwan saat itu.

“Kalau saya kahwin dengan awak sekarang ni Alynn, saya nak bagi awak makan apa? Batu? Pasir? Awak nak makan benda-benda tu?” sinis Azwan berbicara.

“Rezeki tu ada Wan. Rezeki Allah bagi ada di mana-mana. Yang penting kita berusaha,” luah Alynn. Pandangan dilemparkan jauh ke air tasik yang berombak tenang.

“Dan saya sekarang sedang berusaha. Awak tak boleh nak tunggu lagi dah ke? Atau awak dah ada orang lain?” Sekali lagi Azwan seolah-olah menyindir Alynn.

Alynn memandang Azwan dengan perasaan kecewa. Tidak pernah dia bermain kayu tiga hatta kayu sepuluh pun di belakang Azwan. Biarpun Azwan bersikap dingin, dia tidak pernah berfikir untuk berpaling daripada cinta Azwan. Biarpun sepuluh tahun, hatta sampai nyawanya habis pun dia sanggup menunggu Azwan. Namun kata-kata Azwan tadi betul-betul mencalarkan hatinya.

“Kalau awak dah tak suka pada saya, awak boleh cakap terus-terang Wan. Tapi jangan tuduh saya ada orang lain,” protes Alynn.

“Siapa tahu kan,” ujar Azwan selamba.

“Perempuan mana yang sanggup bersabar macam saya tunggu awak Wan? Perempuan mana yang sanggup tahan bila awak tak peduli pun perasaan saya pada awak? Awak fikir awak cakap macam tadi tu saya boleh terima sebagai gurauan Wan? Yes, saya suka bergurau. Tapi benda macam ni saya tak pernah ambil enteng.”

Azwan tahu Alynn betul-betul marah saat ini. Mata Alynn sudah merah dan berkaca saat itu. Tangan Alynn cuba diraih. Alynn menepis.

“Awak dah lain Wan,” ujar Alynn penuh kesal.

“Saya tak pernah minta awak jadi macam awak waktu pertama kita kenal dulu. Cukuplah awak jadi diri awak sendiri. Tapi awak terlalu ego Wan. Awak terlalu ego sebab awak tak pernah fikirkan pasal saya. Awak hanya fikirkan diri awak,” ujar Alynn panjang lebar.

“Saya tak pernah niat nak buat awak macam tu,” ujar Azwan rendah. Ada nada kesal di situ. Alynn menyeka air mata yang keluar tanpa diminta.

“Lima tahun Wan. Lima tahun saya berkorban untuk awak. Tunggu awak setiap hari. Dengan harapan awak akan telefon saya cakap awak rindukan saya. Tapi setiap hari saya tunggu awak sampai saya tertidur tapi telefon saya tak pernah berdering.”

“Saya minta maaf Alynn.” Sungguh, Azwan tidak tahu Alynn terluka begini. Dia tidak tahu dia telah menyiksa Alynn selama lima tahun ini.

“Awak cakap awak nak hidup dengan saya sampai hujung nyawa? Hidup yang macam mana Wan? Hidup yang macam ni? Hidupnya yang hanya saya mencintai awak tapi awak tidak pernah mencintai saya?”

“Alynn, please stop this.”

“Dengar Wan. Dengar. Hari ini saya cuma minta awak pinjamkan telinga awak untuk saya. Dengar apa yang saya nak cakap pada awak selama lima tahun ni. Saya dah penat Wan. Penat bercinta seorang-seorang ni. Macam orang syok sendiri,”ujar Alynn sambil tertawa. Air mata yang jatuh di seka lagi. Dia sendiri tidak tahu kenapa mulutnya tidak mahu berhenti bicara hari ini.

“Saya pernah cakap dekat awak, kalau sampailah satu hari nanti awak minta saya berkorban, saya tetap akan berkorban untuk awak. Walaupun pengorbanan yang terpaksa saya buat tu adalah melepaskan awak. Dan hari ini, saya rasa saya sudah sampai pada tahap itu Wan,” ujar Alynn dengan suara yang tertahan-tahan.

“Jangan cakap macam tu Alynn. Saya cintakan awak,” ujar Azwan rendah.

Alynn membuang pandangan ke tengah tasik. Angin yang bertiup lembut diharapkan dapat membawa kekacauan hatinya saat ini.

“Kembalilah pada saya bila awak dah bersedia untuk jadi imam saya.” Ujar Alynn sebelum meninggalkan Azwan di tasik itu.



SEKETUL batu dilempar ke dalam sungai itu. Bayangnya di dalam air menghilang dan kembali ada apabila air yang berkocak kembali tenang. Ya, Alynn membawa hatinya pulang ke kampung halamannya. Duduk di tebing sungai yang jernih di belakang rumahnya saat ini. Membawa hatinya yang parah dilukakan oleh Azwan.

Pagi tadi setelah siap memasak untuk makan tengah hari, cepat-cepat dia datang ke sungai ini. Dia mahu mengadu pada sungai tentang kekejaman Azwan pada dirinya. Dia mahu sungai ini jadi saksi yang air matanya pernah menyumbang pada pertambahan isipadu air sungai ini.

“Kau tahu Azwan kejam pada aku? Sampai hari ini dia tak cari aku,” ujar Alynn pada sungai.

Air sungai mengalir laju menuju ke hilir.

“Bukan dia tak tahu rumah mak dekat kampung ni. Tapi tak pernah dia cari aku sampai sini. Kejam betul dia pada aku,” ujar Alynn lagi. Seketul batu lagi dibaling ke sungai.

Kakinya dipeluk rapat. Mukanya disembamkan pada lutut. Alynn menangis lagi.

“Azwan bukan kejam pada Alynn. Tapi dia tak tahu nak cari Alynn dekat mana,” ujar Azwan sambil merapati ke arah Alynn yang sedang teresak-esak menangis.

Alynn mengangkat mukanya. Tidak berani menoleh apabila dia pasti suara tadi milik Azwan.

“Tapi salah Alynn juga sebab tak pernah bawak Azwan datang dekat sini. Tempat yang ada sungai ni. Azwan sesat tiga hari tiga malam nak cari tempat ni,” tambah Azwan lagi sambil duduk di sebelah Alynn menghadap sungai di hadapan mereka. Alynn membeku ditempatnya.

“Azwan dah cakap Alynn dah ada orang lain sekarang ni. Tapi Alynn cakap tak. Habis sungai ni siapa?” Azwan berpura-pura protes. Menunggu reaksi daripada Alynn.

“Sungai bukan orang,” ujar Alynn dengan suara yang antara dengar dengan tidak.

“Ingatkan orang tu dah tak ada suara. Ada rupanya. Tapi serak-serak macam Ella. Berapa banyak dah air kau bertambah sungai? Kejam betul kau buat Alynn menangis,” ujar Azwan tenang. Wajah Alynn yang sembab di pandang penuh kasih.

“Kenapa datang sini?” soal Alynn perlahan.

“Sebab Wan rasa Wan dah bersedia nak jadi imam Alynn,” ujar Azwan bersungguh-sungguh.

Alynn memandang wajah Azwan tanpa perasaan. Susah untuk dia percaya kata-kata Azwan saat ini.

“Tak percaya? Tu tengok berapa orang tercangak berdiri dekat sana bawak dulang hantaran,” ujar Azwan cuba meyakinkan Alynn.

Alynn menoleh ke belakang. Gila. Alynn dapat lihat mak dan ayahnya sedang menyambut rombongan lima buah kereta yang datang ke rumahnya pagi itu. Dan rombongan itu bukan rombongan biasa. Rombongan dengan tepak sirih dan dulang hantaran.

“Aku dah cakap dengan kau sungai, Azwan ni kejam. Kau tengok sekarang ni, dia bawak rombongan meminang tapi tak beritahu aku. Aku dengan muka tak mandi ni kena pinang dengan orang, nak hadap muka bakal mak dan bapak mertua dengan muka tak mandi, tak ke kau rasa Azwan ni kejam?” Alynn berbicara lagi pada sungai.

Azwan ketawa berdekah-dekah.

“Tak mandi pun tak apa. Kan sungai ada. Terjun jelah mandi dalam sungai,” ujar Azwan mengusik Alynn.

“Awak memang kejam,” ujar Alynn perlahan.

“Pergi mandi cepat. Kalau lambat nanti tak jadi mak dengan abah saya nak masuk meminang. Anak dara tak mandi pagi. Ingat pukul berapa ni? Pukul sebelas dah.”

“Tak mandi pun tak apa. Sungai kan ada.”

“Alynn, Azwan, apa buat dekat sungai tu. Isy budak-budak ni. Orang sibuk bincang soal nikah kahwin dia, dia sibuk berdating dekat sungai. Alynn pergi mandi. Azwan sini,” laung Kak Zanna dari rumah.

Alynn dan Azwan ketawa bahagia.



©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz


Share

1 comments:

beginner said...

so sweet~~ tp Azwan mmg kejam...urghh!!!