Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

Cerpen : Tentang Dia

Oleh : Isha Idiaz

*****

NAK cakap dia ni cantik, wajah dia tak adalah cantik mana. Gelap je. Macam bulan mengambang. Nak cakap dia seksi, seksi lagi pelakon Hindustan Kareena Kapoor. Nak cakap dia ayu, ayu lagi Dian Sastrowadoyo.

Tapi kalau dia tak ada depan mata aku, aku rindu dia. Bila aku pandang langit, aku rindu dia. Bila aku tengok bintang, aku rindu dia. Bila aku renung bulan, aku rindu dia. Nak dipendekkan cerita, di mata aku ni cuma ada dia.

Satu je yang aku tak faham dengan diri aku sendiri, bila dia ada depan aku, aku suka buli dia. Aku suka sangat buat dia menangis. Bukan sekali. Bukan dua kali. Malah kalau dihitung menggunakan jari, tak terkira banyaknya aku buat dia menangis. Mungkin sebab aku rindukan dia. Sebab tu aku suka buli dia.


Sebenarnya, sengaja aku datang awal ke kafeteria ini sebab aku tahu dia pasti akan singgah di sini untuk bersarapan. Tapi, dah sepuluh minit aku tunggu, bayang-bayang dia pun aku tak nampak melewati kafeteria ini.

Eh! Tunggu sekejap. Aku rasa aku dah nampak dia. Amboi, gaya ayu dia hari ini. Berbaju kurung merah jambu, warna tudung merah jambu lembut pulak tu. Penampilan okey dah. Baju cantik dah. Cuma muka dia tu. Dari zaman aku kecil dulu, kulit dia macam Dayang Senandung. Teringat zaman kanak-kanak, aku orang yang paling suka ejek dia dengan panggilan Dayang Senandung.



“HEI Dayang Senandung!” sengaja aku jerit kuat-kuat dekat padang sekolah apabila nampak dia melintasi laluan gajah depan padang itu.

“Nama dia bukan Dayang Senandunglah Amar,” bisik Ramdhan di telinga aku seperti selalu. Aku cepat-cepat menyiku lengan Ramdhan. Aku sebenarnya tahu nama dia bukan Dayang Senandung. Tapi macam yang aku cakap, aku suka buli dia. Dan aku juga tahu Ramdhan ni pembela si Dayang Senandung tu seperti biasa walaupun dia sebenarnya kawan baik aku.

Dia berhenti dan memandang ke arah aku. Mungkin sudah terbiasa aku memanggilnya begitu, makanya dia berhenti apabila mendengar aku melaung memanggil namanya. Maksud aku, nama yang aku bagi untuk dia.

“Muka kau ni setiap hari aku tengok gelap je walaupun hari tak mendung.” Tu ayat muqaddimah aku untuk membuli dia. Aku lihat dia masih merenung memandang aku. Tanpa reaksi.

“Cubalah pakai Fair and Lovely ke bagi cerah sikit muka kau tu. Sekarang ni musim panas. Nanti selalu sangat kau kena cahaya matahari, makin gelap muka kau tu.” Ini pula ayat provokasi aku untuk buat dia menangis.

Lepas tu, aku lihat dia berlalu meninggalkan aku. Paling buat aku bahagia bila aku tengok dia menangis. Puas rasanya hati aku. Dan macam biasa, Ramdhan pula akan beri ceramah free untuk aku.

“Apa masalah kau dengan Aina tu Amar? Dia tak kacau kau pun,” ujar Ramdhan sambil merenung ke arah aku tajam.

Aku jungkit bahu.

Geleng kepala.

Memang tak ada masalah. Cuma memang dari kami kecil aku suka buli dia.

“Suka,” sepatah aku tuturkan.

“Tapi sekarang kita bukan budak kecil lagi macam dulu-dulu. Kita dah lima belas tahun Amar. Kau kena ingat, dia pun ada perasaan malu. Ni kau terjerit-jerit panggil dia Dayang Senandung, malulah dia,” ujar Ramdhan lagi. Kalau tadi Ramdhan cuma merenung aku tajam, sekarang Ramdhan dah mula berpeluk tubuh. Itu tanda-tanda ceramah akan diteruskan dengan lebih serius. Terpaksalah aku tadah telinga.

“Dah terbiasa. Nak buat macam mana. Dia pun tak pernah marah aku panggil dia Dayang Senandung. Paling pun dia menangis,” ujar aku membela diri.

Ramdhan menggeleng perlahan.

“Tapi kau lupa, kau pernah buat dia tak datang sekolah satu minggu sebab panggilan Dayang Senandung kau tu,” ujar Ramdhan sekaligus membuatkan memori waktu zaman aku masih budak hingusan dulu bermain di ingatan.



AINA sibuk meracik bunga dan daun untuk dijadikan bunga rampai. Ramdhan pula sibuk menadah air di dalam tempurung kelapa untuk dijadikan air renjisan pengantin nanti. Aku pula dari tadi duduk dan hanya melihat sahaja rakan-rakan yang lain membuat persiapan itu ini. Maklumlah, aku jadi pengantin lelaki. Pengantin mana boleh buat kerja.

“Kau ni Amar, duduk je. Tolonglah kita orang ni,” Fida merungut sambil menghulurkan tiga kuntum bunga ros kepada Aina. Aina mengambil bunga yang dihulur oleh Fida. Dari tadi aku lihat Aina diam dan hanya fokus melakukan kerja yang diarahkan untuknya.

“Mana ada pengantin buat kerja masa hari nak sanding,” ujar aku bersahaja. Aku tahu, kalau mereka suruh aku buat kerja dan aku ugut tak nak jadi pengantin untuk permainan kahwin-kahwin ni, mesti mereka gelabah nak cari pengganti pengantin lelaki. Kata Husna, pengantin lelaki kena kacak macam Putera Raja yang selamatkan Cinderella tu. Kira aku ni dah habis kacaklah sebab aku jadi pengantin.

“Entah kau ni Fida. Mana ada pengantin buat kerja. Biarlah Amar duduk. Amar kan pengantin. Nanti kalau Amar tak nak main kahwin-kahwin ni dengan kita, siapa yang nak ganti tempat Amar jadi pengantin,” celah Husna yang membuatkan bibir aku mengukir senyum lebar hingga ke telinga. Waktu itu aku lihat Aina mengangkat mukanya memandang ke arah aku. Bibirnya dicebirkan. Sebentar kemudian, dia tunduk dan meleraikan pula helaian bunga ros satu-persatu.

Terfikir pula, hari ini giliran siapa pula yang nak jadi pengantin perempuan untuk bersanding dengan aku. Aku tengok wajah Fida. Fida cantik tapi mulutnya tak reti nak senyap. Bukan citarasa aku. Husna pula biasa-biasa. Belajar pun tak pandai mana. Aku bukanlah high taste sangat. Tapi nak jugalah perempuan yang cantik dan pandai untuk dijadikan isteri. Tapi kawan-kawan aku ni semua biasa-biasa kecuali Aina. Aina ni walaupun gelap tapi ada aura luar biasa. Ada aura yang buatkan aku rasa nak buli dia setiap kali dia ada dekat aku.

Aku pandang Aina. Dia juga pandang aku. Anak mata kami berlaga. Aina melarikan pandangannya. Buat macam tak ada apa. Aku pula dapat peluang nak kenakan dia.

“Apa kau pandang-pandang aku Aina?” sergah aku sekaligus membuat Aina menoleh ke arah aku dan merenung aku tajam.

“Siapa pandang kau?” Aina menjawab spontan. Mungkin Aina sudah masak dengan perangai aku yang suka membulinya jika ada peluang. Mungkin juga Aina jengkel dengan sikap aku yang suka mengganggunya.

“Kau fikir aku tak nampaklah kau curi-curi pandang aku?” Duga aku lagi. Sengaja aku tekankan ayat itu.

“Pandang bayang kau pun aku tak nak,” ujar Aina perlahan seolah-olah bermonolog dengan dirinya sendiri.

“Kalau kau rasa aku ni kacak, rasa aku ni handsome, cakap jelah. Aku bagi kau peluang jadi pengantin perempuan hari ini,” ujarku penuh yakin. Macam biasa, kalau nak pilih pengantin perempuan mestilah aku yang kena pilih. Sebabnya, kan nanti mereka nak bersanding dengan aku. Lagipun mana ada perigi yang cari timba. Kumbang yang kena cari bunga.

Fida dan Husna menunggu reaksi daripada Aina.

Satu minit. Dua minit.

Aina masih diam meneruskan kerja-kerjanya yang lain. Gigih Aina mengikat kuntuman bunga kertas dengan daun bunga raya untuk dijadikan bunga pegang untuk pengantin perempuan nanti.

“Aina?” serentak Fida dan Husna memanggil Aina.

Aina geleng.

“Tak nak aku kahwin dengan lelaki macam dia tu,” ujar Aina bersahaja. Sempat dia jeling ke arah aku. Ramdhan pula sempat ketawakan aku.

Jawapan Aina tadi membuatkan egoku sedikit tercalar. Lelaki kacak macam aku ditolak oleh seorang perempuan yang gelap? Yang tak masuk dalam senarai pencalonan akhir pun untuk kategori perempuan idaman. Berani dia buat aku macam tu?

“Dah tu kalau kau tak nak kahwin dengan aku, kau nak kahwin dengan siapa?” soal aku berani. Sengaja nak cari pasal selain daripada nak tahu isi hati Aina pada aku yang sebenarnya.

Aina angkat kepala. Dia menoleh ke belakang. Aku turut memandang ke arah yang sama. Ramdhan di belakang hanya tersenyum memandang Aina. Aina menghadiahkan senyuman kepada Ramdhan tanpa memikirkan perasaan aku di sini.

“Kau ingat Ramdhan tu suka dekat kau?” soal aku lagi. Aina diam tidak menjawab.

“Hei Aina, dengan muka kau yang gelap macam Dayang Senandung ni, tak payahlah kau fikir nak kahwin dengan aku. Sepuluh tahun ke, dua puluh tahun akan datang ke, kalau masa tu kau teringin pulak nak kahwin dengan aku, jangan haraplah aku nak kahwin dengan kau,” ujar aku selamba.

Aina angguk.

“Muka macam kau ni, lelaki biasa macam Ramdhan tu pun tak pandang tau. Kulit hitam macam Dayang Senandung!” herdik aku lagi.

Entah kenapa aku lontarkan kata-kata itu kepada Aina, aku juga tidak tahu. Mungkin sebab aku marah dia tolak pelawaan aku untuk menjadi pengantin perempuan aku hari ini. Mungkin juga sebab dia pandang ke arah Ramdhan dan bukannya aku.

Tidak lama, aku lihat Aina berlari meninggalkan kami berempat di situ. Aku sempat lihat dia mengesat air matanya dengan tangan sewaktu bangun tadi.

Satu minggu setelah hari kejadian, Aina tidak datang ke sekolah. Aku tahu dia tidak sakit sebab aku nampak dia teman ibunya pergi pasar. Aku juga tahu dia marahkan aku sebab setiap kali dia nampak aku selepas hari itu, dia tak pernah pandang wajah aku dan dia sentiasa mengelak daripada berjumpa dengan aku.



AINA melewati meja yang aku duduk di kafeteria itu. Aku tak pasti sama ada dia perasan kehadiran aku di situ atau tidak. Tapi aku tidak kisah, sebab aku sudah wakilkan pada abang yang jaga di mesin kira tu untuk serahkan hadiah kepada Aina.

“Berapa bang?” soal Aina seraya menghulurkan not lima puluh ringgit.

“Lima ringgit je dik. Besar sangat duit ni. Ada duit kecil tak?” soal abang yang menjaga mesin kira itu.

Aina mengeluarkan kembali dompetnya. Aku lihat dia mencari-cari sesuatu dalam dompetnya. Sebentar kemudian dia menggeleng.

“Tak apalah, hari ini abang belanja. Anggap sebagai hadiah untuk hari jadi adik,” ujar abang tersebut.

Riak wajah Aina berubah. Mungkin terkejut macam mana abang di kafeteria ini boleh tahu hari ini hari jadinya. Seolah-olah tahu apa yang bersarang di otak Aina, abang tersebut menghulurkan sebuah bungkusan kepada Aina.

“Ambillah. Ada orang bagi,” ujar abang tersebut sambil mengunjukkan satu beg berisi sebuah kotak yang berbalut pembalut hadiah warna biru dengan corak batik.

“Siapa?” soal Aina lalu mengambil bungkusan tersebut. Aku sudah memalingkan wajah ke arah lain.

“Secret admire kot,” usik abang tersebut. Aku lihat Aina senyum segaris.

Secret admire? Abang ni pun over. Sejak bila pulak aku jadi secret admire si Aina ni. Aku lihat Aina masukkan beg kecil tadi ke dalam beg sandangnya. Aku senyum. Puas hati. Semoga dia suka hadiah yang aku belikan untuk dia.

Ayat ‘Selamat Hari Lahir Aina! Semoga kau lebih cerah daripada dulu!’tertulis di atas sekeping kad yang aku bungkus bersama kotak itu.



SEJAK hari itu, aku lihat wajah Aina semakin bersih. Malah, semakin lama, wajahnya semakin cerah. Kalau dulu aku panggil Aina dengan nama Dayang Senandung, tapi sekarang aku rasa macam nak panggil Aina kuat-kuat dengan panggilan Snow White je.

“Apa pandang? Ada hutang?” sergah Aina tiba-tiba.

Aku tersentak apabila diperlakukan begitu. Aku geleng. Kali ini aku rasa aku pula yang kena buli dengan Aina.

“Kau buat apa sekarang?” soal aku berbasa-basi dengan Aina. Maklumlah, lama dah tak jumpa. Hari ini pun aku jumpa Aina di sini sebab Ramdhan ajak kami keluar bersama.

“Tengah training nak jadi bakal isteri yang solehah, bakal menantu yang baik dan bakal ibu yang mithali,” ujar Aina selamba. Terkejut juga aku mendengar jawapan dari Aina tadi.

“Kau dah nak kahwin?” soal aku lagi.

Aina angguk. “Sooner or later aku akan jadi isteri orang juga. Tak kan nak berkepit bawah ketiak mak bapak semedang. So, kenalah practice. Practice makes perfect you know,” ujar Aina lagi.

Aku terkesima sekejap mendengar jawapan Aina. Baru aku tahu Aina boleh cakap lebih daripada sepuluh patah perkataan. Selama ini, Aina cakap dengan aku paling banyak pun lima patah perkataan je kot. Aina yang dulu, bukanlah Aina yang sekarang. Dulu, dulu, dulu, Aina tak ada nak cakap pasal jadi isteri orang. Tapi sekarang Aina dah practice nak jadi isteri orang.

“De-dengan siapa?”

“Maksud aku dengan siapa kau nak kahwin?” soal aku tergagap-gagap. Rasa macam lagu Separuh Jiwaku Pergi nyanyian Anang terngiang-ngiang dekat lubang telinga. Dada pula dah berdebar-debar.

Aina jungkit bahu.

Aku lepaskan nafas lega.

Ramdhan kembali dengan tiga gelas orange juice. Aku dan Aina kembali diam. Masing-masing hirup jus oren. Buat wajah selamba.

“Dari tadi kau orang diam macam ni je ke?” soal Ramdhan cuba membawa aku dan Aina kembali ke alam nyata.

Kalau tak ada Ramdhan, aku rasa, aku dah ke bulan sekarang ni. Bawak terbang hati Aina dulu sebelum orang lain curi hati dia daripada aku.

Aina buat tak dengar apa yang Ramdhan baru cakap. Buat muka toya.

“Aku ada tanya Aina tadi, dia pakai produk apa sampai jadi cerah macam sekarang ni,” ujar aku selamba. Idea spontan tu namanya. Bila fikir balik, setahun juga aku tak jumpa Aina ni. Bila dah lama tak jumpa, nampaklah perubahan pada Aina.

“So, Aina pakai produk apa?” soal Ramdhan pula. Aku jungkit bahu.

“Dia belum jawab.”

“Fair and Lovely,” ujar Aina rendah.

“Berkesan rupanya produk tu ya? Aku ingat main-main je. Patutlah kau makin cerah sekarang Aina,” Ramdhan memuji Aina.

“Ada orang yang bagi kat aku dulu. Aku pakai jelah. Bila pakai tengok serasi, aku beli sendiri. Tapi tak payah beli pun tak apa. Orang tu tiap-tiap bulan pos pada aku,” terang Aina panjang lebar.

“Orang mana yang bagi dekat kau?” Ramdhan pula bertanya. Aku pun nak juga buka mulut bertanya soalan yang sama. Saja.

“Entah. Prince Charming aku kot,” ujar Aina tanpa perasaan. Jus oren yang masih bersisa suku gelas disedut sampai habis.

“Untunglah ada Prince Charming. Kalau dia nak datang meminang kau, kena naik kudalah ni? Kata Prince Charming kan?” usik Ramdhan. Aku lihat Aina tertawa. Dalam hati nak tahu juga apa jawapan Aina.

“Kalau dia datang naik kuda, aku terima. Kalau jalan kaki pun aku terima. Ingat senang ke nak cari calon zaman sekarang ni? Aku ni bukannya cantik, gelap pulak tu macam Dayang Senandung. Tak boleh memilih sangat. Tak ada Prince Charming, ada orang biasa yang cukup sifatnya, yang baik budi pekertinya pun aku terima.”

Ramdhan mengangguk. Barangkali sependapat dengan Aina.

Aku? Aku diam sahaja. Tak tahu nak komen apa. Nak datang naik kereta kuda ke nak datang jalan kaki? Aina cakap dua-dua pun dia terima kan? Yang penting cukup sifat dan baik budi pekerti. Tapi rasa bersalah jugalah bila Aina masih ingat yang aku panggil dia dengan panggilan Dayang Senandung tu.



Sebulan sebelum.

SURAT yang sudah ku lipat kemas, aku masukkan ke dalam kotak berisi set pencerahan wajah Fair and Lovely yang akan aku poskan sebentar lagi buat Aina. Aku lepaskan nafas lega. Aku harap Aina dapat menerima pemberian aku ini seperti biasa. Namun ada sesuatu yang luar biasa yang aku kirimkan bersama kotak ini. Ya, nota pendek itu.

Kepada Dayang Senandung,

Walaupun wajahmu gelap bagai bulan mengambang, aku tetap menerima kamu dan melaninmu seadanya. Kerana di hatiku cuma ada kamu.

Aku harap Aina faham isi yang aku cuba sampaikan dalam nota pendek itu. Atau setidaknya dia tahu, pemberi set itu setiap bulan adalah aku. Sebab rasanya, kalau aku nak hadap muka dia dan cakap aku sukakan dia, tak mungkinlah akan berlaku.



AKU lihat Aina menitiskan air mata sewaktu aku melafazkan akad nikah. Dengan sekali lafaz sahaja, Aina sah menjadi isteri aku. Perlahan aku kucup ubun-ubunnya.

“Awak memang tak ada kerja kan?” soal Aina malam itu sewaktu kami sama-sama merenung ke arah bulan penuh.

“Apanya?” soal aku sepatah. Entah kenapa, baru sekarang aku terasa malu. Masa buat tu aku tak rasa malu pun. Bangga lagi ada.

“Yalah, datang rumah saya pakai kuda. Ingat zaman dulu-dulu ke?” perli Aina. Tergelak juga aku apabila teringat kembali detik-detik seminggu lalu saat aku datang membawa rombongan meminang ke rumah Aina dengan menaiki kuda ala-ala Prince Charming datang nak selamatkan Snow White.

“Dah tu sayang yang cakap kalau Prince Charming datang nak meminang kena naik kuda, tu abang naik kuda tu,” ujar aku selamba. Sebenarnya, aku pun gugup nak panggil Aina sayang dan bahasakan diri aku abang. Tapi kalau tak dibiasakan, sampai bila nak bahasakan diri masing-masing kau aku. Tak pun saya awak.

Aina tersedak dua tiga kali. Cepat-cepat aku urut belakangnya.

“Say what? Sayang? Abang?” soal Aina bertubi-tubi. Inginkan kepastian.

Tiba-tiba aku pula yang rasa malu bila Aina yang tanya soalan macam tu pada aku. Aina ni pun satu. Buat selamba sudahlah. Aku syak Aina nak kenakan aku balik. Mungkin dia nak balas dendam pada aku.

“Bukan Dayang Senandung?” soal Aina lagi. Kali ini, Aina sudah bangun dari kerusi mahu berlalu pergi meninggalkan aku seorang diri di balkoni. Cepat-cepat aku tarik tangannya dan menghalang dia pergi.

“Sayang masih dendam pada abang sebab panggil sayang macam tu?” soal aku teragak-agak. Risau juga. Ini baru hari pertama aku hidup sebumbung dengan Aina. Belum sebulan. Kalau tiap-tiap hari buatnya Aina tanya aku soalan tu, mahu gila aku dibuatnya. Tapi salah aku juga. Siapa suruh aku ejek dia dulu. Kan dah kena tanggung akibatnya sekarang.

Aina pandang tepat ke dalam anak mata aku. Jari-jemari aku digenggam erat. Sebuah senyuman terukir di bibirnya.

“Terima kasih sebab sponsor Aina set Fair and Lovely tu setiap bulan dan terima kasih juga sebab menerima Aina dan melanin Aina seadanya. Kalau abang tak bagi Aina set tu, Aina tetap macam Dayang Senandung sekarang ni,” ujar Aina dan meninggalkan aku yang terpinga-pinga di situ.

“Bila Aina tahu?”

“Abang ingat Aina tak tahu tu tulisan abang?” ujar Aina dan terus menghilangkan diri di sebalik pintu bilik.

Hai Aina. Kenapalah tak cakap awal-awal yang dia dah tahu lama dah aku sukakan dia. Tak payahlah aku nak naik kuda bagai semata-mata nak meminang dia. Konon nak surprise sangat. Sekarang aku yang dah tersurprise.

Aku senyum bahagia. Cepat-cepat aku berlari mendapatkan Aina yang sudah bersemangat membuka bungkusan hadiah yang diterima sewaktu majlis tadi.

“Aina, tunggu abang! Abang pun nak bukak hadiah tu juga!” laung aku sambil menuruni anak tangga.



AKU tidak pernah mengimpikan Aina akan menjadi isteriku kerana aku tahu aku bukan seorang lelaki yang sempurna buat dirinya. Apatah lagi akulah lelaki yang selalu membulinya satu ketika dahulu. Namun di hati kecilku, aku berharap aku dapat membahagiakan dirinya. Dan aku selalu berusaha untuk memenuhi impiannya. Setiap kali impiannya terpenuhi, itulah detik terindah dalam hidup aku.

Panggilan Aina dari ruang tamu membuatkan aku kembali ke alam nyata. Aku tahu Aina pasti akan mengutarakan hal ini seperti selalu. Kadang-kadang aku rasa nak marah juga NTV7 ni kerana menyiarkan drama Korea.

“Kenapa? Sayang nak pergi Korea ke?” soalku menduga.

Aina pandang aku.

“Abang nak bawak Aina pergi sana ke?”

“Kalau ya?”

Aina terus memeluk erat pinggang aku. Disandarkan kepalanya di bahuku.

“Kalau tak bawak pun Aina tetap sayang abang.”

Apa lagi yang aku mahukan selain daripada kasih sayang daripada Aina? Rasanya kasih sayang daripada Aina itu adalah segala-galanya untuk aku. Kerana itu aku merencanakan sesuatu untuk Aina sempena ulang tahun perkahwinan kami tidak lama lagi. Mungkin aku akan membawanya ke Korea.

Tentang dia.

Tentang Aina.

Dia gadis yang aku puja.

Dia gadis yang aku cinta.

Hidup aku sunyi tanpa dia.

Dan kini, hidup aku lengkap dengan kehadirannya.

“Abang pun sayang Aina juga,” ujarku sambil mengucup lembut ubun-ubunnya.

Share

4 comments:

Anonymous said...

boleh x post kt sini

Anonymous said...

Ssh le kalo link2... :(

Unknown said...

Benda la link ni hanto ke fb fair & lovely msia..... -.-

Anonymous said...

Anon : Sebab dia tak boleh di publishkan ke blog sendiri.

Hanis : Memang link ke sana. Sebab ini contest untuk Fair & Lovely.