Oleh
: Isha Idiaz
*****
BUNYI
deruan enjin kereta mematikan lamunan Puan Raziah ketika itu. Pasti anak
gadisnya sudah pulang daripada kerja. Sebentar kemudian, terjengul keluar
kepala Iman di hadapan pintu rumah sambil mengucapkan salam. Seperti biasa, di tangan
kanannya tersangkut kemas kot putih dan juga stetoskop.
“Waalaikummussalam,” ujar Puan
Raziah seraya menyambut huluran tangan anak bongsunya itu.
“Mak tengah buat apa tadi? Iman
tengok dari luar, mak macam termenung je.
Ingat mata air ke mak?” ujar Iman berseloroh. Tersenyum Puan Raziah mendengar
kata-kata anak bongsunya itu.
“Mata air apanya Iman dah tua-tua ni.
Mak ni termenung fikirkan kamu,” ujar Puan Raziah sambil melepaskan keluhan.
Iman sudah mahu meninggalkan Puan
Raziah di sofa itu tatkala tangannya dipaut erat oleh Puan Raziah. Perlahan
Iman menoleh memandang wajah tua itu. Sebuah senyuman dihadiahkan kepada Puan
Raziah.
“Kenapa Iman selalu melarikan diri
bila mak nak bincang soal perkahwinan Iman?” soal Puan Raziah lembut sambil
memaut pinggang Iman dan mengajaknya duduk di sebelah.
Iman tersenyum hambar apabila mendengar
kata-kata Puan Raziah tadi. Bukan sekali dua dia memaklumkan kepada Puan Raziah
yang dia tidak mahu bercinta mahupun berkenalan dengan mana-mana lelaki. Baginya,
cinta dalam hatinya cuma satu dan cinta yang satu itu telah lama mati dan
terkubur di dalam lubuk hatinya yang paling dalam. Namun, Puan Raziah juga
tidak pernah mengalah memujuknya untuk berkenalan dengan anak-anak kenalannya.
“Kalau ada yang menghantar pinangan,
mak terimalah. Iman akan ikut pilihan mak.” Akhirnya Iman menyatakan
keputusannya. Sebenarnya dia sudah muak dengan soal mencari calon untuk
dijadikan suami. Bukan tidak ada orang yang mahukan dia, cuma mungkin kerana
dia telah kunci rapat hatinya untuk mana-mana lelaki sejak hari itu. Maka,
lebih baik dia menyerahkan segala perihal jodoh ini kepada Puan Raziah sahaja.
“Betul ni?” soal Puan Raziah teruja.
Iman mengangguk perlahan dan
menghadiahkan sebuah senyuman buat Puan Raziah. Terserlah kegembiraan di wajah
tua itu. Perlahan tangan Puan Raziah diusap.
“Iman nak mandi dulu mak. Sekejap
lagi Iman nak pergi hospital balik.”
Puan Raziah mengeluh lagi. Anak
bongsunya ini tidak pernah merasa penat agaknya. Tidak sampai lima belas minit
di rumah, Iman harus pergi ke hospital lagi. Namun, kerana tugas anak bongsunya
itu, Puan Raziah terpaksa merelakannya.
“Pergilah,” ujar Puan Raziah.
Dilihat kelibat Iman hilang di
sebalik pintu biliknya. Dahulu, Iman periang orangnya. Malah, antara
adik-beradiknya, Iman yang paling banyak bercakap dan mengusik. Namun sejak
hari itu, senyuman Iman seolah-olah hilang bersama cintanya. Iman jarang sekali
berada di rumah. Dia lebih senang untuk menyibukkan dirinya di hospital merawat
pesakit-pesakitnya. Mungkin dengan cara itu, dia dapat melupakan apa yang
pernah terjadi.
*****
ANGIN
petang itu bertiup lembut. Air di tasik itu berkocak perlahan apabila sesekali
gelombang menghempas ke tepi. Bunyi kicauan burung begitu asyik kedengaran.
“Dah lama kita berkawan…” Iman
sengaja membiarkan ayatnya berhenti di situ. Cuba memancing kata-kata
berikutnya keluar daripada jejaka yang duduk di sebelahnya ketika itu.
“Jadi?” Akhirnya jejaka itu
bersuara.
Iman menoleh dan mencuri pandang
wajah jejaka itu sekilas. Apabila jejaka itu merenung ke arahnya, cepat-cepat
Iman membuang pandangannya ke arah tasik.
“Sampai bila kita nak macam ni.
Sampai mana awak nak bawak hubungan kita ni Ilham?” Tenang sahaja suaranya
menuturkan ayat itu. Tidak setenang hatinya yang berkocak saat itu. Pertama
kali dia membincangkan perihal ini dengan Ilham, lelaki yang berjaya menambat
hatinya.
“Kenapa awak suka saya?” soalan itu
pula yang diajukan oleh Ilham kepadanya.
Bunga lalang yang berada di sebelah
dicabut, lalu Iman meniup bunga lalang itu. Maka terbanglah bunga lalang itu
mengikut arah tiupan angin.
“Untuk menyukai seseorang saya tak
perlu sebab,” ujar Iman perlahan. Suaranya antara dengar dan tidak.
Pandangannya masih tidak beralih daripada air tasik.
“Untuk mencintai awak selama lapan
tahun ini juga saya tidak perlukan sebab.” Iman menghabiskan jawapannya di situ.
Ilham memandang wajah gadis yang
manis itu. Dia tidak menafikan, usia perkenalan mereka kini sudah menjangkau ke
angka lapan. Namun tidak pernah sekalipun dalam masa lapan tahun itu dia jatuh
hati kepada Iman. Walhal dia tahu benar Iman sangat mencintainya. Bahkan gadis
itu setia menantinya lapan tahun ini dan tidak berpaling walaupun sedikit.
“Tapi saya tak pernah cintakan awak,”
ujar Ilham. Bicaranya agak tegas di situ.
Rasa bagai tangkai jantungnya direntap
kuat saat itu. Ilham tidak pernah mencintainya selama ini? Jadi kata-kata
sayang dan rindu selama ini yang diucapkan itu apa maksudnya? Iman menggenggam
rumput di atas tanah itu sekuat yang mungkin. Cuba mengambil kekuatan yang ada
pada bumi.
“Saya juga tidak pernah memaksa awak
untuk menunggu saya lapan tahun ini,” tambah Ilham lagi.
Kali ini, bukan sahaja terasa
tangkai jantungnya direntap kuat. Dia boleh katakan jantungnya sudah tercabut dan
terkeluar daripada badan. Terbayang-bayang di matanya saat itu jantungnya
berdenyut perlahan. Semakin lama semakin perlahan dan akhirnya jantungnya
berhenti berdegup.
Air mata yang jatuh setitis diseka
pantas agar Ilham tidak melihatnya. Pantas Iman berdiri dan membersihkan
punggungnya yang masih terlekat dengan rumput-rumput. Ilham ikut bangun dan
membersihkan seluarnya. Bibirnya mengukir senyuman paling manis saat itu walau
hatinya menyanyikan lagu paling sedih. Dengan kekuatan yang masih bersisa
sedikit, Iman menatap wajah Ilham. Bibirnya masih mengukir senyuman.
“Dan hari ini, cinta yang selama ini
saya simpan untuk awak, akan saya kuburkan di sini,” ujar Iman sambil tangannya
menepuk dadanya.
“Saya kuburkan di sini kerana saya
mahu cinta itu mati di sini selama-lamanya sampailah suatu ketika, awak kembali
semula menemui saya dan menyatakan rasa cinta yang sama persis dengan rasa
cinta yang saya kuburkan di sini hari ini,” ujar Iman tenang.
Ilham
melihat riak wajah Iman masih manis seperti selalu. Tidak ada tanda dia
bersedih. Tidak ada tanda dia kecewa. Kata-kata yang baru sahaja dituturkan
oleh Iman tadi seolah-olah lawak jenaka. Bukan suatu ancaman mahupun satu
peringatan kepadanya.
Belum
sempat Ilham mengucapkan kata-kata, Iman terlebih dahulu memberikan salam dan
melangkah pergi. Ilham hanya melihat kelibat Iman hilang di sebalik pintu
kereta dan kereta itu dipandu laju oleh Iman.
Sejak
itulah hidup Iman berubah. Hidupnya seolah-olah mati bersama cintanya.
“Hei
Iman! Termenung ke apa?” tegur suatu suara dibelakangnya.
Air
mata yang jatuh setitik diseka. Iman tersenyum memandang Finas, teman
sejawatnya. Kepalanya digelengkan perlahan. Sempat pula dia mengingati kisah
lapan tahun yang lalu petang-petang begini. Itupun di dalam waktu kerja.
“Wad
mana?” soal Iman seakan tahu apa yang mahu disampaikan oleh Finas.
“103,”
ujar Finas mendatar. Dia tidak tahu apa masalah Iman tetapi dia tahu Iman
seolah-olah merahsiakan sesuatu daripadanya. Jika tidak, masakan dia melihat mata
gadis itu berair setiap kali dia menyendiri.
*****
ROMBONGAN
pihak lelaki telah tiba di perkarangan rumah. Suasana rumah yang sedari pagi
tadi riuh rendah dengan kehadiran sanak-saudara semakin meriah dengan kehadiran
bakal pengantin.
Setelah rombongan meminang datang
pada minggu lepas, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan majlis akad nikah
pada hari ini. Maka hari ini, akan berlangsunglah majlis akad nikah antara Iman
dan juga pasangannya yang dia juga tidak tahu siapa gerangannya usai solat
maghrib nanti. Yang dia tahu, tunangnya itu adalah anak kenalan Puan Raziah.
Iman pula malas mahu bertanya lanjut. Lagipun, dia sudah menyerahkan soal jodoh
ini kepada Puan Raziah. Biarlah dia mengetahui siapa bakal suaminya hari ini,
sewaktu majlis akad nikah sebentar lagi.
Iman tampak begitu ayu dengan
sepersalinan baju chiffon putih dan selendang putih yang menutupi tudung warna
cream yang dipakainya di dalam. Sewaktu dia di bawa keluar daripada bilik dan
mengambil tempat, dia hanya menundukkan wajahnya. Tidak berani dia mahu
memandang wajah tunangnya. Malah tiga hari lepas, sewaktu tunangannya mengajak
Iman keluar untuk berjumpa Iman menolak dengan memberi alasan dia harus bekerja
pada hari tersebut.
“Sudah bersedia?” tanya Tok Kadi
kepada bakal suaminya.
“InsyaAllah,” jawab bakal suaminya.
Suara itu menampar lembut gegendang telinga Iman. Namun belum berjaya
mengangkat wajah Iman untuk melihat ke arahnya.
“Ilham Faizi bin Abdullah,” ujar tok
kadi seraya menggenggam erat tangan Ilham.
“Ya saya,” ujar Ilham.
“Aku nikahkan dikau dengan Nur Iman Farisha
Binti Ilias dengan mas kahwinnya lima dinar tunai,” ujar tok kadi seraya
menggoncang tangan Ilham.
“Aku terima nikahnya Nur Iman
Farisha Binti Ilias dengan mas kahwinnya lima dinar tunai.” Ujar Ilham dengan
sekali nafas.
“Sah?” tanya tok kadi kepada tiga
saksi pernikahan tersebut. Setelah ketiga-tiganya menyatakan sah, maka doa pun
di baca. Dan Ilham menunaikan solat sunat dua rakaat sebagai tanda syukur
kepada Allah kerana majlis pernikahannya berjalan dengan lancar.
Iman pula keadaannya masih sama
seperti waktu pertama kali dia duduk di situ. Fikirannya menerawang jauh. Hari
ini dia telah bergelar seorang isteri kepada insan yang tidak pernah dia cinta.
Namun di hatinya masih terpahat sebuah nama dan cinta yang tak mungkin dibuang
begitu saja. Dalam hatinya ada cinta mati. Cinta yang takkan pernah hilang
dalam hidupnya.
Huluran tangan Ilham tidak disambut
oleh Iman. Namun, cepat-cepat dia sambut tangan itu dan mengucupnya apabila
Puan Raziah menyedarkannya daripada lamunan. Suaminya mengusap lembut
ubun-ubunnya dan sebuah kucupan kasih hinggap di situ. Silau matanya saat itu
apabila sinar-sinar daripada kamera berebut-rebut merakamkan detik itu. Dan
detik paling mendebarkan apabila dia mengangkat wajahnya untuk melihat seorang
yang bernama suami.
Perlahan-lahan Iman mengangkat
wajahnya. Dan di hadapannya adalah suaminya. Namun yang dia lihat sekarang bukan
suaminya tetapi Ilham. Ilham dengan baju
melayu bewarna putih lengkap bersongkok dan bersamping. Dada Iman berdebar. Mukanya
pucat tiba-tiba. Adakah Ilham adalah suaminya? Memercik peluh dingin di
dahinya. Pandangannya kini berbalam-balam. Akhirnya Iman rebah di pangkuan
Ilham. Keadaan menjadi kelam-kabut seketika. Ilham segera merangkul tubuh Iman
dan membawanya ke bilik.
‘Salahkah aku kerana tidak
berterus-terang aku adalah Ilham yang pernah bertakhta di hatinya dulu?’
Persoalan itu bermain-main di fikiran Ilham.
*****
ILHAM
melihat sayu wajah Iman yang terbaring lesu dengan persalinan pernikahan mereka
tadi. Pipi Iman disentuh lembut dengan telapak tangannya. Usai menjadi imam
setelah solat Isyak tadi, pantas Ilham meminta diri untuk menemani Iman di
bilik mereka.
“Iman sayang, maafkan abang kerana
tak berterus terang dengan Iman,” ujar Ilham seolah-olah berbisik ke telinga
Iman.
Iman bergerak sedikit apabila dia
merasakan hembusan nafas di pipinya. Ilham masih memerhatikan isterinya saat
itu. Lapan tahun dia mencari Iman sejak Iman meninggalkannya di tasik itu.
Namun, baru sebulan yang lepas dia mengetahui Iman merupakan anak kepada Puan
Raziah iaitu teman baik ibunya.
Mengetahui berita itu membuatkan
Ilham tidak mahu menunggu lama. Enam belas tahun masa yang telah dia bazirkan.
Lapan tahun dia membuat Iman menunggunya dan lapan tahun dia mencari gadis itu
yang hilang tanpa meninggalkan jejak. Malah, Iman menukar nombor telefon
bimbitnya sehari setelah pertemuan terakhir mereka di tasik itu.
Iman membuka matanya sedikit.
Kepalanya masih pening. Namun jelas di matanya yang kini dia sedang melihat
wajah Ilham. Segera Iman bangun dan duduk di hujung katil.
“Awak buat apa dekat sini?” soalnya
kasar. Sedikitpun dia tidak melihat wajah Ilham.
“Abang temankan Iman. Iman kan tak
sihat…” ujar Ilham seraya mendekati Iman. Perlahan Ilham melabuhkan punggungnya
di sebelah Iman.
“Tak payah temankan saya. Saya sihat,”
ujar Iman tegas. Tangan Ilham yang cuba merangkul bahunya ditepis kasar.
“Jangan sentuh saya!” Suara Iman
tegas berbaur amaran.
Ilham sedikit berjauh hati dengan
tindakan Iman itu. Namun mengenangkan dia banyak melukai Iman selama ini,
cepat-cepat dia memujuk hatinya kembali. Dia harus bersabar dengan kerenah Iman
kini.
“Kenapa isteri abang marah-marah ni.
Tak baik tau pengantin baru marah-marah. Nanti hilang seri.” Ilham cuba
menceriakan suasana.
Pantas Iman bangun dan meninggalkan
Ilham sendirian di bilik itu apabila mendengar ayat tersebut. Memang dulu
hatinya milik Ilham. Namun cintanya, cinta mati. Kisah mereka dah lama mati.
Ilham melepaskan keluhan. Wajahnya
diraup beberapa kali. Ini baru malam pertama. Apa pula nasibnya untuk
malam-malam berikutnya.
Iman menjengukkan kepalanya ke dalam
bilik. Terperanjat Ilham waktu itu. Namun selamba sahaja Iman memandang ke arah
Ilham seperti tiada apa-apa yang berlaku tadi antara mereka.
“Awak boleh tidur atas katil. Saya tidur
dekat bawah. Selamat malam.”
Dan pintu bilik ditutup rapat oleh
Iman sebelum dia kembali ke dapur menikmati makan malamnya bersama Puan Raziah
dan saudara-mara yang lain.
*****
PAGI-PAGI
lagi Iman sudahpun bangun. Memandangkan bilik tidurnya kini dikongsi bersama
Ilham, maka pergerakannya agak terbatas. Dia masih bertudung di bilik. Malah, dia
bangun awal supaya dia tidak berebut bilik mandi dengan Ilham.
Selepas menunaikan solat subuh, Iman
ke dapur membuat sarapan pagi. Seteko air teh susu diletakkan di atas meja.
Nasi goreng kampung masih berada di atas dapur. Sedang dia sibuk mengacau nasi
goreng di dalam kuali, pinggangnya dipeluk erat daripada belakang. Sebuah
kucupan hinggap di pipi kirinya.
Dia tahu siapa gerangan hamba Allah
yang begitu. Maka, dia menyiku tepat di perut si pembuat angkara. Ilham
menjerit kesakitan. Iman pula tersenyum puas.
Setelah nasi goreng kampung tadi
diletakkan dalam mangkuk nasi dan diletakkan di atas meja, pantas juga tangan
Iman menyendukkan nasi goreng kampung itu ke dalam pinggan. Setelah itu,
tangannya pula mengambil sebuah mug
dan menuangkan air teh susu yang masih panas.
“Saya dah buat sarapan. Awak duduk.
Makan dulu sebelum pergi kerja,” ujar Iman seraya menarik sebuah kerusi untuk
Ilham. Ilham seperti robot yang telah diprogramkan, mengikut sahaja kata-kata
Iman tanpa membantah. Begitu sekali penangan cinta Iman kepadanya. Baru dia
tahu hari ini.
Setelah Ilham selesai menikmati
sarapan paginya, segera dia memasuki bilik. Dilihat Iman sedang mengenakan brooch di bahu kirinya. Sekali lagi dia
terlepas peluang hari ini untuk melihat wajah Iman tanpa tudung di kepalanya.
Iman tidak mempedulikan Ilham yang
sedari tadi merenungnya. Kot putih dan stetoskopnya di ambil dari almari. Melihat
kemeja Ilham masih tersangkut di dalam almari, Iman mengeluarkannya dan
meletakkannya di atas katil.
“Kemeja dengan seluar awak saya dah
gosok. Saya tak tahu awak nak pakai yang mana, jadi saya gosokkan je yang ini. Kalau tak nak pakai yang ni,
awak gosoklah yang lain,” ujar Iman dalam sekali nafas.
“Stoking awak ada dalam laci nombor
tiga. Tie saya dah gantung dekat
dalam almari. Kasut ada di rak luar,” tambah Iman lagi.
Ilham yang sedari menjadi pemerhati,
akhirnya tergelak.
“Kenapa awak gelak?” soal Iman.
Perlahan Ilham merapati Iman.
“Sebab awak comel,” ujar Ilham
seraya mencubit pipi gebu milik Iman. Iman cuba mengelak namun tidak berjaya.
Setiap pagi pasti pipi gebunya menjadi mangsa cubitan jari-jemari Ilham.
“Awak tak penat ke buat dan cakap
benda yang sama dekat saya tiap-tiap hari?” soal Ilham dengan pandangan mata
yang redup melihat Iman. Tangannya masih belum dilepaskan daripada pipi Iman.
“Itu tanggungjawab saya. Suka tak
suka saya kena buat,” ujar Iman perlahan. Pandangan matanya dilarikan daripada
renungan Ilham. Berdebar-debar dadanya setiap kali Ilham memperlakukannya
seperti itu.
“Bila awak nak tunaikan
tanggungjawab yang paling penting tu?” soal Ilham dengan senyuman nakalnya.
Merona merah pipi Iman apabila ditanya soalan sebegitu. Cepat-cepat dia menolak
dada Ilham.
“Saya dah lambat. Saya pergi dulu,”
ujar Iman seraya mengambil tangan Ilham dan mengucupnya. Ilham mengusap
perlahan ubun-ubun Iman.
Makin
lama rasa sayangnya pada Iman makin kuat. Walaupun isterinya itu masih bersikap
dingin dengannya sehingga kini, namun rasa sayangnya tidak pernah berkurang.
Kedinginan layanan Iman terhadapnya menambahkan lagi rasa cintanya kepada Iman.
Iman masih menjalankan tugas-tugas rumah yang lain, masih mengambil berat
tentang dirinya. Cuma hal yang satu itu, Iman masih tidak melakukannya dan dia
juga tidak pernah memaksa selama tempoh tiga bulan perkahwinan mereka ini.
*****
MALAM
itu, sekali lagi Iman tidak pulang ke rumah. Seawal jam enam tadi Iman sudah
menelefon Ilham memaklumkan hal itu. Ilham memandang kipas yang berputar di
siling bilik. Dingin. Sedingin layanan Iman kepadanya. Sebentar kemudian, Ilham
tersenyum sendiri. Mengingati kembali detik-detik mereka berkenalan dahulu.
“Awak buta ke?” tengking Iman
sewaktu Ilham terlanggar Iman. Bertaburan kertas Iman di atas lantai. Ada di
antaranya masuk ke dalam longkang yang sememangnya dipenuhi air.
“Maaf, saya tak nampak,” Ilham cuba
membela dirinya.
“Mata letak dekat mana?”
Merah
padam muka Iman saat itu.
Saat itu jantung Ilham berdegup
pantas. Dia rasa dia sudah jatuh hati pada Iman.
“Saya letak dekat sini,” ujar Ilham
seraya menghalakan tangannya pada dadanya.
Pipi Iman yang sememangnya sudah merah
padam makin bertambah merahnya.
“Memang patutlah tak nampak. Lain
kali mata letak dekat sini bukan dekat sini!” Iman memerli sambil membawa
tangannya daripada mata ke dada.
Berpuluh kali juga Ilham memohon
maaf apabila dia mendapat tahu yang kertas yang bertaburan itu adalah tugas
akhir Iman yang harus dihantar hari itu juga. Dan sejak itulah mereka mula
rapat.
Daripada tidak kenal, mereka menjadi
sahabat. Dan entah bila, Iman mula menaruh hati padanya. Namun sewaktu Iman meluahkan
perasaannya di tasik itu, Ilham benar-benar belum bersedia. Bukan dia tidak
mencintai Iman tetapi waktu itu dia merasakan dia belum bersedia untuk
menggalas tanggungjawab sebagai suami.
Bunyi deringan yang datang daripada
telefon bimbit mematikan lamunan Ilham. Segera dijawab panggilan tersebut
apabila di layar tertera nama Iman. Berbunga-bunga hati Ilham apabila menerima
panggilan itu.
“Assalammualaikum,” suara Iman
kedengaran di hujung talian.
“Waalaikummussalam,” Ilham menjawab
salam.
“Awak makan dah?” soalan pertama
Iman seperti selalu.
“Alhamdulillah sudah. Iman sudah
makan?”
“Alhamdulillah sudah juga.”
Keadaan sepi seketika.
“Banyak patient hari ni?” soal Ilham lembut.
“Boleh tahan,” jawab Iman ringkas.
“Kenapa
awak tak tidur lagi?”
Ilham tersenyum. Pertama kali Iman
bertanyakan soalan ini kepadanya. Mungkinkah ini tanda-tanda positif yang Iman
sudah mula menerimanya semula.
“Sebab awak tak ada dekat sebelah
saya,” ujar Ilham dengan tawa kecil.
Iman mencebirkan bibirnya apabila
mendengar jawapan Ilham tadi. Namun di hatinya timbul sedikit rasa bahagia.
“Selalu pun bukan ada dekat sebelah
tapi berdengkur je tidur,” komen
Iman.
Ketawa besar Ilham apabila mendengar
kata-kata Iman itu.
“Jadi selama ni, masa saya tidur,
awak tak tidurlah? Awak perhatikan saya sepanjang malam? Macam tu?” soal Ilham
bertubi-tubi.
Merona merah pipi Iman saat itu. Nampak
gayanya kegiatannya selama ini diketahui oleh Ilham. Apa benar Ilham tahu
selama ini dia memerhatikannya ketika tidur?
“Eii perasan. Siapa entah nak tengok
dia tidur,” ujar Iman selamba. Dia tidak mahu mengalah.
“Iman sayang, abang cintakan Iman.
Selama ini, enam belas tahun yang lepas, abang betul-betul cintakan sayang,”
luah Ilham. Dia tidak tahu, bila lagi masa yang sesuai untuk dia meluahkan
perasaannya kepada Iman.
Terkedu Iman apabila mendengar
kata-kata itu daripada Ilham.
“Abang tahu, Iman masih marahkan
abang sebab abang pernah menolak cinta Iman dulu. Tapi percayalah, waktu itu,
abang memang mencintai Iman tetapi abang belum bersedia untuk memikul
tanggungjawab sebagai suami,” terang Ilham panjang lebar.
Iman masih terkejut mendengar luahan
hati Ilham itu. Jadi selama ini, dia tidak bertepuk sebelah tangan. Ilham juga
mencintainya.
“Iman tahu tak, bila Iman tukar
nombor, Iman tak beritahu Iman pindah ke mana, abang rasa macam orang gila.
Abang tak tahu macam mana nak beritahu Iman yang abang juga cintakan Iman. Abang
tak tahu macam mana nak buat Iman faham yang abang juga cintakan Iman.”
“Iman… sudikah Iman terima abang
semula dalam hidup Iman?” suara Ilham lirih bertanya.
Iman mahu membuka mulutnya menjawab
pertanyaan Ilham tadi. Namun niatnya terhenti apabila dia dipanggil.
“Doktor Iman, emergency case! Please take your position now.”
Iman mengangguk lalu berlari menuju
ke wad kecemasan. Talian telefon masih belum dimatikan.
“Abang, Iman sayang abang juga. Iman
cintakan abang. Abang ingat lagi cinta mati? Ingat cinta Iman pada abang cinta
mati. Assalammualaikum.”
Dan talian terputus. Ilham membawa
telefon bimbitnya ke dada. Air matanya tidak berhenti mengalir. Syukur kepada
Allah yang telah mengembalikan Iman kepadanya. Iman yang sangat dikasihinya.
Tidak mungkin dia melupakan cinta
mati yang diucapkan oleh Iman sewaktu terakhir kali mereka bertemu. Ayat itulah
yang dia ulang setiap hari apabila dia merindui Iman.
“Dan hari ini, cinta yang selama ini
saya simpan untuk awak, akan saya kuburkan di sini. Saya kuburkan di sini
kerana saya mahu cinta itu mati di sini selama-lamanya sampailah suatu ketika,
awak kembali semula menemui saya dan menyatakan rasa cinta yang sama persis
dengan rasa cinta yang saya kuburkan di sini hari ini.”
Pantas Ilham bangkit daripada katil
dan menuju ke tandas untuk mengambil wudhu’. Dia mahu melakukan sujud syukur.
Bibirnya tidak henti-henti tersenyum.
‘Iman… Cepatlah balik. Abang tunggu
Iman…’
*****
©Hak
Cipta Terpelihara : Isha Idiaz
3 comments:
Saya suka cerpen ni...#^_^
Best...:)
Sweet sangat-sangat...^_^)Y
bestttttt....sweet sangat :)
NurAtiza : Terima kasih kerana membaca. :-)
Najwa : Tq~ Wink2~ :-)
Post a Comment