Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia

PERADUAN MENULIS CERPEN PARANORMAL
OLEH 
KOMUNITI E-NOVEL


*****


BAYU malam menyusup masuk daripada celah-celah cermin tingkap yang sudah bertutup. Dingin. Entah mengapa malam ini Farhana merasa seram sejuk. Dilihat bulu roma tangannya berdiri tegak.




            ‘Ah, barangkali kerana cuaca dingin,’ bisiknya dalam hati. Dikerling sekilas  jam loceng yang diletakkan di sudut meja belajarnya. Tiga pagi. Lantas matanya kembali menatap buku teks Matematik  yang masih terbuka di hadapan mata. Mahu menyudahkan tugasan yang diberikan oleh pensyarahnya siang tadi.

            Kini, bulu tengkuknya pula yang meremang. Farhana menoleh ke belakang. Kosong. Hanya almari bajunya yang ada di situ. Dadanya berdebar. Mengapa perasaan aneh ini menyusup di dalam hatinya. Sekali lagi, pandangan dihalakan ke arah buku. Cuba menumpukan sepenuh perhatian kepada tugasannya itu.

            “Farhana……” bisik satu suara lembut yang menerjah ke telinganya.

            Farhana kaku di kerusinya. Dia dengar suara itu. Di bilik yang dihuni oleh empat orang itu, hanya dia seorang sahaja yang masih berjaga. Teman sebilik yang lain sudah lama hanyut di bawa mimpi.

            “Farhanaaaaaaaaaaaa……” Sekali lagi suara itu memanggil namanya. Kali ini lebih panjang daripada panggilan pertama tadi.

Kaget. Dilihat sekeliling. Tiada orang. Kedua-dua matanya dipejamkan. Pantas Farhana menekup telinganya. Dia tidak mahu mendengar suara itu lagi.

“Kenapa tutup telinga kamu? Bukankah suara hamba semerdu buluh perindu?” soal suara itu kepadanya diikuti oleh tawa kecil.

Tidak mahu terus diganggu suara itu, Farhana membaca ayat kursi. Peluh dingin sudah memercik di dahinya. Tidak betah duduk di kerusi itu, Farhana pantas menolak kerusi ke belakang dan berlari ke arah katilnya. Berselubung di bawah selimut tebal dalam keadaan meringkuk. Menggigil seluruh tubuhnya kini kerana ketakutan.

“Kenapa takut… Bukankah kamu mahu melihat Tuan Puteri?” Suara itu masih berbisik lembut di telinganya. Kedengaran desah nafas yang datang daripada suara itu. Hampir. Sangat hampir dengannya.

‘Puteri? Puteri mana?’ soalan itu hanya diajukan di dalam hati.

“Hamba Puteri Gunung Ledang.” Suara itu berbisik lagi bagai mendengar pertanyaannya sebentar tadi. Kini jelas kedengaran Sang Puteri tertawa kecil.

            “Bukankah tuan hamba berkata mahu berjumpa hamba petang tadi?” soal Sang Puteri. “Sekarang hamba sudah datang. Kenapa tuan hamba kelihatan gugup?” Kata-kata itu  kedengaran sinis sekali.

            Farhana masih tidak berganjak daripada posisinya tadi. Masih meringkuk dan memeluk bantal kepalanya sekuat hati. Perkara yang berlaku kini adalah di luar batas normal akal. Otaknya masih tidak dapat mencerna kelogisan perkara ini.

            Kini bayu dingin semakin kuat bertiup hingga menerbangkan kain selimut yang dipakai oleh Farhana ke sudut penjuru bilik. Farhana tidak berani untuk membuka matanya. Sungguh, dia tidak tahu apakah dia kini sedang berada di alam realiti ataupun fantasi.

            “Mari, hamba bawa tuan hamba ke suatu tempat,” bisik Sang Puteri lagi.

Tanpa menunggu persetujuan daripada Farhana, Sang Puteri sudah memegang erat tangannya dan membawanya terbang. Kini, terbanglah Farhana keluar daripada bilik melalui tingkap di sebelah katilnya.

Terasa dirinya seperti melayang-layang di udara, Farhana membuka matanya. Kaget. Dia kini benar-benar sedang terbang di udara.

Tidak percaya. Kepalanya ditolehkan ke belakang. Dapat dilihat biliknya di tingkat empat itu semakin jauh daripada pandangan mata.

Kain putih yang berterbangan daripada makluk yang terbang bersamanya di sebelah menampar-nampar lembut pipinya. Menyedarkannya bahawa dia kini bukan bermimpi. Ianya realiti.

Saat matanya bertentangan dengan mata makluk yang samar-samar kelihatan wajahnya itu, dia dapat melihat mata itu sangat bercahaya. Bagai kilauan permata yang terkena panahan cahaya di waktu malam. Unik.

Hampir sepuluh minit dia di udara, kini Farhana sudah berada di kawasan padang Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak. Lampu sorot yang sememangnya ada di padang itu semuanya menyala. Bagai ada perlawanan bola sepak pada pagi itu.

Farhana melihat sekeliling. Ratusan pelajar duduk membentuk bulatan di padang itu. Ada yang dikenalinya dan ada yang tidak.

Anak matanya dapat menangkap gerak tarian yang liuk-lintuk daripada beberapa orang yang tidak dikenalinya di tengah-tengah padang itu. Dan, makhluk tadi. Ya, perempuan tadi yang membawanya terbang turut berada di tengah-tengah padang itu dikelilingi oleh gadis-gadis yang juga berbaju dan berselindang putih bersih persis sepertinya.

“Lalalalala… Lalalala……” suara itu terngiang-ngiang di telinganya.

Farhana masih berdiri kaku di tengah padang itu. Matanya menyaksikan gadis-gadis tadi khusyuk menari sambil bernyanyi-nyanyi kecil. Menyanyi tanpa ucapan kata. Mengalunkan suara mengikut melodi yang tidak pernah didengarinya sebelum ini. Telinganya mendengar semuanya.

Kini Farhana dikelilingi oleh gadis-gadis berpakaian putih tadi. Sang Puteri datang menghampiri. Selendang yang menutupi wajahnya hanya dibiarkan sepi. Tangannya diramas lembut oleh Sang Puteri.

Gadis lain masih menari mengelilinginya. Kini melodi yang dinyanyikan semakin kuat kedengaran. Sang Puteri tertawa kecil. Angin yang bertiup kencang saat itu mengibarkan selendang Sang Puteri. Akhirnya,selendang yang menutupi wajahnya ditepis lembut. Jelas kelihatan keayuan wajah Sang Puteri.

Kini hanya kedengaran suara Sang Puteri menyanyi kecil. Gadis-gadis yang lain hanya menari dengan lemah gemalai. Menari mengikut rentak suara Sang Puteri. Dan tatkala itu satu-persatu ingatan Farhana kembali menerjah minda.

Sang Puteri yang sedang menari mengibaskan selendangnya tepat ke wajah Farhana.  Umpama tersedar daripada mimpi, kini  Farhana mengingati wajah Sang Puteri.  Bukankah wanita ini yang selalu muncul dalam mimpi malamnya setiap hari?

Libasan kedua selendang Sang Puteri mengingatkannya kepada perbicaraannya petang tadi bersama teman sebiliknya.

“Aku teringin nak jumpa Puteri Gunung Ledang sementara kita ada dekat Tangkak ni,” ujar Farhana serius.

“Kau gila ke apa? Mana wujud Puteri Gunung Ledang tu,” bidas Mimi.

“Tapi aku memang nak jumpa dia. Aku nak tengok betul ke tak dia tu ayu,” jujur Farhana menuturkannya.

“Merepek. Benda tu cuma kisah dongeng Farhana. Kau jangan nak percaya lebih-lebih,” ujar Aimi pula. Lia hanya mengangguk-anggukan kepalanya tanda bersetuju dengan kata-kata Aimi.

“Kalau aku dapat jumpa dia macam mana?” soal Farhana kepada teman sebiliknya. Matanya memandang tepat satu-persatu temannya itu.

Dan temannya hanya mentertawakannya petang itu.

Libasan ketiga kini mengenai dahinya sekaligus membawa dia kembali ke detik dia mendengar suara Sang Puteri memanggil namanya sebelum dia di bawa ke sini. Suara latar semakin kuat menyanyi seolah-olah mengiringi dia pergi.

Kini, dalam sekelip mata dia sudah berada di biliknya semula. Sang Puteri hanya melihatnya dengan senyuman yang masih bersisa.

“Hamba Sang Puteri. Hamba datang menemui mereka yang mencari hamba dengan ikhlas hati dan percaya diri,” bisik Sang Puteri sebelum pergi meninggalkannya seorang diri.

Farhana melihat bayangan putih itu semakin lama semakin jauh terbang membelah pekat malam diiringi melodi merdu membuai hati.

“Farhana, kau tak tidur lagi? Tengok apa dekat luar?” soal Mimi di katil sebelah.

Farhana terkejut apabila mendengar suara Mimi. Dia menoleh ke belakang. Dia melihat Mimi sedang memandang tepat ke arahnya. Kepalanya digelengkan beberapa kali.

“Tutup tingkap tu. Dah pagi. Sejuk,” ujar Mimi lagi sebelum menarik selimutnya membungkus diri dan tidur semula.

Farhana masih dapat melihat kain putih itu berterbangan di udara. Suara nyanyian Sang Puteri itu juga masih jelas kedengaran di telinganya. 

******
©Hak Cipta Terpelihara : Isha idiaz
Share

3 comments:

Wild Cherry said...

best...

Anonymous said...

mmg best .. ;)
teringin nk ade perasaan mcm tu .. hee~

puteri jalanan a.k.a annur said...

salam tuan rumah,

puteri jalanan datang bertandang...hehe

salam perkenalan ya...

mohon bloglist blog awak ya...