Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Mereka Pembaca Setia


Cerpen : Cinta Mati
Oleh : Isha Idiaz

*****

BUNYI deruan enjin kereta mematikan lamunan Puan Raziah ketika itu. Pasti anak gadisnya sudah pulang daripada kerja. Sebentar kemudian, terjengul keluar kepala Iman di hadapan pintu rumah sambil mengucapkan salam. Seperti biasa, di tangan kanannya tersangkut kemas kot putih dan juga stetoskop.

            “Waalaikummussalam,” ujar Puan Raziah seraya menyambut huluran tangan anak bongsunya itu.


            “Mak tengah buat apa tadi? Iman tengok dari luar, mak macam termenung je. Ingat mata air ke mak?” ujar Iman berseloroh. Tersenyum Puan Raziah mendengar kata-kata anak bongsunya itu.

            “Mata air apanya Iman dah tua-tua ni. Mak ni termenung fikirkan kamu,” ujar Puan Raziah sambil melepaskan keluhan.

            Iman sudah mahu meninggalkan Puan Raziah di sofa itu tatkala tangannya dipaut erat oleh Puan Raziah. Perlahan Iman menoleh memandang wajah tua itu. Sebuah senyuman dihadiahkan kepada Puan Raziah.

            “Kenapa Iman selalu melarikan diri bila mak nak bincang soal perkahwinan Iman?” soal Puan Raziah lembut sambil memaut pinggang Iman dan mengajaknya duduk di sebelah.

            Iman tersenyum hambar apabila mendengar kata-kata Puan Raziah tadi. Bukan sekali dua dia memaklumkan kepada Puan Raziah yang dia tidak mahu bercinta mahupun berkenalan dengan mana-mana lelaki. Baginya, cinta dalam hatinya cuma satu dan cinta yang satu itu telah lama mati dan terkubur di dalam lubuk hatinya yang paling dalam. Namun, Puan Raziah juga tidak pernah mengalah memujuknya untuk berkenalan dengan anak-anak kenalannya.

            “Kalau ada yang menghantar pinangan, mak terimalah. Iman akan ikut pilihan mak.” Akhirnya Iman menyatakan keputusannya. Sebenarnya dia sudah muak dengan soal mencari calon untuk dijadikan suami. Bukan tidak ada orang yang mahukan dia, cuma mungkin kerana dia telah kunci rapat hatinya untuk mana-mana lelaki sejak hari itu. Maka, lebih baik dia menyerahkan segala perihal jodoh ini kepada Puan Raziah sahaja.

            “Betul ni?” soal Puan Raziah teruja.

            Iman mengangguk perlahan dan menghadiahkan sebuah senyuman buat Puan Raziah. Terserlah kegembiraan di wajah tua itu. Perlahan tangan Puan Raziah diusap.

            “Iman nak mandi dulu mak. Sekejap lagi Iman nak pergi hospital balik.”

            Puan Raziah mengeluh lagi. Anak bongsunya ini tidak pernah merasa penat agaknya. Tidak sampai lima belas minit di rumah, Iman harus pergi ke hospital lagi. Namun, kerana tugas anak bongsunya itu, Puan Raziah terpaksa merelakannya.

            “Pergilah,” ujar Puan Raziah.

            Dilihat kelibat Iman hilang di sebalik pintu biliknya. Dahulu, Iman periang orangnya. Malah, antara adik-beradiknya, Iman yang paling banyak bercakap dan mengusik. Namun sejak hari itu, senyuman Iman seolah-olah hilang bersama cintanya. Iman jarang sekali berada di rumah. Dia lebih senang untuk menyibukkan dirinya di hospital merawat pesakit-pesakitnya. Mungkin dengan cara itu, dia dapat melupakan apa yang pernah terjadi.

*****

ANGIN petang itu bertiup lembut. Air di tasik itu berkocak perlahan apabila sesekali gelombang menghempas ke tepi. Bunyi kicauan burung begitu asyik kedengaran.

            “Dah lama kita berkawan…” Iman sengaja membiarkan ayatnya berhenti di situ. Cuba memancing kata-kata berikutnya keluar daripada jejaka yang duduk di sebelahnya ketika itu.

            “Jadi?” Akhirnya jejaka itu bersuara.

            Iman menoleh dan mencuri pandang wajah jejaka itu sekilas. Apabila jejaka itu merenung ke arahnya, cepat-cepat Iman membuang pandangannya ke arah tasik.

            “Sampai bila kita nak macam ni. Sampai mana awak nak bawak hubungan kita ni Ilham?” Tenang sahaja suaranya menuturkan ayat itu. Tidak setenang hatinya yang berkocak saat itu. Pertama kali dia membincangkan perihal ini dengan Ilham, lelaki yang berjaya menambat hatinya.

            “Kenapa awak suka saya?” soalan itu pula yang diajukan oleh Ilham kepadanya.

            Bunga lalang yang berada di sebelah dicabut, lalu Iman meniup bunga lalang itu. Maka terbanglah bunga lalang itu mengikut arah tiupan angin.

            “Untuk menyukai seseorang saya tak perlu sebab,” ujar Iman perlahan. Suaranya antara dengar dan tidak. Pandangannya masih tidak beralih daripada air tasik.

            “Untuk mencintai awak selama lapan tahun ini juga saya tidak perlukan sebab.” Iman menghabiskan jawapannya di situ.

            Ilham memandang wajah gadis yang manis itu. Dia tidak menafikan, usia perkenalan mereka kini sudah menjangkau ke angka lapan. Namun tidak pernah sekalipun dalam masa lapan tahun itu dia jatuh hati kepada Iman. Walhal dia tahu benar Iman sangat mencintainya. Bahkan gadis itu setia menantinya lapan tahun ini dan tidak berpaling walaupun sedikit.

            “Tapi saya tak pernah cintakan awak,” ujar Ilham. Bicaranya agak tegas di situ.

            Rasa bagai tangkai jantungnya direntap kuat saat itu. Ilham tidak pernah mencintainya selama ini? Jadi kata-kata sayang dan rindu selama ini yang diucapkan itu apa maksudnya? Iman menggenggam rumput di atas tanah itu sekuat yang mungkin. Cuba mengambil kekuatan yang ada pada bumi.

            “Saya juga tidak pernah memaksa awak untuk menunggu saya lapan tahun ini,” tambah Ilham lagi.

            Kali ini, bukan sahaja terasa tangkai jantungnya direntap kuat. Dia boleh katakan jantungnya sudah tercabut dan terkeluar daripada badan. Terbayang-bayang di matanya saat itu jantungnya berdenyut perlahan. Semakin lama semakin perlahan dan akhirnya jantungnya berhenti berdegup.

            Air mata yang jatuh setitis diseka pantas agar Ilham tidak melihatnya. Pantas Iman berdiri dan membersihkan punggungnya yang masih terlekat dengan rumput-rumput. Ilham ikut bangun dan membersihkan seluarnya. Bibirnya mengukir senyuman paling manis saat itu walau hatinya menyanyikan lagu paling sedih. Dengan kekuatan yang masih bersisa sedikit, Iman menatap wajah Ilham. Bibirnya masih mengukir senyuman.

            “Dan hari ini, cinta yang selama ini saya simpan untuk awak, akan saya kuburkan di sini,” ujar Iman sambil tangannya menepuk dadanya.

            “Saya kuburkan di sini kerana saya mahu cinta itu mati di sini selama-lamanya sampailah suatu ketika, awak kembali semula menemui saya dan menyatakan rasa cinta yang sama persis dengan rasa cinta yang saya kuburkan di sini hari ini,” ujar Iman tenang.

Ilham melihat riak wajah Iman masih manis seperti selalu. Tidak ada tanda dia bersedih. Tidak ada tanda dia kecewa. Kata-kata yang baru sahaja dituturkan oleh Iman tadi seolah-olah lawak jenaka. Bukan suatu ancaman mahupun satu peringatan kepadanya.

Belum sempat Ilham mengucapkan kata-kata, Iman terlebih dahulu memberikan salam dan melangkah pergi. Ilham hanya melihat kelibat Iman hilang di sebalik pintu kereta dan kereta itu dipandu laju oleh Iman.

Sejak itulah hidup Iman berubah. Hidupnya seolah-olah mati bersama cintanya.

“Hei Iman! Termenung ke apa?” tegur suatu suara dibelakangnya.

Air mata yang jatuh setitik diseka. Iman tersenyum memandang Finas, teman sejawatnya. Kepalanya digelengkan perlahan. Sempat pula dia mengingati kisah lapan tahun yang lalu petang-petang begini. Itupun di dalam waktu kerja.

“Wad mana?” soal Iman seakan tahu apa yang mahu disampaikan oleh Finas.

“103,” ujar Finas mendatar. Dia tidak tahu apa masalah Iman tetapi dia tahu Iman seolah-olah merahsiakan sesuatu daripadanya. Jika tidak, masakan dia melihat mata gadis itu berair setiap kali dia menyendiri.

*****

ROMBONGAN pihak lelaki telah tiba di perkarangan rumah. Suasana rumah yang sedari pagi tadi riuh rendah dengan kehadiran sanak-saudara semakin meriah dengan kehadiran bakal pengantin.

            Setelah rombongan meminang datang pada minggu lepas, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan majlis akad nikah pada hari ini. Maka hari ini, akan berlangsunglah majlis akad nikah antara Iman dan juga pasangannya yang dia juga tidak tahu siapa gerangannya usai solat maghrib nanti. Yang dia tahu, tunangnya itu adalah anak kenalan Puan Raziah. Iman pula malas mahu bertanya lanjut. Lagipun, dia sudah menyerahkan soal jodoh ini kepada Puan Raziah. Biarlah dia mengetahui siapa bakal suaminya hari ini, sewaktu majlis akad nikah sebentar lagi.

            Iman tampak begitu ayu dengan sepersalinan baju chiffon putih dan selendang putih yang menutupi tudung warna cream yang dipakainya di dalam. Sewaktu dia di bawa keluar daripada bilik dan mengambil tempat, dia hanya menundukkan wajahnya. Tidak berani dia mahu memandang wajah tunangnya. Malah tiga hari lepas, sewaktu tunangannya mengajak Iman keluar untuk berjumpa Iman menolak dengan memberi alasan dia harus bekerja pada hari tersebut.

            “Sudah bersedia?” tanya Tok Kadi kepada bakal suaminya.

            “InsyaAllah,” jawab bakal suaminya. Suara itu menampar lembut gegendang telinga Iman. Namun belum berjaya mengangkat wajah Iman untuk melihat ke arahnya.

            “Ilham Faizi bin Abdullah,” ujar tok kadi seraya menggenggam erat tangan Ilham.

            “Ya saya,” ujar Ilham.

            “Aku nikahkan dikau dengan Nur Iman Farisha Binti Ilias dengan mas kahwinnya lima dinar tunai,” ujar tok kadi seraya menggoncang tangan Ilham.

            “Aku terima nikahnya Nur Iman Farisha Binti Ilias dengan mas kahwinnya lima dinar tunai.” Ujar Ilham dengan sekali nafas.

            “Sah?” tanya tok kadi kepada tiga saksi pernikahan tersebut. Setelah ketiga-tiganya menyatakan sah, maka doa pun di baca. Dan Ilham menunaikan solat sunat dua rakaat sebagai tanda syukur kepada Allah kerana majlis pernikahannya berjalan dengan lancar.

            Iman pula keadaannya masih sama seperti waktu pertama kali dia duduk di situ. Fikirannya menerawang jauh. Hari ini dia telah bergelar seorang isteri kepada insan yang tidak pernah dia cinta. Namun di hatinya masih terpahat sebuah nama dan cinta yang tak mungkin dibuang begitu saja. Dalam hatinya ada cinta mati. Cinta yang takkan pernah hilang dalam hidupnya.

            Huluran tangan Ilham tidak disambut oleh Iman. Namun, cepat-cepat dia sambut tangan itu dan mengucupnya apabila Puan Raziah menyedarkannya daripada lamunan. Suaminya mengusap lembut ubun-ubunnya dan sebuah kucupan kasih hinggap di situ. Silau matanya saat itu apabila sinar-sinar daripada kamera berebut-rebut merakamkan detik itu. Dan detik paling mendebarkan apabila dia mengangkat wajahnya untuk melihat seorang yang bernama suami.          

            Perlahan-lahan Iman mengangkat wajahnya. Dan di hadapannya adalah suaminya. Namun yang dia lihat sekarang bukan suaminya tetapi Ilham.  Ilham dengan baju melayu bewarna putih lengkap bersongkok dan bersamping. Dada Iman berdebar. Mukanya pucat tiba-tiba. Adakah Ilham adalah suaminya? Memercik peluh dingin di dahinya. Pandangannya kini berbalam-balam. Akhirnya Iman rebah di pangkuan Ilham. Keadaan menjadi kelam-kabut seketika. Ilham segera merangkul tubuh Iman dan membawanya ke bilik.

            ‘Salahkah aku kerana tidak berterus-terang aku adalah Ilham yang pernah bertakhta di hatinya dulu?’ Persoalan itu bermain-main di fikiran Ilham.

*****

ILHAM melihat sayu wajah Iman yang terbaring lesu dengan persalinan pernikahan mereka tadi. Pipi Iman disentuh lembut dengan telapak tangannya. Usai menjadi imam setelah solat Isyak tadi, pantas Ilham meminta diri untuk menemani Iman di bilik mereka.

            “Iman sayang, maafkan abang kerana tak berterus terang dengan Iman,” ujar Ilham seolah-olah berbisik ke telinga Iman.

            Iman bergerak sedikit apabila dia merasakan hembusan nafas di pipinya. Ilham masih memerhatikan isterinya saat itu. Lapan tahun dia mencari Iman sejak Iman meninggalkannya di tasik itu. Namun, baru sebulan yang lepas dia mengetahui Iman merupakan anak kepada Puan Raziah iaitu teman baik ibunya.

            Mengetahui berita itu membuatkan Ilham tidak mahu menunggu lama. Enam belas tahun masa yang telah dia bazirkan. Lapan tahun dia membuat Iman menunggunya dan lapan tahun dia mencari gadis itu yang hilang tanpa meninggalkan jejak. Malah, Iman menukar nombor telefon bimbitnya sehari setelah pertemuan terakhir mereka di tasik itu.

            Iman membuka matanya sedikit. Kepalanya masih pening. Namun jelas di matanya yang kini dia sedang melihat wajah Ilham. Segera Iman bangun dan duduk di hujung katil.

            “Awak buat apa dekat sini?” soalnya kasar. Sedikitpun dia tidak melihat wajah Ilham.

            “Abang temankan Iman. Iman kan tak sihat…” ujar Ilham seraya mendekati Iman. Perlahan Ilham melabuhkan punggungnya di sebelah Iman.

            “Tak payah temankan saya. Saya sihat,” ujar Iman tegas. Tangan Ilham yang cuba merangkul bahunya ditepis kasar.

            “Jangan sentuh saya!” Suara Iman tegas berbaur amaran.

            Ilham sedikit berjauh hati dengan tindakan Iman itu. Namun mengenangkan dia banyak melukai Iman selama ini, cepat-cepat dia memujuk hatinya kembali. Dia harus bersabar dengan kerenah Iman kini.

            “Kenapa isteri abang marah-marah ni. Tak baik tau pengantin baru marah-marah. Nanti hilang seri.” Ilham cuba menceriakan suasana.

            Pantas Iman bangun dan meninggalkan Ilham sendirian di bilik itu apabila mendengar ayat tersebut. Memang dulu hatinya milik Ilham. Namun cintanya, cinta mati. Kisah mereka dah lama mati.

            Ilham melepaskan keluhan. Wajahnya diraup beberapa kali. Ini baru malam pertama. Apa pula nasibnya untuk malam-malam berikutnya.

            Iman menjengukkan kepalanya ke dalam bilik. Terperanjat Ilham waktu itu. Namun selamba sahaja Iman memandang ke arah Ilham seperti tiada apa-apa yang berlaku tadi antara mereka.

            “Awak boleh tidur atas katil. Saya tidur dekat bawah. Selamat malam.”

            Dan pintu bilik ditutup rapat oleh Iman sebelum dia kembali ke dapur menikmati makan malamnya bersama Puan Raziah dan saudara-mara yang lain.

*****

PAGI-PAGI lagi Iman sudahpun bangun. Memandangkan bilik tidurnya kini dikongsi bersama Ilham, maka pergerakannya agak terbatas. Dia masih bertudung di bilik. Malah, dia bangun awal supaya dia tidak berebut bilik mandi dengan Ilham.

            Selepas menunaikan solat subuh, Iman ke dapur membuat sarapan pagi. Seteko air teh susu diletakkan di atas meja. Nasi goreng kampung masih berada di atas dapur. Sedang dia sibuk mengacau nasi goreng di dalam kuali, pinggangnya dipeluk erat daripada belakang. Sebuah kucupan hinggap di pipi kirinya.

            Dia tahu siapa gerangan hamba Allah yang begitu. Maka, dia menyiku tepat di perut si pembuat angkara. Ilham menjerit kesakitan. Iman pula tersenyum puas.

            Setelah nasi goreng kampung tadi diletakkan dalam mangkuk nasi dan diletakkan di atas meja, pantas juga tangan Iman menyendukkan nasi goreng kampung itu ke dalam pinggan. Setelah itu, tangannya pula mengambil sebuah mug dan menuangkan air teh susu yang masih panas.

            “Saya dah buat sarapan. Awak duduk. Makan dulu sebelum pergi kerja,” ujar Iman seraya menarik sebuah kerusi untuk Ilham. Ilham seperti robot yang telah diprogramkan, mengikut sahaja kata-kata Iman tanpa membantah. Begitu sekali penangan cinta Iman kepadanya. Baru dia tahu hari ini.

            Setelah Ilham selesai menikmati sarapan paginya, segera dia memasuki bilik. Dilihat Iman sedang mengenakan brooch di bahu kirinya. Sekali lagi dia terlepas peluang hari ini untuk melihat wajah Iman tanpa tudung di kepalanya.

            Iman tidak mempedulikan Ilham yang sedari tadi merenungnya. Kot putih dan stetoskopnya di ambil dari almari. Melihat kemeja Ilham masih tersangkut di dalam almari, Iman mengeluarkannya dan meletakkannya di atas katil.

            “Kemeja dengan seluar awak saya dah gosok. Saya tak tahu awak nak pakai yang mana, jadi saya gosokkan je yang ini. Kalau tak nak pakai yang ni, awak gosoklah yang lain,” ujar Iman dalam sekali nafas.

            “Stoking awak ada dalam laci nombor tiga. Tie saya dah gantung dekat dalam almari. Kasut ada di rak luar,” tambah Iman lagi.

            Ilham yang sedari menjadi pemerhati, akhirnya tergelak.

            “Kenapa awak gelak?” soal Iman.

            Perlahan Ilham merapati Iman.

            “Sebab awak comel,” ujar Ilham seraya mencubit pipi gebu milik Iman. Iman cuba mengelak namun tidak berjaya. Setiap pagi pasti pipi gebunya menjadi mangsa cubitan jari-jemari Ilham.

            “Awak tak penat ke buat dan cakap benda yang sama dekat saya tiap-tiap hari?” soal Ilham dengan pandangan mata yang redup melihat Iman. Tangannya masih belum dilepaskan daripada pipi Iman.

            “Itu tanggungjawab saya. Suka tak suka saya kena buat,” ujar Iman perlahan. Pandangan matanya dilarikan daripada renungan Ilham. Berdebar-debar dadanya setiap kali Ilham memperlakukannya seperti itu.

            “Bila awak nak tunaikan tanggungjawab yang paling penting tu?” soal Ilham dengan senyuman nakalnya. Merona merah pipi Iman apabila ditanya soalan sebegitu. Cepat-cepat dia menolak dada Ilham.

            “Saya dah lambat. Saya pergi dulu,” ujar Iman seraya mengambil tangan Ilham dan mengucupnya. Ilham mengusap perlahan ubun-ubun Iman.

Makin lama rasa sayangnya pada Iman makin kuat. Walaupun isterinya itu masih bersikap dingin dengannya sehingga kini, namun rasa sayangnya tidak pernah berkurang. Kedinginan layanan Iman terhadapnya menambahkan lagi rasa cintanya kepada Iman. Iman masih menjalankan tugas-tugas rumah yang lain, masih mengambil berat tentang dirinya. Cuma hal yang satu itu, Iman masih tidak melakukannya dan dia juga tidak pernah memaksa selama tempoh tiga bulan perkahwinan mereka ini.

*****

MALAM itu, sekali lagi Iman tidak pulang ke rumah. Seawal jam enam tadi Iman sudah menelefon Ilham memaklumkan hal itu. Ilham memandang kipas yang berputar di siling bilik. Dingin. Sedingin layanan Iman kepadanya. Sebentar kemudian, Ilham tersenyum sendiri. Mengingati kembali detik-detik mereka berkenalan dahulu.

            “Awak buta ke?” tengking Iman sewaktu Ilham terlanggar Iman. Bertaburan kertas Iman di atas lantai. Ada di antaranya masuk ke dalam longkang yang sememangnya dipenuhi air.

            “Maaf, saya tak nampak,” Ilham cuba membela dirinya.

            “Mata letak dekat mana?”

Merah padam muka Iman saat itu.

            Saat itu jantung Ilham berdegup pantas. Dia rasa dia sudah jatuh hati pada Iman.

            “Saya letak dekat sini,” ujar Ilham seraya menghalakan tangannya pada dadanya.

            Pipi Iman yang sememangnya sudah merah padam makin bertambah merahnya.

            “Memang patutlah tak nampak. Lain kali mata letak dekat sini bukan dekat sini!” Iman memerli sambil membawa tangannya daripada mata ke dada.

            Berpuluh kali juga Ilham memohon maaf apabila dia mendapat tahu yang kertas yang bertaburan itu adalah tugas akhir Iman yang harus dihantar hari itu juga. Dan sejak itulah mereka mula rapat.

            Daripada tidak kenal, mereka menjadi sahabat. Dan entah bila, Iman mula menaruh hati padanya. Namun sewaktu Iman meluahkan perasaannya di tasik itu, Ilham benar-benar belum bersedia. Bukan dia tidak mencintai Iman tetapi waktu itu dia merasakan dia belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami.

            Bunyi deringan yang datang daripada telefon bimbit mematikan lamunan Ilham. Segera dijawab panggilan tersebut apabila di layar tertera nama Iman. Berbunga-bunga hati Ilham apabila menerima panggilan itu.

            “Assalammualaikum,” suara Iman kedengaran di hujung talian.

            “Waalaikummussalam,” Ilham menjawab salam.

            “Awak makan dah?” soalan pertama Iman seperti selalu.

            “Alhamdulillah sudah. Iman sudah makan?”

            “Alhamdulillah sudah juga.”

            Keadaan sepi seketika.

            “Banyak patient hari ni?” soal Ilham lembut.

            “Boleh tahan,” jawab Iman ringkas.

“Kenapa awak tak tidur lagi?”

            Ilham tersenyum. Pertama kali Iman bertanyakan soalan ini kepadanya. Mungkinkah ini tanda-tanda positif yang Iman sudah mula menerimanya semula.

            “Sebab awak tak ada dekat sebelah saya,” ujar Ilham dengan tawa kecil.

            Iman mencebirkan bibirnya apabila mendengar jawapan Ilham tadi. Namun di hatinya timbul sedikit rasa bahagia.

            “Selalu pun bukan ada dekat sebelah tapi berdengkur je tidur,” komen Iman.

            Ketawa besar Ilham apabila mendengar kata-kata Iman itu.

            “Jadi selama ni, masa saya tidur, awak tak tidurlah? Awak perhatikan saya sepanjang malam? Macam tu?” soal Ilham bertubi-tubi.

            Merona merah pipi Iman saat itu. Nampak gayanya kegiatannya selama ini diketahui oleh Ilham. Apa benar Ilham tahu selama ini dia memerhatikannya ketika tidur?

            “Eii perasan. Siapa entah nak tengok dia tidur,” ujar Iman selamba. Dia tidak mahu mengalah.

            “Iman sayang, abang cintakan Iman. Selama ini, enam belas tahun yang lepas, abang betul-betul cintakan sayang,” luah Ilham. Dia tidak tahu, bila lagi masa yang sesuai untuk dia meluahkan perasaannya kepada Iman.

            Terkedu Iman apabila mendengar kata-kata itu daripada Ilham.

            “Abang tahu, Iman masih marahkan abang sebab abang pernah menolak cinta Iman dulu. Tapi percayalah, waktu itu, abang memang mencintai Iman tetapi abang belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami,” terang Ilham panjang lebar.

            Iman masih terkejut mendengar luahan hati Ilham itu. Jadi selama ini, dia tidak bertepuk sebelah tangan. Ilham juga mencintainya.

            “Iman tahu tak, bila Iman tukar nombor, Iman tak beritahu Iman pindah ke mana, abang rasa macam orang gila. Abang tak tahu macam mana nak beritahu Iman yang abang juga cintakan Iman. Abang tak tahu macam mana nak buat Iman faham yang abang juga cintakan Iman.”

            “Iman… sudikah Iman terima abang semula dalam hidup Iman?” suara Ilham lirih bertanya.

            Iman mahu membuka mulutnya menjawab pertanyaan Ilham tadi. Namun niatnya terhenti apabila dia dipanggil.

            “Doktor Iman, emergency case! Please take your position now.”

            Iman mengangguk lalu berlari menuju ke wad kecemasan. Talian telefon masih belum dimatikan.

            “Abang, Iman sayang abang juga. Iman cintakan abang. Abang ingat lagi cinta mati? Ingat cinta Iman pada abang cinta mati. Assalammualaikum.”

            Dan talian terputus. Ilham membawa telefon bimbitnya ke dada. Air matanya tidak berhenti mengalir. Syukur kepada Allah yang telah mengembalikan Iman kepadanya. Iman yang sangat dikasihinya.

            Tidak mungkin dia melupakan cinta mati yang diucapkan oleh Iman sewaktu terakhir kali mereka bertemu. Ayat itulah yang dia ulang setiap hari apabila dia merindui Iman.

            “Dan hari ini, cinta yang selama ini saya simpan untuk awak, akan saya kuburkan di sini. Saya kuburkan di sini kerana saya mahu cinta itu mati di sini selama-lamanya sampailah suatu ketika, awak kembali semula menemui saya dan menyatakan rasa cinta yang sama persis dengan rasa cinta yang saya kuburkan di sini hari ini.”

            Pantas Ilham bangkit daripada katil dan menuju ke tandas untuk mengambil wudhu’. Dia mahu melakukan sujud syukur. Bibirnya tidak henti-henti tersenyum.

            ‘Iman… Cepatlah balik. Abang tunggu Iman…’     
                      
*****
©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz
Share

3 comments:

NurAtiZa said...

Saya suka cerpen ni...#^_^
Best...:)
Sweet sangat-sangat...^_^)Y

NajwaUlfah said...

bestttttt....sweet sangat :)

ISHA IDIAZ said...

NurAtiza : Terima kasih kerana membaca. :-)

Najwa : Tq~ Wink2~ :-)