Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

16

*****

DIAM tidak diam sudah tiga minggu Faizah berada di rumah. Tiga minggu juga dia merindui insan bernama Farhan. Telefon bimbit yang diletakkan di meja di sudut katil dicapai. Melihat jika ada pesanan ringkas yang dihantar oleh Farhan.

Kosong. Tiada pesanan baru yang diterimanya. Sebuah keluhan dilepaskan. Hampa. Lantas diletakkan semula telefon bimbitnya di atas meja kecil itu.

Pandangan dibuang ke luar tingkap bilik. Memandang daun pokok buluh perhiasan itu melentol-lentok ditiup angin. Daunnya juga bergoyang-goyang dan bergeser sesama sendiri menghasilkan bunyi yang tenang jika mendengarnya.



            Puan Laila menggeleng-gelengkan kepalanya melihat keadaan Faizah yang duduk termenung itu. Kakinya melangkah menuju ke arah Faizah. Merapati anak gadisnya itu. Diusap kepala anak keduanya itu penuh kasih. Faizah agak terkejut dengan tindakan Puan Laila itu lantaran fikirannya jauh terbang mengingati Farhan.

            “Eh, mama. Bila mama masuk?” soal Faizah menutupi rasa terperanjatnya. Lantas tangannya memaut jari jemari Puan Laila.

            “Lama dah mama tercongok depan pintu tu. Angah sampai mana dah tadi?” soal Puan Laila sambil memberikan sebuah senyuman kepada Faizah. Punggungnya dilabuhkan ke atas katil Faizah. Duduk bersebelahan dengan anak gadisnya itu.

            “Sampai mana mama?” soal Faizah lagi berpura-pura tidak faham soalan yang diajukan oleh Puan Laila tadi.

            “Yalah, termenung tadi tu sampai mana dah? Ada sampai Negeri Sembilan tak?” soal Puan Laila kembali. Memperjelas kembali soalan yang diajukan kepada Faizah sebelumnya. Sengaja dia mengusik anaknya itu.

            Faizah sudah tersengeh-sengeh senyum. Cuba menyembunyikan apa yang ada difikirannya daripada pengetahuan mamanya.

            ‘Macam tahu-tahu je mama ni aku dah sampai Negeri Sembilan,’ bisik hati Faizah. Kakinya menguis-nguis permaidani yang dihamparkan di sebelah katilnya itu. Puan Laila tersenyum melihat tingkah laku Faizah yang serba tidak kena itu.

            “Lubang nanti permaidani mama tu Faizah,” tegur Puan Laila sambil tertawa. Sengaja dia mengusik Faizah yang dilihat sudah macam cacing yang kepanasan itu.

            “Mana ada lubang mama. Angah buat macam ni je,” ujar faizah sambil menguis-nguiskan kakinya di permaidani itu.

            “Kalau kena seratus kali angah buat macam tu, lubang la permaidani mama tu,” tambah Puan Laila lagi.

            “Takkan lubang punya. Bukan angah ambil gunting buat lubang dekat permaidani mama ni,” ujar Faizah membela dirinya lagi. Kakinya sudah kaku. Tidak lagi menguis-nguis permaidani mamanya itu. Kini, tangannya mencapai pula bantal peluknya kemudian dipeluk bantal itu kuat-kuat.

            “Ha, tu kenapa pulak tu?” soal Puan Laila apabila melihat Faizah sudah semacam mahu bertinju pula dengan bantal peluknya.

            “Hobi baru ni mama. Wrestling,” ujar Faizah bersahaja. Kemudian dia terkekeh-kekeh ketawa apabila melihat Puan Laila seakan-akan tidak percaya dengan ayat yang baru dituturkannya sebentar tadi.

            “Kalau ya pun ingat dekat orang tu, janganlah sampai bantal mama beli tu jadi mangsa. Ish budak ni,” tutur Puan Laila sambil mengambil bantak peluk itu daripada tangan Faizah. Jika tidak diambil, mahu jadi lembik bantal itu ditinjunya nanti. Anak gadisnya ini bukan calang-calang perempuan. Tenaganya tiga kali ganda lebih kuat daripada lelaki.

            Terhambur tawa Faizah apabila mendengar kata-kata mamanya itu. Teringat kembali peristiwa dua hari lepas sewaktu penjual gas datang menghantar gas ke rumah, dengan sebelah tangan sahaja dia boleh mengangkat tong gas besar itu. Jejaka itu ternganga melihatnya. Mungkin tidak percya gadis sepertinya boleh mengangkat tong gas seberat itu.

            “Mama nak masak apa hari ni?” soal Faizah setelah ketawanya reda. Matanya menatap wajah Puan Laila menanti jawapan daripada wanita separuh umur itu.

            “Angah nak makan apa?” soal Puan Laila pula kepadanya.

            “Hurmmm…,” jawab Faizah sambil memikir-mikir menu yang ingin dia makan. Belum sempat dia menyuarakan menu yang diidamkannya, Puan Laila sudah terlebih dahulu bersuara.

            “Rendang daging campur hati letak kacang panjang?” duga Puan Laila.

            Mendengar menu itu, Faizah terus memeluk pinggang Puan Laila. Lebar senyuman dibibirmya.

            “Macam tahu-tahu je mama ni, angah nak makan apa” ujar Faizah dalam nada manja.

            Puan Laila mengusap lembut rambut anak gadisnya itu. Masakan dia tidak tahu makanan kegemaran Faizah yang satu itu. Kedua beranak itu bingkas bangun dan menuju ke dapur untuk menyiapkan hidangan makan tengah hari hari itu.

            Dalam fikiran Faizah, sekali lagi Farhan menjelma.

            ‘Apakah aktiviti dia hari ni?’ soalnya di dalam hati.

*****

FARHAN mencapai gitar akustiknya yang disandarkan di tepi katil. Dipangku gitar itu di atas ribanya. Kini jarinya sudah memetik tali gitar itu. Kedengaran melodi yang ala-ala meruntun jiwa. Pantas ideanya mengalir keluar.

            ‘Lagu baru,’ bisiknya dalam hati.

            Gitar yang tadinya di atas riba diletakkan sebentar di atas katil. Laci di meja tepi katil itu ditarik. Pantas tangan Farhan mengeluarkan sebuah buku nota kecil yang sememangnya khusus untuk dia menulis lirik dan melodi lagu-lagu yang dicipta olehnya.

            Jari-jemarinya kembali memainkan not untuk lirik pertama. Kakinya dihentakkan mengikut irama gitar yang dipetiknya. Berpuas hati dengan melodi itu, Farhan menulisnya di buku nota kecil tadi.

            Setelah hampir sejam memerah otak mencipta melodi untuk lagu baru itu, akhirnya Farhan mampu tersenyum apabila dia berjaya menyiapkan lagu itu hingga ke ayat yang terakhir. Nasib menyebelahinya hari ini kerana mudah sahaja dia mendapat ayat-ayat untuk dijadikan lirik dan mudah juga dia mencari not untuk lagu baru itu.

            Kini, Farhan memainkan semula melodi lagu tadi dan menyanyikannya dengan sepenuh hati. Berpuas hati dengan lagu itu, dia bingkas bangun dan menyandarkan kembali gitar akustiknya tadi di tepi katil.

            Buku nota kecil tadi dicapainya. Di tulis tajuk lagu baru itu di baris paling atas di helaian tadi. Menatap sekali lagi helaian itu. Buku itu ditutup kemudian dimasukkan semula ke dalam laci.

            Telefon bimbit yang tadi di cas di atas meja belajarnya dicapai. Pantas tangannya menaip sesuatu di kekunci telefon bimbit itu dan sebuah pesanan ringkas dihantar.

            Sepantas itu juga telefon bimbit milik Faizah bergetar menandakan ada pesanan ringkas masuk. Melihat nama yang tertera di pesanan ringkas itu, Faizah sudah tersenyum lebar.

            ‘Malam nanti aku telefon,’ Faizah mengulang beberapa kali ayat yang tertera di pesanan ringkas yang diterima daripada Farhan sebentar tadi.

            Matanya melirik jam di dinding. Baru jam tiga petang. Masih awal lagi untuk malam melabuhkan tirainya.

            ‘Cepatlah malam!’ jerit hatinya yang sedang berbunga riang.

*****

JAM sudah menunjukkan pukul sembilan malam. Faizah melihat telefon bimbitnya entah buat kali yang ke berapa kali. Masih menunggu panggilan daripada Farhan. Senyuman masih tidak hilang daripada bibirnya.

            Akhirnya nada dering Lemas dendangan Ruffedge berkumandang menandakan ada panggilan yang masuk ke telefon bimbitnya. Dengan rasa gembira dan teruja, pantas Faizah mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja belajarnya. Sepantas itu juga tangannya menekan butang untuk menerima panggilan tersebut.

            “Assalammualaikum,” ujar Faizah dalam nada riang. Menanti suara pemanggil menjawab salamnya.

            “Waalaikummussalam,” ujar suara di corong telefon itu dengan nada perlahan.

            Faizah berasa pelik. Suara yang didengarnya kini agak sedikit lain daripada kebiasaannya.


          “Kenapa suara kau lain Farhan? Demam?” soal Faizah bertubi-tubi. Kedengaran suaranya agak cemas.

            “Faz, abang ni…” ujar Iskandar perlahan.

            Bagai tindakan refleks, Faizah menjauhkan telefon bimbitnya daripada telinga dan segera melihat nama pemanggil yang tertera di skrin telefon bimbit itu.

            ‘Abang Iskandar,’ bisik hati Faizah.

            Hampa. Itu perasaannya ketika ini.

            Telefon bimbit itu dibawa kembali mendekati telinga. Sedikit teragak-agak untuk memulakan bicara, Faizah mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Hanya menunggu kata-kata seterusnya daripada Iskandar. Jika dimaki sekalipun dengan Iskandar, dia rela. Memang salahnya.

“Huh,” kedengaran sebuah keluhan dilepaskan di hujung talian. Iskandar berasa sedikit hampa dengan reaksi yang diberikan oleh Faizah. Masakan Faizah sudah lupa bagaimana nada suaranya.

Faizah juga turut melepaskan keluhan. Rasa bersalah menghimpit hatinya saat itu.

            “Faz tengah buat apa?,” soal Iskandar memulakan bicara.

            Lega hati Faizah apabila Iskandar akhirnya bersuara sekaligus membuang sedikit rasa bersalah yang bertandang di hatinya sejak tadi.

            “Duduk-duduk sambil baca novel,” ujar Faizah tenang. Matanya memandang sekilas novel yang masih dipegang di tangan kirinya. Cinta Pertama nukilan Norhayati Berahim.

            Mendengar tiada reaksi daripada Iskandar, Faizah berdehem. Terasa suaranya seperti tidak mahu keluar pula untuk memulakan bicara.

            “Abang sihat?” akhirnya keluar juga suara yang tadinya susah benar untuk dikeluarkan.

            “Alhamdulillah, Faz sihat?” giliran Iskandar pula bertanya kepada Faizah.

            “Alhamdulillah,” jawab Faizah sepatah.

            “Kenapa abang telefon Faz malam-malam ni?” soal Faizah tanpa melengahkan masa. Dia masih menanti panggilan daripada Farhan sebenarnya.

            “Tak ada yang penting sangat. Abang dengar esok keputusan peperiksaan akan keluar,” Iskandar menerangkan panjang lebar tujuan utama dia menelefon Faizah malam itu.

            Serta-merta dada Faizah berdebar. Ini yang paling ditakutinya. Berita pengumuman keputusan peperiksaan boleh membuat dia tidak senang duduk.

            “Heh? Esok ke? Pasti ke?” soal Faizah bertubi-tubi ingin memastikan perkhabaran berita yang baru diterimanya daripada Iskandar itu.

            “Katanya begitulah. Faz nak abang semakkan keputusan Faz tak?” soal Iskandar lagi.

            Faizah berkira-kira untuk menyuruh Iskandar menyemak keputusannya. Belum sempat dia menjawab, Iskandar sudah bersuara lagi.

            “Kalau nak, bagi abang nombor pelajar dengan kata laluan Faz,” ujar Iskandar seakan-akan memberikan sebuah arahan kepada Faizah.

            Faizah mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Tidak pernah sebelum ini dia menyuruh orang lain menyemak keputusan peperiksaannya.

            “Tak apalah abang. Faz semak sendiri esok,” ujar Faizah dalam nada sedikit bersalah.

            Entah di mana silapnya perbualan mereka hari ini agak dingin. Tidak seperti selalu. Mungkin kerana kesilapannya yang menganggap panggilan tadi datang daripada Farhan.

            “Hmmm, kalau macam tu, abang letak dululah ya. Selamat malam. Assalammualaikum,” ujar Iskandar dengan suara mendatar. Lantas talian diputuskan sebelum sempat Faizah menjawab salamnya.

            Suasana hatinya tidak begitu baik kali ini. Entah mengapa cemburunya menggunung tinggi setinggi puncak Gunung Everest. Bukan dia tidak biasa mendengar nama Farhan meniti di bibir Faizah. Namun kali ini, dia benar-benar berkecil hati dengan Faizah.

            “Waalaikummussalam,” ujar Faizah rendah walaupun dia tahu Iskandar tidak ada di talian lagi.

Telefon bimbit diletakkan kembali di atas meja. Faizah merenung kosong ke arah telefon bimbitnya itu. Masih berharap Farhan akan menghubunginya seperti yang dijanjikannya petang tadi.

Setelah hampir tiga jam menanti panggilan Farhan sambil membaca helaian demi helaian daripada novel Cinta Pertama itu, akhirnya Faizah tertidur. Tidur dengan rasa bersalah kerana telah membuat Iskandar bersedih malam ini. Tidur dengan rasa kecewa kerana Farhan tidak menghubunginya.

*****

FARHAN melihat jam yang tergantung kemas di tengah bilik tidurnya. Dua belas tengah malam. Bibirnya mengukir senyuman segaris. Akalnya mencerna beberapa idea untuk mengenakan Faizah malam ini. Dia yakin pasti gadis kesayangannya itu sudah lena diulit Encik Mimpi. Mungkin juga gadis itu sedang mengalirkan air mata saat ini.

            Faizah bermimpi lagi malam ini. Tiga minggu ini mimpinya tidak pernah bertukar. Setiap malam mimpi ini menganggu tidurnya.

            “Farhannnnnnnn…” jerit Faizah dengan suara yang tersekat-sekat. Air matanya sudah mengalir laju membasahi pipinya yang mulus itu. Faizah sudah lemah tidak berdaya. Dia longlai di kaki Farhan. Tangannya sempat mencapai kaki Farhan ketika Farhan mahu melangkah pergi.

            “Aku dah cakap aku tak suka kau!” bentak Farhan kasar. Tangan Faizah yang memegang kakinya ditolak keras.

            “Jangan buat aku macam ni Farhan,” lirih suara Faizah merayu.

            “Takkan kau tak faham Faiz, aku dah cakap aku tak suka dekat kau lagi! Aku suka Alia!” ujar Farhan dalam nada geram.

Farhan merengus kasar. Ditolak tubuh Faizah ke tepi. Lantas meninggalkan Faizah di situ keseorangan bermandi air mata.

Untuk kesekian kalinya, air mata Faizah gugur lagi di alam realiti. Deras. Membasahi bantal yang dijadikan alas kepalanya.

Farhan mencapai telefon bimbitnya. Di dail nombor Faizah. Talian bersambung. Hanya menanti untuk dijawab.

Manik-manik jernih masih mengalir keluar dengan deras daripada tubir mata Faizah. Namun getaran daripada telefon bimbitnya itu mampu membuat dia tersedar daripada mimpi dan tidurnya.

Air mata yang tidak tahu entah bila membasahi pipinya itu diseka walaupun ianya masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti daripada mengalir.

Pantas lampu tidur yang diletakkan di meja kecil sebelah katilnya itu dibuka. Cahaya samar-samar bewarna kuning menghiasi bilik itu. Pantas Faizah menjawab panggilan yang masuk itu.

“Hello. Assalammualaikum,” ujar Faizah tersekat-sekat dalam tangis yang masih bersisa. Suaranya kedengaran serak.

Di hujung talian, Farhan panik. Jelas kedengaran Faizah menangis tersedu-sedan.

‘Kenapa pula ni?’ soal Farhan dalam hati.

“Waalaikummussalam,” ujar Farhan berlagak tenang. Hanya tuhan sahaja yang tahu bagaimana risau hatinya saat itu.

“Farhan…” lirih suara Faizah menyebut namanya.

“Faiz kenapa? Sakit ke?” soal Farhan ingin tahu.

Cadangannya untuk mengenakan Faizah malam ini tidak menjadi kerana gadis itu berada dalam kondisi yang dia sendiri tidak tahu mahu diklasifikasikan sebagai apa.

“Mimpi…” ujar Faizah masih dalam sedu-sedan.

Farhan menarik nafas lega. Tangannya mengurut-ngurut dadanya yang terasa sesak tadi. Faizah boleh buat nyawanya melayang.

“Encik Mimpi kacau Faiz aku tidur ya?” soal Farhan lembut. Kedengaran tawa kecilnya di hujung talian.

Faizah sudah memuncungkan bibirnya sepuluh depa ke hadapan.

‘Orang sampai menangis mimpi pasal dia, boleh pula dia gelak-gelak,’ ngomelnya dalam hati.

“Kenapa telefon aku malam-malam buta ni?” soal Faizah tegas. Malas dia mahu melayan Farhan. Nanti Farhan pasti mengejeknya lagi. Menyesal pula dia mengangkat telefon tadi.

“Eh eh. Aku pula kena marah. Pergilah marah Encik Mimpi tu sebab kacau kau tidur,” ujar Farhan lagi. Nampaknya, rancangannya untuk mengenakan Faizah masih boleh diteruskan.

“Encik Mimpi tu tak bersalah langsung. Yang bersalah tu kau sebab telefon anak dara orang pagi-pagi buta macam ni,” bebel Faizah.

Geram. Sudahlah telefon lewat daripada yang dijanjikan, kini dia dipermain-mainkan pula oleh Farhan. Panas hatinya dengan Farhan.

“Uihh.. Garangnya dia. Meh aku babap Encik Mimpi tu ea. Kesian sayang aku ni. Sampai menangis kena kacau dengan Encik Mimpi,” usik Farhan lagi. Dia tahu Faizah pasti marahkannya kerana dia lambat menelefon gadis itu.

“Aku babap mulut kau karang terabur gigi kau tu Farhan. Baik kau diam,” ujar Faizah berbaur amaran. Farhan sungguh boleh membuatnya sakit hati.

Farhan sudah menghamburkan tawanya. Tidak disangka Faizah mahu bertindak seganas itu. Marah benar gadis itu kepadanya.

“Kalau kau suruh aku diam, apa guna aku telefon kau ni adik manis,” ujar Farhan dalam nada memujuk.

Naik bulu roma Faizah apabila Farhan menuturkan ayat itu. Geli-geleman pula rasanya apabila Farhan memanggilnya dengan panggilan ‘adik manis’.

“Apa adik manis? Aku tak nak beli tikar kau,” bersahaja sahaja Faizah menjawab.

Farhan tertawa lagi. Memang Faizah ini loyar buruk orangnya. Perkataan adik manis itu pun boleh dijadikan bahan untuk mengenakannya semula.

“Tikar tak nak, kain juga ada,” ujar Farhan dalam gaya ala-ala lelaki Bangla yang biasa menjual permaidani ke rumah-rumah.

Mendengar ayat itu, Faizah lantas ketawa. Memang Farhan tak boleh dilayan.

“Gila,” ujar Faizah sepatah. Kepalanya digeleng-gelengkan. Tangan kirinya menekan perut yang dirasakan mahu pecah kerana ketawa terlampau kuat.

Farhan tersenyum di biliknya. Badannya disandarkan ke kepala katil. Tangan kirinya dibawa ke belakang kepala mengampu lehernya.

“Sayang…” ujar Farhan penuh romantis.

Sekali lagi, meremang bulu roma Faizah. Seram pula apabila Farhan menuturkan perkataan itu pagi- pagi begini. Faizah menekuk lututnya ke atas dan memeluk kedua-dua belah kakinya. Kepalanya dilentokkan di atas lututnya.

“Dengarkanlah…” ujar Faizah separa berbisik. Sekuntum senyuman menghiasi bibirnya yang nipis itu menampakkan lesung pipitnya yang kelihatan dalam cahaya samar di bilik itu.

“Lagu hatiku…” Farhan menyambung perkataan yang dituturkan oleh Faizah tadi agar dapat membuat sebuah ayat yang lengkap.

“Hanya untukmu…” Faizah menlengkapkan ayat itu.

Kini, masing-masing sudah tersenyum malu. Penyakit apa pula yang melanda mereka berdua malam ini.

“Nak dengar lagu tak?” soal Farhan mengembalikan mereka berdua ke alam realiti.

“Hmmm.. Lagu?” soal Faizah inginkan kepastian. Manalah tahu jika dia salah dengar. Maklumlah matanya ini sudah layu. Mengantuk.

“Aku buat lagu siang tadi,” ujar Farhan perlahan. Tangannya membuka laci di tepi katil lalu mengeluarkan buku nota kecilnya.

“Lagu apa?” soal Faizah lagi.

Hard rock!” jawab Farhan spontan. ‘Banyak tanya pula Faiz ni. Cakap jelah nak dengar,’ ngomel Farhan dalam hati.

Hard rock apanya pagi-pagi macam ni Farhan. Serabut otak aku,” ujar Faizah. ‘Ingatkan lagu melayan jiwa. Siapa nak dengar lagu hard rock masa macam ni. Haih Farhan ni,’ keluh Faizah dalam hati.

“Ha, tak kira, lagu hard rock juga. Kau kena dengar Faiz,” ujar Farhan separuh mendesak.

Malas mahu bertikam lidah dengan Farhan, akhirnya Faizah beralah. “Yalah, hard rock pun hard rocklah Farhan. Aku layan je,” ujarnya tenang. Dalam hatinya ada sedikit rasa kecewa. Agak lama juga Farhan tidak menyanyikan lagu untuknya.

“Dengar tau,” ujar Farhan lagi.

“Baiklah,” ujar Faizah sepatah.

Pantas Farhan mengambil gitar akustiknya yang disandarkan di tepi katil. Handsfree dicucukkan ke telefon bibirnya dan mic digantung berdekatan dengan kolar bajunya.

“Dengar tak suara aku?” Farhan ingin memastikan sebelum dia mula menyanyikan lagu itu untuk Faizah.

“Dengar,” jawab Faizah sepatah.

Farhan mula memetik tali gitar akustiknya itu. Memainkan irama hard rock yang membingitkan telinga. Menyeringai tawanya kerana dia tahu pasti Faizah sudah menjauhkan telefon bimbit daripada telinganya.

“Hoi! Nak bagi aku pekak ke apa?” marah Faizah daripada hujung talian.

Tidak peduli dengan kata-kata Faizah, tali gitar terus dipetik sesuka hatinya. Dia sendiri akui bunyi yang dihasilkan olehnya itu boleh merosakkan gegendang telinga.

“Aku letak karang,” ugut Faizah. Separa menjerit dia menuturkan ayat itu. Tenggelam suaranya dibuat dek bunyi gitar yang haru-biru itu.

Dan irama hard rock tadi kini bertukar memainkan irama romantis dengan tiba-tiba. Mendengar irama lembut membuai rasa itu, pantas Faizah mendekatkan kembali telefon bimbitnya ke telinga.

Farhan sudah tersenyum. Faizah diam tanpa suara di hujung talian. Pasti gadis itu sedang menghayati melodi yang dimainkannya kini.

“Melayang dah ke?” soal Farhan sambil tangannya menari-nari di ‘fingerboards’ gitar akustiknya itu memainkan intro lagu yang diciptanya itu.

“Terbang je,” jawab Faizah jujur.

Farhan hanya tergelak kecil mendengar jawapan daripada Faizah. Faizah sedang melayan jiwanya.

Setelah  memainkan strum, Farhan mula melagukan lirik lagu yang ditulisnya petang tadi.

“Dalam sukarnya…. Meluahkan kata itu…”

Ayat itu kedengaran jelas di telinga Faizah. Daripada telinga luar, bunyi yang didengar dihantar masuk melalui Tiub Eustachio kemudian menembusi gegendang telinga. Lalu, tulang-tulang osikel bergetar dan menghantar impuls ke koklea dan bunyi itu dihantar ke otak untuk diintrepretasi sebagai bunyi yang didengari olehnya sekarang ini. Merdu!

“Aku tunjukkan rasa cintaku…”

Farhan meneruskan nyanyiannya. Sesekali matanya melirik ke arah buku notanya melihat not yang harus dimainkan.

“Kuzahirkan rasa rindu…”

Dia kini benar-benar merindui Faizah. Ketika dia menulis lirik lagu ini, di mindanya Cuma ada Faizah.

“Kelembutanmu… Mempesonakan jiwa…”

Faizah mengukir senyum. Bahagia. Lirik itu benar-benar menyentuh jiwanya. Hanya Farhan yang benar-benar mengenalinya.

“Senyum bibirmu mengundang ceria…”

“Hingga terbuai rasa…”

Dia merindui lesung pipit milik Faizah. Tiga minggu ini dia ingin sekali melihat Faizah tersenyum seperti selalu. Dia merindui detik-detik gembira yang mereka luangkan bersama.

“Dalam diam ku mencintai kamu…”

“Selamanyakan tetap dihatiku…”

Biar siapapun yang mengetuk pintu hatinya, tidak akan sesekali dia benarkan orang itu menyelinap masuk. Dihatinya kini sudah terukir nama Farhan.

“Terpisah jauh jiwa dan ragamu…”

“Walau beribu tahun…”

Walhal baru tiga minggu mereka berpisah namun dirasakan bagai sudah tiga tahun. Sakitnya menanggung rindu.

“Oh Oh Ohhhh…”

“Akukan menunggumu…”

Bait terakhir itu benar-benar menyentuh hati perempuannya. Setitis manik jernih membasahi pipi Faizah.

‘Jika cinta itu milik kita, pada akhirnya kita pasti bersama,’ bisik hati kecil mereka.

Faizah tersenyum bahagia. Farhan tersenyum puas. Dia menyanyi hanya untuk Faizah. Tidak akan sesekali dia menyanyi untuk gadis lain selain daripada gadis pujaan hatinya itu.

“Sekarang agak-agak Encik Mimpi nak kacau lagi tak,” soal Farhan mengusik.

“Jangan nak salahkan Encik Mimpi. Kau tetap bersalah Farhan,” ujar Faizah membela mimpi sedihnya.

“Dah. Pergi tidur sana. Esok kita semak keputusan sama-sama ya,” ujar Farhan lembut.

“Semak sama-sama? Macam mana tu?” soal Faizah.

            “Masa nak semak tu kita sama-sama tekan butang semak. Nanti kita sama-sama beritahu keputusan kita,” terang Farhan panjang lebar.

            “Kalau aku tak nak macam mana?” duga Faizah.

            “Nur Faizah, bukan ke awak dah janji dengan Farhan Faizuddin nak semak keputusan sama-sama dulu? Lupa dah ke?” Farhan cuba mengingatkan Faizah tentang perjanjian mereka sewaktu awal-awal mereka menjadi rapat dulu.

“Oh ya. Saya baru teringat. Terima kasih kerana mengingatkan saya Farhan Faizuddin. Terima kasih juga untuk lagu tadi. Walaupun pitching lari, tapi saya suka suara awak,” ujar Faizah. Ada tawa di hujung bicaranya.

“Sempat ea kenakan orang. Dah pergi tidur. Selamat malam. Assalammualikum,” ujar Farhan dalam tawa.

“Selamat malam. Waalaikummussalam,” ujar Faizah.

Talian dimatikan. Faizah dan Farhan masing-masing sudah berbaring. Namun mata mereka masih belum lena. Mereka tersenyum bahagia. Dalam hati mereka kini ada cinta. Semoga hari esok mereka berhasil mendapatkan keputusan yang cemerlang.

*****

©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

P/S : Anda suka? Anda tak suka? Meh2 drop comment. Sy tak marah pun kalau anda komen.. :-)  



Share

8 comments:

// Rainbow In My Life said...

hmmm, cik writer, saya sukalahh novel neh :) sweet sangad ! faizah <3 farhan , tapikann cik writer, saya rasa widget patung yang warna pink kat sebelah kiri neh menganggu saya nak baca :) harap, cik writer ubah ke belah kanan :))

#maaf komen yang panjang :)

ISHA IDIAZ said...

Marina : Terima kasih sudi baca dan komen. Saya sangat menghargainya. Widget mengganggu ya.. Kalau di laptop saya memamg nampak penuh semua perkataan tu.. Sebab itu saya letakkan ia di sebelah kiri..

Unknown said...

Ngeee . Betul ckp Marina tu . letak sebelahhh kanan lha eh .. btw , suka-2 ..! :)

ISHA IDIAZ said...

sara ; ok2.. insyaAllah t akk ubh..

adzmarfazami said...

aye nampok penuh je... ekeke..

mak cik, jom tuko otak...daku tak ada idea nak sambung cerita lah...huhu

ISHA IDIAZ said...

Cik Nera : ayer kontang dh tu~ 5 hr kot sangkut chptr ni.. hehe..

Akk kn mantap lg kreatif.. Jom kak kte p betape kt air terjun crik idea.. Hehe..

Anonymous said...

ada ke jual novel nie??nk bli la..

memey said...

bahagianyaaaa ~